- AnGiNnYa RaSa! -

January 17, 2011

Kalut... mungkin itu yang boleh saya simpulkan hari ni. Memulakan hari seperti biasa. Bangkit seperti biasa walaupun seluruh badan rasa bagaikan ditumbuk dengan lesung batu milik mak kat kampung (padalah... sendiri pun ada lesung batu kat rumah). Ya... salahnya saya sendiri. Cuti Sabtu dan Ahad, ada begitu banyak masa tapi saya lebih memilih menyapu, mengemop, mencuci toilet, mencuci pakaian, mengelap singki dapur dan seluruh kabinet dapur, termasuk mencuci peti sejuk pada pukul 6.00 petang semalam lepas terjaga dari tidur gara-gara mendapat 50 miss called daripada kakak ipar saya dalam masa dua jam. 50? Wah... banyakkan? Dalam keadaan tangan menggigil saya telefon balik. Huh... mujur tak ada apa-apa yang serius walaupun itulah jumlah miss called paling banyak saya pernah dapat. Sebab apa saya dicari sampai macam tu sekali, biarlah rahsia. Hahaha... macam bagus benar nak rahsia-rahsia bagai.

Tapi sungguh... bangun aje dari tidur saya benar-benar rasa letih, lesu seluruh badan. Meskipun rumah tak besar mana, comel aje, saya tetap letih sebab buat sorang-sorang. Habis dengan balkoni menerima sentuhan saya semalam, walaupun sebenarnya saya tak niat pun nak bersihkan balkoni tu. Bukan sebab saya malas ya, tapi mengenangkan sekarang ni cuaca tak menentu dan hujan turun tak mengenal masa, saya rasa membersihkan balkoni hanya kerja sia-sia. Bersih hari ni, mungkin pada hari yang sama juga dah kotor kembali. Tapi tak apalah, saya bersihkan juga. Lagipun kalau mak dan seluruh keluarga saya datang tak lama lagi, saya tak rela jadi mangsa kutukan abang-abang, kakak-adik ipar dan adik-adik saya bila tengok balkoni saya dah macam laman rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni. Menjelang maghrib, semuanya bersih termasuk sidai baju sekali. Sangat cepat kan? Jangan ditanya macam mana saya buat kerja sebab saya mungkin sudah meminjam tenaga daripada lipas kudung petang semalam. Hahaha... apa kaitan ya? Sudahnya, saya tersandar lesu sambil melayan Hawaii Five-O yang dah saya tengok kali ke-4. Woi... tak jemu-jemu ke? Habis... itu aje yang menarik di mata saya.

Dan pagi ni, mengenangkan meeting, saya mahu aje mengambil cuti sebab saya sangat alergi dengan yang dinamakan meeting, wacana, seminar dan segala macam bagai . Tapi hanya dalam hati sebab akhirnya saya sampai juga di pejabat lebih awal daripada orang lain dan menjalankan rutin seperti biasa, ambil kunci, buka pintu, buka lampu, buka PC dan tengok apa-apa yang patut sebelum bangun capai duit dan bergerak menuju ke cafe secara solo. Mujur saya tak perlu mengambil minit mesyuarat, dan lain kali saya pasti tak akan terlepas sebab dibuat secara pusingan. Meeting... dah namanya meeting tentu saja berjalan seperti biasa. Mula-mula meeting bahagian, diikuti pula meeting kualiti bahagian. Mujur badan yang letih tak memaksa mata lena walaupun duduk selama 4 jam. Mujur juga meeting bahagian saya taklah terlalu ketat macam meeting-meeting lain.

Lepas rehat, macam yang saya dan Diana persetujui. Buat SKT dan Prestasi! Asalnya nak buat SKT dulu, tapi puas digodek-godek fail lama, tak ada satu pun SKT 2010 yang boleh dijadikan panduan untuk buat SKT 2011. Yang ada hanya 2005-2009. Aneh, memang saya rasa pelik sangat! Tak faham kenapa SKT 2010 tak ada, padahal selama ni tak pernah gagal buat simpanan. Lebih aneh lagi, bukan hanya saya yang tak simpan, Diana juga. Sudahnya lepas semak semua pen drive, disket, fail kat PC, sahih memang tak ada langsung. Dan saya, memang ada rasa-rasa nak mengamuk dan lempar semua yang ada di atas meja sebab geram sangat. Selalu macam ni, bila nak guna semua tak ada tapi bila tak mahu, berduyun-duyun depan mata. Sudahnya, kami ambil keputusan tangguhkan dulu dengan hati yang panas, dah tak ada mood nak teruskan lepas berkali-kali mencuba dan mencari. Soalnya, nak marah siapa kan bila sendiri yang buat salah? Harapan saya, hendaknya ada seorang lagi kawan yang simpan. Bolehlah kami berkongsi-kongsi copy sebab nak taip balik memang saya tak larat. Ada banyak lagi yang boleh dibuat selain daripada mengulang kerja yang sama. Saya tak mahu menyusahkan apa yang sepatutnya jadi mudah.

Apa pun kena tunggu esok sebab kawan tu tak datang hari ni, ada hal yang perlu diuruskan. Harap sangat saya tak perlu bersusah payah, ;-)

2 comments:

  1. SKT & prestasi? tak nak masuk sekali ISO? nak menyebut pn menyampah. tahun ni, bos kte kt tmpat baru tak mau borang SKT ditaip/print dengan komputer. maunya tulis tangan yg tentu sekali menambah malas nak buat... kenapa agaknya ye? seloroh dgn kawan2, "agaknya sape yg bertulisan tangan cantek akn dpt markah lebih kot.." yg pasti, sgt menyusahkan!

    ReplyDelete
  2. lawaknye, menaip pun dah memeningkan. menulis guna tangan, alahai...

    ReplyDelete