BUKAN CUMA DIA | Bab 2

December 10, 2013

MUKA Qara masam mencuka. Dalam hati tidak putus-putus mengutuk diri sendiri. Kalau dia tidak gatal-gatal mengaku Ihram itu anaknya, tidaklah dia mendapat malu. Tapi kata sudah terlepas. Pembohongannya terbongkar dalam masa beberapa minit. Tidak. Ketika bibirnya mengaku, ketika itu jugalah Haq tahu kalau dia menipu.

Mulut ni pun, kenapa perlu berbohong? Bibir ditepuk perlahan.

Namun saat seraut tampang Syahil menyapa matanya, ada senyuman di bibir nipisnya. Dada yang seakan-akan sendat dengan rasa malu, terasa lapang tiba-tiba. Lantas kaki dihalakan ke arah Syahil. Mahu menatap seraut wajah kesayangannya itu. Seingatnya, termasuk hari ini sudah lebih dua minggu mereka berdua tidak bersua muka. Ada-ada saja alasan Syahil ketika diajak berjumpa. Kali terakhir, Syahil berkata terpaksa ke Hong Kong.

Sungguh, dia rindukan Syahil!

Belum pun langkahnya mendekat, kelihatan Elma merapati Syahil. Langkah kaku tiba-tiba. Air mukanya berubah keruh. Dada yang tadinya lapang, kini bagaikan mahu pecah bila lengan Syahil dipegang Elma, sedangkan Syahil hanya tersenyum. Langsung tidak menolak.

Sampai bila agaknya Elma akan menjadi bayang-bayang Syahil? Sampai bila juga dia harus menahan diri melihat tingkah Elma yang keterlaluan bila berada dekat dengan Syahil?

“Kau dah nampak kan?”

Qara berpaling. Seraut wajah dengan senyuman sinis, buat dia menggigit bibir. Kenapa Datuk Kamil harus muncul ketika ini?

“Kau dah nampak dengan mata kau sendiri betapa mesranya Syahil dan Elma, kan?” Sekali lagi Datuk Kamil bertanya dalam nada menyindir. Puas bila Qara yang selalu tenang, nampak sedih. Memang ini yang mahu dilihat sejak di bibir Syahil asyik meniti nama Qara. Anak yatim piatu yang baginya tidak akan memberikan apa-apa keuntungan padanya.  Hanya bakal membuatkannya rugi.

Makin kuat Qara menggigit bibir. Sakit. Tapi itu saja yang dia boleh buat setiap kali berhadapan dengan Datuk Kamil dan Datin Jalilah.

“Datuk sihat?” Qara cuba mempamerkan senyuman.

Bibir Datuk Kamil mencebik. “Cuba alih topik?” sindir Datuk Kamil tanpa menjawab soalan Qara. Baginya, tidak penting.

“Dhia jemput saya datang,” kata Qara perlahan, meskipun tidak ditanya. Tidak mahu dianggap tersua-sua datang ke majlis makan malam orang kaya. Dia sedar siapa dirinya. Kalaulah dia tahu situasi ini yang perlu dihadapi, dia tidak akan datang biar Dhia merayu dengan cara apa pun.

Berapa kali dia hendak membiarkan air mukanya dipijak Datuk Kamil dan Datin Jalilah? Bimbang, lama-lama dia tak mampu mengangkat kepala di hadapan mereka berdua kelak.

“Kalau pun Dhia jemput kau datang, tak boleh ke kau tolak?”

Diam. Qara tidak tahu harus membalas apa. Seboleh mungkin ditenangkan air mukanya.

“Saya dah cuba tolak. Tapi Dhia tetap nak saya datang.”

Senget bibir Datuk Kamil kerana meluat. Dipandang Qara atas bawah sambil menggeleng. Kecuali nama yang tampak moden, dia tidak nampak apa-apa keistimewaan ada pada Qara. Syahil dan Dhia saja yang buta.

“Majlis macam ni tak sesuai untuk kau. Orang macam kau patut pergi kenduri doa selamat aje. Entah apa yang bagusnya dengan kau sampai Dhia tu sayang sangat pada kau, aku betul-betul tak habis fikir. Kau guna-gunakan anak aku ya?” tuduh Datuk Kamil dengan muka geram.

“Astaghfirullah al-Azim...”

“Dulu Dhia, sekarang Syahil. Apa yang kau dah buat pada anak-anak aku?” Tajam pandangan Datuk Kamil.

“Saya tak buat benda syirik macam tu Datuk. Saya...”

“Kau ingat aku ni bodoh sangat nak percaya cakap orang macam kau?”

“Saya...”

“Kalau kau tak guna-gunakan anak-anak aku, kau ingat Dhia dan Syahil akan pandang muka buruk kau ni?” Jari telunjuk Datuk Kamil membuat bentuk bulat, hala ke muka putih bersih milik Qara. Dia benar-benar bencikan wanita ini. Kerana Qara, dia merasakan Dhia dan Syahil semakin hari semakin berubah saja. Tidak lagi mahu mengikut arahannya kalau dirasakan tidak betul. Gemar pula membantah kata-katanya.

“Saya tahu Datuk tak akan percaya pada kata-kata saya. Tapi saya masih tahu dosa dan pahala.”

“Jangan nak berceramah depan aku!” tingkah Datuk Kamil perlahan tapi tegas. Tidak mahu suaranya sampai ke pendengaran tetamunya. “Ceramah murahan kau tu tak akan mampu buat aku terpedaya.”

Qara tarik nafas panjang, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Lewat ekor matanya, dia menjeling Syahil yang masih berbual-bual mesra dengan Elma. Langsung tidak sedar akan kehadirannya. Jauh sekali menjadi pembelanya di hadapan Datuk Kamil yang tampak begitu garang. Ikutkan hati dia mahu menangis, tapi menangis di hadapan Datuk Kamil tidak mungkin. Cukup-cukuplah selama ini dia dipandang rendah oleh orang tua itu.

“Kalau Datuk rasa saya salah, saya minta maaf...”

“Aku tak nak maaf kau tu, tapi aku nak kau tinggalkan Dhia. Tinggalkan Syahil sebab aku nak dia kahwin dengan Elma!”

“Saya sayangkan Dhia. Saya sayangkan Syahil.”

“Pergi mati dengan sayang kau tu!” Gelas berisi air oren sengaja digoyang-goyang perlahan. Qara di hadapannya dilihat kecil besar saja. Bahkan dia terasa seperti sudah menjirus air di tangannya ke muka Qara. Biar basah lencun, biar malu di mata semua orang. Tapi mujur dia masih sedar situasi ketika ini. Memalukan Qara dia tidak kisah, namun memalukan diri sendiri, tidak mungkin.

Terpejam mata Qara mendengar sepatah perkataan yang cukup berbisa itu. Sebenci itukah Datuk Kamil padanya?

“Aku...”

“Uncle Kamil,” tegur satu suara garau tiba-tiba.

Datuk Kamil berpaling ke belakang. “Umair Haq!” Terus air mukanya berubah ceria. Pantas dia menjabat tangan Haq. Tidak sangka Haq sudi datang ke rumahnya. Pertama kali bersua tempoh hari, dia sukakan Haq. Anak muda seusia Syahil itu dilihat matang dan berkarisma. Tidak ubah seperti Haji Lukman.

“Uncle sihat?” tanya Haq ramah sambil bibir mengukir senyum. Dia berdiri berhadapan dengan Datuk Kamil. Namun matanya dapat melihat seraut wajah Qara yang masih memejamkan mata, membelakangi ayah Dhia itu. Pada raut Qara, seakan-akan ada garis kesedihan yang sangat dalam. Sedangkan ketika memegang Ihram tadi, wajah wanita itu nampak berseri-seri.

Seketika, mata hitam pekat milik Qara terbuka perlahan-lahan saat telinganya dihidangkan dengan suara asing. Menjurus terus ke anak mata Haq yang bening, merenungnya. Untuk masa beberapa saat, masa seakan-akan terhenti. Yang ada, hanya sunyi dan sepi.

Langsung kejadian memalukan di tingkat atas tadi hilang daripada ingatannya. Yang dia tahu, hatinya terasa sangat sedih. Hinaan Datuk Kamil seolah-olah tertusuk sampai ke hatinya.

“Uncle sihat. Haq apa khabar?”

Haq kembali memandang Datuk Kamil. Qara terpanar seketika sebelum kembali berpijak di dunia nyata. Dengan hati yang libang-libu, dia memesongkan langkah. Mahu mencari Dhia sebelum meninggalkan rumah agam ini. Tidak betah terus berada di tempat yang tidak mahukan kehadirannya. Bimbang dimaki-hamun di hadapan Haq. Cukuplah malunya pada Haq hanya setakat ini saja.

Lagipun, di sini bukan dunianya. Hanya demi Dhia, ditambah rasa rindu pada Syahil, digagahkan juga kaki walau tahu kedatangannya tidak pernah dialu-alukan.

Inikah rasanya bila diri tak punya apa-apa?

Ketika berpaling ke sisi kiri, Syahil masih bergelak ketawa di sisi Elma. Langsung tidak sedar akan kehadirannya. Hati yang kecil semakin mengecil jadinya. Terasa mahu marah, tapi tidak tahu pada siapa. Bukan salah sesiapa, malah tak ada orang pun yang memaksa dia memberikan hatinya pada Syahil. Dia yang murah hati memberi bila lelaki itu meminta.

Cinta memang buta. Tidak! Bukan cinta yang buta, dia yang tidak tahu mengukur baju di badan sendiri.

“Dhia...” panggil Qara perlahan.

“Qara! Kau ke mana? Puas aku pusing satu rumah cari kau tadi,” ujar Dhia. Hatinya lega bila akhirnya bertemu juga dengan kawan baiknya itu.

“Tak ke mana-mana. Ada aje. Dah lama sampai Akid?” tanya Qara sekadar berbasa-basi. Jangan diri dianggap sombong.

“Lama juga,” balas Akid dengan senyuman.

“Ada jumpa abang? Dia cari kau tadi.” Kepala Dhia terjenguk-jenguk, cuba mencari kelibat Syahil.

“Tak ada,” bohong Qara. 

“Tak ada? Kau tunggu dengan Akid kat sini, biar aku cari abang.”

Baru Dhia mahu mengayun langkah, lengannya dipegang Qara. Tidak mahu Dhia mencari Syahil kerana tingkah Dhia sukar dijangka. Melihat Elma memegang lengan Syahil, tidak mustahil suasana yang memang riuh-rendah dengan tetamu Datuk Kamil akan jadi bertambah kecoh.

“Tak payahlah Dhia. Nanti-nanti ajelah aku jumpa dengan Syahil tu.”

“Kenapa?” Dahi Dhia berkerut. Hairan melihat Qara yang kelihatan sedih meskipun di bibir kawan baiknya itu, masih ada senyuman. Bertahun-tahun menjadi kawan Qara, dia tahu membaca air muka Qara. Saat ini, dia yakin Qara sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.

“Tak ada apa-apa,” dalih Qara.

“Kau tak gembira datang sini?”

“Tak adalah,” sangkal Qara.

Muka Dhia muram. Dia tahu Qara tidak suka datang ke rumahnya, apalagi menghadiri apa-apa majlis di sini. Tapi kerana dia, Qara datang juga.

“Ada kau jumpa sesiapa ke tadi?” tanya Dhia menduga.

Qara geleng laju-laju. Hari ini saja, sudah berkali-kali dia berbohong. Entah berapa banyak dosa sudah tercatat di bahu kirinya, dia tidak tahu. Tapi dia tidak ada pilihan lain. Biarlah dia diam daripada Dhia dan Syahil berperang lagi hanya gara-gara kewujudan Elma di antara dia dan abang Dhia itu.

“Ada orang marah kau?” Tanpa sebab, tidak mungkin Qara yang tadinya ceria berubah laku.

“Tak adalah. Kau ni suka sangatlah sangka yang bukan-bukan. Buat malu aku depan Akid aje.”

Qara ketawa, namun Dhia dapat merasakan yang ketawa Qara tidak ikhlas. Mata Qara yang selalu mengecil bila ketawa, tidak kelihatan. Itu bermakna Qara ketawa sekadar mahu menjaga hatinya.

“Kau tipu aku kan?”

“Mana adalah. Kau ni...”

“Ayah aku atau ibu aku kali ni?” desak Dhia sakit hati. Geram pula bila Qara hanya tenang.

“Dhia...” tegur Akid lembut. Tidak suka Dhia terus memprovokasi Qara seperti itu.

Dhia pandang muka Akid. Tidak puas hati kerana Akid menegurnya sedangkan dia tahu ada sesuatu telah berlaku.

“Dhia, aku nak balik dah ni. Kepala aku sakit,” kata Qara.

Qara mencubit tangan kirinya kuat. Demi melepaskan diri daripada desakkan Dhia, sekali lagi dia terpaksa berbohong. Dia sungguh-sungguh tidak suka dengan apa yang telah dia buat.

“Kau belum makan pun lagi. Nak balik pula dah!” Dhia jelas tidak puas hati. Dia tahu Qara sengaja beralasan.

“Kau janganlah macam ni Dhia.” Qara serba salah. Dia pandang Akid sambil menaikkan sedikit kening kiri, mengharap Akid membantunya. Namun Akid hanya mempamerkan muka selamba.

“Aku tak kira, kau kena makan dulu sebelum balik.” Lengan kanan Qara, Dhia capai.

“Aku sakit kepala ni.”

“Aku tak peduli!”

“Aku dah kenyang.”

“Kau bercakap lagi, aku merajuk panjang dengan kau nanti.” Makin kuat Dhia menarik lengan Qara. Hatinya sakit bila Qara tidak henti-henti memberikan alasan.

BUKAN CUMA DIA | Bab 1

December 4, 2013

QARA berdiri terpaku. Matanya tertancap terus pada seraut wajah comel yang masih melagukan tangisan pilu. Bingit. Namun langsung tidak menjejaskan pandangannya. Tetap juga panorama itu kelihatan indah, apalagi bila satu demi satu butir air hangat mengalir lewat pipi mongel itu.

Sungguh, dia mahu melihat terus panorama yang sama sampai bila-bila.

 “Irham... janganlah macam ni. Sabar sikit ya? Tunggu papa datang sekejap lagi.”

Bila tangisan semakin kuat, Qara tergelak kecil. Kemudian dia menghampiri wanita yang tampak kalut memujuk si kecil.

 “Assalamualaikum... perlukan bantuan?” tawar Qara ikhlas.

Rosnah panggung kepala. Melihat senyuman terukir di bibir Qara, dia tersenyum kelat. Tudung yang terasa senget dibetulkan dengan tangan kiri. Namun tangan kanannya tetap memeluk Irham yang masih selesa membuat konsert tak berbayar. Anak kecil itu kini benar-benar sudah tidak boleh dipujuk.

 “Budak Irham ni merajuk,” luahnya kesal. Salam yang diberi hanya dijawab dalam hati.

“Merajuk?” Kening Qara hampir bertaut. Hairan mendengar kata-kata wanita di hadapannya.

“Ya, merajuk sebab lambat dibuatkan susu. Dia memang tak boleh lambat seminit. Nangis macam nilah. Dah tu kalau dah nangis bukannya senang nak dipujuk. Ambik masa yang lama,” kata Rosnah terus.

Qara ketawa perlahan. Geli hati dengan penjelasan wanita yang masih mengusap-usap kepala anak kecil itu. Kalau orang tua merajuk, itu memang sudah biasa dia dengar. Tapi anak kecil merajuk, itu cerita baru untuknya.

“Oh, jadi anak kakak ni merajuk? Padanlah nangis.”

“Bukan anak Kak Ros tapi anak majikan Kak Ros.”

“Saya rasa baik Kak Ros buatkan dia susu, jangan tunggu lagi. Kesian dia ni.” Qara sapu air mata di pipi Irham. Pipi yang tidak begitu tembam itu benar-benar menarik minatnya. Ikutkan hati mahu saja dicubit-cubit. Tapi mengenangkan dia tidak sewajarnya berbuat begitu, dia hanya menggosok-gosok kepala Irham.

“Tunggu papa Irham. Kata sekejap aje, ni sampai sekarang tak datang-datang lagi. Kalau dia tak ada, siapa yang nak pegangkan Irham ni?”

Qara membuang pandang ke kawasan sekitar. Cuba mencari lelaki yang dikatakan papa Irham, tapi kecuali mereka bertiga memang tidak ada sesiapa. Kalau ada pun, di bawah sana. Itu pun masing-masing sedang menikmati kemeriahan tersendiri, hasil ciptaan Datuk Kamil dan Datin Jalilah.

“Nak saya tolong pegangkan budak comel ni?”

“Boleh ke?” Rosnah serba salah. Dia tidak mahu menyusahkan wanita itu.

“Kak Ros ada pilihan lain lagi ke?” duga Qara sambil tersenyum manis.

“Tak ada.”

“Kalau macam tu biar saya pegang Irham. Kak Ros buat susu dan lepas tu cepat-cepat datang ke sini.”

Rosnah kian teruja, berbesar hati dengan pertolongan yang ditawarkan. “Tapi...” Hatinya berbolak-balik tiba-tiba.

Qara hulur tangan ke arah Rosnah. Bersedia untuk mengambil Irham yang masih berada di dalam dukungan wanita itu. Hatinya sudah tidak sabar mahu menyentuh sekujur tubuh kecil itu. Anak polos tanpa dicemari dosa, sesiapa yang melihat pun tentu akan jatuh sayang. Apalagi dia yang memang tidak pernah rasa bagaimana mempunyai seorang adik.

“Nama saya, Qara Nafisa. Kak Ros panggil Qara aje. Jangan bimbang, saya ikhlas nak tolong sebab saya tak sampai hati tengok Ihram terus nangis  macam ni. Saya janji tak akan ke mana-mana dan saya tak akan bawa Irham lari. Kalau saya lari pun, Kak Ros boleh bawa polis cari saya. Tanyakan aje pada Dhia kat mana saya tinggal sebab saya kawan baik dia,” terang Qara panjang lebar.

Rosnah gigit bibir. Malu bila kecurigaannya mampu dihidu Qara dengan mudah. Padahal, dia nampak jelas keikhlasan terpeta pada wajah berbujur sirih dengan mata bulat itu.

“Ni tawaran terakhir, nak saya tolong tak? Kalau tak nak tak apa, saya nak turun.” Qara sudah tersenyum-senyum.

Akhirnya, Rosnah ikut senyum sama. Hatinya tercuit dengan kata-kata Qara yang sangat selamba.

“Maaflah sebab Kak Ros curiga tadi.”

“Tak apa, saya faham. Kalau saya di tempat Kak Ros, saya pun akan fikir perkara yang sama.”

“Nah, ambillah Irham ni. Maaf juga sebab Kak Ros terpaksa susahkan Qara.”

Sekelip mata, Irham sudah ada di dalam dukungan Qara. Kejap dia memeluk tubuh Ihram, dibawa rapat ke dadanya dan didakap erat-erat. Lantas, laju saja bibirnya berlabuh di kepala yang berambut lebat itu. Terasa tenang mengalir di segenap hatinya. Dalam masa beberapa saat, anak kecil yang tidak punya apa-apa pertalian dengan dirinya itu berjaya mengusir galau di hatinya.

“Comel!” Sepatah kata muncul di bibir Qara.

“Kak Ros tinggalkan dulu ya?”

Hanya anggukan yang Qara balas sebagai tanda memberi izin. Tumpuannya penuh tertumpah pada Irham yang masih menangis. Sedikit kesal membenih di hati. Tidak sepatutnya Ihram dibiarkan merajuk begitu. Seharusnya sebelum tangisan keluar, perut kecil itu sudah dipenuhkan terlebih dahulu. Anak kecil memang tidak tahu berkata-kata, namun orang dewasa tentu lebih maklum.

“Lapar ya sayang?” tanya Qara lembut. Sekali lagi bibirnya mencecah pipi Irham yang masih basah.

Tangisan Ihram terus berlagu. Matanya tetap mengalir air jernih.

“Tunggu ya, kejap lagi susu Irham sampai,” pujuk Qara dalam nada suara yang sama. Kepala kecil Irham diusap-usap penuh kasih.

Macam ni juga agaknya ibu pegang aku dulu?

Pernah tak agaknya ibu usap-usap kepala aku penuh kasih sayang macam aku usap kepala Ihram?

Namun pertanyaan itu hanya kekal sebagai pertanyaan. Ibunya tidak ada untuk memberikan jawapan. Orang-orang yang pernah menjadi saksi masa kecilnya juga tidak ada. Lalu nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Seketika, hatinya kembali lapang.

“Macam mana ya aunty nak pujuk Irham ni?” tanyanya perlahan.

Tubuh kecil Irham diletakkan di atas sofa. Kepala Irham dialas dengan bantal kecil berwarna biru yang memang ada di situ. Dia menepuk-nepuk tangannya beberapa kali demi menarik perhatian Irham. Cubaannya berjaya bila mata Irham bulat menyapanya, meski masih berair.

“Lapar ya?” tanya Qara sekali lagi. “Kesiannya dia. Sabar sikit ya sayang...”

Dikucup lagi pipi Ihram. Bila dia mengangkat muka, tangisan nyaring Ihram tidak kedengaran lagi. Yang kelihatan hanya tubuh kecilnya yang sedikit bergegar akibat menahan esakan.

“Sayang dah berhenti menangis? Good boy!” puji Qara senang hati.

Diangkat kembali tubuh Irham dan didakap erat-erat. Dia tidak tahu bagaimana rupa orang tua Irham, tapi Irham memang anak kecil yang comel. Bila dewasa kelak, dia yakin Irham akan digilai ramai perempuan.

Namun menyedari betapa jauh dia berfikir, dia ketawa kecil.

“Entah apa-apalah yang aunty fikirkan ya Irham?”

Bila tangan Irham yang terangkat tersentuh pipi kirinya, Qara terasa seperti hendak menangis. Teruja bercampur terharu. Inilah pertama kali ada anak kecil menyentuh pipinya. Sejuk sentuhan jemari halus itu terasa mencecah hingga ke hatinya.

“Mungkin lepas ni kita tak akan jumpa lagi. Tapi aunty doakan Irham akan jadi anak yang sangat baik. Mampu menyejukkan setiap mata yang memandang. Mampu juga jadi penyeri di hati semua orang,” bisik Qara sebak. Sayangnya terasa tumpah pada anak yang tidak tahu apa-apa itu.

Lantas, sekali lagi kepala Irham menjadi mangsa bibirnya.

“Ehem...”

Kepala, Qara angkat. Kelihatan seraut wajah asing di hadapannya. Redup pandangan itu membuatkan dia serba salah.

Papa Irham ke ni? Detik hati kecilnya cuak. Bimbang kalau-kalau dituduh mahu menculik Irham. Rosnah pula tidak ada untuk menjadi pembela dirinya.

“Anak ke?” tanya lelaki itu tiba-tiba.

Lega hati Qara bukan kepalang. Soalan itu membuktikan yang pemilik suara garau itu bukannya siapa-siapa dengan Irham.

“Ya, anak saya.”

“Comel!” puji Haq dengan muka tenang. Matanya memandang terus pada wanita yang sedang memegang sekujur tubuh kecil. Dia tidak menipu bila berkata betapa panorama itu benar-benar indah di matanya sebagai seorang lelaki. Kedua-duanya nampak seperti serasi. Diam-diam, dia berharap si kecil memandang padanya. Namun hatinya hampa, sedikit pun anak kecil itu tidak peduli walaupun selepas mendengar suaranya.

“Terima kasih,” balas Qara ringkas.

“Nama apa?”

“Irham.”

“Irham aje?”

Dahi Qara sedikit berkerut. Tidak mengerti dengan pertanyaan lelaki itu.

Haq tergelak kecil. Geli hati dengan kerut yang jelas terpeta. Langsung tidak dapat diselindungkan lagi. “Maksud saya, namanya cuma Irham ke? Sebabnya, kan dah jadi trend masa sekarang, nama anak-anak kalau tak dua atau tiga  memang tak sah. Kadang-kadang tu ada yang sampai empat,” hurai Haq panjang.

“Irham aje.” Usai berkata, Qara gigit bibir perlahan. Dia tahu menipu tidak elok, tapi ringan saja mulutnya. Lagipun, bukannya lelaki itu tahu yang Irham bukan anaknya. Selepas ini, jangankan lelaki itu, Irham pun tidak akan ditemui lagi. Lantaran itu, biarkan untuk masa beberapa detik, dia mengiktiraf dirinya sebagai ibu kepada Irham.

“Oh... ya juga ya? Nama Irham tu pun dah cukup sedap.”

Qara hanya diam. Dia berharap lelaki peramah itu segera pergi. Sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibualkan kerana mereka berdua saling tidak mengenali. Tangisan Irham pun sudah reda. Ibu jari kanan sudah ada di dalam mulut kecilnya. Lebih daripada itu, dia bimbang Rosnah muncul dan pembohongannya terbongkar begitu saja.

Kalau itu sampai terjadi, di mana hendak diletakkan muka?

“Haq? Kenapa lambat benar datangnya?” tegur Rosnah tiba-tiba. Di tangannya, ada botol susu berisi susu suam milik Irham.

Haq? Adakah nama lelaki itu Haq? Qara telan liur. Nada Rosnah yang mesra membuatkan dia cuak. Jika Rosnah kenal lelaki itu, bermakna lelaki itu juga tahu siapa sebenarnya Irham di sisinya?

Benar-benarkah dia papa Irham?

Muka Qara panas tiba-tiba. Terasa darahnya kering semacam. Yakin, sangkaannya kali ini benar belaka.

“Maaflah Kak Ros, saya dah cuba datang awal tadi tapi tiba-tiba aje ada kerja urgent.”

“Irham mengamuk,” adu Rosnah sambil tersenyum. “Mujur ada Qara ni tolong Kak Ros. Kalau tak, sampai sekarang pun Kak Ros yakin dia tak akan berhenti nangis. Tahu ajelah Irham tu, kalau nangis mana boleh dipujuk. Haq aje yang boleh buat dia berhenti nangis.”

Haq berpaling melihat Irham yang masih berada di dalam dukungan Qara yang masih duduk di sofa. Bila Irham masih tidak peduli padanya, dia mengalihkan pandangan ke arah Qara yang langsung tidak mengangkat muka. Menyedari kulit putih bersih itu memerah, dia terasa seperti hendak ketawa besar.

“Tengok tu, langsung Irham tak pedulikan Haq. Suka benar dia kat Qara.”

Qara yang mendengar kata-kata Rosnah, terasa hendak melenyapkan diri ketika ini juga.

“Tulah, tadi lagi saya pelik. Selalu tu kalau dengar suara saya, cepat aje Irham cari. Hari ni langsung tak peduli.”

Ketawa kecil Rosnah kedengaran. Dia semakin menghampiri Qara yang masih pegun di sisi Ihram.

“Qara...” bahu Qara disentuh perlahan.

Lambat-lambat Qara angkat kepala. Kelat senyuman yang dihulurkan kepada Rosnah.

“Maaf ya, Kak Ros susahkan Qara,” pinta Rosnah sekali lagi.

“Tak apa Kak Ros. Hal kecil aje.” Hampir tidak terkeluar suara Qara mengenangkan Haq masih ada di situ.

“Terima kasih. Bagi Irham pada Kak Ros, biar Kak Ros bagi dia susu.”

Qara menyerahkan Irham pada Rosnah walaupun hatinya terasa berat. Ikutkan hati, tidak mahu diserahkan Irham pada sesiapa. Masih belum puas memeluk anak comel itu. Dalam sekelip mata, Irham berjaya membuatkan dia rasa sayang pada anak kecil itu. Namun dia bukannya siapa-siapa di sisi Irham.

“Nilah... papa Irham.” Rosnah ramah memperkenalkan Haq pada Qara.

“Terima kasih tolong jagakan Irham.”

Qara hanya angguk. Tidak ada suara mahu membalas. Yang diinginkan, pergi daripada pandangan Haq saat ini juga. Berharap pada masa akan datang, mereka tidak akan dipertemukan sekali lagi.

“Tapi nama dia bukan hanya Irham, tapi Irham Firdaus...”

Qara merasakan mukanya semakin tebal. Dalam senyuman, Haq ternyata sedang mengenakannya.

“Ya... ya, nama yang sedap.” Tersekat-sekat suaranya. Kemudian dia memandang Rosnah yang sedang memangku Irham. Matanya tertumpah lama ke raut muka Irham yang rakus menyedut susu. Segan pada Haq yang masih memerhatikannya, dia hanya menyentuh pipi Irham.

“Jadi budak baik ya Irham Firdaus,” katanya perlahan. Ada sebak bergulung-gulung dalam hatinya. “Saya pergi dulu Kak Ros,” pintanya pada Rosnah. Kemudian dia terus melangkah laju. Hatinya ralat kerana tidak dapat mencium Irham untuk kali terakhir.


Jadi budak baik ya Irham Firdaus, bisiknya dalam hati. Sekali lagi.

BUKAN CUMA DIA | Prolog

November 29, 2013

MELIHAT Akid duduk santai sambil memeluk lutut di gazebo rusuk kanan rumah, Haq mendekat. Sudah beberapa hari dia berfikir. Solat istikharah juga sudah dibuat berkali-kali. Muka yang akhir-akhir ini sering mengganggu hati dan ingatannya, memang tidak  muncul di dalam tidurnya. Tapi nalurinya jadi semakin yakin. Dia percaya ilham yang ALLAH kirimkan, tidak semestinya melalui mimpi. Kalau benar ada, naluri itu juga salah satu daripada cara-NYA menghantar petanda.

 “Buat apa?” tegur Haq sekadar berbasa-basi. Hatinya berdebar-debar. Bimbang niatnya ditolak. Mungkin lebih bimbang lagi jika Akid mencapai pasu berserta bunga di taman mini Hajah Yasirah, sebelum menghempuk di atas kepalanya.

Tapi kalau Akid ketawa sampai pecah perut, macam mana?

Antara menerima kemarahan Akid setelah mendengar nama calon yang disebut dengan mendengar ketawa adiknya yang entah macam mana gayanya nanti, mana satu yang dia lebih rela dengar?

Sungguh... ketika ini Haq benar-benar tidak senang hati!

“Kau rasa?” Akid mengusik Haq. Melihat rupa abangnya yang lain macam, dia yakin ada sesuatu yang ingin Haq kongsikan. Biarpun jarak dan masa pernah memisahkan mereka berdua selama lebih 12 tahun, tetap tidak banyak perubahan berlaku pada abangnya itu. Haq dilihat masih sama seperti kali terakhir meninggalkan bumi Malaysia.

“Aku ada nak cakap dengan kau sesuatu ni. Penting. Antara hidup dan mati!”

“Aku dah agak tadi lagi, abang. Tapi macam serius aje dengarnya tu. Apa dia?”

“Pandai ya kau baca hati aku,” usik Haq pada Akid. Hatinya masih bolak-balik. Tapi kalau bukan hari ini, bila lagi? Tempoh yang Hajah Yasirah beri sudah semakin hampir. Karang jika terlewat bertindak, putih matanya kerana terpaksa duduk bersanding di atas pelamin dengan isteri yang tidak diinginkan. Kalau jenis baik satu hal juga, tapi kalau dapat kacang hantu? Alamat meranalah hidupnya nanti.

Hidupnya bukan seperti dalam novel atau drama di TV. Tidak rela dia kalau dipaksa kahwin. Buat malu saja!

“Aku adik yang baik. Sebab tu cepat aje boleh baca reaksi kau. Marah kau, sedih kau. Ceria kau, ketawa kau. Bengang kau pun aku tahu! Aku boleh dikatakan hebat jugalah. Mujur aje masa zaman Pak Belalang dulu aku tak hidup lagi, kalau tak memang aku nilah yang confirm akan jadi guru pada Pak Belalang tu,” kata Akid bangga sambil menepuk dadanya berkali-kali. Mukanya jelas terpeta riak.

Haq senggol sedikit rusuk Akid. Adiknya itu memang jenis yang ceria dalam apa pun keadaan. Kaki kelentong pun Akid juga!

“Apa yang kau nak cakapkan tu?”

“Janji kau tak akan ketawa, boleh?” Haq garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Hati kembali bimbang.

Bahu Akid terjongket. Dia tidak mahu berjanji kerana tidak mahu dianggap mungkir bila ketawanya meletus nanti.

“Suruh janji pun susah ke?” Haq tidak puas hati.

“Tergantung pada keadaan. Kalau kelakar, aku ketawa. Kalau aku rasa tak kelakar buat apa aku nak ketawa? Kalau cerita kau sedih sampai tahap paling tinggi, takkanlah aku masih nak ketawa, kan? Walaupun aku ni macam ni, aku masih ada hati dan perasaan jugalah, abang.”

Kata-kata Akid kedengaran polos benar di telinga Haq. Tapi bila melihat tampang adiknya itu, Haq berani kerat jari yang Akid akan ketawa besar. Ketika Akid memberikan cadangan supaya dia berkahwin dengan Qara, mentah-mentah ditolak. Dia dan Qara? Gila! Memang tidak masuk di akal langsung. Kini bila dia sudah terdesak dan tidak punya apa-apa pilihan, yang dia nampak hanya seraut wajah. Itu saja satu-satunya jalan yang ada. “Umi paksa aku kahwin,” kata Haq senafas. Laju macam kereta api.

“Apa?” Mata Akid membulat. Antara percaya dengan tidak percaya.

“Umi... suruh... aku... kahwin!” Sepatah demi sepatah Haq sebut. Reaksi Akid sedikit menjengkelkannya. “Umi...”

Belum pun sempat Haq meneruskan kata-kata, Akid sudah terbaring sambil menekan-nekan perut. Ketawa besarnya membingitkan suasana petang yang  agak damai. Hatinya bagaikan digaru. Haq yang sudah setua itu, dipaksa kahwin oleh umi mereka? Di mana letak rasional dan logiknya? Sungguh... dia tidak pernah memikirkannya!

“Kan... sebab tu aku suruh kau janji tadi,” protes Haq. Akid memang suka bereaksi berlebih-lebihan.

Terus juga ketawa Akid kedengaran. Mata yang berair diseka dengan belakang tangan. Tidak tahu dia harus berterima kasih pada siapa kerana telah menceriakan hatinya kala ini. Haq yang menyampaikan berita kelakar itu? Atau, Hajah Yasirah yang memaksa anak sulung yang telah belajar sampai ke London, berkahwin dengan calon pilihan yang entah siapa-siapa? Yang jelas, tentu tidak serupa dengan selera Haq.

“Umur kau ni berapa, abang? Bukan dah 30 tahun ke?”

“Taklah, mana ada! Umur aku bukannya 30 tahun tapi 3 tahun. Sebab itulah mama tak sabar-sabar nak suruh aku kahwin. 3 tahun kan dah cukup besar untuk pegang tangan tuk kadi?” sindir Haq pada Akid, geram. Bila baru ketawa Akid akan reda?

Okey, sorry! Jangan marah-marah nanti masa bersanding muka kau bakal kedut sana-sini. Tak macholah, bro!” sakat Akid sambil memekup mulut sendiri. Jangan sampai ketawanya pecah sekali lagi.

“Kau ni...” Haq tarik sedikit rambut Akid.

Akid tersengih-sengih sambil menepis tangan abangnya itu. “Habis kau setuju?”

“Macam mana aku tak setuju kalau umi sampai main ugut-ugut bagai. Macamlah aku ni dah terdesak benar kot,” rungut Haq tidak puas hati. Kalau di hadapan Hajah Yasirah, dia hanya mengunci mulut. Tapi bila bersama-sama Akid, macam bertih goreng mulutnya mengadu perihal umi mereka itu.

Kening yang tiba-tiba terasa gatal, Akid garu perlahan. Kalau dia di tempat Haq, dia pun susah hati juga. Hajah Yasirah itu, bukannya mereka tidak tahu. Kalau putih katanya, maka putihlah jadinya. Kalau hitam, jangan ada sesiapa yang berani membantah. Jika dengan dia, berdebat dulu baru kata-kata umi mereka itu dia ikut. Haq pula, belum Hajah Yasirah membuka mulut, sudah mengangguk setuju.

Itulah bezanya dia dengan Haq. Cuma yang serupa, mereka sama-sama menyayangi Hajah Yasirah. Itu umi yang telah mengandung dan melahirkan mereka ke dunia ini!

“Kau nak kahwin dengan calon pilihan umi ke, bang?”

Tolonglah... tolonglah jangan cakap ya, abang. Aku tak nak tengok hidup kau menderita. Umi tak pandai pilih calon menantu!

“Tak nak aku! Calon umi mesti macam umi juga. Takut pula aku nanti yang jadi lembu kena cucuk hidung.”

Leganya hati Akid bukan kepalang. Daripada kahwin dengan calon Hajah Yasirah yang mungkin tidak tahu mengalah dan bersikap queen control, baiklah membujang sampai ke tua. Yang tak ada mungkin isteri, tapi hidup tentu aman damai. Kalau ada isteri tapi menyakitkan hati pun tidak guna juga. Belum pun tua agaknya sudah berkedut di sana sini kerana menjeruk rasa sendiri.

“Habis tu macam mana? Kau ada calon sendiri ke?”

Haq geleng-geleng. Dengan Akid tidak ada apa yang hendak disorokkan. Kalau sorok pun, lambat-laun adiknya itu akan tahu juga.

“Kat pejabat tu tak ada satu pun ke yang berkenan kat hati kau? Nurin yang duduk Bahagian Akauntan tu macam suka aje dengan kau.”

Bibir Haq mencebik sedikit. Seraut wajah hitam manis milik Nurin melintas. Pantas kepala digeleng-gelengkan. Gadis itu pantang melihat dia, cepat-cepat menghimpit. Kadang-kadang sudah dekat pun mahu lebih dekat. Kalau dia jenis yang tidak kisah, agaknya cepat-cepat Nurin duduk di atas ribanya. Belum lagi mengambil kira solekkan di muka yang seperti Opera China. Memang taklah!

“Maizatul, setiausaha walid?”

“Skema. Aku tak berkenan.”

“Nonis?”

“Aku...”

“Tak payah, tak payah. Budak tu macam juling air sikit aku tengok. Tak sesuai dengan kau,” pintas Akid pantas.

Haq tumbuk bahu Akid. Kalau pun Nonis itu juling air, tidak perlulah Akid sampai mempamerkan aksi begitu. Ditakdirkan Nonis tiba-tiba muncul, pasti kecil hati gadis pendiam yang murah dengan senyuman itu. Mana ada orang di dalam dunia ini yang minta dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna. Semua itu kerja ALLAH.

Sorry... tak sengaja.” Akid malu sendiri, pada Haq dan juga Pencipta Abadi. Siapa dia hendak menjadi hakim terhadap ciptaan ALLAH? Hakikatnya, dia juga tidak sempurna mana. Ada kurang dan lebih di sana dan sini yang perlu diperbaiki. Bahkan, banyak juga yang sampai ke hari ini tidak dapat diperbetulkan. Dia perlu lebih istiqamah dengan niat yang telah dibuat.

“Jangan sampai terlepas kata lain kali,” tegur Haq tenang.

Akid angguk, dia mengerti dan akan berusaha untuk menjaga mulutnya daripada bercakap yang bukan-bukan tentang orang lain. “Razilah, client yang selalu berurusan dengan kau tu?”

“Mintak simpang!”

Kalau sudah baju saja ketat seperti sarung nangka, singkat hingga mencecah paha dan hampir-hampir mempamerkan apa yang tidak patut dipamer, memang awal-awal lagi tersingkir. Dia mahu mencari isteri, bukannya model pakaian berjenama. Jauh sekali si seksi yang mampu membuat golongan lelaki menoleh berkali-kali kerana tidak puas hanya dengan sekali pandang. Tidak, bukan calon begitu yang diimpikan!

“Kalau semuanya kau tak mahu. Habis tu siapa yang kau nak ni?”

Haq diam seketika. Sekali lagi bertanya pada diri sendiri, manalah tahu kalau-kalau hatinya sudah berubah selepas mendengar banyak nama perempuan yang disebut Akid. Namun, masih juga organ bertuah itu memberikan jawapan yang sama. Tetap juga seraut wajah manis itu yang bertamu. Diakah?

“Aku nak perempuan yang namanya kau tak sebut tadi.”

Kening Akid terjongket, semakin tidak faham. “Siapa?”

- JUALAN GUDANG DATANG LAGI! -

September 30, 2013

Untuk yang berkesempatan, jangan lupa singgah. Yang paling penting, boleh dapatkan novel-novel saya juga di sana nanti, ;-)