Melihat status di wall FB seorang kawan penulis. Katanya... sukar memuaskan hati semua orang. Entah kenapa, saya bagaikan dapat menyelami perasaan kawan tu. Turut merasakan seksa yang sama. Mungkin sebab saya dan dia duduk di tempat yang sama, di bawah bumbung yang sama, iaitu penulis yang sentiasa mahu melakukan yang terbaik demi kepuasan bersama. Bahkan mungkin saya lebih teruk daripada dia kerana persoalan itu hanya bermain-main di minda, sentiasa berulang alik bagaikan tak ada kata sudah. Mahu meluah, tapi tak tahu harus bermula daripada mana, menggunakan kata apa dan harus meluahkan pada siapa. Sudahnya, sampai ke hari ini saya kekal bertanya, bagaimana caranya hendak memuaskan hati semua orang, terutamanya pembaca yang terdiri daripada pelbagai peringkat lapisan umur.
Tapi setiap kali itu juga saya gagal menemukan jawapan. Hakikatnya, tidak mungkin saya yang punya kudrat yang terbatas ini mampu melakukannya. Saya mungkin boleh memuaskan hati sebilangan orang, tapi dalam masa yang sama saya terpaksa juga mengecewakan sebilangan pembaca yang lain walaupun ketika menaip aksara demi aksara untuk digarap menjadi novel, saya mengharapkan semua orang dapat menerima. Tapi sangat tidak adilkan kalau saya berharap begitu? Sebabnya, sudah tentulah sebab semua orang itu keinginannya tidak sama sedangkan saya sebagai penulis juga punya keinginan tersendiri. Setiap penulis, saya percaya bukan sekadar menulis semata-mata, tapi penulis menulis kerana merasakan ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada pembaca di luar sana. Kecil atau besar yang mahu disampaikan adalah satu hal yang berbeza. Kecil pada orang ini, mungkin saja besar pada orang itu. Pendek kata, kecil dan besar bukanlah skala yang boleh dijadikan kayu ukur. Paling penting, usaha sudah dibuat.
Memuaskan hati semua orang memang impian saya sejak saya masuk ke dunia yang sangat asing bagi saya satu ketika dulu. Tapi itu hanya impian yang tak mampu ditunaikan. Rambut pun tak sama warna, macam mana saya nak mengharapkan pembaca punya hati yang sama? Untuk itu saya berusaha melakukan yang terbaik, walaupun saya tahu terbaik bagi saya belum tentu terbaik untuk orang lain. Hanya saya selalu berharap, saya tak akan rebah dan terus terlena gara-gara merasakan diri gagal memuaskan hati banyak orang.
No comments:
Post a Comment