Kata orang, pengalaman pertama memang agak sukar dibandingkan dengan dah melakukan perkara yang sama berkali-kali. Kata saya pula, pengalaman pertama agak menjengkelkan dan melemaskan. Tapi bukanlah bagi semua perkara dalam dunia ni. Ada juga pengalaman pertama yang rasanya manis-manis buah gitu.
Tapi... bila merujuk pertama kali menampal road tax pada cermin kereta hari ni, sungguh... saya memang ada rasa nak meraung. Mula-mula tanggalkan road tax tahun lepas, tapi melihat pada kesan yang tertinggal, saya rasa nak menangis kat situ juga sebagai tanda protes. Bukan sebab saya sedih tapi saya tahu apa yang saya kena buat. Bukan senang nak menanggalkan kesan yang nampak seperti dah sebati tu. Atas alasan nak senang, saya telefon abang saya, bukan sebab saya adik manja ya, hanya bertanya kalau-kalau ada cara yang paling mudah sebab selama ni abang saya yang buat semua tu untuk saya. Abang saya kata guna sabun. Saya mengeluh, lepas tu saya tanya, “Boleh tak kalau Ami tampal aje tanpa buang kesan yang ada?”. Abang saya balas, “Boleh... tapi nanti nampak buruk.”
Oh tidak! Saya tak suka kereta yang dah lama saya abaikan nampak buruk walaupun bukan juga kereta baru. Hanya meter pada kereta tu aje yang tunjukkan kereta tu tak menempuh perjalanan yang jauh selama ni. Umur 5 tahun, tapi meternya baru 42000 km, percaya tak? Tak percaya pun kena percaya juga sebab itu memang kenyataan. Hanya gara-gara terlanggar tiang parking di City Square JB, saya terus tak boleh pegang stereng kereta. Cuma dalam 6 bulan kebelakangan ni saya kembali berani. Itu pun sebab terpaksa.
“Nanti bila nak tampal, tampal betul-betul. Kalau tak nanti berkedut. Tak cantik!” Itu pesan terakhir abang saya. Dan saya, termangu-mangu melihat sekeping road tax di tangan. Dalam hati terfikir, nak kena buat apa dan macam mana ni? Melampaukan... sebab perkara seenteng itu tiba-tiba jadi sukar pada saya? Tapi saya memang blur sekejap. Rasa takut road tax tu koyak, takut tertampal atas ke bawah dan bawah ke atas. Sudahnya, naik rumah untuk kali kedua, ambil gunting sebab saya nampak lambang gunting. Bila dicuba-cuba saya rasa menyesal sebab ambil gunting sebab gunting tu tak ada keperluan.
Ok, road tax akhirnya berjaya ditanggalkan daripada pelekat. Hati saya jadi waswas lagi, bimbang buat silap, jadi saya pun mula membuat aksi jeling-menjeling kereta di depan. Oh... macam tu, detik hati saya. Tapi dalam keadaan terjenguk-jenguk tu muncul pula tuan kereta. Cepat-cepat saya berlakon melihat road tax di tangan sambil menyanyi-nyanyi kecil. Janganlah hendaknya saya dituduh cuba mencuri isi kereta sebab saya tak ada kemahiran umpil-mengumpil kereta orang. Kereta sendiri pun saya tak tahu buka kalau bukan dengan kerjasama kunci.
Dan akhirnya, kerja menampal road tax selesai selepas mengambil masa hampir 45 minit. Lama? Sangat lama? Begitu lama? Oh... saya pun perasan juga dengan tempoh masa tersebut. Patutnya 5 minit aje dah siap. Tapi sebab termasuk masa naik lif 2 kali sebab ambil sabun dan gunting. Kemudian sental-menyental kesan lekatan tahun lepas, saya kira okeylah tempoh tu. Harapnya, tahun depan tempoh 45 minit akan jadi 5 minit, ataupun 15 minit tu dah kira sedang elok. Apa pun, tu memang satu pengalaman walaupun mungkin hanya pengalaman ringan. Kalau ada yang mahu ketawa, baguslah... sekurang-kurangnya saya dah berjaya membuahkan senyum dan ketawa kalian, ;-)
No comments:
Post a Comment