Hai kawan-kawan! Sihat? Wah... tentu saja sihat kan di tahun baru 2011. Tentu rasa segar juga ya? Saya pulak? Sihat juga tentunya dengan mood yang sangat bagus. Cumanya... saya terpaksa mulakan pagi dengan rasa mengantuk berat gara-gara malam tadi tidur-tidur ayam. Sebab, sepanjang hari duduk di rumah, kerja saya hanya tidur di samping sibuk menjaga makan. Kononnya nak diet lepas saya rasa badan dah mengembang setaman. Tapi... misi saya separuh gagal dan separuh berjaya. Berjaya sebab saya dah masuk 5 hari tak makan nasi walaupun saya asyik Nampak butir nasi menari-nari depan mata. Tapi gagal bila dalam konon-kononnya proses diet, hati kat dalam menggebu-gebu nak makan segala macam makanan yang saya tak rasa nak makan pada hari-hari lain. Sudahnya, saya cuit-cuit dengan kata-kata, “Tak pe, esok mula balik.”
Paling buruk, saya tiba-tiba nak makan kek Secret Recipe yang sangat sedap itu. Hah... saya makan kek Secret Recipe perkara biasa sebab saya memang suka makan kek kat sana? Ya, betullah tu memanglah biasa kalau saya cuma makan sekeping, tapi kalau rasa nak makan sebuku kek tanpa ada rasa nak kongsi dengan orang lain walaupun secubit, apakah itu masih boleh digelar biasa lagi? Oh... biasa juga? Sini... yang kata biasa tu saya nak cubit kanan cubit kiri. Kalau kalian berkata begitu, samalah ertinya dengan kalian mengatakan saya sangatlah kuat makan. Tidak! Saya bukanlah jenis hairan makan sangat, malah ada masa-masanya saya rasa saya makan sebab saya tak nak gastrik. Tapi... bila saya mula makan, saya akan makan dalam kuantiti yang agak banyak. Bahkan ada masa-masanya memang sangat banyak, alang-alang dah makan kan? Apa pun, saya harap kalau pun tak dapat turunkan berkilo-kilo macam orang lain, dapat turunkan 3-4 kilo pun jadilah (itu pun susah yang amat rasanya). Atau, saya patut bawa keluar kasut sukan yang belum pun dirasmikan lagi tu daripada rak. Mungkin itu idea yang bernas, tapi masalahnya, belum pun mula lari saya macam dah terasa penat. Ke idea berkaitan dengan kasut tu patut dinyahkan daripada fikiran? Huh...!
Dan tahun ni, saya memulakan hari tanpa azam sebab azam saya yang besar-besar tak pernah tercapai biarpun masa dan tahun silih berganti, makanya saya putuskan tahun ni biarkan saja masa dan keadaan yang jadi hakim. Ada masa-masanya, mengikut arus memang banyak kelebihannya. Asalkan saya selesa, bahagia, gembira dan paling penting tak menyusahkan orang lain, itu dah cukup bermakna untuk saya. Dan sambutan tahun baru saya, tentu saja di rumah dengan ditemani cerita-cerita yang berkesudahan, saya terpaksa tutup TV sebab dah tak ada hati lagi mahu menonton. Mengintai-intai dari tingkap, wah... meriahnya di luar bila tepat pukul 12.00 malam. Ada berbelas-belas bunga api yang bunyinya membingkitkan telinga terhampar depan mata. Yiha... saya tak perlu pergi jauh-jauh semata-mata mahu melihat kemeriahan itu. Tamat upacara membakar duit, entah milik siapa, saya tutup lampu dan tarik selimut sebelum gelap-gelita mengambil tempat.
Hari ini, bangkit saja dari tidur, hati berdetik, ‘Tahun ni aku mau jadi orang rajin’. Dan harap aku, detik itu akan jadi kenyataan hendaknya...
No comments:
Post a Comment