BUKAN CUMA DIA | Bab 1

7:22 AM

QARA berdiri terpaku. Matanya tertancap terus pada seraut wajah comel yang masih melagukan tangisan pilu. Bingit. Namun langsung tidak menjejaskan pandangannya. Tetap juga panorama itu kelihatan indah, apalagi bila satu demi satu butir air hangat mengalir lewat pipi mongel itu.

Sungguh, dia mahu melihat terus panorama yang sama sampai bila-bila.

 “Irham... janganlah macam ni. Sabar sikit ya? Tunggu papa datang sekejap lagi.”

Bila tangisan semakin kuat, Qara tergelak kecil. Kemudian dia menghampiri wanita yang tampak kalut memujuk si kecil.

 “Assalamualaikum... perlukan bantuan?” tawar Qara ikhlas.

Rosnah panggung kepala. Melihat senyuman terukir di bibir Qara, dia tersenyum kelat. Tudung yang terasa senget dibetulkan dengan tangan kiri. Namun tangan kanannya tetap memeluk Irham yang masih selesa membuat konsert tak berbayar. Anak kecil itu kini benar-benar sudah tidak boleh dipujuk.

 “Budak Irham ni merajuk,” luahnya kesal. Salam yang diberi hanya dijawab dalam hati.

“Merajuk?” Kening Qara hampir bertaut. Hairan mendengar kata-kata wanita di hadapannya.

“Ya, merajuk sebab lambat dibuatkan susu. Dia memang tak boleh lambat seminit. Nangis macam nilah. Dah tu kalau dah nangis bukannya senang nak dipujuk. Ambik masa yang lama,” kata Rosnah terus.

Qara ketawa perlahan. Geli hati dengan penjelasan wanita yang masih mengusap-usap kepala anak kecil itu. Kalau orang tua merajuk, itu memang sudah biasa dia dengar. Tapi anak kecil merajuk, itu cerita baru untuknya.

“Oh, jadi anak kakak ni merajuk? Padanlah nangis.”

“Bukan anak Kak Ros tapi anak majikan Kak Ros.”

“Saya rasa baik Kak Ros buatkan dia susu, jangan tunggu lagi. Kesian dia ni.” Qara sapu air mata di pipi Irham. Pipi yang tidak begitu tembam itu benar-benar menarik minatnya. Ikutkan hati mahu saja dicubit-cubit. Tapi mengenangkan dia tidak sewajarnya berbuat begitu, dia hanya menggosok-gosok kepala Irham.

“Tunggu papa Irham. Kata sekejap aje, ni sampai sekarang tak datang-datang lagi. Kalau dia tak ada, siapa yang nak pegangkan Irham ni?”

Qara membuang pandang ke kawasan sekitar. Cuba mencari lelaki yang dikatakan papa Irham, tapi kecuali mereka bertiga memang tidak ada sesiapa. Kalau ada pun, di bawah sana. Itu pun masing-masing sedang menikmati kemeriahan tersendiri, hasil ciptaan Datuk Kamil dan Datin Jalilah.

“Nak saya tolong pegangkan budak comel ni?”

“Boleh ke?” Rosnah serba salah. Dia tidak mahu menyusahkan wanita itu.

“Kak Ros ada pilihan lain lagi ke?” duga Qara sambil tersenyum manis.

“Tak ada.”

“Kalau macam tu biar saya pegang Irham. Kak Ros buat susu dan lepas tu cepat-cepat datang ke sini.”

Rosnah kian teruja, berbesar hati dengan pertolongan yang ditawarkan. “Tapi...” Hatinya berbolak-balik tiba-tiba.

Qara hulur tangan ke arah Rosnah. Bersedia untuk mengambil Irham yang masih berada di dalam dukungan wanita itu. Hatinya sudah tidak sabar mahu menyentuh sekujur tubuh kecil itu. Anak polos tanpa dicemari dosa, sesiapa yang melihat pun tentu akan jatuh sayang. Apalagi dia yang memang tidak pernah rasa bagaimana mempunyai seorang adik.

“Nama saya, Qara Nafisa. Kak Ros panggil Qara aje. Jangan bimbang, saya ikhlas nak tolong sebab saya tak sampai hati tengok Ihram terus nangis  macam ni. Saya janji tak akan ke mana-mana dan saya tak akan bawa Irham lari. Kalau saya lari pun, Kak Ros boleh bawa polis cari saya. Tanyakan aje pada Dhia kat mana saya tinggal sebab saya kawan baik dia,” terang Qara panjang lebar.

Rosnah gigit bibir. Malu bila kecurigaannya mampu dihidu Qara dengan mudah. Padahal, dia nampak jelas keikhlasan terpeta pada wajah berbujur sirih dengan mata bulat itu.

“Ni tawaran terakhir, nak saya tolong tak? Kalau tak nak tak apa, saya nak turun.” Qara sudah tersenyum-senyum.

Akhirnya, Rosnah ikut senyum sama. Hatinya tercuit dengan kata-kata Qara yang sangat selamba.

“Maaflah sebab Kak Ros curiga tadi.”

“Tak apa, saya faham. Kalau saya di tempat Kak Ros, saya pun akan fikir perkara yang sama.”

“Nah, ambillah Irham ni. Maaf juga sebab Kak Ros terpaksa susahkan Qara.”

Sekelip mata, Irham sudah ada di dalam dukungan Qara. Kejap dia memeluk tubuh Ihram, dibawa rapat ke dadanya dan didakap erat-erat. Lantas, laju saja bibirnya berlabuh di kepala yang berambut lebat itu. Terasa tenang mengalir di segenap hatinya. Dalam masa beberapa saat, anak kecil yang tidak punya apa-apa pertalian dengan dirinya itu berjaya mengusir galau di hatinya.

“Comel!” Sepatah kata muncul di bibir Qara.

“Kak Ros tinggalkan dulu ya?”

Hanya anggukan yang Qara balas sebagai tanda memberi izin. Tumpuannya penuh tertumpah pada Irham yang masih menangis. Sedikit kesal membenih di hati. Tidak sepatutnya Ihram dibiarkan merajuk begitu. Seharusnya sebelum tangisan keluar, perut kecil itu sudah dipenuhkan terlebih dahulu. Anak kecil memang tidak tahu berkata-kata, namun orang dewasa tentu lebih maklum.

“Lapar ya sayang?” tanya Qara lembut. Sekali lagi bibirnya mencecah pipi Irham yang masih basah.

Tangisan Ihram terus berlagu. Matanya tetap mengalir air jernih.

“Tunggu ya, kejap lagi susu Irham sampai,” pujuk Qara dalam nada suara yang sama. Kepala kecil Irham diusap-usap penuh kasih.

Macam ni juga agaknya ibu pegang aku dulu?

Pernah tak agaknya ibu usap-usap kepala aku penuh kasih sayang macam aku usap kepala Ihram?

Namun pertanyaan itu hanya kekal sebagai pertanyaan. Ibunya tidak ada untuk memberikan jawapan. Orang-orang yang pernah menjadi saksi masa kecilnya juga tidak ada. Lalu nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Seketika, hatinya kembali lapang.

“Macam mana ya aunty nak pujuk Irham ni?” tanyanya perlahan.

Tubuh kecil Irham diletakkan di atas sofa. Kepala Irham dialas dengan bantal kecil berwarna biru yang memang ada di situ. Dia menepuk-nepuk tangannya beberapa kali demi menarik perhatian Irham. Cubaannya berjaya bila mata Irham bulat menyapanya, meski masih berair.

“Lapar ya?” tanya Qara sekali lagi. “Kesiannya dia. Sabar sikit ya sayang...”

Dikucup lagi pipi Ihram. Bila dia mengangkat muka, tangisan nyaring Ihram tidak kedengaran lagi. Yang kelihatan hanya tubuh kecilnya yang sedikit bergegar akibat menahan esakan.

“Sayang dah berhenti menangis? Good boy!” puji Qara senang hati.

Diangkat kembali tubuh Irham dan didakap erat-erat. Dia tidak tahu bagaimana rupa orang tua Irham, tapi Irham memang anak kecil yang comel. Bila dewasa kelak, dia yakin Irham akan digilai ramai perempuan.

Namun menyedari betapa jauh dia berfikir, dia ketawa kecil.

“Entah apa-apalah yang aunty fikirkan ya Irham?”

Bila tangan Irham yang terangkat tersentuh pipi kirinya, Qara terasa seperti hendak menangis. Teruja bercampur terharu. Inilah pertama kali ada anak kecil menyentuh pipinya. Sejuk sentuhan jemari halus itu terasa mencecah hingga ke hatinya.

“Mungkin lepas ni kita tak akan jumpa lagi. Tapi aunty doakan Irham akan jadi anak yang sangat baik. Mampu menyejukkan setiap mata yang memandang. Mampu juga jadi penyeri di hati semua orang,” bisik Qara sebak. Sayangnya terasa tumpah pada anak yang tidak tahu apa-apa itu.

Lantas, sekali lagi kepala Irham menjadi mangsa bibirnya.

“Ehem...”

Kepala, Qara angkat. Kelihatan seraut wajah asing di hadapannya. Redup pandangan itu membuatkan dia serba salah.

Papa Irham ke ni? Detik hati kecilnya cuak. Bimbang kalau-kalau dituduh mahu menculik Irham. Rosnah pula tidak ada untuk menjadi pembela dirinya.

“Anak ke?” tanya lelaki itu tiba-tiba.

Lega hati Qara bukan kepalang. Soalan itu membuktikan yang pemilik suara garau itu bukannya siapa-siapa dengan Irham.

“Ya, anak saya.”

“Comel!” puji Haq dengan muka tenang. Matanya memandang terus pada wanita yang sedang memegang sekujur tubuh kecil. Dia tidak menipu bila berkata betapa panorama itu benar-benar indah di matanya sebagai seorang lelaki. Kedua-duanya nampak seperti serasi. Diam-diam, dia berharap si kecil memandang padanya. Namun hatinya hampa, sedikit pun anak kecil itu tidak peduli walaupun selepas mendengar suaranya.

“Terima kasih,” balas Qara ringkas.

“Nama apa?”

“Irham.”

“Irham aje?”

Dahi Qara sedikit berkerut. Tidak mengerti dengan pertanyaan lelaki itu.

Haq tergelak kecil. Geli hati dengan kerut yang jelas terpeta. Langsung tidak dapat diselindungkan lagi. “Maksud saya, namanya cuma Irham ke? Sebabnya, kan dah jadi trend masa sekarang, nama anak-anak kalau tak dua atau tiga  memang tak sah. Kadang-kadang tu ada yang sampai empat,” hurai Haq panjang.

“Irham aje.” Usai berkata, Qara gigit bibir perlahan. Dia tahu menipu tidak elok, tapi ringan saja mulutnya. Lagipun, bukannya lelaki itu tahu yang Irham bukan anaknya. Selepas ini, jangankan lelaki itu, Irham pun tidak akan ditemui lagi. Lantaran itu, biarkan untuk masa beberapa detik, dia mengiktiraf dirinya sebagai ibu kepada Irham.

“Oh... ya juga ya? Nama Irham tu pun dah cukup sedap.”

Qara hanya diam. Dia berharap lelaki peramah itu segera pergi. Sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibualkan kerana mereka berdua saling tidak mengenali. Tangisan Irham pun sudah reda. Ibu jari kanan sudah ada di dalam mulut kecilnya. Lebih daripada itu, dia bimbang Rosnah muncul dan pembohongannya terbongkar begitu saja.

Kalau itu sampai terjadi, di mana hendak diletakkan muka?

“Haq? Kenapa lambat benar datangnya?” tegur Rosnah tiba-tiba. Di tangannya, ada botol susu berisi susu suam milik Irham.

Haq? Adakah nama lelaki itu Haq? Qara telan liur. Nada Rosnah yang mesra membuatkan dia cuak. Jika Rosnah kenal lelaki itu, bermakna lelaki itu juga tahu siapa sebenarnya Irham di sisinya?

Benar-benarkah dia papa Irham?

Muka Qara panas tiba-tiba. Terasa darahnya kering semacam. Yakin, sangkaannya kali ini benar belaka.

“Maaflah Kak Ros, saya dah cuba datang awal tadi tapi tiba-tiba aje ada kerja urgent.”

“Irham mengamuk,” adu Rosnah sambil tersenyum. “Mujur ada Qara ni tolong Kak Ros. Kalau tak, sampai sekarang pun Kak Ros yakin dia tak akan berhenti nangis. Tahu ajelah Irham tu, kalau nangis mana boleh dipujuk. Haq aje yang boleh buat dia berhenti nangis.”

Haq berpaling melihat Irham yang masih berada di dalam dukungan Qara yang masih duduk di sofa. Bila Irham masih tidak peduli padanya, dia mengalihkan pandangan ke arah Qara yang langsung tidak mengangkat muka. Menyedari kulit putih bersih itu memerah, dia terasa seperti hendak ketawa besar.

“Tengok tu, langsung Irham tak pedulikan Haq. Suka benar dia kat Qara.”

Qara yang mendengar kata-kata Rosnah, terasa hendak melenyapkan diri ketika ini juga.

“Tulah, tadi lagi saya pelik. Selalu tu kalau dengar suara saya, cepat aje Irham cari. Hari ni langsung tak peduli.”

Ketawa kecil Rosnah kedengaran. Dia semakin menghampiri Qara yang masih pegun di sisi Ihram.

“Qara...” bahu Qara disentuh perlahan.

Lambat-lambat Qara angkat kepala. Kelat senyuman yang dihulurkan kepada Rosnah.

“Maaf ya, Kak Ros susahkan Qara,” pinta Rosnah sekali lagi.

“Tak apa Kak Ros. Hal kecil aje.” Hampir tidak terkeluar suara Qara mengenangkan Haq masih ada di situ.

“Terima kasih. Bagi Irham pada Kak Ros, biar Kak Ros bagi dia susu.”

Qara menyerahkan Irham pada Rosnah walaupun hatinya terasa berat. Ikutkan hati, tidak mahu diserahkan Irham pada sesiapa. Masih belum puas memeluk anak comel itu. Dalam sekelip mata, Irham berjaya membuatkan dia rasa sayang pada anak kecil itu. Namun dia bukannya siapa-siapa di sisi Irham.

“Nilah... papa Irham.” Rosnah ramah memperkenalkan Haq pada Qara.

“Terima kasih tolong jagakan Irham.”

Qara hanya angguk. Tidak ada suara mahu membalas. Yang diinginkan, pergi daripada pandangan Haq saat ini juga. Berharap pada masa akan datang, mereka tidak akan dipertemukan sekali lagi.

“Tapi nama dia bukan hanya Irham, tapi Irham Firdaus...”

Qara merasakan mukanya semakin tebal. Dalam senyuman, Haq ternyata sedang mengenakannya.

“Ya... ya, nama yang sedap.” Tersekat-sekat suaranya. Kemudian dia memandang Rosnah yang sedang memangku Irham. Matanya tertumpah lama ke raut muka Irham yang rakus menyedut susu. Segan pada Haq yang masih memerhatikannya, dia hanya menyentuh pipi Irham.

“Jadi budak baik ya Irham Firdaus,” katanya perlahan. Ada sebak bergulung-gulung dalam hatinya. “Saya pergi dulu Kak Ros,” pintanya pada Rosnah. Kemudian dia terus melangkah laju. Hatinya ralat kerana tidak dapat mencium Irham untuk kali terakhir.


Jadi budak baik ya Irham Firdaus, bisiknya dalam hati. Sekali lagi.

You Might Also Like

5 comments