MAKIN HAMPIR DEH!

15 hari! Lebih kurang 2 minggu aje lagi. Perasaan? Hem… takat ni biasa-biasa aje. Debaran tu tetap ada sebenarnya. Cumanya bukan sebab tak sabar nak bertukar status. Saya tak gelojoh dan lagipun untuk orang tua macam saya ni, tak payahlah nak buat-buat bersikap macam anak remaja yang excited dalam banyak hal, sebab sangatlah tak sesuai dan memanglah tak kena dengan saya ni.

Yang saya bimbangkan, takut kalau-kalau ada kekurangan sepanjang  majlis yang bakal berlangsung tu walaupun persiapan dan perancangan telah dibuat rapi. Maklumlah, kenduri kahwin bukannya macam kenduri cukur jambul. Ada banyak persiapan perlu dibuat, ada banyak diperhatikan dan ada ramai juga orang yang perlu dijemput dan lebih daripada itu, saya tak mengharapkan selepas rumah siap dibina dengan jayanya macam yang saya dan LID nak, pahat tetap juga tak mahu berhenti berbunyi. Ya... yang itulah yang nak saya elakkan sangat-sangat.

Jujurnya, kalau nak diikutkan saya, saya nak buat majlis kecil dan yang wajib aje. Maksudnya, akad nikah! Yalah, saya bukannya muda lagi, saya dah hampir-hampir tua bongkok tiga. Saya malu jadi tontonan orang walaupun bukannya tak biasa orang tengok saya masa sesi tandatangan novel. Dah selalu sangat dan mungkin dah ada pun pembaca yang nak termuntah tengok muka saya. Tapi itu lain dan kali ni sangatlah lain. Cumanya, bila tengok keluarga saya beria-ia berharap supaya diadakan majlis yang sedikit meriah, saya akhirnya akur juga. Bukan setahun dua agaknya mak abah saya tunggu saat-saat ni dan selama ni saya tahu betapa risau dan gusarnya mereka melepaskan saya hidup sendiri di KL ni. Hanya, disebabkan di sini rezeki saya, mereka biarkan juga dan tentunya dengan doa supaya dalam setiap langkah yang saya ambil, ALLAH akan selalu menjaga saya. Dan alhamdulillah, 10 tahun di sini, saya selalu dilindungi.

Bohong kalau saya kata, saya sentiasa ok di sini. Tidak! Ada masa-masanya, saya rebah juga. Bukan sekali, bukan dua kali dan mungkin bukan berpuluh-puluh kali. Kalau dihitung agaknya mungkin dah ratusan kali. Setiap kali rebah, saya mungkin nangis dan mungkin juga tak, tapi kemudian perlahan-lahan saya bangkit. Cuba mencari jalan penyelesaian walaupun sukar dan selepas itu, perlahan-lahan juga saya mampu senyum dan ketawa kembali. Meneruskan rutin harian. Ada masanya masalah saya dapat diselesaikan tapi ada juga ketika tak dapat diselesaikan. Bukan tak pernah mempersoalkan apa yang didatangkan pada saya. Pernah dan juga berkali-kali. Tapi kemudian tersedar kembali, siapa saya nak mempersoalkan setiap ujian yang didatangkan pada saya? Hakikatnya, saya hanya hamba ALLAH yang dijadikan bukan tanpa tujuan.  

Dan kerana kepercayaan yang diberikan mak dan abah pada saya di sini, saya mahu menggembirakan dan membahagiakan hati mereka. Saya mahu melihat mereka tersenyum dengan nafas yang lega kerana In Shaa ALLAH selepas ini, akan ada yang menjaga saya di sini, di tempat yang bagi mereka sangat jauh daripada rumah yang telah memayungi saya sejak lahir. Tak apalah jika majlis saya nanti sedikit meriah. Saya akan senyum dan terus senyum walaupun mungkin nanti muka saya terasa tebal berinci-inci. Paling penting hati keluarga saya puas.

Alamak! Masa rehat dah habis. Tak habis lagi cerita saya. Tapi tak apalah... nanti saya sambung lagi kalau ada masa dan kesempatan. Baibai... ;-)