- Imbasan Puasa Pertama -

Salam Ramadan kepada sesiapa yang sudi menjengah. Hari ke-25 puasa, terasa ada banyak benda yang nak aku buat pada awal puasa hari tu tapi sampai dah hampir ke penghujung puasa, terasa macam tak ada benda yang aku dah buat. Rutin terasa tak berubah, niat pula... tentu saja jauh tercicir ke belakang.

Hem... masa berlalu lagi seperti mana yang dijanjikan tapi aku macam merasakan baru semalam puasa pertama tahun ni berlalu. Aku macam masih ternampak-nampak, wajah emak yang lesu, wajah adik bongsu aku yang pucat dengan badan menggigil sambil baring di katil, wajah abang ipar aku yang tak tahu nak digambarkan macam mana dan wajah sendiri yang langsung tak bermaya dan berdaya. Tapi tetap juga meneruskan ibadah puasa walaupun masa tu terasa macam tinggal nyawa-nyawa ikan. Malah, nak bercakap dengan mak yang ada di dapur pun aku tak larat, sudahnya aku telefon mak walaupun jarak bilik dan dapur tak jauh mana. Sudahnya, lepas baik aku diketawakan semua orang. Semuanya gara-gara demam yang melanda keluarga aku.

Tapi dalam pada demam tu, ada kisah yang agak mencuit hati. Tahun ni merupakan tahun pertama Adik Nana, anak buah aku yang kedua puasa. Dia tak buat lawak tapi aku rasa dia kelakar sangat. Apa taknya, pagi masa nak mandi dengan muka selamba dia tanya, ‘Boleh tak kalau adik minum air?’. Aku yang dengar pertanyaan tu cuma ketawa. Mak aku jawab, ‘Tak boleh’. Aku tak nampak muka dia masa tu tapi aku dengar dia cakap, ‘Adik bukan nak makan, nak minum air jer.’ Mak aku tetap kata tak boleh. Sudahnya dia tak minta air lagi.

Dua jam lepas tu, dia tanya lagi. ‘Lama lagi ke nak berbuka ni? Adik dah tak tahan ni.’ Muka dia yang lesu masih lekat di kepala aku sampai ke hari ni. Rasa kesian juga sebab dia agak kurus dan nampak letih, apalagi dia memang jenis tak suka makan. Setiap kali suruh makan mesti dia nangis sebab dia kena paksa dan kena ugut. Tapi nak buat macam mana, dia kena juga puasa sebab tahun ni umur dia dah 7 tahun. Pak ngah dia jawab, ‘Tak lama lagi, dik... dua jam aje lagi’. Sebenarnya lama lagi masa tu, tapi tak nak dia rasa berat. Nak lekakan dia, kami adik-beradik beri aje apa yang dia nak. Dia kata nak main game kat laptop, kami ikut, nak dengar lagu kat hp guna earphone, kami turutkan, nak apa saja kami beri kecuali buka puasa. Tapi semua tu ternyata hanya bertahan sekejap. Dia tetap juga bertanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali.

Dalam pukul 5 lebih, dia dah tersadai macam ikan kering di lantai. ‘Tolonglah... adik dah tak tahan dah ni. Air liur ada dah tak ada. Dah kering sangat ni. Bagilah adik minum air...’. Kali ni dia dah sampai ke tahap merayu. Kesian memang kesian tapi kami semua ketawa sebab geli hati. Takkanlah teruk sampai ke tahap tu sekali? Sudahnya adik pertama aku bawa dia naik motor pusing kampung. Lama sikit lepas tu, dia tanya lagi, giliran angah aku pula yang bawa dia ronda kampung. Hilang sekejap niat nak berbuka puasa dia. Tapi bila balik rumah, dia kembali jadi ikan kering. Akhirnya pak cik aku pula yang bawa dia dan budak-budak lain naik kereta. Entah ke mana diaorang pergi, aku tak tahu, mungkin kat jeti hujung kampung.

Balik sekali lagi dia berjaya mengundang ketawa aku bila dia cakap, ‘Ibu cakap kat nenek, buka puasa nanti adik nak makan 10 biji telur’. 10 biji? Gila... ular sawa pun tak gelojoh macam tu. ‘Adik cakaplah sendiri,’ balas Kak Long aku dalam senyuman. ‘Tadi dah cakap nak 5 tapi sekarang nak 10 pulak’. Alahai anak buahku, takkanlah lapar sampai macam tu sekali? Dan, masa berbuka puasa, macam yang aku agak, dia cuma makan sikit aje. Hari kedua pula dia tak puasa sebab demam dan sudahnya dimasukkan ke hospital.

Itulah puasa pertama Adik Nana. Puasa pertama aku? Aku sendiri tak ingat berjalan macam mana. Mungkin lebih teruk dari itu. Hanya yang aku pasti, sebelum mula sekolah aku memang tak puasa. Umur enam tahun, tak sekolah tadika sebab tak ada tadika di kampung, terus masuk darjah 1, masa tu aku masih makan dengan gembiranya masa bulan Ramadan. Sayangnya, semua ingatan aku ketika puasa pertama dah hilang, langsung tak boleh nak ingat lagi. Orang lain macam mana pula agaknya ya?

2 comments:

  1. Salam Aidilfitri, Salam Lebaran dan salam hormat. Semoga bahagia berhariraya bersama keluarga.

    ReplyDelete