“TIGA bulan?”
Diam. Dua raut wajah yang saling duduk bersebelahan tetapi dipisahkan sekujur tubuh kecil milik Qalesya yang tidak mengerti apa-apa, hanya bungkam. Sejak dari tadi tidak ada suara yang keluar. Membantah tidak, mengiakan jauh sekali. Satu wajah tetap mempamerkan riak tenang, seolah-olah langsung tidak terusik dengan apa yang dipinta. Satu wajah lagi sudah kelat membendung emosi yang tidak mampu dizahirkan.
“Empat bulan?” tanya pula suara garau yang lain. Di atas bibirnya, ada kumis nipis yang sudah bercampur warna antara hitam dan putih. Kedua-dua warna itu saling tindih-menindih antara satu sama lain.
Beku. Masing-masing tidak berkutik walau sedetik, termasuk menghembuskan nafas sekalipun. Hanya membiarkan sepi mengambil tempat di antara mereka di ruang tamu yang agak luas itu. Ada tujuh tubuh di situ, termasuk sekujur tubuh kecil yang hanya membuat hal sendiri, tetap juga menggigit kuku yang agak panjang tanpa peduli pada gusar yang membelit hati-hati lain yang ada di situ. Namun ruang itu seperti tidak berorang, boleh juga dikatakan seperti baru saja diserang geroda ganas.
“Lima bulan?” Suara halus merdu mencuba nasib.
“Enam bulan?” Masih halus lagi suara yang bertanya, tapi kali ini empunya suara berganti tubuh. Suara halusnya kedengaran sedikit nyaring, tidak lembut seperti suara halus yang mula-mula bersuara tadi.
“Tujuh bulan?” Suara garau bercermin mata tanpa bingkai tidak mahu kalah di tangan orang lain. Mana tahu antara mereka berempat, kata-katanya yang akan mengambil tempat. Wajahnya yang tidak pernah tidak tersenyum, tetap juga tenang menentang dua pasang mata yang sengaja berlagak mengalahkan patung yang ada di kedai-kedai pakaian.
Tidak berhatikah mereka berdua? Atau sebetulnya seperti kata isterinya, hati mereka berdua sudah lama mati? Aduh, kalau sudah sampai ke tahap itu, apa ikhtiar yang mereka berempat boleh lakukan demi menghidupkan kembali hati yang telah mati itu?
“Abang... tujuh bulan tu lama sangatlah!” protes suara halus nyaring dengan kerutan di dahi, bibirnya terjuih ke depan. Tidak puas hati dengan tempoh tujuh bulan yang diutarakan suaminya seketika tadi. Bukankah lebih cepat lebih baik lagi? Benda baik, buat apa hendak dilengah-lengahkan?
“Habis tu? Tiga bulan tak nak, empat bulan senyap, lima bulan diam, enam bulan sepi. Tujuhlah yang dipilih agaknya? Takkanlah lapan pula kan?”
“Lambat sangatlah Idham,” sokong suara halus merdu. Dia sependapat dengan Nurlaila. Tempoh tujuh bulan itu dirasakan terlalu lewat dan kalau boleh dia hanya mahukan tempoh enam bulan ke bawah.
“Ha, kan dah betul apa yang Laila cakap? Tengok... Safura dah setuju,” ujar Nurlaila bangga. Keningnya terjongket memandang wajah suaminya.
“Itu kata Safura dan Laila, empunya badan tak kata apa pun,” balas Emran dengan senyuman nipis.
“Dinzley nak berapa?” tanya Nurlaila kepada Dinzley yang hanya bersandar.
Dinzley jongket bahu, tidak tahu harus menjawab apa. Dijeling seketika seraut wajah itu, kelat tidak bergula.
“Dinzley nak tiga bulan kan?” Nurlaila mempamerkan wajah semanis madu pada anak bujangnya itu. Di ketika ini, dia sangat berharap matanya mampu menembusi minda dan hati anak sulungnya itu supaya dia tidak terus berteka-teki sendiri. Anak itu, sekejap kelihatan seperti hendak, di lain ketika pula hanya tenang seperti sudah tidak punya hati dan perasaan.
Dinzley sebenarnya, hendak atau tidak ni?
“Kalau tak nak tiga, empat pun boleh,” kata Safura yang duduk di sisi Nurlaila.
“Tak nak empat, lima pun okey asalkan tak lebih daripada enam,” sambung Nurlaila penuh harap. Dia menyentuh paha Safura, mengharap kawan karibnya semasa di sekolah menengah dulu menyokong kata-katanya. Bila Safura bertanya tanpa suara, matanya terjegil.
“Betul juga tu, tak kisahlah tiga, empat, lima, enam. Asal bukan tujuh ya?” Mengerti dengan jegilan Nurlaila, dia bersuara lagi.
Tawar-menawar itu masih tetap dilanjutkan meskipun mendapat tindak balas yang pasif. Yang membeli masih mahu mendapatkan harga yang murah semata-mata mahu memuaskan hati sendiri, sedangkan yang menjual seperti tidak mahu menjual apa-apa kerana sayangkan barang yang dimiliki. Kesungguhan yang dipamerkan tidak juga mengundang belas.
Sudahnya, masing-masing akhirnya terdiam seperti kehilangan modal bicara. Jelas kecewa berpeta di banyak wajah, kecuali dua wajah yang masih juga duduk bersebelahan di atas kerusi jati berkilat berwarna coklat.
“Boleh Dinzley minta ruang sekejap? Nak bincang dengan Annura sebelum kami beri apa-apa keputusan. Boleh?”
Idham dan Emran mengangguk, tanda setuju. Nurlaila dan Safura tersandar, kecewa!
* * *
“Berapa Nura?” tanya Dinzley sebaik saja orang tua mereka meninggalkan ruang tamu yang sudah kembali sepi, memberi peluang pada dia dan Annura untuk berbincang dari hati ke hati tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak. Dia hanya memandang riak wajah Annura seketika, sebelum membuang pandang ke hadapan.
“Berapa apa?”
“Awak dah dengarkan tawar-menawar orang tua kita tadi?”
“Saya dengar. Yang saya tak faham, kenapa dia orang nampak macam mendesak sedangkan dia orang juga yang kata, kita tak akan dipaksa. Kenal dulu, lepas tu tengok sesuai atau tidak. Tapi dari cara dia orang tadi, saya nampak macam kita dah tak ada pilihan lain lagi,” ujar Annura panjang lebar.
Kenapa ibu dan ayahnya seperti lain di mulut, lain pula di hati?
Bukan juga dia menolak, tapi kalau sudah kata begitu, kotakanlah. Jangan pula kata begitu tapi buatnya begini. Langsung tidak seiring! Dia dan Dinzley belum pun betul-betul kenal, tidak nampak jelas lagi baik dan buruk masing-masing. Tidak tahu lagi hati dan budi yang selama ini tersorok. Namun mereka berempat seperti sudah sepakat kalau dia dan Dinzley memang sepadan, pusing ikut mana pun tetap macam pinang dibelah dua.
Adilkah kalau begitu? Kalau tahu dia akan didesak begini, dia tentu tidak akan pulang ke rumah orang tuanya. Tidak juga akan bersetuju untuk kenal dengan Dinzley.
“Orang tua memang macam tu, mereka selalu nakkan yang terbaik untuk anak-anak. Kita aje yang tak tahu dan selalu pula salah anggap.”
Tenang kata-kata Dinzley membuatkan Annura terasa seperti hendak pitam. Tidak percaya Dinzley yang berkata-kata seketika tadi kerana mengenali Dinzley hampir sebulan lalu membuatkan pujiannya hanya ditelan dalam hati. Kalau melihat pada wajah Dinzley, lelaki itu memang nampak baik tapi hakikatnya, Dinzley hanya baik di wajah semata-mata. Sedangkan dalam masa hampir sebulan ini, bukan sekali dua darahnya mendidih disebabkan tingkah dan kata-kata lelaki itu yang begitu bersahaja dan ada masa-masanya agak angkuh di telinganya.
“Baiknya awak...” sindir Annura dengan wajah mencebik.
“Awak mungkin menyindir, tapi saya tetap nak ucapkan terima kasih sebab saya andaikan awak memuji. Lagipun sejak kenal awak, mana pernah lagi awak puji saya. Nilah baru pertama kali. Saya rasa betul-betul bangga ni,” kata Dinzley bersahaja.
“Perasan!”
Kedua-dua tangan, Dinzley letakkan di belakang kepala sambil tubuh terus juga bersandar santai. Wajah Annura yang mencebik ditatap dalam-dalam dengan hati yang lapang. Ketawanya meletus perlahan, tidak mahu sampai ke telinga orang tua mereka yang tentu saja sedang mencuri dengar perbincangan dia dan Annura. Keputusan masih belum dibuat, dia tidak mahu mereka terus membuat andaian demi andaian tentang hubungan dia dan Annura yang masih belum layak pun digelar hubungan.
“Jadi apa keputusan kita?’ tanya Dinzley beberapa detik kemudian.
Diam. Hanya keluhan muntah dari bibir Annura. Kalaulah dia ada pilihan lain.
“Tiga bulan?” tanya Dinzley. Dia tidak tahu sama ada sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami, tapi dia mahu menerima kalau untuk kebaikannya. Dalam segala hal, dia percaya restu keluarga sangat berkat.
Laju gelengan kepala Annura. Tiga bulan? Tidak! Tempoh itu terlalu singkat untuk menilai peribadi Dinzley yang langsung tidak dikenali. Kalau ditolak dengan tempoh sebulan sejak lelaki itu muncul, dia hanya ada dua bulan saja. Tidak mungkin!
“Empat bulan?”
Sekali lagi Annura menggeleng.
“Lima bulan?”
Geleng lagi.
“Enam bulan?”
Annura telan liur berkali-kali. Berdetup-detap jantungnya kerana gugup. Tidak tahu bagaimana harus membuat keputusan yang sebenar-benar keputusan dalam tempoh sesingkat ini. Kalau boleh dia mahukan keputusan yang tidak merugikan sebelah pihak dan menguntungkan pula pihak yang satu lagi, atau dalam erti kata lain menggembirakan semua pihak. Tapi soalnya, kalau orang tuanya dan Dinzley gembira, dia dan lelaki itu bagaimana pula? Takkanlah mereka pun akan turut bergembira meraikan jodoh yang tidak pernah dipinta?
“Setahun! Tapi setahun tu bukan bermakna kita mesti dan wajib kahwin macam yang orang tua kita mahukan. Setahun tu bermakna kita kenal hati budi masing-masing. Belajar tentang sikap masing-masing. Kalau tak sesuai dan serasi, kita bawa haluan masing-masing. Setuju?”
“Okey!”
“Setahun? Lama sangat tu!” Empat nada suara yang berlainan saling bertingkah sesama sendiri.
Dinzley pandang wajah Annura, mereka jongket bahu sambil ketawa perlahan.
dinzleyyyyyyyy!!!
ReplyDeletebab novel tbaru ato main tulis 2 ??
ReplyDeletemcm besttt ja ! hehe =D