BUKAN CUMA DIA | Bab 4

TERTUNDUK Qara mendengar setiap luahan yang diucapkan Syahil. Tidak cukup kuat mahu menatap seraut wajah yang telah bertapak dalam hati dan hidupnya. Ketika ini, ada pelbagai rasa menghunjam hatinya yang paling dalam. Dunianya yang memang tidak indah mana, semakin malap jadinya.

Dulu, Syahil yang beria-ia mengejar dirinya. Setiap alasannya dipangkas dengan mudah. Bila tidak diendahkan, Syahil menggunakan Dhia sebagai orang tengah. Lama-lama hatinya mencair dengan sendiri. Kini, setelah hatinya dicuri, lain pula mahunya lelaki itu.

“Saya minta maaf Qara. Benar-benar minta maaf,” pinta Syahil dengan suara merendah.

Qara terasa matanya panas, namun cepat-cepat dipejamkan rapat. Tidak mahu Syahil melihat betapa murah air matanya. Lelaki tidak punya pendirian tetap seperti Syahil tidak harus ditangisi. Lelaki yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak tahu mengotakkannya, tidak boleh dibiarkan berbangga melihat air mata perempuan. Kalau pun air matanya mahu tumpah, biarkan melimpah di belakang lelaki itu.

“Saya minta maaf,” ulang Syahil sekali lagi.

“Mudah ya meminta maaf?” sinis Qara perlahan.

“Saya tahu saya dah patahkan hati awak. Tapi saya tak ada pilihan lain lagi. Ayah suruh saya buat pilihan.”

“Awak tak pilih saya.” Usai berkata-kata, Qara tergelak perlahan. Dia mengetawakan kebodohan diri sendiri. Ternyata hatinya tidak begitu berharga, kerana itu Syahil memilih melepaskannya tanpa ada usaha untuk berjuang.

Itukah yang Syahil namakan cinta selama ini?

“Dan awak.... sebenarnya tak pernah pilih saya,” kata Qara bila sunyi mula mengambil tempat.

“Saya pilih awak, Qara!” sangkal Syahil pantas.

“Kalau awak pilih saya, awak rasa hari ni akan wujud ke?”

“Saya pilih awak. Dari dulu sampai sekarang pun saya tetap pilih awak. Tapi ayah yang tak pilih awak. Ibu yang tak pilih awak,” ujar Syahil. Dia mahu Qara tahu yang dia tidak pernah berniat mahu mempermainkan hati dan perasaan Qara. Wanita itu tidak boleh menuduh yang bukan-bukan padanya.

“Dan awak... cuma akur? Langsung tak nak pertahankan saya di mata mereka? Tak peduli pada apa yang kita ada selama ni?”

“Sokongan Dhia tak cukup kuat,” beritahu Syahil kecewa.

Qara terasa jantungnya bagaikan direntap ke luar. Dia sebenarnya berkasih dengan siapa selama ini? Tiba-tiba saja dia terasa seperti tidak mengenali Syahil. Lelaki itu berkata-kata bukan seperti lelaki. Lebih kepada perempuan yang lemah, yang sentiasa mengharapkan sokongan orang lain.

“Kerana sokongan Dhia tak kuat, awak terus mengalah? Saya macam tak percaya yang tengah berdiri depan saya ni awak, Syahil. Lelaki yang saya sayang!”

Syahil terdiam. Pipinya terasa seperti ditampar dengan kata-kata Qara yang sarat terkandung sindiran.

“Saya tak sangka awak selemah ini,” selar Qara tenang.

“Saya tak lemah!” sangkal Syahil. Rasa malunya hilang berganti marah. Dia lelaki dan dia bukan lemah.

“Habis awak nak saya gelar awak apa lepas dengar alasan tak masuk akal awak tu? Saya bercinta dengan awak. Saya kekasih awak, bukan kekasih Dhia. Jadi kenapa pula Dhia yang nak kena pertahankan hubungan kita? Tugas tu sepatutnya tergalas di bahu awak, bukan adik awak.”

“Bukannya senang nak berhadapan dengan ibu dan ayah, Qara.” Syahil masih berusaha membela diri. Dia mahu Qara mengerti.

“Sebab tu awak ambil jalan mudah lepaskan saya dan hubungan kita. Kan?”

“Saya terpaksa! Kalau ibu dan ayah tak kisah, saya tak akan lepaskan awak macam ni. Saya sayangkan awak. Saya tak pernah menipu!”

Tegas kata-kata Syahil. Kata-kata sayangnya juga begitu jelas menampar gegendang telinga Qara. Namun itu semua sudah tidak ada apa-apa makna di matanya. Syahil sudah pun membuat keputusan.

“Apa pilihan yang diberi pada awak?” Qara ingin tahu.

Kalau harus kehilangan Syahil, dia akur walau hatinya luka. Apa gunanya mempertahankan hubungan yang ada jika Syahil serapuh itu? Sedangkan selama ini, dia mengharapkan seorang lelaki yang akan melindunginya dalam apa pun keadaan. Menerima kurang dan lebih dirinya, seadanya. Sayang sekali, rupa-rupanya dia menyandarkan harapan pada bahu yang salah.

“Ayah kata, pilih antara awak dan Elma. Dan kalau saya pilih awak, saya akan hilang harta benda,” ujar Syahil perlahan. Hampir-hampir saja suaranya tidak kedengaran. Dia malu pada Qara, namun dia harus juga berterus terang.

Mahu saja Qara meraung. Sampainya hati Syahil menjual hatinya hanya kerana harta dan kemewahan.

“Adakah cinta saya langsung tak berharga?”

Syahil tertunduk. Dia tahu dia bersalah pada Qara. Tapi demi masa depannya yang masih jauh, dia harus melupakan Qara. Manusia tidak mungkin boleh hidup hanya dengan cinta semata-mata. Cintanya pada Qara akan cuba dialihkan pada Elma dan dia percaya tugas itu tidak sukar. Sejak kecil, dia dan Elma memang sudah saling mengenali. Elma pun memang sudah lama menaruh hati padanya.

“Murah benar ke cinta saya ni Syahil?” tanya Qara bagaikan mendesak.

“Saya tak biasa hidup susah selama ni.”

“Kita masih muda Syahil, kita masih ada masa untuk kumpul harta benda yang awak suka sangat tu,” kata Qara rendah. Dia berusaha menenangkan diri. Baginya, meyakinkan Syahil mungkin usaha yang terakhir. Mana tahu mata lelaki itu akan terbuka dengan kata-katanya.

“Saya dah biasa hidup senang selama ni Qara.”

Apa bezanya tak biasa hidup susah dengan sudah biasa hidup senang?

Qara semakin pasti. Usaha terakhirnya hanya sia-sia. Patutnya dia tahu, pada saat Syahil sudah membuat keputusan, sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Hanya menerima meskipun pahit.

“Ulat dalam batu pun boleh makan, apalagi awak yang cukup segala sifat,” sinis Qara kecewa.

Dua tahun menyulam cinta dengan Syahil, inikah penamatnya?

“Awak dah cukup dewasa, dah ada kerjaya yang boleh menjamin masa depan. Patutnya dah tak ada sebab untuk takut pada kesusahan.”

“Hidup tak semudah itu, Qara...”

Kepala Qara menggeleng perlahan. Dia berusaha mengukir segaris senyuman, walau bibir terasa seakan-akan terkoyak. “Hidup ni memang tak mudah, tapi tak juga susah Syahil. Apa yang kita mahukan, kita sendiri yang tentukan. Bukan ibu dan ayah awak, jauh sekali Dhia.”

Syahil terdiam. Mati kata-kata mahu membalas kata-kata Qara yang tidak ada salahnya. Melihat riak keruh wanita itu, hatinya sedih. Dia sukakan Qara, namun dia lebih sukakan kehidupan mewah yang dijanjikan Datuk Kamil jika dia memilih hidup bersama-sama Elma.

“Saya tak nak hidup merempat...”

Qara tidak tahu sama ada dia patut ketawa ataupun menangis dengan luahan Syahil itu. Dulu, Syahil kata sanggup susah senang bersama-sama dengannya. Sekarang, baru saja digertak, hati lelaki itu kecut.

Lelaki, betullah... lain di mulut lain juga di hati.

“Kenapa awak fikir awak akan merempat kalau hidup dengan saya?”

“Sebab... sebab...” Syahil tidak meneruskan kata-kata. Hanya matanya saja menombak muka Qara. Wanita itu tidak pernah tidak nampak menarik di mata lelakinya. Kalau Qara anak orang berada, hari ini dan detik ini juga dia akan melamar wanita itu menjadi suri dalam hidupnya. Sayangnya, Qara tidak punya apa-apa. Qara hanya anak yatim piatu yang setiap hari membanting tulang empat kerat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kening Qara terjongket. Dia bertanya tanpa suara. Tahu, kalau Syahil meneruskan kata-kata, hatinya akan jadi lebih parah. Tapi dia tetap mahu mendengar. Ditakdirkan hubungan mereka sampai di sini, biarkan segala-galanya jelas. Paling tidak, dia cuba bersikap adil pada diri sendiri.

Sedangkan Syahil hanya bungkam. Bibir ingin menyebut, namun hati bagaikan enggan bekerjasama.

“Kenapa?” Qara tidak mampu terus melihat kebekuan Syahil.

“Tak ada apa-apa,” balas Syahil gugup.

“Terus terang aje. Sekurang-kurangnya saya ada banyak alasan untuk cepat-cepat lupakan awak nanti.”

Syahil renung mata Qara dalam-dalam. Entah kenapa, hatinya terasa seperti tidak dapat menerima kata-kata Qara kali ini.

“Awak nak lupakan saya?”

Sinis Qara membalas renungan Syahil. “Lepas awak tolak saya sebab kemewahan, adakah awak masih berharap saya akan terus ingat awak?” Kepalanya menggeleng. Jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia rasa kesal sendiri. Tidak percaya dia boleh terjebak dengan lelaki yang sangat mementingkan diri seperti Syahil.

Puas aku mengelak daripada ditemukan dengan lelaki begini, sudahnya terkena juga. Ya ALLAH... dugaan-Mu berat, tapi aku akan menghadapinya dengan reda. Aku pasrahkan segala-galanya hanya pada-MU, detik hati kecil Qara sendiri.

“Tak...”

“Jadi apa maksud awak cakap macam tu?”

Hanya gelengan Syahil sebagai jawapan. Dia membuang pandang ke hadapan. Bukan tidak dipujuk Datuk Kamil dan Datin Jalilah supaya menerima Qara. Malah, Dhia ikut sama memujuk. Hanya pujukan mereka gagal. Sebaliknya dia diberikan pilihan yang langsung tidak kena dengan jiwanya.

“Kita dah bersama selama dua tahun Qara. Ada banyak kenangan yang kita kongsi. Boleh ke awak lupakan saya?”

Qara makin tidak faham. Air muka Syahil nampak keruh. Syahil bagaikan tidak rela melepaskan ikatan hati dengannya.

“Boleh saya tanya pada awak sesuatu?’

“Tanyalah...” Lemah saja cara Syahil menjawab. Hilang Qara bermakna separuh daripada hatinya hilang. Tapi kalau hilang kemewahan, dia mungkin akan hilang kewarasan.

“Awak betul-betul sayangkan saya selama ni?”

“Awak ragu-ragu dengan saya?”

Sekelip mata, rupa keruh Syahil bertukar menjadi tegang. Qara boleh marahkan dia, tapi Qara tidak boleh sangsi dengan cintanya.

“Kalau betul awak sayangkan saya, lepaskan kemewahan. Hidup dengan saya dan kita bina keluarga kita sendiri dengan cara kita,” kata Qara menduga.

Keluhan Syahil muntah. Qara menangis dalam hati.

“Saya... saya tak boleh.”

“Kenapa?”

“Saya tak boleh walaupun saya memang nak hidup dengan awak. Keluarga Elma kaya, sedangkan awak tak ada siapa-siapa. Awak cuma anak yatim piatu...” 

Cuma anak yatim piatu? Kenapa itu yang disebut Syahil. Sejak bila menjadi anak tak punya orang tua itu satu hukuman?

Syahil, awak sangat kejam!

“Dulu lagi awak dah tahu yang ibu dan ayah awak tak pernah suka saya berkawan dengan Dhia. Kenapa awak tetap dekati saya?” tanya Qara sebak. Status sebagai anak yatim piatu, ditolak ke tepi.

“Saya ingat saya boleh lembutkan hati ibu dan ayah. Tapi saya silap.”

“Hati saya bukan bola yang awak boleh tendang sesuka hati.”

“Qara...”

Pantas Qara menepis saat terasa jemari kasar Syahil berlabuh di atas bahunya. Kalau dulu dia tidak suka diperlakukan begitu, sekarang lagilah dia tidak suka. Dia mungkin tidak berharta seperti Syahil, tapi dia masih punya harga diri. Biar cintanya dianggap murah, asal dirinya dipandang tinggi.

“Jangan berani sentuh saya!” Sedikit tinggi nada suaranya.

“Maaf...”

Tidak mahu terus membiarkan Syahil mengelar-ngelar hatinya, Qara bangun dengan hati walang.

“Mulai hari ni, saya anggap awak tak pernah muncul dalam hidup saya. Selamat berbahagia di sisi Elma.”

Terus Qara angkat kaki. Namun setitis air matanya gugur juga seiring langkah yang diambil. Selama dua tahun ini, dia rupa-rupanya hanya mengejar bayang. Tuhan...


6 comments:

  1. assalamu'alaikum..akak...ni lum kuar ke?ok....keep it up!!! ;) kita doakan idea akk mencurah-curah ke ladang gandum ye..:P tak sabau nak beli ni...sebab tengah dok menunggu novel akk..sebab setiap kali tersengih-sengih baca kisah zalis dengan kilfie..mesti terlintas..bila akak nak keluar novel baru..rindu

    ReplyDelete
  2. terima kasih sebab sudi tunggu. tapi lepas zalis akak dh keluar dua nvl baru, dia tak tanya dan cintaku bukan murah. kedua-duanya keluar tahun ni, ;-)@mira anum

    ReplyDelete
  3. Best ! Waiting 4 next n3 .. sdih :( kjam jgak syahil 2 .. huhu ..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih sudi baca. Harap terus membaca ya utk tau apa yg bakal jadi...@Izza Farhana:

    ReplyDelete
  5. Terima kasih sudi baca. Harap terus membaca ya utk tau apa yg bakal jadi...@Izza Farhana:

    ReplyDelete
  6. Wah.. besnye. Saya pun tengah tulis cerita tp xla sehebat akk.

    ReplyDelete