BUKAN CUMA DIA | Prolog

November 29, 2013

MELIHAT Akid duduk santai sambil memeluk lutut di gazebo rusuk kanan rumah, Haq mendekat. Sudah beberapa hari dia berfikir. Solat istikharah juga sudah dibuat berkali-kali. Muka yang akhir-akhir ini sering mengganggu hati dan ingatannya, memang tidak  muncul di dalam tidurnya. Tapi nalurinya jadi semakin yakin. Dia percaya ilham yang ALLAH kirimkan, tidak semestinya melalui mimpi. Kalau benar ada, naluri itu juga salah satu daripada cara-NYA menghantar petanda.

 “Buat apa?” tegur Haq sekadar berbasa-basi. Hatinya berdebar-debar. Bimbang niatnya ditolak. Mungkin lebih bimbang lagi jika Akid mencapai pasu berserta bunga di taman mini Hajah Yasirah, sebelum menghempuk di atas kepalanya.

Tapi kalau Akid ketawa sampai pecah perut, macam mana?

Antara menerima kemarahan Akid setelah mendengar nama calon yang disebut dengan mendengar ketawa adiknya yang entah macam mana gayanya nanti, mana satu yang dia lebih rela dengar?

Sungguh... ketika ini Haq benar-benar tidak senang hati!

“Kau rasa?” Akid mengusik Haq. Melihat rupa abangnya yang lain macam, dia yakin ada sesuatu yang ingin Haq kongsikan. Biarpun jarak dan masa pernah memisahkan mereka berdua selama lebih 12 tahun, tetap tidak banyak perubahan berlaku pada abangnya itu. Haq dilihat masih sama seperti kali terakhir meninggalkan bumi Malaysia.

“Aku ada nak cakap dengan kau sesuatu ni. Penting. Antara hidup dan mati!”

“Aku dah agak tadi lagi, abang. Tapi macam serius aje dengarnya tu. Apa dia?”

“Pandai ya kau baca hati aku,” usik Haq pada Akid. Hatinya masih bolak-balik. Tapi kalau bukan hari ini, bila lagi? Tempoh yang Hajah Yasirah beri sudah semakin hampir. Karang jika terlewat bertindak, putih matanya kerana terpaksa duduk bersanding di atas pelamin dengan isteri yang tidak diinginkan. Kalau jenis baik satu hal juga, tapi kalau dapat kacang hantu? Alamat meranalah hidupnya nanti.

Hidupnya bukan seperti dalam novel atau drama di TV. Tidak rela dia kalau dipaksa kahwin. Buat malu saja!

“Aku adik yang baik. Sebab tu cepat aje boleh baca reaksi kau. Marah kau, sedih kau. Ceria kau, ketawa kau. Bengang kau pun aku tahu! Aku boleh dikatakan hebat jugalah. Mujur aje masa zaman Pak Belalang dulu aku tak hidup lagi, kalau tak memang aku nilah yang confirm akan jadi guru pada Pak Belalang tu,” kata Akid bangga sambil menepuk dadanya berkali-kali. Mukanya jelas terpeta riak.

Haq senggol sedikit rusuk Akid. Adiknya itu memang jenis yang ceria dalam apa pun keadaan. Kaki kelentong pun Akid juga!

“Apa yang kau nak cakapkan tu?”

“Janji kau tak akan ketawa, boleh?” Haq garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Hati kembali bimbang.

Bahu Akid terjongket. Dia tidak mahu berjanji kerana tidak mahu dianggap mungkir bila ketawanya meletus nanti.

“Suruh janji pun susah ke?” Haq tidak puas hati.

“Tergantung pada keadaan. Kalau kelakar, aku ketawa. Kalau aku rasa tak kelakar buat apa aku nak ketawa? Kalau cerita kau sedih sampai tahap paling tinggi, takkanlah aku masih nak ketawa, kan? Walaupun aku ni macam ni, aku masih ada hati dan perasaan jugalah, abang.”

Kata-kata Akid kedengaran polos benar di telinga Haq. Tapi bila melihat tampang adiknya itu, Haq berani kerat jari yang Akid akan ketawa besar. Ketika Akid memberikan cadangan supaya dia berkahwin dengan Qara, mentah-mentah ditolak. Dia dan Qara? Gila! Memang tidak masuk di akal langsung. Kini bila dia sudah terdesak dan tidak punya apa-apa pilihan, yang dia nampak hanya seraut wajah. Itu saja satu-satunya jalan yang ada. “Umi paksa aku kahwin,” kata Haq senafas. Laju macam kereta api.

“Apa?” Mata Akid membulat. Antara percaya dengan tidak percaya.

“Umi... suruh... aku... kahwin!” Sepatah demi sepatah Haq sebut. Reaksi Akid sedikit menjengkelkannya. “Umi...”

Belum pun sempat Haq meneruskan kata-kata, Akid sudah terbaring sambil menekan-nekan perut. Ketawa besarnya membingitkan suasana petang yang  agak damai. Hatinya bagaikan digaru. Haq yang sudah setua itu, dipaksa kahwin oleh umi mereka? Di mana letak rasional dan logiknya? Sungguh... dia tidak pernah memikirkannya!

“Kan... sebab tu aku suruh kau janji tadi,” protes Haq. Akid memang suka bereaksi berlebih-lebihan.

Terus juga ketawa Akid kedengaran. Mata yang berair diseka dengan belakang tangan. Tidak tahu dia harus berterima kasih pada siapa kerana telah menceriakan hatinya kala ini. Haq yang menyampaikan berita kelakar itu? Atau, Hajah Yasirah yang memaksa anak sulung yang telah belajar sampai ke London, berkahwin dengan calon pilihan yang entah siapa-siapa? Yang jelas, tentu tidak serupa dengan selera Haq.

“Umur kau ni berapa, abang? Bukan dah 30 tahun ke?”

“Taklah, mana ada! Umur aku bukannya 30 tahun tapi 3 tahun. Sebab itulah mama tak sabar-sabar nak suruh aku kahwin. 3 tahun kan dah cukup besar untuk pegang tangan tuk kadi?” sindir Haq pada Akid, geram. Bila baru ketawa Akid akan reda?

Okey, sorry! Jangan marah-marah nanti masa bersanding muka kau bakal kedut sana-sini. Tak macholah, bro!” sakat Akid sambil memekup mulut sendiri. Jangan sampai ketawanya pecah sekali lagi.

“Kau ni...” Haq tarik sedikit rambut Akid.

Akid tersengih-sengih sambil menepis tangan abangnya itu. “Habis kau setuju?”

“Macam mana aku tak setuju kalau umi sampai main ugut-ugut bagai. Macamlah aku ni dah terdesak benar kot,” rungut Haq tidak puas hati. Kalau di hadapan Hajah Yasirah, dia hanya mengunci mulut. Tapi bila bersama-sama Akid, macam bertih goreng mulutnya mengadu perihal umi mereka itu.

Kening yang tiba-tiba terasa gatal, Akid garu perlahan. Kalau dia di tempat Haq, dia pun susah hati juga. Hajah Yasirah itu, bukannya mereka tidak tahu. Kalau putih katanya, maka putihlah jadinya. Kalau hitam, jangan ada sesiapa yang berani membantah. Jika dengan dia, berdebat dulu baru kata-kata umi mereka itu dia ikut. Haq pula, belum Hajah Yasirah membuka mulut, sudah mengangguk setuju.

Itulah bezanya dia dengan Haq. Cuma yang serupa, mereka sama-sama menyayangi Hajah Yasirah. Itu umi yang telah mengandung dan melahirkan mereka ke dunia ini!

“Kau nak kahwin dengan calon pilihan umi ke, bang?”

Tolonglah... tolonglah jangan cakap ya, abang. Aku tak nak tengok hidup kau menderita. Umi tak pandai pilih calon menantu!

“Tak nak aku! Calon umi mesti macam umi juga. Takut pula aku nanti yang jadi lembu kena cucuk hidung.”

Leganya hati Akid bukan kepalang. Daripada kahwin dengan calon Hajah Yasirah yang mungkin tidak tahu mengalah dan bersikap queen control, baiklah membujang sampai ke tua. Yang tak ada mungkin isteri, tapi hidup tentu aman damai. Kalau ada isteri tapi menyakitkan hati pun tidak guna juga. Belum pun tua agaknya sudah berkedut di sana sini kerana menjeruk rasa sendiri.

“Habis tu macam mana? Kau ada calon sendiri ke?”

Haq geleng-geleng. Dengan Akid tidak ada apa yang hendak disorokkan. Kalau sorok pun, lambat-laun adiknya itu akan tahu juga.

“Kat pejabat tu tak ada satu pun ke yang berkenan kat hati kau? Nurin yang duduk Bahagian Akauntan tu macam suka aje dengan kau.”

Bibir Haq mencebik sedikit. Seraut wajah hitam manis milik Nurin melintas. Pantas kepala digeleng-gelengkan. Gadis itu pantang melihat dia, cepat-cepat menghimpit. Kadang-kadang sudah dekat pun mahu lebih dekat. Kalau dia jenis yang tidak kisah, agaknya cepat-cepat Nurin duduk di atas ribanya. Belum lagi mengambil kira solekkan di muka yang seperti Opera China. Memang taklah!

“Maizatul, setiausaha walid?”

“Skema. Aku tak berkenan.”

“Nonis?”

“Aku...”

“Tak payah, tak payah. Budak tu macam juling air sikit aku tengok. Tak sesuai dengan kau,” pintas Akid pantas.

Haq tumbuk bahu Akid. Kalau pun Nonis itu juling air, tidak perlulah Akid sampai mempamerkan aksi begitu. Ditakdirkan Nonis tiba-tiba muncul, pasti kecil hati gadis pendiam yang murah dengan senyuman itu. Mana ada orang di dalam dunia ini yang minta dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna. Semua itu kerja ALLAH.

Sorry... tak sengaja.” Akid malu sendiri, pada Haq dan juga Pencipta Abadi. Siapa dia hendak menjadi hakim terhadap ciptaan ALLAH? Hakikatnya, dia juga tidak sempurna mana. Ada kurang dan lebih di sana dan sini yang perlu diperbaiki. Bahkan, banyak juga yang sampai ke hari ini tidak dapat diperbetulkan. Dia perlu lebih istiqamah dengan niat yang telah dibuat.

“Jangan sampai terlepas kata lain kali,” tegur Haq tenang.

Akid angguk, dia mengerti dan akan berusaha untuk menjaga mulutnya daripada bercakap yang bukan-bukan tentang orang lain. “Razilah, client yang selalu berurusan dengan kau tu?”

“Mintak simpang!”

Kalau sudah baju saja ketat seperti sarung nangka, singkat hingga mencecah paha dan hampir-hampir mempamerkan apa yang tidak patut dipamer, memang awal-awal lagi tersingkir. Dia mahu mencari isteri, bukannya model pakaian berjenama. Jauh sekali si seksi yang mampu membuat golongan lelaki menoleh berkali-kali kerana tidak puas hanya dengan sekali pandang. Tidak, bukan calon begitu yang diimpikan!

“Kalau semuanya kau tak mahu. Habis tu siapa yang kau nak ni?”

Haq diam seketika. Sekali lagi bertanya pada diri sendiri, manalah tahu kalau-kalau hatinya sudah berubah selepas mendengar banyak nama perempuan yang disebut Akid. Namun, masih juga organ bertuah itu memberikan jawapan yang sama. Tetap juga seraut wajah manis itu yang bertamu. Diakah?

“Aku nak perempuan yang namanya kau tak sebut tadi.”

Kening Akid terjongket, semakin tidak faham. “Siapa?”

- JUALAN GUDANG DATANG LAGI! -

September 30, 2013

Untuk yang berkesempatan, jangan lupa singgah. Yang paling penting, boleh dapatkan novel-novel saya juga di sana nanti, ;-)

- SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI... -

August 6, 2013

Untuk yang selalu ada di sisi saya selama ni, untuk yang selalu membaca karya-karya saya, untuk yang tak pernah jemu berkunjung ke sini, untuk seluruh insan di bumi Malaysia dan untuk seluruh umat Islam yang ada di seluruh dunia dan tak kira siapa pun kalian, saya ucapkan...

- CINTAKU BUKAN MURAH : REVIEW ILHAM ADDA -

July 25, 2013

Cintaku bukan murah….Bile tgk org review kate novel nih sedap cantik n Rasa macam dah lama tak rasa seseronok ni bila baca buku Aleya Aneesa hati buak buak nak beli…..dah lame x rase seseronok nih…ayat tuh...ayat tuh pembace bagi maknanye best lah kan…kan....heeee

Walaupon byk jugak nobel yg pending x habis bace lagi sebab kene balik stdy jb balik..tp tetap nk gak beli buku ni….sume karya kak Aleya Aneesa den ado x kan nak lepaskan… walaupon kene marah terok gak dgn angah….sebab akak kate “membazir je beli nobel bukan boleh buat makan pun…..baik ko beli baju raye…” “masalah nye celah mene pulak baju raye 20 hinggit” “yeler kalo kumpol kumpol sume duit ko beli nobel-nobel ko tuh dah boleh beli baju raye mak datin dah…" bla…bla…bla…. Pong pang pong pang lepas subuh…..

Adik die yg no4 nih mmg degil petale kelapan belas…..masok telinge kanan kua telinge kiri.. rembat senyap senyap kat MPH TBS smlm sebab nk beli tiket bas JB tanpe kesedaran angah n alang…huahaahahha

Tp kantoi gak sebab gigih habis kan lepas terawih smlm….ado den kisah…lalala…dorang marah marah pun last last bace gak nobel aq sume-sume tuh…hehhh tp x membantu mengumpol pon…kureng betol….

Dan sumpah lepas bace CBM mmg rase seseronok tu…..rase perut ade rama-rama..macam kak melur jelita kate…ngeee ayat CBM sgt cantik tersusun….hanya ragam keluarga Tuan Haji Yunus,..Idlan… Raqib.. Fawwas n si Shana yg senget sikit….

Yang tersentuh di hati part kat tangga tuh….dah jatuh ditimpa tangga…rase sayu betol Ara mula cerita semua perangai Idlan kat Kalsum…padan muke Idlan..aq pon stress bace part die cari pasal ngan Ara…kalo aq mmg x de nye setabah Ara tuh dah lame aq lempang lelaju….heh

Yg part Tuan Haji Yunus yg bajet bajet garang tuh….kelakar..air kopi,anak Lebai Senin,si Salmi..yg buat muke Ara mcm cencorot…kesian…sabau je la dpt tok cam gitu…kihkhh

Ape ape pon cite nih x rugi dibace n x nyesal dibeli….same syok macam Aku Mahu Kamu Qisya Khaleesa vs Ziyad…jom KORANG beli nobel nih...alaf jgn dilupakan walapupon dh ade kaki,jemari,n karya seni…. tq kak Aleya Aneesa sbb tulis novel ni...muahmuah ^_^

p/s: - Berharap... semua orang, termasuk diri sendiri, mampu jadi setabah ARA dalam CINTAKU BUKAN MURAH... – cc:AA ^____^

Terima kasih daun keladi kepada ILHAM ADDA atas review yang buat saya terasa sangat-sangat lega. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca terhadap CINTAKU BUKAN MURAH, ;-)

- CINTAKU BUKAN MURAH : REVIEW MISS AI -

July 24, 2013

Cintaku Bukan Murah. Seperti tajuknya, cinta Raqib dan Nadra ternyata tidak murah. Dan yang tidak murah itu, sungguh, tidak mudah. Bermula dari awal cerita, sehingga ke akhir cerita, Raqib dan Nadra terpaksa melalui pelbagai perkara demi untuk sebuah nilai cinta.

Raqib Anaqi. Dalam sabar, ada barannya. Dalam lembut, ada kerasnya. Sangat manis bila punya peluang. Berhemah bila berkata. Dan sangat sepadan untuk seorang isteri seperti Nadra. Dan ya, tak ada orang yang sempurna dalam dunia ni. Raqib juga ada kelemahannya - Idlan. Mungkin kerana terlalu merasakan dia adalah pengganti ayah kepada Idlan, terkadang dia terlupa, terkadang luar sedar dia melapah sekeping hati milik si isteri. Bukan dia tidak sayangkan Nadra, cuma kadang kasih sayang itu bukan benda yang boleh betul-betul dibahagikan mengikut sukatan, mengikut timbangan. Sama rata. Sama adil. Tak. Dan terkadang, bila masa dia terlupa untuk berpegang pada tahap rasional yang sepatutnya, kala itu sungguh rasa seperti mahu menolak dia jatuh dari tingkat 57 Menara KLCC. Tapi sungguh, Raqib ini adalah antara hero dalam novel yang sangat sangat sangat manis orangnya. Sumpah rasa jatuh gaung setiap kali baca part Raqib dan Nadra. Manis.

Nadra pula memang padanannya Raqib. Bila Raqib mula panas, dia tahu untuk tidak turut panas. Cuma terkadang, dia terlalu selalu mengalah. Sukanya pada watak Nadra sebab walaupun dia selau mengalah, sampai masa dan ketikanya, dia tahu bila untuk tidak perlu terus mengalah dan berdiri untuk haknya sendiri. Betul. Lembut itu perlu bertempat dan kena pada gaya.

Dan paling penting - apa yang dirasa, perlu diucapkan bila kena ruang dan masa. Bila andaian dah mula mengisi tempat kosong, itulah masa paling senang untuk semua yang terlibat jatuh terduduk. Tapi, cerita tanpa konflik serupa seperti latte tanpa syrup. Tak lengkap dalam definisi saya. Suka dengan cerita ini sebab bila ada konflik, penyelesaian itu diambil dalam masa terdekat. Walaupun selesainya bukan dengan serta-merta, tapi kurang-kurang ruang untuk frustration itu tak adalah menggunung.

Konklusinya, 5 bintang untuk kisah cinta Raqib dan Nadra, 5 bintang untuk olahan watak dan 5 bintang untuk jalan cerita. Tidak terlalu ringan, dan dalam masa yang sama tidak terlalu berserabut. Memenuhi tuntutan selera cerita yang ingin dibaca untuk saat dan ketika ini. Purata, 5 bintang.

Favorite line - "Padahal, kalau untuk Ara, cinta abang tak mahal. Murah aje abang jual. Tapi untuk Ara ajelah. Kalau orang lain nak beli, sorry.. dah sold out." Sumpah cute.

P/s: Aleya Aneesa is back! Rasa macam dah lama tak rasa seseronok ni bila baca buku Aleya Aneesa (:

Terima kasih daun keladi kepada MISS AI atas review yang buat saya terasa sangat-sangat lega. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca terhadap CINTAKU BUKAN MURAH, ;-)

- JADI ANAK JANGAN SESEKALI DEGIL! -

July 18, 2013

Salam Ramadhan ke-9 buat seluruh umat Islam yang ada di muka bumi ni. Semoga seluruh rahmat ALLAH selalu tertimpa ke atas kita semua, lebih-lebih lagi di bulan mulia ini. Hem... gaya tulis macam semua orang dalam dunia ni baca dan tengok blog yang makin hari makin bersawang ni kan? Tapi... tak apalah. Sesekali saya nak berangan dan perasan, apalah salahnya. Tak kena bayar dan tentu aje tak merugikan sesiapa. Kalau ada pun, mungkin ada yang termuntah darah bila kenangkan ada orang perasan sendiri. Hehe...

Tapi sebetulnya, bukan hal perasan-perasan bagus atau perah-perah santan ni yang nak saya conteng hari ni. Cuma sekadar nak berkisah tentang hidup dan kehidupan yang berlegar-legar di sekitar hidup saya. Terlanjur saya sendiri pun dah lama tak berkesempatan menulis sesuatu di ‘rumah’ kesayangannya saya ni. Mungkin boleh diambil iktibar, atau kalau tak mahu boleh aje diabaikan. Kerana, saya percaya setiap orang itu punya cara tersendiri untuk bertahan dalam apa pun keadaan.

Suatu hari tu, macam selalu saya balik kampung naik bas walaupun hati teringin juga mengheret kereta. Tapi tak pernah berkesempatan sebab mak saya tak kasi. Macam anak manja kan? Oh, tidak! Kalau anak manja tentu aje saya duduk di bawah ketiak mak. Sedangkan saya, awal-awal lagi dah duduk di sini tanpa ditemani keluarga. Saya kan, sebatang kara kat KL ni. Anak manja mana buat macam tu kan? Ayat... cover malu tu!

Sebenarnya, ikutkan saya fikir saya dah boleh dah balik kampung bawa kereta sendiri, kalau hari siang. Hanya... seorang ibu tu, di mata mereka seorang anak itu tak pernah dewasa. Setiap kali saya kata nak balik bawa kereta, setiap itu mak saya tak benarkan. Macam-macam alasan yang dibentangkan sampai akhirnya saya mati hujah. Kalau saya degil juga, itu bermakna saya hanya menyusahkan hati dia sepanjang 4 jam saya di atas jalan raya. Jadinya saya batalkan aje niat tu. Hidup tanpa redha mak abah, saya percaya saya tak mungkin akan jadi ‘orang’. Biarlah saya susah sikit, turun dan naik bas asalkan saya tak menyusahkan hati mereka berdua. Dalam usia macam ni, yang saya nak buat hanyalah nak menggembirakan dan membahagiakan mereka kerana mereka dah berkorban terlalu banyak untuk saya dan juga adik-beradik saya yang lain.

Okey, berbalik pada kisah tu sampai aje rumah, saya terus kata pada mak saya:

Saya, “Mak tau duit dalam beg duit Ami ada berapa?”

Mak saya, “Berapa?”

Saya, “15 ringgit aje.”

Mak saya, “15 ringgit?”

Saya angguk walaupun muka dia nampak terkejut sangat. Kemudian saya gelak-gelak aje tanpa ada apa-apa rasa bersalah sebab memang tak ada salah yang saya buat. Cuma terbit juga rasa bangga sebab dengan duit RM15, saya sampai di rumah dengan selamat. Siapa kata nak ke sana sini kita perlukan duit yang banyak? Lagipun saya bukannya jenis, bas berhenti saya pun keluar dan makan santai-santai semata-mata nak habiskan masa 30 minit. Kalau saya keluar pun, sekadar nak ke toilet.

Mak saya, “Lain kali pastikan duit dalam beg duit tu banyak sikit. Mana tau jadi apa-apa tengah jalan.”

Saya yang degil, “Mana ada apa-apa. Selama ni okey aje.”

Mak saya, “Malang tak berbau.”

Cerita hari tu hanya tamat begitu aje. Kata-kata berupa nasihat plus ingatan daripada mak, saya buat macam angin lalu. Singgah sapa lepas tu pergi macam tu aje. Tak pun macam masuk telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Perangai saya tetap sama, tak berubah. Kalau duit dalam dompet banyak, banyaklah. Kalau sikit, sikitlah. Tak perlu terkejar-kejar untuk tambah bilangan duit yang sikit tu walaupun mungkin mesin atm ada kat sebelah aje. Padahal, nanti-nanti nak guna juga duit tu. Entahlah... mungkin sikap saya memang macam ni. Tak pun, ni salah satu cara untuk saya berjimat cermat memandangkan saya agak boros melampau-lampau sejak beberapa tahun kebelakangan ni.

Sampailah satu hari, awal bulan lepas kalau tak silap. Entahkan saya khayal entahkan saya terlalu banyak ketawa masa di pejabat. Tak tahu apa jadi dengan saya, tau-tau aje saya dah ada kat tepi jalan dan di depan saya ada bas persiaran. TUHAN, saya tergesel bas! Saya cuak, saya sangat cuak bila tengok seorang lelaki Cina keluar dari bas dengan lengannya berukir-ukir. Dalam hati kata, ‘Habis saya kena sembelih kali ni’. Terus mulut saya kata, “Sorry... saya tahu salah saya”. Disebabkan ALLAH tolong saya, Chinese yang air mukanya nampak garang tu hanya cool dan tenang. Dia tanya, “Nak settlekan macam mana?” Masa tu saya rasa lega sikit. Kalau dia marah-marah saya, mungkin saya akan nangis kuat-kuat sebab itulah pertama kali saya menghadapi situasi macam tu. Saya tanya balik dengan muka yang saya tenang-tenangkan, “Boleh saya hubungi kawan saya?” Dia kata, “Okey!”

Sejujurnya masa saya capai hp dalam beg tangan, saya baru terfikir, ‘Siapa yang nak saya hubungi?’ Abang-abang? Adik-adik? Aduhai... semua di JB! Sepupu-sepapat pun kat sana juga. Saya tak ada sesiapa! Muka masa tu memang tenang, sentiasa senyum lebar tapi hati kat dalam... rasa sangat-sangat sedih dan sendiri. Baru tersedar, dalam banyak keadaan saya okey aje sorang-sorang sebab saya memang bukan jenis merambu-ramba ke sana sini. Dunia saya cuma, pergi kerja dan balik kerja. Tapi bila sampai tersadai kat tepi jalan dan bila melibatkan hal-hal berkaitan kereta, saya memang sangat-sangat tak okey. Sedih gila!

Akhirnya, terpaksa juga saya hubungi adik baik hati yang selalu tolong saya di pejabat sebab saya tak ada banyak pilihan. Sekali lagi ALLAH tolong saya bila adik tu yang masa tu nak main bola, sanggup susah payah tolong saya. Dialah yang berurusan dengan Chinese tu sedangkan saya hanya berdiri depan kereta dengan hati dan fikiran yang kosong. Tak boleh nak fikirkan apa lagi. Lepas tu mereka berdua datang dekat saya dan proses tawar-menawar pun bermula memandangkan saya malas nak buat report. Ikutkan tak teruk mana, tapi sebab saya bersalah maka saya kena bertindak sebagai pesalah. Chinese mintak harga agak tinggi juga tapi adik tu terus main tawar-tawar. Sampailah kami rasa harga tu agak munasabah dan saya setuju.

Saya buka beg duit, dan... ya ALLAH, duit saya tak cukup RM10. Macam mana nak bayar? Nak mintak kurang lagi macam saya dah tak ada air muka pada Chinese tu. Masa tulah saya baru rasa betul-betul nak nangis. Kenapa saya mesti JADI ANAK DEGIL YANG TAK PERNAH NAK DENGAR CAKAP MAK SAYA? Dah disebut tentang malang yang tak pernah berbau dan situasi-situasi yang perlukan saya menggunakan duit, tetap juga saya pekakkan telinga. Kemudian perlahan aje saya kata pada adik tu, “Duit akak tak cukup RM10”. Malunya rasa, ALLAH aje yang tahu. Adik tu kata, dia ada. Ya ALLAH... saya hilang diksi jadinya.

Bila bas tu berlalu, saya suruh adik tu balik sebab saya rasa saya masih kosong. Tapi adik tu suruh saya balik dan dia follow saya daripada belakang. Dalam hati saya terdetik, “Boleh ke saya bawa kereta ni?” Tapi saya gagahkan juga walau tangan agak bergetar. Sampai di simpang, saya jalan terus dan adik tu ke kiri. Tak tahu nak kata apa selain daripada ucapkan terima kasih. Sampai ke hari ni, saya doa kepada ALLAH... semoga adik tu dan keluarganya selalu diberkati ALLAH. Semoga isteri dan anak dia selalu diberikan pertolongan ketika susah sebagaimana dia dah tolong saya.

Dan moral terhadap kisah saya tu, JADI ANAK JANGAN SESEKALI DEGIL TERHADAP NASIHAT IBU BAPA. Mereka tak pernah bercakap kosong tanpa alasan. Semoga pertolongan ALLAH selalu ada untuk kita. Dan yakinlah, pada saat kita memerlukan pertolongan, selalu ada yang akan menghulurkan tangan kerana ALLAH itu tak pernah kejam pada hamba-hamba-NYA. Selamat menjalani ibadah puasa dan sampai jumpa lagi di N3 lain.... ;-)

- CINTAKU BUKAN MURAH : Tinta Penulis -

July 17, 2013

Salam pada semua yang mungkin menanti dan tertanya-tanya buah tangan terbaru daripada saya. Penantian kalian yang bagaikan tak berkesudahan sangat saya hargai dan selalu buat saya terus bersemangat untuk mencoret kata demi kata sehingga membentuk ayat demi ayat yang berkesudahan sehingga terhasilnya novel bertajuk CINTAKU TAK MAHAL ini.

Seperti selalu, kisah kali ini hanya kisah biasa yang tentunya berlegar-legar di sekeliling hidup kita. Kisah Nadra dan Raqib yang berusaha memaknakan sebuah perkahwinan yang pada asalnya tidak pernah mereka rancang. Namun kalau memang sudah tertulis mereka berjodoh, ibarat ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu juga. Hanya, hakikat hidup nyatanya tak begitu mudah bila kebencian Idlan menjadi punca pada sebuah perbalahan.

Saya fikir, apa yang Idlan rasa pada Nadra, pernah juga dirasakan oleh ramai orang di luar sana walaupun mungkin tidak begitu keterlaluan, atau mungkin juga dalam jangka masa yang singkat sehingga masing-masing dapat menyesuaikan diri. Tidak begitu mudah juga untuk menerima orang luar masuk ke dalam keluarga kita secara tiba-tiba dan itulah yang saya pernah rasa ketika kakak kandung saya berkahwin suatu ketika dulu. Saya rasa kehilangan, rasa seperti apa yang saya miliki bagaikan dirampas orang. Namun rasa itu tidak bertahan lama, hanya beberapa ketika sebelum segala-galanya berjalan seperti biasa.

Ketika itu, saya akui saya hanya takut pada bayang-bayang sendiri. Ikatan perkahwinan yang berlaku bukan bermakna ikatan yang sedia ada terputus sebaliknya hanya memanjangkan silaturahim, apalagi ikatan yang diikat dengan hubungan darah.

Itulah yang sebenarnya saya cuba paparkan dalam novel kali ini. Yang ingin saya tekankan, ketakutan Idlan sehingga membuahkan rasa benci dan marah pada Nadra sebenarnya tidak berasas. Tapi tidak juga dia harus disalahkan kerana keadaan yang membentuk dia sehingga menjadi begitu. Di matanya, Raqib itu ikon bagi menggantikan tempat si ayah yang tidak ada.

Untuk itu, kepada yang masih memiliki ayah dan ibu, bersyukurlah dan hargailah mereka seadanya selagi mereka masih ada. Untuk yang sentiasa ada di belakang saya selama ini, terima kasih. Untuk yang mahu membaca, selamat membaca. Semoga pertolongan dari DIA tak akan pernah berhenti. Sekian.

Salam Sayang,
-Aleya Aneesa-
aleyaaneesa@yahoo.com.my
http://aleya-aneesa.blogspot.com

- PRE-ORDER NOVEL CINTAKU BUKAN MURAH -

June 14, 2013

- Saya buka PRE-ORDER untuk novel CINTAKU BUKAN MURAH kepada yang berminat sahaja... -

1) HARGA : RM30 [SEMENANJUNG MALAYSIA]

                   : RM35 [SABAH & SARAWAK]

2) MASA : SEHINGGA MINGGU DEPAN

3) KOS POS : DAH TERMASUK DALAM HARGA

4) BILA PEMBAYARAN DAH DIBUAT :  MOHON KIRIMKAN DETAIL PEMBAYARAN DAN DIRI JUGA [NAMA, ALAMAT, NO PHONE]

5) LAIN-LAIN : - NOVEL AKAN DITANDATANGAN DENGAN SENANG HATI

                           - UNTUK YANG BERMINAT SAHAJA YA...

                           - PM DI FB ATAU EMAILl & SAYA AKAN BAGI NO. AKAUN.
                      
                           - NOVEL AKAN DIKIRIMKAN SEBAIK AJE ADA STOK

Terima kasih... ;-)

- KITALAH KITA... -

June 13, 2013

- Perancangan DIA cukup cantik. Ada banyak yang disimpan tapi kita tak pernah tahu dan selalu gagal mencari tahu... -

Kita manusia biasa, kita terkenal dengan banyak kelemahan. Bahkan, ada masa-masanya kita tekad untuk tak melakukan kesilapan yang sama kerana kita kesalkan kesan yang terpaksa kita lalui, pada kita atau pada orang-orang yang ada di sekeliling kita. Tapi esok-esoknya, tanpa kita sedari atau memang secara sedar, kita masih melakukan kesilapan yang sama. Mungkin bukan niat kita begitu, kita terpaksa melakukannya demi sebuah tuntutan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dalam erti kata yang lain, kita tak ada pilihan lain dan hanya melakukan kesilapan itu satu-satunya jalan yang ada. Mungkin juga... memang niat kita begitu kerana kita gagal memegang kejap tekad yang kita simpulkan di hati. Dalam bahasa yang mudah, kita gagal untuk terus istiqamah.

Saya... saya sendiri pun kerap melakukan kesilapan dalam hidup. Kadang secara sedar dan kadang secara tak sedar. Namun yang teruknya saya, ada masa-masanya saya tak dapat menerima kesan daripada kesilapan saya sendiri. Lalu dengan tanpa rasa bersalah saya mula menyalahkan itu dan ini demi memastikan diri saya tak nampak bersalah. Padahal... sepatutnya saya bertanggungjawab dengan apa yang dah saya lakukan. Itu barulah orang kata, berani kerana benar.

Tapi ada juga situasinya, saya bersalah dan saya tahu memang sayalah yang bersalah, tak ada orang lain melainkan hanya saya semata-mata. Nak membela diri ikut cara mana pun, hakikatnya saya telah melakukan kesalahan. Makanya, saya harus bersedia menerima apa saja yang berlaku walaupun mungkin jauh dalam hati saya, saya tak nak mengaku.

Saya percaya, di dalam dunia ni bukan hanya saya yang begitu, ada ramai lagi yang serupa. Cumanya, sama ada nak mengaku atau sebaliknya, terpulang pada diri kita sendiri kerana secara jujurnya, hanya kita yang mengenali diri kita melebihi orang lain walaupun atas tiket bersahabat-baik atau kenal-luar-dalam dan tak-ada-apa-lagi-yang-nak-disorokkan.

Okey, berbalik pada sepotong ayat di atas tu, memang kenyataannya kita hanya mampu merancang. Kita boleh rancang untuk hidup begitu, begini. Kita boleh berkata mahu bekerja pada umur sekian-sekian, mahu bekerja sekian-sekian, pencen sekian-sekian, mahu berkahwin bila dah mendapatkan yang sekian-sekian, pada umur sekian-sekian, mahu mendapatkan anak sekian-sekian, berapa perempuan sekian-sekian, berapa lelaki sekian-sekian dan banyak lagi perancangan yang kita buat dalam hidup. Tentu sekali yang indah-indah sebab tak ada manusia yang nak menggerhanakan hidup dan kehidupan sendiri. Tapi sudahnya, semua rancangan kita yang hebat-hebat itu lebur dalam sekelip mata, walaupun rancangan kita dah sangat teliti dan telah halusi dengan sedalam-dalamnya.

Kemudian, kita hampa, kita kecewa dan akhirnya kita nangis bagaikan dunia dah berhenti berputar. Kenapa ya kita perlu kecewa sedangkan kita tahu itu hanya sebuah perancangan? Bila dinamakan ‘rancang’, maknanya ‘rancang’ dan tak tentu lagi boleh dilaksanakan. Tetap juga kita kecewa! Tahu kenapa? Sebab kita... hanya manusia biasa yang selalu berharap apa yang baik-baik berlaku pada diri kita. Bila berlaku sebaliknya, kita terkilan.

Ya, saya pernah rasa perasaan tu. Kawan-kawan juga tentu pernah rasa perasaan yang sama. Tak boleh tipu ya sebab kita-kita ni sama! Dan... kita harus akur, yang sebenarnya perancangan kita tu hanya cantik di permukaan. Sedangkan bagi DIA, DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kerana dia memberi bila tepat pada masanya. DIA memberi apa yang benar-benar kita perlukan. Yakinlah dengan sesungguh hati bahawa perancangan DIA cukup cantik. Ada banyak yang disimpan tapi kita tak pernah tahu dan selalu gagal mencari tahu.

Untuk itu... mari kita semua melapangkan dada dan membesarkan hati kita yang tak sebesar mana tu. Terima saja apa yang didatangkan pada kita seadanya kerana tentunya terkandung hikmah yang tersembunyi di sebaliknya... ;-)

PESANAN PENUH KASIH SAYANG: Terima kasih pada yang membaca coretan tak pentingan ni. Jumpa lagi di lain coretan...

- CINTAKU BUKAN MURAH, NOVEL KE-11 -

June 4, 2013

Salam dan Selamat Sejahtera pada semua. Kat atas tu cover novel terbaru saya yang diberi judul CINTAKU BUKAN MURAH [CBM]. Alhamdulillah... pejam celik, pejam celik, rupa-rupanya dah 11 buah novel saya dengan Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf]. Cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang saya tak sedar tentang banyak perkara. Tapi kalau nak diikutkan, dah ada 12 novel saya dengan Alaf 21, cumanya... apa gunanya mengenangkan sesuatu yang dah tak ada. Tak kisahlah berapa jumlahnya novel yang dah saya hasilkan, paling penting saya berharap, selalu berharap dan akan tetap berharap supaya setiap novel yang saya hasilkan dengan berbagai-bagai perasaan dan cabaran dapat diterima.

Kalau terasa nak komen, bukan sekarang masanya sebab novel CBM tu belum ada di pasaran. Kena tunggu bulan Julai 2013 nanti sebab novel ni dijangka terbit pada bulan tersebut. Itu pun kalau tak ada aral melintang. Bila hari dan tarikhnya, jangan ditanya sebab jawapan tu tak ada pada saya. Hanya saya berani katakan, bila CBM benar-benar dah ada di pasaran, itulah harinya.

Dan seperti selalu, saya bersedia mendengar apa saja komen pembaca asalkan komen yang diberikan bertujuan untuk memperbaiki mutu penulisan saya sebab saya memang mengharapkan komen yang membina. Kalau komen dengan niat mahu menjatuhkan semangat saya, maaf... saya tak akan ambil peduli, apalagi kalau disampaikan dengan cara yang tak berhemah. Saya tak suka orang yang kurang ajar sebab saya tak pernah berkurang ajar dengan orang, kecuali tanpa saya sedari. Itu... di luar kemampuan saya dan saya mohon maaf.

Sejujurnya bagi saya, komen itu makanan penulis. Kalau sedap, yang membawa maksud membawa kebaikan [bukan pujian aje, tak puji pun sama janji tujuannya baik], akan saya kunyah dan telan. Kemudian saya akan teliti, kaji dan cuba buat apa yang mampu saya buat. Kalau sebaliknya, saya akan luahkan kembali tanpa perlu berfikir sampai berkali-kali. Apa gunanya memenatkan mulut mengunyah dan menelan makanan yang hanya akan membawa mudarat pada diri sendiri.

Terus terang kata, saya bukan lagi anak remaja yang baru bertatih dalam dunia penulisan. Saya dah begitu banyak melalui pahit manis sepanjang 10 tahun bergelar penulis. Saya ketawa dan menangis bersama-sama karya saya. Saya jatuh dan bangun bersama-sama mereka [merujuk karya saya]. Ya, saya akui dunia penulisan ni macam pelangi, ada bermacam-macam jenis warna. Kadang sangat indah, kadang sangat hodoh. Tapi ini dunia yang saya pilih, maka saya harus memaknakan pilihan saya dengan sebaik-baiknya biar pada akhirnya nanti saya tak akan rasa kesal.

Untuk yang memang menanti CBM ni... saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa. Untuk yang mahukan tandatangan saya, saya akan buka preorder beberapa hari lagi. Rasanya, itu aje untuk setakat ni. Sekian... ;-)