Cinta? Oh... tentu sekali tidak sebab saya rasa macam dah lama tak dibius cinta dan dalam seumur hidup saya ni saya sendiri tak pasti selama ini saya pernah atau tidak dibius cinta. Yang saya tau, cuma rasa yang begitu-begitu aje. Begitu-begitu aje tu apa? Tolong jangan tanya saya sebab saya tak tau nak terangkan macam mana. Dan rasanya, pada usia yang dah makin ke senja ni (sambil batuk-batuk halus lagak orang tua), saya dah makin malas memikirkan soal dibius-bius cinta atau membius-bius cinta ni. Penat jatuh tangga berkali-kali, habis kering air dalam badan, habis bengkak-bengkak satu badan sebab bergolek-golek macam buah nangka busuk tapi hasilnya tak ada. Sedangkan Kiah, Minah, Bedah dan kawan-kawan seangkatan mereka tetap tak jemu-jemu bertanya bila tarikh sebenar saya akan makan nasi minyak. Bila saya kata hujung tahun, mereka akan bertanya hujung tahun bila sebab saya tak meletakkan tahun di hujung jawapan saya. Aduhai... menjawab salah, sudah dijawab juga salah.
“Isyh... awak ni Kiah, sudah-sudahlah tu jadi orang kepoh. Tak baik tau jaga tepi kain orang, entah-entah kain awak sendiri koyak rabak kat tepi tu hah. Kalau awak terasa nak sangat makan nasi minyak, makan aje kat kedai-kedai makan tu, berlambak yang jual. Kalau nak yang free, awak tunggu aje anak awak tu jadi pengantin. Awak jangan... sekarang ni kalau awak kepoh hal orang, nanti orang kepoh hal awak pula. ALLAH bayar cash tau zaman sekarang ni.”
Bukan juga saya menolak soal cinta atau institusi perkahwinan. Tak ada orang dalam dunia ini yang terlalu gila mahu hidup sendiri, tapi kalau sudah itu yang tertulis di atas sana, siapa saya mahu mencabar takdir yang datang bukan? Melankolik ya bunyinya? Atau pasrah barangkali kan? Mungkin ya sebab saya hanya manusia biasa yang terkenal dengan kurang dan lebih, maka bila saya putus asa dan hanya berserah pada DIA semata-mata, saya kira itu normal bagi manusia biasa dengan pakej biasa macam saya. Atau mungkin juga tidaklah begitu emo sebenarnya. Tapi tak kisahlah sama ada ia atau tidak. Hakikatnya, saya hanya mahu menyerahkan segala-galanya pada ALLAH. Untuk saat ini, saya cuma mahu menjalani hidup saya seadanya. Saya mahu berbahagia dan bergembira dengan cara saya sendiri selagi saya masih diberikan peluang untuk bergembira dan berbahagia. Mendengar dan terlalu memasukkan kata-kata orang dalam hati hanya akan membuatkan saya terasa seperti berada di bawah, bawah dan bawah.
Soal terlalu memilih atau dipilih, biarlah saya yang pilih kerana hidup saya, biarkan saya saja yang tentukan kerana campur tangan orang lain hanya akan buat keadaan jadi lebih serabut. Dan setiap pilihan itu tentu ada sebab akibatnya. Dan yang jelas, saya sudah berhenti daripada menjadi penoreh pada hati sendiri. Jadinya... Kiah dan kawan-kawan, awas... anda menyakiti saya hari ini, esok lusa, anda pasti akan disakiti kembali. Mendoakan? Tidak, tapi itu memang lumrah hidup yang sesiapa pun tak akan mungkin dapat lari dan melarikan diri. Hidup ini kan ibarat roda yang berputar?
Okey, berbalik pada soal dibius, sebenarnya saya dibius ngantuk. Tak tahu di mana silap, sepanjang dua hari bekerja di tahun yang masih begitu baru ni, mata saya asyik nak terpejam. Pedih mencucuk-cucuk bagaikan tak tidur malam. Hari pertama tu ya, saya akui memang tidur saya tak begitu lena. Tapi malam tadi, saya tidur seperti biasa. Adalah terjaga beberapa kali seperti lazimnya saya, tapi soalnya kenapa hari ni saya masih terasa mengantuk seawal jam 8.30 pagi? Saya... sangat tak sukakan rasa ngantuk pada hari bekerja! Hahaha... ayat yang last tu sangat penting untuk diumumkan. Adakan itu bermaksud saya nak bagi tahu yang saya seorang pekerja yang rajin? Oh... tentu saja tak sebab saya tahu saya bukan orang yang rajin. Kalau duit saya ada berguni-guni, pasti saya awal-awal lagi sudah duduk di rumah goyang kaki dan terus menaip, menaip dan menaip manuskrip baru untuk dijadikan novel. Sayangnya... jangankan berguni-guni, suku guni pun jangan harap. Yang ada hanya cukup-cukup untuk makan pakai dan kegunaan sehari-hari ;-)
No comments:
Post a Comment