Alhamdulillah... syukur, akhirnya Majlis Pelancaran Buku Puisi 'Merenung Jendela Hidup' karya YB Dato' Seri Syed Hamid Albar yang dilancarkan oleh YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai pada hari Sabtu, 15/12/2007 yang lalu. Majlis yang boleh dianggap besar dan ditangani oleh bahagian aku yang hanya ada 11 orang itu dan dibantu oleh beberapa orang daripada bahagian lain nampaknya berjalan dengan lancar seperti yang kami rancangkan. Dan, pengalaman sepanjang menguruskan majlis itu akan aku simpan sampai bila-bila.
Hari ini kami semua datang ke pejabat dengan hati yang lapang. Masing-masing senyum memanjang. Maklumlah, sepanjang tempoh sebulan yang lalu aku dan kawan-kawan sudah bertungkus lumus. Dalam tempoh itu masing-masing macam tak cukup kaki tangan nak menyiapkan kerja. Lebih buat aku bosan bila hari Sabtu kena datang kerja juga. Mujur juga aku dan kawan-kawan boleh dikategorikan sebagai degil, tetap dengan keputusan tak nak datang kerja hari Ahad. Kami perlukan rehat juga. Jadi, dengan rela hati balik kerja lambat pada hari Isnin-Jumaat.
Dalam tempoh minggu-minggu itu, masing-masing jadi cepat marah dan meradang. Pantang kalau ada yang tak kena di mata atau hati. Boleh dikatakan, kalau hari ni aku naik darah, esok Diana pula yang ambil tempat aku, lepas tu lusa Kak Lah pula, kemudian Lan dan Kak Yan. Tak cukup dengan itu, ada saja yang merajuk dan terasa hati bila ada yang tersilap tegur. Tapi kemudian baik kembali. Tak sempat nak simpan dalam hati. Begitulah yang terjadi sebab masing-masing dah letih sangat. Macam budak-budak pun ada juga bila difikir-fikirkan kembali.
Kerja-kerja aku pun banyak yang tak bercuit. Kerja yang baru dapat daripada Auen, editor Alaf 21 pun aku abaikan aje sebab aku betul-betul tak cukup masa nak buat. Tapi hari ni semuanya dah berakhir. Banyak yang dah aku siapkan semalam walaupun masih belum siap sepenuhnya. Aku harap aku dapat siapkan semuanya dalam masa yang secepat mungkin. Apa pun tahniah untuk aku dan kawan-kawan di Jabatan Penerbitan Sastera kerana dah menjayakan majlis pelancaran itu. Buat Kak Zara Juita yang aku jumpa pada hari tersebut, terima kasih atas maklumat yang diberikan dan terima kasih juga kerana sudi datang.
No comments:
Post a Comment