- CeRiTa OkToBeR -

October 11, 2010

Cepatnya masa berlalu, diam tak diam dah 10 bulan tahun 2010 berjalan. Cuma tinggal 2 bulan lagi untuk sampai ke tahun baru, tahun 2011. Tapi dalam banyak-banyak bulan, rasanya bulan ni adalah bulan ‘sakit’ untuk aku. Opss... bukan bermakna aku selalu sakit sepanjang Oktober ni. Tidak! Alhamdulillah... sepanjang bulan ni kesihatan aku berjalan dengan sangat baik, hendaknya biarlah berterusan.. Cuma yang agak menggusarkan, selera makan aku meningkat naik, naik yang amat sangat dan secara tidak langsung badan aku pun macam dah naik banyak. Entahlah... sekarang ni semua benda nampak sedap, rasa nak makan. Setiap minggu tangan aku gatal nak ke dapur, buat nasi goreng, masa lauk yang mudah-mudah dan buat kuih yang selama ni tak ada dalam agenda hidup aku. Hanya anehnya semua kuih yang aku buat berkaitan dengan tepung kastard. Minggu ni puding jagung, minggu lepas puding susu koktel, minggu sebelum tu puding berkuah koktel. Lepas ni entah puding apa agaknya sebab stok tepung kastard memang banyak kat rumah. Tapi sungguh... aku rasa sangat suka setiap kali dapat buah kuih-kuih tu.

Berbalik pada ‘sakit’ tadi, ‘sakit’ yang aku maksudkan bila aku terpaksa beradu dengan masa hanya gara-gara senaskhah manuskrip setebal 595 halaman. Dalam masa tak sampai 20 hari, aku perlu sudahkan editing untuk novel tu sebab minggu terakhir bulan ni aku akan bercuti seminggu. Untuk siapkan mss tu dari A-Z dengan masa yang ada, rasanya satu jangka masa yang sangat singkat pernah aku ada. Dan lebih penting daripada itu, aku tahu aku tak mampu sudahkan sebab aku tahu setakat mana kemampuan aku. Sebab sedar diri, mahu tak mahu terpaksa juga buat kerja lebih masa. Keluar pukul 7.30 malam, tapi sampainya dekat pukul 8.30 malam sebab makin malam, KL rupa-rupanya makin banyak kereta kat jalan.

Hari-hari sampai rumah pukul 8.30, rasanya badan aku macam dah tak bermaya, lesu macam biskut lemau. Kalau boleh, buka aje pintu terus nak baring kat situ juga dan tak nak fikirkan apa-apa lagi. Mengada-ngada kan? Ada orang tu, lagi lambat balik tapi tak mengeluh pun. Tapi... itu orang lain, bukan aku yang rutinnya sampai opis pukul 7.00 pagi dan 5.00 dan ada kat rumah. Aku tak cukup kuat, dalam erti kata lain jarang kerja teruk-teruk termasuk kat rumah kampung. Bukan manja, cuma memang dah terasuh macam tu dan bila terpaksa buat sesuatu yang lebih daripada biasa, aku mudah lesu, mudah letih mengalahkan terpaksa angkat kayu balak. Dan bila satu kerja tak selesai, datang pula pruf CKCK, aku rasa sangat terdera. Sikit aje pembetulannya, hanya dalam keadaan genting macam ni, otak aku stuck macam tak boleh guna. Yang sikit tu mampu buat aku rasa semakin lemah. Bimbang tak mampu siapkan dalam masa yang ditetapkan. Tapi... aku cuba buat yang terbaik. Hendaknya aku dapat serahkan pada editor esok.

Apa pun... aku harap segala-galanya selesai sebelum aku cuti. Hendaknya, perjalanan nanti sentiasa dirahmati ALLAH...

4 comments: