- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 7] -

February 8, 2013

NADRA tahan hati. Sudah dikata berkali-kali, sudah ditepis berulang-ulang kali juga, namun Raqib tetap juga mahu menarik-narik perlahan hujung rambutnya yang sengaja diikat ekor kuda. Bila melihat matanya membulat, Raqib cepat-cepat mengangkat kedua-dua tangannya. Tanda menyerah dan tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Tapi bila dia kembali membalik-balikkan ikan di dalam kuali, Raqib kembali melakukan perbuatan yang sama. Pantang kalau melihat dia asyik dengan kerja.

“Abang apa ni? Iha tengah masak kan ni, buat apa abang kacau?” protes Nadra tidak puas hati. Menjeling pada Kalsum yang sudah tersenyum, dia menahan hati. Kalau hanya ada dia dan Raqib, tahulah dia bagaimana mahu mengajar Raqib. Biar suaminya itu serik dan tidak lagi mengacaunya. Kehadiran umi Raqib itu benar-benar menyekat tindakannya. Raqib pula tahu benar bagaimana cara hendak memanfaatkan keadaan.

“Mana ada abang buat apa-apa. Tengok Iha masak aje pun. Takkanlah itu pun tak boleh? Berkira betul isteri abang ni!”

“Tengok Iha masak aje pun?” tanya Nadra, mengulang kembali kata-kata Raqib.

“Yalah! Tak nampak ke abang tengah berdiri sebelah Iha ni?”

Nadra gigit bibir. Raqib fikir dia budak-budak yang mudah digula-gulakan ke apa? Menjeling lagi ke arah Kalsum, ibu mentuanya tetap juga tersenyum. Mungkin terhibur melihat dia disakat Raqib. Kadang-kadang dia fikir, Raqib lebih banyak mengikut Kalsum dibandingkan Idlan. Pasti adik iparnya itu lebih ke arah ayah mentuanya yang tidak sempat dikenali dengan baik. Seingatnya, ayah Raqib meninggal dunia ketika mereka berada di tingkatan dua. Suramnya wajah Raqib ketika itu, sampai ke hari ini masih mampu diingat dengan jelas.

“Kalau betul abang cuma nak tengok, Iha tak kisah. Masalahnya tangan abang pun ikut berjalan sama. Buatnya ikan ni hangus, macam mana?”

“Kita makan ikan hitamlah nampaknya malam ni!”

“Abang ni...”

“Dah-dah, pusing balik. Sila tengok ikan Iha tu sebab abang macam terbau benda hangit aje ni.”

Pantas Nadra berpusing dengan rupa cemas. Melihat ikannya masih elok, dia kembali memandang Raqib dengan rasa geram yang membuak-buak. Sakitnya hati bukan kepalang. Bila suaminya ketawa besar, cepat saja tangannya mencubit lengan Raqib sekuat-kuat hatinya. Raqib selalu saja mempermain-mainkannya begitu. Namun saat mendengar ketawa halus Kalsum, dia akhirnya ikut ketawa.

“Menantu umi ni dah macam umilah. Suka sangat jadi ketam,” ejek Raqib pada Nadra. Digosok-gosok lengannya yang sudah memerah. Esok dia yakin warna merah akan berganti lebam kebiru-biruan.

“Padan muka,” ejek Nadra kembali. Siap dinaikkan ibu jari sebagai tanda kemenangan.

Raqib hanya tersengih dalam kesakitan. Hendak marah terasa seperti tidak kena kerana dia yang menjadi punca. Kalau dia tidak mengganggu Nadra tentu Nadra tidak menghadiahkan dia cubitan yang bisa. Tapi kalau tidak mengganggu Nadra, terasa seperti ada yang tidak lengkap dengan hidupnya. Hendak berbual-bual dengan Idlan, adiknya itu masih belum turun. Malah sejak petang semalam, sejak dia menyebut nama Nadra, Idlan langsung tidak menegurnya.

“Cubit aje Nadra. Bila dah kena cubit barulah dia berhenti,” sokong Kalsum senang hati.

“Umi ni... Raqib ke Nadra ni anak ibu sebenarnya?”

“Bila Nadra kahwin dengan Raqib, bermakna Nadra juga anak umi. Tak timbul dah soal siapa sebenarnya anak umi. Sebab bagi umi, sekarang ni umi dah ada anak tiga orang. Raqib, Nadra dan Idlan. ”

“Eh... anak tetap anaklah. Menantu tetap menantu,” protes Raqib tidak puas hati.

“Kalau umi nak anggap Iha macam anak dia sendiri, abang sakit hati kenapa?”

“Bila masa abang sakit hati?”

“Tadi tu yang abang cakap anak dan menantu tu ada beza kenapa pula?”

“Habis tu Iha tak puas hatilah ni dengan abang ya?”

Nadra mencebik. Jauh di sudut hatinya, dia langsung tidak terkesan dengan apa yang dikatakan Raqib. Dia tahu suaminya itu hanya bergurau. Sengaja hendak melihat reaksinya.

“Ni Iha nak merajuklah ni dengan abang ya?”

Kalsum yang mendengar kata-kata anak dan menantunya, tersenyum sambil menggeleng. Sejak Nadra masuk ke dalam keluarganya, dia terasa hidupnya seperti sudah lengkap kembali. Nadra seperti sudah mengganti ruang kosong yang ditinggalkan arwah suaminya. Malah Nadra membuatkan dia terasa seperti dia punya anak perempuan yang selama ini sangat ingin dimiliki.

“Nak merajuk ke tak ni?” tanya Raqib bila soalan pertamanya tidak diendahkan Nadra.

“Kalau ya kenapa dan kalau tak pula dapat apa?”

“Kalau merajuk abang nak peluk kuat-kuat. Biar tak payah merajuk lagi.”

Terbuntang mata Nadra. Tidak percaya, di hadapan Kalsum pun Raqib berani bergurau begitu. Baru dia hendak mencubit lagi lengan Raqib, pantas suaminya itu melarikan diri dan bersembunyi di belakang Kalsum. Terus pergerakan tangan Nadra terhenti. Tak mungkin dia berani mencapai lengan Raqib pada saat suaminya betul-betul sudah ada di sebalik tubuh gempal ibu mentuanya. Kalau pun Raqib tidak malu bertingkah seperit anak kecil, dia sebagai menantu tetap rasa malu.

“Tak malu betullah...” rungut Nadra perlahan.

Besar ketawa Raqib. Bergegar-gegar bahunya kerana geli hati. Muka geram Nadra benar-benar menggamit rasa lucu di matanya. Kalaulah dia bawa kamera atau telefon bimbit ketika ini memang dirakam gambar Nadra. Bila terasa bosan, boleh juga tengok buat menghibur hati.

“Okey... okey... tak usik lagi dah. Kali ni abang tak tipu Iha. Ikan yang Iha goreng tadi betul-betul dah berbau hangit. Lagi lama Iha biarkan, memang tak mustahil malam ni kita makan ikan arang.”

Nadra terdiam sejenak. Diam-diam cuba menghidu bau hangit yang dikatakan Raqib. Wajahnya berkerut.

“Ikan Iha!” katanya sedikit menjerit. Kemudian terus dia berjalan pantas ke arah kuali yang sudah berasap nipis.

Kali ini ketawa Raqib dan Kalsum bergabung menggamatkan ruang dapur yang tadinya hanya riuh sedikit. Kekalutan Nadra benar-benar kelakar. Seingat mereka, inilah pertama kali Nadra nampak sekalut itu sejak datang ke rumah mereka. Namun Idlan yang melihat panorama itu terasa hatinya seperti digigit sesuatu. Ikutkan hati mahu saja dia menjerit menyuruh umi dan abangnya menghentikan ketawa yang masih belum selesai. Sungguh, telinganya sakit melihat mereka gembira hanya gara-gara Nadra. Dia tidak dapat menerimanya.
--------------------------------------------------------------------------------
“MINGGU depan sekolah dah start buka balik kan, Idlan?” tanya Kalsum ketika mereka berempat duduk di ruang tamu selepas makan. Gelas berisi kopi di dalam cawan yang dibawa Nadra tadi dicapai dan dihirup berhati-hati kerana masih hangat. Ketika menjadi guru sandaran bertahun-tahun dulu, semua tarikh penting berkaitan persekolahan dia tahu. Tapi hanya setakat itu. Bertugas sebagai akauntan sampai ke saat ini, rutinnya selalu sibuk dengan kerja dan anak-anak.

“Umi kan bekas cikgu, takkanlah tak tahu kot,” balas Idlan malas. Kalau tidak mengenangkan uminya ada di situ, memang awal-awal dia sudah mengangkat kaki. Tidak mahu ada di ruang yang sama dengan Nadra. Di matanya, kakak iparnya itu hanya berlakon baik di hadapan umi dan abangnya.

“Idlan, kenapa cakap dengan umi macam tu?” tegur Raqib kurang senang.

Nadra diam. Matanya difokuskan tepat menghala ke arah skrin TV. Tidak mahu menyampuk walaupun telinganya tetap mencuri dengar perbualan anak-beranak itu kerana Raqib lebih berhak. Namun dia juga tidak suka sikap Idlan yang menjawab kata-kata ibu mentuanya seperti acuh tidak acuh saja. Sebagai anak tak kira apa pun berlaku, hati orang tua perlu ditatang bagaikan menantang minyak yang penuh. Apalagi Kalsum seorang ibu da ibu mentua yang sangat baik.

“Cakap macam tu pun salah ke?” protes Idlan tidak puas hati. Dia bukannya bercakap dalam nada yang keras. Nadanya masih perlahan walaupun diakui kata-katanya langsung tidak beremosi. Hatinya masih sebal mengenangkan apa yang berlaku di meja makan tadi. Selamba saja Raqib dan Nadra meneruskan gurau senda yang tak selesai semasa proses menyediakan masakan tadi. Mahu saja dia meluahkan kembali apa yang dimakan kerana rasa meluat yang bukan sedikit.

Nadra sangat-sangat menyebalkan!

“Bukanlah salah. Tapi sekurang-kurangnya, tengoklah muka umi masa bercakap.” Tenang saja cara Raqib menegur. Dia bukannya hendak marah, hanya mahu memahamkan Idlan yang sudah melakukan kesalahan.

“Umi tanya masa Idlan tengah tengok TV kan?”

“Umi dengan TV mana lagi penting?” tanya Raqib. Berkocak juga tembok sabarnya dengan sikap Idlan.

“Yang abang macam tak puas hati aje dengan Idlan ni kenapa?”

“Apa Idlan cakap? Idlan ingat abang ni ad...” Bicara Raqib mati begitu saja.

Nadra lekapkan tangannya ke tangan Raqib yang ada di bahunya. Bila Raqib memandang, dia menggeleng. Tak mahu Raqib meneruskan kata-kata. Pada saat Idlan jelas seperti tidak puas hati, dia tak rasa yang teguran Raqib berguna, apalagi jika adanya dia. Tentu Idlan rasa ego tercabar kerana ditegur di hadapan orang yang tidak disukai.

“Kenapa?” bisik Raqib perlahan.

“Bukan sekarang. Kalau abang nak tegur pun biar di belakang Iha. Tak adalah dia rasa malu sangat.”

Raqib menarik nafas panjang. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Baru mengerti mengapa Nadra menghentikan kata-katanya tadi. Dalam diam dia rasa bersyukur kerana Nadra bijak mengawal keadaan. Kalau dia terus berkata-kata tadi, memang tidak mustahil mereka berdua bakal bertengkar. Jika itu sampai terjadi, semakin sukarlah dia hendak memulihkan hubungan Nadra dan Idlan kelak.

“Dahlah tu Idlan, Raqib. Umi tak apa-apa,” ujar Kalsum perlahan. Namun dia tidak mengerti mengapa Idlan nampak lain macam.

“Maaf umi,” pinta Raqib pantas.

Tidak mahu uminya tergores. Seboleh mungkin semenjak ayahnya pergi, dia berusaha untuk menggembirakan dan membahagiakan uminya. Dia tidak mahu uminya berasa kurang kerana tidak ada ayahnya di sisi. Mujur saja uminya jenis yang cepat bangkit setelah terjatuh. Seingatnya, hanya beberapa hari saja uminya meratapi kehilangan ayahnya, kemudian uminya sudah boleh senyum dan ketawa seperti biasa.

Bukan juga uminya terlalu cepat melupakan ayahnya. Tidak kerana sampai ke detik ini dia yakin uminya masih mengingati ayahnya. Kata uminya, dia dan Idlan harta peninggalan ayahnya yang perlu dijaga dengan baik. Kalau uminya lemah, tentu dia dan Idlan lebih lemah lagi.

“Idlan pun minta maaf juga umi.”

“Umi maafkan. Umi selalu maafkan anak-anak umi.” Ada senyuman di bibir Kalsum. Baik Raqib mahupun Idlan, kedua-duanya sangat disayangi. Malah dia menyayangi mereka melebihi rasa sayangnya pada diri sendiri. Walaupun suaminya meninggalkan harta kekayaan yang banyak, tetap juga tidak boleh menandingi mereka berdua. Lantaran itu, meskipun terasa hatinya ikut pergi bersama-sama pemergian suami yang sangat disayangi, dia tetap juga berusaha untuk bertahan. Kalau dia sebagai ibu menunjukkan kelemahan, apa akan jadi pada Raqib yang masih bersekolah menengah dan Idlan yang masih begitu kecil.

“Jadi bila Idlan nak minta umi hantar ke asrama?”

“Idlan ingat nak balik hari Sabtu. Ahad tu boleh siap-siap mana yang perlu sebab Isnin dah mula sekolah.”

“Balik ajelah hari Ahad. Bukannya jauh mana pun asrama Idlan tu.” Raqib menyampuk. Apa yang baru saja terjadi, diabaikan begitu saja. Masalah remeh, untuk apa terlalu difikirkan sangat. Entah apa rasionalnya Idlan hendak tinggal di asrama yang jaraknya tidak sejauh mana daripada rumah mereka, dia benar-benar tidak tahu. Bila ditanya, balik-balik yang dikatakan Idlan, mahu belajar berdikari. Sudahnya bila uminya bersetuju, dia hanya akur. Kalau memang itu mahunya Idlan, dipaksa macam mana pun tidak ada gunanya. Yang hendak belajar Idlan, bukan dia atau uminya.

“Betul kata abang tu Idlan. Balik Ahad ajelah. Sabtu tu umi dah janji nak shopping dengan kakak. Lama dah kan kita tak keluar berempat?”

“Tak bolehlah umi. Kita keluar lain kali aje ya?”

Dah agak dah, dia mesti tak nak punya, desis hati kecil Nadra. Aku memang tak berharap Idlan akan setuju kerana Idlan memang tidak suka pada aku, desis hati kecil Nadra kesal.

“Kalau macam tu kata Idlan, Sabtu nanti abang hantar Idlan balik asrama.”

6 comments:

  1. arghhhhhhhhhhhhhhhhhh! bila nak kuar jadi novel seketol nih??? nak beli! nak beli! nak beli! :D

    p/s: aku mahu kamu dah buat saya termimpi2 ziyad, qisya & firyal!!!! ohmyenglish, siyes saya xleh lena...:P

    ReplyDelete
  2. tak nak tukar nama panggilan 'iha' kepada 'nadra' ke? lebih suka nama nadra daripada 'iha'. ke memang nak guna nama 'iha' tu jugak?

    ReplyDelete
  3. : saifudin - segala-galanya, kadang-kadang bermula dengan mimpi. kemudian impian dan akhir sekali mungkin... kenyataan...

    ReplyDelete
  4. : nora - terima kasih sb dah selesai baca semua novel saya. yg ni... insya-ALLAH akan jd sebuah nvl. doakanlah ya... mana tau ada rezeki tahun ni, ;-)

    ReplyDelete
  5. : ryana - terima kasih sudi baca cebisan-cebisan kisah Nadra dan Raqib. terima kasih juga atas pandangan, sy hargai. tapi... sy minta maaf sebab tak dapat tukar nama tu. nama tu dah sebati dalam manuskrip ni. lagipun yang panggil IHA... cuma Raqib, yang lain-lain masih panggil Nadra. Harap ryana tak akan berhenti baca kisah mereka walaupun nama tak bertukar, ;-)

    ReplyDelete
  6. makin menarik kisah nadra & raqib.. sedang maraton membaca kisah mereka

    ReplyDelete