- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [4] -

August 13, 2012

“SIAPA yang nak kahwin dengan Jiha? Kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak naklah kahwin dengan Jiha,” kata Najid sambil tergelak-gelak sebaik saja mendengar cerita Najihah tentang apa yang dikatakan Ilham petang tadi. Tangan kanannya memegang telefon bimbit, manakala tangan kiri pula memegang perut sendiri. Geli hati dengan apa yang dikatakan Ilham.

Bapa saudara Najihah itu tidak habis-habis berkata yang satu hari nanti dia dan Najihah akan jadi suami isteri. Padahal, keluarga Najihah tahu, keluarga dia juga tahu yang dia dan Najihah memang rapat. Rapat yang seperti adik-beradik, bukannya rapat seperti pasangan kekasih. Lagipun sejak kecil ditemani Najihah, dia tidak pernah terfikir yang dia dan Najihah akan berkongsi hidup selain daripada yang dipanggil sahabat.

Mahu berkongsi katil dengan Najihah?

Sungguh... dia langsung tidak pernah bermimpi ngeri seperti itu! Silap hari bulan, malam di atas katil, pagi sudah tersembam ke lantai kerana Najihah yang dikenali bukannya terlalu kasar, tapi tidak juga lemah lembut.

“Bapa saudara Jiha tu memang suka buat kelakar.”

Najihah diam. Hatinya terasa seperti digigit dengan kata-kata Najid tadi. Kalaupun Najid tidak mahu berkahwin dengannya, tidak perlulah mengeluarkan kata-kata seperti itu. Nada suara Najid memang lembut, tapi entah kenapa terasa menusuk sampai ke ulu hatinya yang paling dalam. Ketawa Najid yang seperti tidak sudah itu terasa bagaikan satu ejekan untuknya.

Macamlah aku pernah kata nak kahwin dengan dia, detik hati Najihah tidak puas hati.

“Tak habis-habis nak kata yang satu hari nanti kita akan kahwin. Padahal kita hanya kawan aje. Nak berkasih sayang dengan Jiha lebih daripada kawan, Najid tak naklah. Tolonglah!” sambung Najid terus. Ketawanya tetap juga tidak mahu reda.

Tetap juga Najihah tidak membalas kata-kata Najid. Ikutkan hati yang sudah tidak tentu arah, mahu saja ditengking Najid supaya berhenti ketawa saat itu juga. Tapi disabarkan saja hatinya yang senipis kulit bawang dengan sedaya upaya. Terus juga mendengar Najid berkata-kata dan ketawa macamlah apa yang dikatakan kelakar benar. Menyesal pula dia menceritakan pada Najid apa yang dikatakan Ilham petang tadi. Kalau dia diam, tentu Najid tidak akan tahu dan hatinya tidak akan sakit mendengar ketawa Najid tak sudah.

“Macamlah tak ada orang lain lagi dalam dunia ni. Ada ke patut Jiha yang nak dipadankan dengan Najid.”

Kali ini Najihah benar-benar sudah hilang sabar. Mungkin Najid hanya bergurau, namun dia tidak dapat menerima gurauan Najid kali ini. Kalau pun dia tidak bagus di mata Najid, Najid tetap tidak berhak mengeluarkan kata-kata seperti itu. Macamlah dia terlalu teruk sebagai perempuan. Sekeras mana pun dia, dia tetap punya hati dan perasaan. Lainlah kalau selama ini dia ada mengatakan dia sukakan Najid.

“Jiha pun tak inginlah kahwin dengan Najid! Jiha pun tak inginlah Najid jadi suami Jiha. Bukan handsome pun. Kalau Najid handsome macam pelakon Korea nak juga Jiha jadi isteri Najid.”

Usai berkata-kata, terus talian dimatikan. Kemudian, telefon bimbit dicampak begitu saja di atas katil. Hatinya benar-benar membengkak. Kalaulah Najid ada di hadapannya saat ini, memang sudah ditumbuk-tumbuk muka Najid sampai hatinya puas. Kalau masih tidak puas, dia pasti akan melebamkan kedua-dua belah biji mata Najid. Biar Najid beringat dulu sebelum mengeluarkan kata-kata padanya.

“Macamlah dia tu bagus sangat! Ingat aku lapar sangat ke nak jadi isteri dia? Ei... jangan nak mimpilah!” rungut Najihah meluat. Turun naik nafasnya kerana menahan perasaan yang menggelegak dalam dada.

Skrin telefon bimbitnya yang menyala-nyala dengan wajah Najid terpamer dipandang dengan bibir mencebik. Meluat. Kalau itu telefon bimbit milik Najid, pasti awal-awal lagi sudah menjadi mangsa hempasannya ke lantai. Mujur saja dia ingat yang itu adalah telefon bimbit yang dibeli dengan hasil usahanya sendiri. Bukannya diperoleh daripada papanya seperti sebelum ini.

“Dah sakitkan hati kita, ada hati nak bercakap lagi kat telefon. Jangan haraplah, Najid! Jiha tak ingin layan Najid.”

Terus juga Najihah membebel-bebel sendiri. Telefon bimbit yang masih menjerit minta diangkat langsung tidak dipedulikan. Biar patah jari-jemari Najid sekalipun, dia tetap tidak akan membalas panggilan Najid. Lantaklah Najid mahu berfikir apa, dia tidak akan peduli. Najid fikir dia apa boleh dihamburkan dengan kata apa pun yang Najid suka. Najid ingat dia berhati kayu atau batu apa?

Memang diakui yang dia pun ada masa-masanya bercakap lepas. Dia akan bercakap apa saja yang dirasakan betul. Tapi dia tidak pernah bercakap tentang sesuatu yang kedengaran seperti menghina orang lain, apalagi Najid yang selama ini rapat dengannya. Tidak pernah dilakukan sekali pun.

“Tapi... tadi tu Najid menghina aku ke? Ataupun aku aje yang terlebih sensitif hari ni?” tanya Najihah pada diri sendiri.

Beberapa detik, dia diam tidak berkutik. Tidak ada jawapan kerana dia bertanya kepada dirinya sendiri.

Tangan kanan dibawa ke dahi, masih mencari-cari jawapan pada soalan yang ditanya pada diri sendiri tadi. Namun, tetap juga tidak bertemu dengan apa yang dicari. Balik-balik, yang muntah dari ulas bibirnya hanyalah keluhan yang bercampur dengan rasa kesal. Entah apa yang dikesalkan sangat, dia sendiri tidak tahu. Hanya yang pasti, dia memang cukup terasa dengan apa yang dikatakan Najid tadi.

“Kalaupun Najid tak berniat menghina aku, aku tetap juga rasa terhina. Macamlah aku ni teruk sangat. Macamlah dia tu bagus sangat. Muka bukannya handsome pun,” kutuk Najihah dengan bibir mencebik-cebik.

Namun sedetik kemudian, dia tersenyum nipis. Najid mungkin tidak sekacak hero Korea yang selalu dilihat di kaca TV, tapi Najid masih ada kelebihan yang tidak ada pada kebanyakan hero itu. Kelebihan yang mungkin hanya dapat dilihat oleh dia, ayah Najid, papanya dan Ilham. Kelebihan yang membuatkan Najid mempunyai tempat yang lebih tinggi dibandingkan hero-hero itu.

“Eh... aku merepekkan apa ni? Bukankah tadi Najid mengata aku? Yang aku nak puji-puji dia apa fasal pulak? Bukan patut aku mengutuk dia sampai hati aku betul-betul puas ke?”

Telefon bimbit yang masih menjerit-jerit diterbalikkan, enggan melihat wajah Najid dengan senyuman lebar tertera di skrin. Sakit hati yang tadinya menyurut saat mengenangkan kelebihan Najid, kembali memarak. Selagi Najid tidak memohon maaf, dia tekad akan mogok suara dengan Najid.

“Biar padan dengan muka Najid!”
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Skrin telefon bimbit yang sudah tidak ada wajah Najihah kerana sudah gelap, Najid pandang lama dengan dahi berkerut. Aneh, bila Najihah tiba-tiba saja memutuskan talian saat mereka belum selesai berbicara. Memang sudah menjadi kebiasaan dia dan Najihah akan berbual-bual di telefon setiap hari walaupun sudah berjumpa pada siang hari.

Tapi lebih aneh lagi bila Najihah langsung tidak mengendahkan panggilannya yang berbelas-belas kali. Selalunya Najihah tidak begitu. Sekali bunyi saja, Najihah sudah menjawab, langsung tidak menyempat-nyempat kalau Najihah ada berhampiran dengan telefon bimbit. Tapi hari ini, apa sudah jadi dengan Najihah? Sesuatu berlakukah?

“Ada yang tak kena ke dengan Jiha?”

Kepala yang tidak gatal, Najid garu perlahan. Siri Leverage di AXN yang diminati gagal membuatkan matanya terus melekat di kaca TV. Yang ada di kepalanya saat ini hanyalah Najihah semata-mata. Pelik bila Najihah tiba-tiba saja membuat perangai malam ini.

“Bergaduh dengan abang lagi ke?”

Terus-terusan soalan menghunjam benak Najid. Namun semua soalannya, berkaitan dengan Najihah yang tidak ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba saja sepi tidak mahu menjawab panggilan telefonnya.

“Tapi kalau pun bergaduh dengan abang, kenapa pula telefon aku tak dilayan? Macamlah aku yang suruh abang gaduh dengan dia.”

Sengihan Ilham setiap kali dapat membangkitkan kemarahan Najihah, terbayang-bayang di matanya. Bapa saudara Najihah itu memang suka membuli Najihah. Bahkan ada masa-masanya, dia juga turut sama dibuli Ilham kerana dia suka membela Najihah. Tapi bila dia dan Najihah sudah berganding bahu, Ilham pula yang dibuli mereka. Pendek kata, mereka bertiga memang selalu saling kena-mengenakan antara satu sama lain. Namun bukanlah buli bertujuan menyakitkan, hanya menyakat semata-mata.

Dan usik-usikan itulah yang membuatkan hubungan mereka bertiga jadi rapat. Mereka boleh berkongsi apa saja cerita. Dia bukannya anak saudara Ilham, namun Ilham tidak pernah menganggap dia orang luar. Macam mana Ilham melayan Najihah, begitu jugalah Ilham melayannya. Langsung tidak ada yang dilebihkan dan tidak ada yang dikurangkan. Dia dan Najihah, tetap dilayan Ilham sama rata.

Telefon bimbit di atas paha kembali dicapai, kali ini nombor Ilham pula yang dicari. Mana tahu bapa saudara Najihah itu ada jawapan atas sikap pelik Najihah saat ini.
“Abang...” sapa Najid sebaik saja mendengar suara Ilham.

“Najid ni macam Jihalah! Selalu tak tahu nak bagi salam kalau telefon orang. Jenuh nak ingatkan,” tegur Ilham entah untuk kali ke berapa. Baik Najihah, mahupun Najid, memang banyak persamaan. Mungkin membesar bersama membuatkan kedua-duanya selesa mengamalkan gaya hidup yang sama.

Kalau gaya hidup yang betul tak apa juga, ni dah jelas-jelas tak elok, rungut hati Ilham kurang berkenan.

“Abang ni suka membebel macam Jihalah,” balas pula Najid sambil tergelak-gelak. Sengaja mengabaikan teguran Ilham. Bukannya baru hari ini ditegur kerana hal yang sama, sudah beratus-ratus kali, telinganya pun sudah lali. Tapi sudahnya setiap kali mendengar suara Ilham di telefon, tetap juga tidak ada salam yang keluar di bibirnya.

“Abang cakap kat Jiha, Najid mengata dia ya,” ugut Ilham selamba.

“Najid cakap juga kat Jiha yang abang mengata dia tadi,” ugut Najid balik.

“Bila masanya abang mengata Jiha?”

Najid senyum nipis. Telefon bimbit masih kukuh dalam genggaman tangan kanannya. “Tadi tu... masa abang kata Najid tak suka bagi salam kat telefon. Tu namanya bukan abang mengata Jiha ke?”

“Tu bukan mengatalah tapi memang kenyataan pun. Jiha kalau telefon abang mana pernah nak bagi salam. Main terjah aje sesuka hati.”

“Samalah tu, mengata juga!”

“Pandailah Najid...”

“Terima kasih abang sebab kata Najid pandai,” potong Najid pantas. Sengaja tidak mahu membiarkan Ilham menyudahkan kata-kata. Padahal, dia tahu Ilham bukannya bertujuan memujinya, dia saja yang bersikap seperti bapa saudara Najihah itu sedang memujinya. Dengan Ilham yang sudah dianggap seperti bapa saudara sendiri, tidak ada apa yang hendak dimalukan. Ilham pun selalu juga bersikap ‘masuk bakul angkat sendiri’ bila berhadapan dengan dia dan Najihah. Bahkan, sikap ‘perasan’ bapa saudara Najihah itu lebih hebat dibandingkan dia dan Najihah sendiri.

Kemudian dia ketawa sedikit kuat. Sengaja membakar perasaan Ilham.

“Perasan!”

Semakin kuat ketawa Najid menggegarkan ruang biliknya yang masih bingit dengan suara TV.

“Ni yang Najid telefon abang malam-malam ni ada apa? Ganggu abang nak rehat aje,” rungut Ilham.

“Abang buat apa tu?”

“Eh... sejak bila pulak Najid peduli abang buat apa? Selalu tu tak pernah pun nak kisah. Apa yang Najid dan Jiha selalu cakap tu? Ada aku kisah!”

Najid menekan perut sendiri. Hari ini dirasakan Ilham agak lucu. Mungkin bapa saudara Najihah itu tidak berniat membuat kelakar, tapi dia terasa hendak ketawa dengan setiap kata-kata yang lahir dari bibir Ilham. Lupa seketika pada tujuannya menghubungi Ilham. Lupa juga pada Najihah yang entahkan sudah tidur entahkan masih belum itu.

“Abang ni buat kelakar pulak hari ni.”

“Najid nak apa ni? Abang letih ni tahu tak! Dahlah tadi Najid balik awal tinggalkan abang sorang-sorang menghadap Miss Angelinna tu. Berpeluh abang menjawab soalan dia yang tak henti-henti tu,” ujar Ilham datar. Sakit benar hati dia bila sampai saja di bilik pejabat Najid, dia diberitahu yang Najid sudah keluar sedangkan tengah harinya Najid sudah bersetuju mahu menemani dia bertemu dengan Miss Angelinna yang banyak kerenah itu.

“Najid malaslah dengar Miss Angelinna tu membebel.”

“Tapi Najid kan dah janji?”

Najid tersengih. Memang dia bersalah, tiba-tiba saja dia terasa bosan menjelang petang tadi, lantaran itu dia mengajak Najihah pergi ke taman permainan. “Sorry ya abang... esok Najid belanja abang makan sebagai menebus kesalahan Najid pada abang. Tapi sekarang ni Najid nak tanya abang, Jiha kenapa?”

“Jiha kenapa?” tanya Ilham kembali. “Tadi elok aje dia kata dia kenakan Najid kat taman permainan sampai Najid kena marah dengan Pak Munawir,” kata Ilham sambil ketawa kecil, mengejek Najid.

Najid ikut ketawa sama. “Jiha tu hampeh! Dia tak ada apa-apa eh abang?”

“Tak ada apa-apalah. Letihlah tu, dah tidur agaknya.”

“Bukan sebab abang buli dia ke?”

“Najid ingat abang tak ada kerja lain ke nak buat selain daripada buli Si Jiha tu? Abang tak laratlah nak buli dia hari ni sebab abang pun letih juga.”

2 comments: