- JADI ANAK JANGAN SESEKALI DEGIL! -

July 18, 2013

Salam Ramadhan ke-9 buat seluruh umat Islam yang ada di muka bumi ni. Semoga seluruh rahmat ALLAH selalu tertimpa ke atas kita semua, lebih-lebih lagi di bulan mulia ini. Hem... gaya tulis macam semua orang dalam dunia ni baca dan tengok blog yang makin hari makin bersawang ni kan? Tapi... tak apalah. Sesekali saya nak berangan dan perasan, apalah salahnya. Tak kena bayar dan tentu aje tak merugikan sesiapa. Kalau ada pun, mungkin ada yang termuntah darah bila kenangkan ada orang perasan sendiri. Hehe...

Tapi sebetulnya, bukan hal perasan-perasan bagus atau perah-perah santan ni yang nak saya conteng hari ni. Cuma sekadar nak berkisah tentang hidup dan kehidupan yang berlegar-legar di sekitar hidup saya. Terlanjur saya sendiri pun dah lama tak berkesempatan menulis sesuatu di ‘rumah’ kesayangannya saya ni. Mungkin boleh diambil iktibar, atau kalau tak mahu boleh aje diabaikan. Kerana, saya percaya setiap orang itu punya cara tersendiri untuk bertahan dalam apa pun keadaan.

Suatu hari tu, macam selalu saya balik kampung naik bas walaupun hati teringin juga mengheret kereta. Tapi tak pernah berkesempatan sebab mak saya tak kasi. Macam anak manja kan? Oh, tidak! Kalau anak manja tentu aje saya duduk di bawah ketiak mak. Sedangkan saya, awal-awal lagi dah duduk di sini tanpa ditemani keluarga. Saya kan, sebatang kara kat KL ni. Anak manja mana buat macam tu kan? Ayat... cover malu tu!

Sebenarnya, ikutkan saya fikir saya dah boleh dah balik kampung bawa kereta sendiri, kalau hari siang. Hanya... seorang ibu tu, di mata mereka seorang anak itu tak pernah dewasa. Setiap kali saya kata nak balik bawa kereta, setiap itu mak saya tak benarkan. Macam-macam alasan yang dibentangkan sampai akhirnya saya mati hujah. Kalau saya degil juga, itu bermakna saya hanya menyusahkan hati dia sepanjang 4 jam saya di atas jalan raya. Jadinya saya batalkan aje niat tu. Hidup tanpa redha mak abah, saya percaya saya tak mungkin akan jadi ‘orang’. Biarlah saya susah sikit, turun dan naik bas asalkan saya tak menyusahkan hati mereka berdua. Dalam usia macam ni, yang saya nak buat hanyalah nak menggembirakan dan membahagiakan mereka kerana mereka dah berkorban terlalu banyak untuk saya dan juga adik-beradik saya yang lain.

Okey, berbalik pada kisah tu sampai aje rumah, saya terus kata pada mak saya:

Saya, “Mak tau duit dalam beg duit Ami ada berapa?”

Mak saya, “Berapa?”

Saya, “15 ringgit aje.”

Mak saya, “15 ringgit?”

Saya angguk walaupun muka dia nampak terkejut sangat. Kemudian saya gelak-gelak aje tanpa ada apa-apa rasa bersalah sebab memang tak ada salah yang saya buat. Cuma terbit juga rasa bangga sebab dengan duit RM15, saya sampai di rumah dengan selamat. Siapa kata nak ke sana sini kita perlukan duit yang banyak? Lagipun saya bukannya jenis, bas berhenti saya pun keluar dan makan santai-santai semata-mata nak habiskan masa 30 minit. Kalau saya keluar pun, sekadar nak ke toilet.

Mak saya, “Lain kali pastikan duit dalam beg duit tu banyak sikit. Mana tau jadi apa-apa tengah jalan.”

Saya yang degil, “Mana ada apa-apa. Selama ni okey aje.”

Mak saya, “Malang tak berbau.”

Cerita hari tu hanya tamat begitu aje. Kata-kata berupa nasihat plus ingatan daripada mak, saya buat macam angin lalu. Singgah sapa lepas tu pergi macam tu aje. Tak pun macam masuk telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Perangai saya tetap sama, tak berubah. Kalau duit dalam dompet banyak, banyaklah. Kalau sikit, sikitlah. Tak perlu terkejar-kejar untuk tambah bilangan duit yang sikit tu walaupun mungkin mesin atm ada kat sebelah aje. Padahal, nanti-nanti nak guna juga duit tu. Entahlah... mungkin sikap saya memang macam ni. Tak pun, ni salah satu cara untuk saya berjimat cermat memandangkan saya agak boros melampau-lampau sejak beberapa tahun kebelakangan ni.

Sampailah satu hari, awal bulan lepas kalau tak silap. Entahkan saya khayal entahkan saya terlalu banyak ketawa masa di pejabat. Tak tahu apa jadi dengan saya, tau-tau aje saya dah ada kat tepi jalan dan di depan saya ada bas persiaran. TUHAN, saya tergesel bas! Saya cuak, saya sangat cuak bila tengok seorang lelaki Cina keluar dari bas dengan lengannya berukir-ukir. Dalam hati kata, ‘Habis saya kena sembelih kali ni’. Terus mulut saya kata, “Sorry... saya tahu salah saya”. Disebabkan ALLAH tolong saya, Chinese yang air mukanya nampak garang tu hanya cool dan tenang. Dia tanya, “Nak settlekan macam mana?” Masa tu saya rasa lega sikit. Kalau dia marah-marah saya, mungkin saya akan nangis kuat-kuat sebab itulah pertama kali saya menghadapi situasi macam tu. Saya tanya balik dengan muka yang saya tenang-tenangkan, “Boleh saya hubungi kawan saya?” Dia kata, “Okey!”

Sejujurnya masa saya capai hp dalam beg tangan, saya baru terfikir, ‘Siapa yang nak saya hubungi?’ Abang-abang? Adik-adik? Aduhai... semua di JB! Sepupu-sepapat pun kat sana juga. Saya tak ada sesiapa! Muka masa tu memang tenang, sentiasa senyum lebar tapi hati kat dalam... rasa sangat-sangat sedih dan sendiri. Baru tersedar, dalam banyak keadaan saya okey aje sorang-sorang sebab saya memang bukan jenis merambu-ramba ke sana sini. Dunia saya cuma, pergi kerja dan balik kerja. Tapi bila sampai tersadai kat tepi jalan dan bila melibatkan hal-hal berkaitan kereta, saya memang sangat-sangat tak okey. Sedih gila!

Akhirnya, terpaksa juga saya hubungi adik baik hati yang selalu tolong saya di pejabat sebab saya tak ada banyak pilihan. Sekali lagi ALLAH tolong saya bila adik tu yang masa tu nak main bola, sanggup susah payah tolong saya. Dialah yang berurusan dengan Chinese tu sedangkan saya hanya berdiri depan kereta dengan hati dan fikiran yang kosong. Tak boleh nak fikirkan apa lagi. Lepas tu mereka berdua datang dekat saya dan proses tawar-menawar pun bermula memandangkan saya malas nak buat report. Ikutkan tak teruk mana, tapi sebab saya bersalah maka saya kena bertindak sebagai pesalah. Chinese mintak harga agak tinggi juga tapi adik tu terus main tawar-tawar. Sampailah kami rasa harga tu agak munasabah dan saya setuju.

Saya buka beg duit, dan... ya ALLAH, duit saya tak cukup RM10. Macam mana nak bayar? Nak mintak kurang lagi macam saya dah tak ada air muka pada Chinese tu. Masa tulah saya baru rasa betul-betul nak nangis. Kenapa saya mesti JADI ANAK DEGIL YANG TAK PERNAH NAK DENGAR CAKAP MAK SAYA? Dah disebut tentang malang yang tak pernah berbau dan situasi-situasi yang perlukan saya menggunakan duit, tetap juga saya pekakkan telinga. Kemudian perlahan aje saya kata pada adik tu, “Duit akak tak cukup RM10”. Malunya rasa, ALLAH aje yang tahu. Adik tu kata, dia ada. Ya ALLAH... saya hilang diksi jadinya.

Bila bas tu berlalu, saya suruh adik tu balik sebab saya rasa saya masih kosong. Tapi adik tu suruh saya balik dan dia follow saya daripada belakang. Dalam hati saya terdetik, “Boleh ke saya bawa kereta ni?” Tapi saya gagahkan juga walau tangan agak bergetar. Sampai di simpang, saya jalan terus dan adik tu ke kiri. Tak tahu nak kata apa selain daripada ucapkan terima kasih. Sampai ke hari ni, saya doa kepada ALLAH... semoga adik tu dan keluarganya selalu diberkati ALLAH. Semoga isteri dan anak dia selalu diberikan pertolongan ketika susah sebagaimana dia dah tolong saya.

Dan moral terhadap kisah saya tu, JADI ANAK JANGAN SESEKALI DEGIL TERHADAP NASIHAT IBU BAPA. Mereka tak pernah bercakap kosong tanpa alasan. Semoga pertolongan ALLAH selalu ada untuk kita. Dan yakinlah, pada saat kita memerlukan pertolongan, selalu ada yang akan menghulurkan tangan kerana ALLAH itu tak pernah kejam pada hamba-hamba-NYA. Selamat menjalani ibadah puasa dan sampai jumpa lagi di N3 lain.... ;-)

2 comments:

  1. Peringatan yang baik buat semua anak....:-)

    (dik, akak rasa hari ni ada org dah increase temperature freezer kita lah...makin sejuk..huhuhuu)

    ReplyDelete