- Rombongan Cik Mar ( 2 )

Panjangnya tempoh cerita yang diambil oleh aku. Entahlah... mood menulis di sini makin lama makin berkurang seiring dengan putaran waktu. Banyak cerita, banyak juga malasnya, bukan macam kelapa, makin tua makin berisi (betul ke perumpamaan ni, aku pun dah tak begitu pasti).

Sampai ke hari ni, aku masih ingat macam mana tergocoh-gocohnya kami berkejar ke kaunter di lapangan terbang KK gara-gara takut terlepas flight ke Sandakan, sampai ada yang hampir-hampir menangis sebab takut tinggal. Sebabnya, masa yang ada rasanya macam tak sampai 1 jam. Tapi bila diberitahu flight delay 3 jam entah berapa minit. Huh... tak berbaloi betul, masa yang ada terbuang macam tu aje dengan lepak-lepak sambil makan-makan KFC.

Pukul 3.00 lebih bergerak ke Sandakan, dah ada keluarga Ryn yang menunggu. Alhamdulillah... kami sampai juga ke destinasi, lupa pula nak tanya apa nama kampung Ryn. Letihnya, TUHAN aje yang tahu, lebih letih lagi sebab risaukan abah yang macam seriau naik flight. Depan dia aku ketawa-ketawa sambil cakap kat dia tak ada apa-apa, macam naik bas aje, tapi hati aku rasa kesian sangat, aku dapat rasakan ketakutan dia. Kalau dekat memang aku dah hantar abah balik.

Sampai tu, terus ke rumah Ryn sambil bawa barang-barang hantaran. Hari ni dalam sejarah, aku pergi majlis bertunang dengan jeans dan t-shirt, tak sempat salin baju kurung sebab kami dah lewat lebih tiga jam. Hentam ajelah kata mak masa aku rasa agak serba salah, yelah... mana pernah dibuat dek orang. Yang majlis kahwin dulu, tu kat tempat aku, jadi tak adalah malu benar. Ni... tempat orang. Dan syukur, segala-galanya berjalan dengan lancar. Bulan 6 nanti... insya-ALLAH kalau ada jodoh angah dan Ryn, kami akan ke sana lagi.

Duduk di rumah mak cik Ryn... buat aku terkenang zaman kecik-kecik dulu, masa tu aku selalu mandi sungai. Kena marah pun aku dah tak peduli, kadang-kadang dengan baju sekolah aku jadi badak ari. Sungguh... aku rindu gila dengan zaman yang dah makin jauh aku tinggalkan.











Malam terakhir sebelum balik ke Johor Bahru, sempat lagi sambut birthday DD. Kejutan yang tentu saja DD tak perasan sebab dia sempat merajuk, hehehe... (jangan marah DD, nanti kena jual timbang kilo). Bak kata dia orang, “Biar pecah di mulut, tapi jangan pecah di perut”.

Balik ke Johor Bahru, kali ni baru betul-betul boleh dipanggil Rombongan Cik Mar sebab aku dengan family aku naik flight pukul 3.30 petang, sedangkan family Ryn dah balik awal pagi lagi. Dia orang dah sampai JB, aku, adik & adik ipar aku masih ada di Pasar Filipina beli kuih cincin sebab aku tiba-tiba teringatkan Fida yang nak kuih tu sedangkan aku dah lupa. Akhirnya... kami sampai seperti masa sepatutnya. Cuaca pun agak baik, dan abah pun nampaknya lebih tenang. Bila aku tanya abah, “Bah... bulan 6 nanti abah nak pergi tak?”. Abah jawab, “Tunggu lagi tiga bulan baru bagi jawapan”. Rasanya jawapan tu cukup positif sebab malam sebelumnya abah kata, “Tak nak pergi lagi.”




-Rombongan Cik Mar (1)

* * *SEBELUM KE SANDAKAN * * *

Asalnya idea datang dari adik ipar aku, katanya bulan Januari 2010 kakak ipar dia balik Sabah sebab memang orang sana. Aku pun kata nak ikut sama, cuci mata ke sana entah untuk kali ke berapa. Kali ni, aku angkut mak, abah, adik ipar, adik aku dan anak dia orang sekali. Saja nak bawa dia orang tengok tempat orang lain sekali sekala, tukar angin. Tapi lepas beberapa bulan kemudian, Abang Ngah kata dia nak bertunang, dan pilihan dia orang Sabah. Pucuk dicita ulam mendatang, terpaksalah dua lagi tiket dibeli, untuk dia dan Pak Long. Yalah, siapa yang nak bercakap bagi pihak kami kalau bukan Pak Long. Tak kanlah aku? Karang tak fasal-fasal aku kata datang jauh-jauh semata-mata nak minta makan, bukan nak minta anak dia orang.

Macam yang dah dijanjikan, pagi Jumaat 15 Januari 2010, aku, mak, abah & Abang Ngah bertolak dari rumah Kak Long ke airport Senai. Pak Long, adik aku, isteri & anak dia orang daripada kampung. Ada lagi beberapa orang, family adik ipar aku yang juga pergi. Pendek kata, memang rombongan Cik Mar, walaupun aku bukan kepalanya. Kami anak-beranak menyibuk nak ikut dia orang, hehehe... Kali pertama aku datang ke airport Senai sebenarnya, dulu ada sekali tapi hanya lalu dekat-dekat situ. Rasanya sama aje macam airport lain.

Hem... idea kering tiba-tiba, tengok gambar ajelah gamaknya...


Dua beradik mengong... itulah yang selalu adik ipar aku gelar kat aku & adik aku ni. Padahal, dia yang suruh kte orang buat aksi gila sikit.

Hasil paksaan aku kat adik ipar aku tu... aku dapat bunga warna merah yang di dalamnya ada coklat. Dari airport Senai sampai ke airport KK sampai ke airport Sandakan, patah balik ke airport Sandakan sampai ke airport KK aku usung bunga coklat tu, sudahnya... coklat tu abah aku yang makan. Uwaaa... abah ni... Itu aje ayat yang boleh aku keluarkan. Mana boleh anak lawan cakap abah dia kan, apalagi bagi anak yang dah puas melawan masa remaja dulu...

Mak selalu aje cool dalam apa juga keadaan. Dan aku harap, sangat berharap untuk seumur hidup mak, mak akan terus cool...

Kalau ikut hati, memang nak bawa semua kaum kerabat aku sebab aku memang suka pun kalau dia orang semua ada. Tapi apakan daya...

Yang sebenarnya, yang nak pergi orang-orang di bahagian depan dan orang yang di bahagian belakang tu suka-suka nak menyibuk...



Ada cerita kelakar dalam ni, tapi biarlah hanya jadi rahsia, aku, Ina dan mak. Kalau orang lain pun sedar, diam-diam sudah...

-Ke Jinjang Pelamin-

Untuk salah seorang abang yang aku sayang, sangat sayang, Abang Ngah dan Ryn... tak ada apa yang seorang adik macam aku boleh berikan, melainkan doa semoga ikatan pertunangan kalian kekal hingga ke jinjang pelamin. SELAMAT BERTUNANG ye... ada izin daripada ALLAH, ada umur dan ada rezeki, bulan 6 nanti kita ke Sandakan lagi.

-Selamat Hari Lahir, Sayang...-

Untuk anak buah aku nombor empat, anak buah paling kurus, anak buah paling kepoh, anak buah yang selalu mencuit hati dan anak buah yang dah pandai tunjuk perasaan kat aku (belajar daripada kakak-kakak dan abang dia), Mohammad Aqqif Najmie, SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-2 TAHUN. Semoga Aqqif panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan tetap jadi anak yang mampu menjadi penyeri di hati dan penyejuk di mata mama, papa dan semua yang ada di sekeliling Aqqif...

-Pembuka Bicara, Ceh...-

Salam pada yang masih sudi berkunjung ke blog yang asyik sepi sejak akhir-akhir ni sebab tuannya sangat-sangat malas nak mencoret. 21 hari tahun 2010 memunculkan diri dalam pada sedar tak sedar. Dan, inilah n3 pertama aku. Bukannya tak ada cerita menarik, sangat banyak sebab semua yang berlaku dan harus dilalui itu bagi aku ada cerita tersendiri, ada istimewanya yang tak mungkin akan terulang, kalau terulang pun, ceritanya tentu saja tidak sama lagi. Hanya jeri-jemari tak runcing ni macam berat nak mengetuk keyboard...

Apa dah jadi dengan aku? Tak ada dan insya-Allah tak ada apa yang berlaku. Kalau ada pun, hanya perkara-perkara rutin yang harus dijalani setiap hari. Jatuh bangun, sakit perit, semuanya lumrah yang harus ditempuhi. Sesekali jatuh tersadung akar, kesannya ada, parutnya jelas kelihatan... tapi hakikatnya, hidup perlu juga diteruskan selagi masih bernafas di atas muka bumi bertuah ini. Apa yang berlaku, tentu saja mematangkan perjalanan hari-hari seterusnya.

Kalau ditanya tentang hidup, rasa-rasanya... hidup aku masih begini-begini saja. Tak ada apa yang berubah, kalau ada pun, tak dapat menjejaskan apa-apa. Kalau tentang dunia penulisan, sampai semalam, aku masih gigih menyudahkan cerita yang dah pun lebih daripada separuh menerima sentuhan jari-jemari ni. Harap aku boleh sudahkan dalam masa terdekat ni, selagi segala-galanya masih berjalan lancar kerana aku manusia yang bekerjasama dengan mood. Hilang mood, maka hanyutlah aku. Novel baru pula, insya-Allah novel terbaru dengan Alaf 21 akan terbit hujung bulan ni, itu pun kalau tak ada aral melintang. Maklumlah, manusia kan hanya boleh merancang, tapi kenyataannya ada DIA Yang Lebih Tahu. Sekian...