- BeNaR-bEnAr SeTeNgAh TaHuN-

June 3, 2010

Jun @ setengah tahun 2010 benar-benar dah menjelma. Syukur sampai ke saat ini, aku masih mampu bernafas dan meneruskan hidup yang tak pernah sunyi daripada cubaan dan dugaan. Dan aku tetap berharap, selepas ini aku mampu juga mengharungi hari-hari yang mendatang dengan hati yang lebih lapang kerana yang dinamakan manusia itu tidak pernah tidak diuji oleh DIA yang Lebih Tahu.

Hari ni, genap seminggu aku duduk di rumah baru. Hanya sebuah rumah kecil yang punya banyak tingkat, tapi aku tetap mampu tersenyum senang. Akhirnya selesai juga segala-galanya. Letih memang sangat letih, tapi aku tahu aku bahagia, sangat bahagia. Bila merenung setiap isi rumah, senyuman aku jadi tambah lebar. Hati sering berdetik, “Itu semua aku beli dengan tulang empat kerat sendiri, dengan susah payah tanpa bantuan daripada sesiapa.” Ya, kalau bukan berusaha sendiri, pada siapa lagi nak berharap? Pada orang tua? Mungkin tidak sebab aku tahu tahap kemampuan mereka setakat mana. Lebih daripada itu, cukup-cukuplah selama ini mereka memberi segala yang mereka punya untuk manusia yang bernama anak-anak. Biarlah yang dinamakan anak-anak pula yang memberi pada mereka.

Dan kegembiraan aku tak habis setakat itu bila bonusnya, aku akhirnya kembali berani pegang stereng kereta, setelah bertahun-tahun hanya mampu pandang kereta yang ada dengan hati yang berbuku di dada. Sakit rasanya bila kita ada sesuatu yang patut dan boleh digunakan, tapi kita tak mampu hanya gara-gara peristiwa kecil. Lemah rasanya bila kita ada kereta tapi terpaksa berharap bantuan orang lain. Tapi sungguh, aku memang fobia nak sentuh stereng kereta. Nak kata aku tak bijak, ikut sangat rasa takut atau apa saja, aku tak peduli sebab yang rasa hanya aku, bukan orang lain. Mana ada orang yang beli kereta semata-mata nak pandang?

Tapi sekarang ni, syukur... kemahiran memandu aku memang masih lintang-pukang, parking pun terkial-kial, bawa kereta pun macam siput sedut, kena hon pun tak payah ceritalah, tapi aku tak kisah sebab itu lebih baik daripada langsung tak bawa. Sekurang-kurangnya, aku tak lagi sakit hati setiap kali tengok kereta tu tersadai kat rumah abang aku. Lagipun kesian dia, nak jaga kereta sendiri, nak jaga kereta aku lagi. Dia tak kata apa, tapi aku tak tergamak nak terus bebankan dia. Banyak lagi kerja yang dia boleh buat selain daripada menjaga kebajikan kereta tu. Thanks ya... jagakan kereta Ami selama 3 tahun lebih. Mesti Danish sedih tengok kereta tu tak ada kat garaj rumah dia.

Dan untuk dunia penulisan aku, selepas kisah Zuyyin & Yazzer bertemu titik akhir, aku masih belum memulakan kisah Annura & Dinzley yang drafnya dah lama selesai. Memang akhir-akhir ini aku dah mula menjinakkan diri dengan dua watak utama tu. Harap semakin dekat dengan mereka, semakin mudah untuk aku menyelesaikan misi yang aku cipta untuk mereka. Tapi dalam keadaan sibuk dengan majlis kahwin Angah, mahu atau tidak, aku baru boleh memulakan perjalanan manuskrip tanpa tajuk itu bulan Julai nanti. Harap aku mampu siapkan kisah mereka dalam masa tiga bulan selepas itu dan harap segala-galanya akan berjalan dengan lancar.

2 comments:

  1. Syoknya rumah banyak tingkat...leh main nyorok2....ahaks..
    Tahniah la sebab dah leh bawa keter cam siput sedut...hehehe...lama2 pro la tu.

    ReplyDelete
  2. Seronok baca catatan hidup anda. Bermaklumat.

    ReplyDelete