- Datang & Pergi -

September 12, 2008

Hari ke-12 puasa. Huh… macam tak percaya pula rasa, tapi percaya atau tidak, memang itulah yang sebenarnya. Masa memang tak pernah menunggu manusia walaupun sesaat, apalagi seminit atau sejam. Dan sepanjang bulan Ramadan ni, banyak benda dah berlaku, menambahkan terus catatan kenangan dalam lipatan hidup ini. Ada yang datang ke dunia yang penuh warna-warni ni dan ada pula yang pergi ke alam abadi, silih berganti macam musim.

Tadi, 5 minit lepas, alhamdulillah... Diana selamat melahirkan anak kedua, seorang bayi lelaki yang masih belum tahu akan diberikan nama apa. Tak sempat bertanya banyak sebab dia baru saja bersalin, cuma dia janji akan telefon lagi kemudian. Tapi bagi aku, tak kisahlah sama ada dia telefon lagi atau tak, cukup jika tahu dia dan bayi selamat, tak kisah juga walaupun dia tak sempat melahirkan anak di Kelantan seperti anak pertama dulu sebab tercepat 2 minggu, walaupun dia dah mohon cuti lebih awal daripada tarikh jangkaan melahirkan. Tahniah untuk Iman yang dah dapat adik.

Dua hari lepas, dalam pukul 11.00 malam, juga ada khabar gembira sampai pada aku. Aniem... kawan rapat aku, kawan yang tinggal selama tiga tahun dalam bilik yang sama masa belajar di UPM dulu, selamat melahirkan anak sulung, seorang bayi perempuan yang diberi nama Qaseh Alisha. Nama yang cantik. Tahniah untuk Aniem dan Imran.

Tapi adat kehidupan, ada suka... tentu juga ada duka. Dua hari lepas juga, anak seorang staf DBP meninggal dunia dan semalam pula ibu Kak Nazmah, juga seorang staf Jabatan Sastera pergi menghadap Ilahi. Aku turut pergi menziarahi jenazah yang dikebumikan di Segamat. Melihat keadaan Kak Naz dengan air mata yang tak henti-henti mengalir saat memeluk seorang demi seorang rakan-rakan yang turut hadir, rasa sayu mengetuk pintu hati. Rasa macam nak menangis sama, tapi aku tahan seberapa daya yang mungkin. Seboleh mungkin tak mahu menambahkan kesedihan Kak Naz yang tentunya dah sampai ke tahap pasrah sebab ibu Kak Naz memang dah lama sakit.

Tiba giliran aku memeluk sekujur tubuh milik Kak Naz, tak tahu kata apa yang perlu aku luahkan, lidah jadi kelu tiba-tiba, sudahnya aku hanya bisikkan kata ‘takziah dan sabar’. Saat Kak Naz mengucapkan terima kasih sebab sudi menziarahi, saat itu juga air mata yang aku tahan-tahan tadi akhirnya menitis juga walaupun cepat saja aku lap supaya Kak Naz tak nampak. Simpati aku jadi berlipat kali ganda ketika itu. Ibu pergi... siapa pun tentu sukar menerima kenyataan tak kira ditinggalkan ketika kecil mahupun dewasa. Ibu pergi... siapa pun kalau boleh tidak mahu ditinggalkan ibu kerana carilah di mana-mana, tak akan ada ganti ibu. Ibu pergi... siapa pun pasti akan hilang rasional dalam diri untuk masa beberapa detik, selagi seseorang itu bernama manusia. Kalau pun tak ada titisan air mata di pipi, tentu hati di dalam terlebih dulu meraung memanggil nama ibu...

Hari ni pula, baru tadi diberitahu yang tiga lagi staf DBP kehilangan keluarga tercinta. Innalilahi wa inna ilaihi rajiun. Tentu mereka sedih dan ada dalam situasi Kak Naz semalam, tapi apakan daya, janji antara ayah tersayang dengan ALLAH hanya tertulis sampai setakat itu saja. Tak akan ada sesiapa yang dapat menghalang walaupun tangan terasa nak berbuat begitu. Dan kenyataannya, siapa manusia nak mencabar takdir yang datang? Apa pun, semoga mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

4 comments:

  1. segamat? area mana tu?

    ReplyDelete
  2. entah ek, tp kawasan taman... bkn kawasan kampung.

    ReplyDelete
  3. takziah pade yg kehilangan..
    musti raye taun ni sayu buat mereka kn k'mar..

    tahniah pade yg myambut ahli bawu dlm family..
    Qaseh Alisha.. nice name!
    gune untuk watak novel k'mar yg akan datang pum oke kn [wink] ehee..

    ReplyDelete
  4. mie-ya, tentu diaorg sedih. tp nak buat mcm mana lg, perjanjian hanya sampai situ. moga2 diaorg terus sabar n reda...

    ReplyDelete