- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 2] -

August 16, 2012

ENJIN kereta telah dimatikan beberapa minit tadi, namun dia masih tidak berganjak dari tempat duduk. Tetap memakukan pandangan di hadapan, meskipun tak ada apa yang menarik untuk dipandang. Bahang panas yang mula bertebaran di ruang kereta yang sempit seperti langsung tak terasa. Mindanya masih bergerak laju.

“Nak masuk dalam atau pun pergi rumah along ni?” Nadra bertanya pada diri sendiri. Masih membuat timbang tara dengan diri sendiri. Berfikir mana yang lebih baik untuknya saat ini.

“Kalau along tanya nak jawab apa?”

Keluhan dilepaskan perlahan. Fawwaz mungkin tak akan bertanya kerana ini bukanlah pertama kali dia pulang ke sana tanpa Raqib. Dia saja yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Menjaja pekung di dada sendiri, biarpun untuk hidangan telinga abang kandungnya, bukan dia orangnya. Biarlah alongnya beranggapan kalau dia diterima baik oleh umi dan adik Raqib di rumah ini.

“Ya, pergi rumah along ajelah!” putus bibirnya lega. Setelah beberapa minit berfikir, dia akhirnya dapat membuat keputusan.

Jika mindanya sudah tenang. Hatinya yang masih belum surut dengan rasa sedih dan geram ini hilang, barulah dia akan pulang kembali ke sini. Dia tak perlukan masa berhari-hari, hanya beberapa minit berbicara dengan alongnya itu. Selepas itu, dia pasti mampu tersenyum seperti biasa biarpun hatinya retak dengan kata-kata yang Idlan luahkan awal pagi tadi.

Cepat-cepat kunci kereta dipulas, namun saat itu juga cermin kereta di sisinya diketuk. Melihat Raqib, dia menggigit bibir perlahan.

“Macam manalah aku boleh tak perasan kereta dia dah ada kat tempat biasa?”

Nadra seka peluh yang menitis di dahi. Dia masih belum bersedia untuk berhadapan dengan Raqib. Rajuknya masih ada kerana Raqib tak pernah mahu percaya pada kata-katanya. Bimbang dalam rajuk yang masih belum reda ini, dia dan Raqib bertengkar hanya gara-gara Idlan.

“Iha...” sapa Raqib dalam senyuman manis sebaik saja membuka pintu kereta Nadra.

“Hai...” balas Nadra perlahan. Masih belum mampu berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Lamanya Iha dalam kereta, abang tadi lagi dah tunggu kat muka pintu. Tak sabar nak tunggu isteri abang yang comel ni balik kerja. Nak peluk dia kuat-kuat. Nak cakap kat dia yang abang rindu sangat-sangat pada dia,” kata Raqib sambil tergelak perlahan. Sengaja memancing Nadra supaya berkata-kata.

Namun isterinya itu hanya diam. Kaku mengalahkan patung cendana. Malah kelihatan seperti langsung tidak teruja dengan gurauannya. Selalunya, bila dia menyakat begitu Nadra akan ketawa. Kemudian cepat-cepat menampar lengannya sebelum pergi begitu saja kerana bimbang dicubit. Tapi melihat air muka Nadra yang tidak ceria, dia yakin Nadra masih bersedih dengan apa yang berlaku.

Nadra terus diam. Tidak ada hati hendak bergurau senda pada saat hati sendiri masih ada rajuk.

“Jom masuk. Panas ni!” ajak Raqib lembut.

Tetap juga tidak ada balasan kata daripada Nadra. Panas di tubuh makin terasa, tapi dia masih belum ada hati hendak masuk ke dalam rumah.

“Iha...”

Nadra mengeluh panjang. Kepala didongakkan, menatap seraut wajah Raqib yang memang tak pernah tak tersenyum. “Boleh tak kalau Iha minta sesuatu daripada abang?”

“Iha nak minta apa daripada abang? Nak duit belanja? Ataupun Iha dah berkenan dengan sesuatu?”

Hanya gelengan Nadra sebagai jawapan. Memang bukan itu yang dia mahukan daripada suaminya itu.

“Habis tu Iha nak apa daripada abang?” Raqib makin pelik. Sedikit berdebar-debar bila melihat aksi Nadra yang agak kaku. Langsung tidak ada senyuman pada bibir isteri kesayangannya itu. Biasanya, biar marah macam mana pun Nadra tetap mampu menghadiahkannya dengan senyuman. Kalau pun tidak manis, senyuman kelat pasti akan dia dapatkan.

Nadra nak apa ni sebenarnya?

Nadra nak minta dilepaskan?

Pantas, kepala Raqib geleng berkali-kali. Tidak mungkin hanya disebabkan sepasang kasut yang sudah Idlan rosakkan, Nadra mahu meninggalkannya. Dia tidak rela dan tak akan pernah menerimanya.

“Iha rasa nak pergi tengok along sekejap. Boleh tak kalau abang benarkan Iha pergi rumah along? Iha ingat Iha nak pergi sekarang juga. Malam nanti Iha balik.”

“Kenapa?” tanya Raqib dengan kening sedikit terjongket. Kalau tidak mengenangkan wajah Nadra yang serius, ketawanya pasti sudah terburai. Lain yang Nadra mahukan daripadanya, lain yang dia fikirkan. Kalau Nadra tahu apa yang ada di benaknya seketika tadi, tentu sakit telinganya mendengar ketawa mengejek isterinya itu. Mungkin juga lengannya bakal menerima cubitan daripada Nadra.

“Rindu kat along tiba-tiba.”

Bohong! Itu yang terdetik di hati Raqib. Bukan rasa rindu pada Fawwaz yang membuatkan Nadra mahu bertemu dengan abang iparnya itu. Tapi rasa rajuk padanya yang bergabung dengan rasa kecil hati pada Idlan. Itulah sebab utama yang tak mampu Nadra katakan. Isterinya itu tentu mahu menjaga hatinya seperti selalu.

“Iha pergi rumah along ya?” pinta Nadra sekali lagi. Dia sangat berharap Raqib akan memberi izin.

“Boleh...”

“Terima kasih!” potong Nadra pantas. Lega dengan keizinan Raqib.

“Abang belum habis cakap lagilah, Iha. Abang nak kata yang Iha boleh pergi rumah along. Tapi... bukan hari ni sebab hari ni abang balik awal semata-mata nak habiskan masa dengan Iha. Iha pun selalu kata yang abang sekarang ni kerja kuat sangat macam esok dah tak ada hari. Kan?”

Raqib yang nampak jelas riak muka Nadra yang berubah, terasa geli hati. Dia mengulum senyum supaya tak sampai ke mata isterinya. Bukannya dia mahu bersikap diktator. Nadra boleh saja pergi ke rumah orang tua Nadra yang kini dihuni Fawwaz. Boleh saja bertemu dengan Fawwaz di mana-mana saja yang Nadra mahu. Tapi tidak hari ini kerana hari ini dia mahu menghabiskan masa dengan Nadra. Mahu memujuk hati Nadra sampai benar-benar terpujuk. Tidak mahu sengketa kecil yang ada akan berpanjangan sehingga pada akhirnya banyak hati yang akan terluka.

Marah macam mana pun, merajuk macam mana pun, hakikatnya... Nadra dan Idlan sudah pun menjadi keluarga.

“Tapi...”

“Keputusan abang muktamad. Kalau Iha rasa nak jumpa along, Iha jumpa esok, lusa, tulat atau bila-bila masa aje yang Iha suka. Hari ni... Iha, abang punya. Sesaat pun abang tak nak lepaskan ke mana-mana. Iha faham kan?”

“Iha...”

Jari telunjuk, Raqib goyangkan beberapa kali. Pujuklah macam mana pun, dia tidak akan terpujuk. Rayulah dengan suara yang menggoda pun, dia tetap kan bertahan. Yang dia tahu, Nadra tidak boleh ke mana-mana. Kalau masih mahu ke mana-mana, Nadra harus pergi bersama-samanya.

“Jom... kita masuk rumah sekarang,” ajak Raqib. Kali ini tangannya memegang lengan Nadra yang seperti enggan keluar dari kereta.

“Iha nak jumpa dengan alonglah!” kata Nadra sebaik saja dia berjaya ditarik Raqib keluar..

“Kalau tak nak masuk rumah, kita masuk bilik kita.” Raqib sengaja tak mengendahkan kata-kata Nadra yang agak keras. Tidak lagi lembut seperti tadi. Kemudian dia ketawa perlahan dengan apa yang dikata. Tidak mungkin mereka dapat masuk ke bilik kalau tidak masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.

“Iha nak pergi rumah alonglah,” rengusnya sakit hati. Geram pula bila Raqib terus juga membuat kelakar.

“Kan abang dah izinkan Iha jumpa along. Apa lagi yang tak puas hati ni?” balas Raqib sambil tersengih. Pipi kiri dan kanan Nadra dipegang dengan kedua-dua tapak tangannya. Direnung dalam-dalam mata yang setiap pagi menyapa wajahnya sejak tiga bulan lalu. Siapa sangka, Nadra yang dulunya hanya dianggap kawan rapat, kini sudah bergelar isteri buatnya. Dia sendiri pun tidak percaya yang dia mampu menyayangi Nadra lebih daripada sayang seorang kawan.

Nadra terus mengunci mulut. Tidak ada gunanya lagi dia mengatakan apa-apa kerana Raqib sudah membuat keputusan.

“Kalau Iha rasa nak dengar suara along, telefon kejap lagi.”

Pegangan pada pipi Nadra, Raqib lepaskan. Kemudian dia memegang lengan Nadra dengan tangan kanannya. Dengan tangan kirinya, dia membuka pintu kereta di bahagian belakang. Beg tangan Nadra dicapai sebelum pintu kembali ditutup perlahan dengan rasa tidak puas hati.

“Ni... kenapa letak beg tangan kat belakang?” tanya Raqib dengan wajah serius. Tajam matanya menikam wajah Nadra.

Nadra pandang beg tangan berwarna hitam di tangan kiri Raqib. Kemudian Raqib dijeling sekilas. Dia menggigit bibir. Rasa kesal mula menghunjam hatinya tanpa pengetahuan Raqib. Gara-gara hati yang tidak stabil, dia jadi lupa menjaga keselamatan diri sendiri. Terus alpa pada pesanan Raqib supaya jangan lagi meletakkan beg tangan di tempat duduk belakang. Bimbang beg tersebut mengundang perhatian peragut.

Padan muka kau, Nadra! Tadahlah telinga sekarang ni.

“Abang dah pesan banyak kali pada Iha kan?” Hilang terus nada mengusiknya.

“Iha lupa,” balas Nadra perlahan. Takut pula hendak meninggikan suara pada saat Raqib bermuka serius.

“Lupa?” Kuat nada suara Raqib. Tidak percaya Nadra boleh menjawab begitu sedangkan bukannya sekali dua dipesan. Berkali-kali sampai Nadra sendiri sudah jemu mendengarkannya. Lantaran itu, dia sudah tak mengingatkan isterinya itu lagi kerana dia yakin Nadra ingat. Tapi kini, selepas lama tak diingatkan, Nadra kembali lupa. “Hari tu bila abang ingatkan, Iha kata tak payah dah ingatkan sebab Iha dah tahu. Bila abang tak ingatkan, jadi macam nilah,” bebel Raqib sebal. Geram bila nasihatnya seperti masuk ke telinga kanan kemudian keluar ke telinga kiri.

“Iha tak sengajalah.”

“Menjawab!”

“Abang marah Iha?” tanya Nadra perlahan. Dia tahu dia sudah melakukan kesalahan. Tapi tidak ada apa-apa yang berlaku padanya. Malah dia pulang pun dalam keadaan yang langsung tidak ada cacat cela. Tak perlu bercakap dalam nada marah pun dia akan memahaminya.

“Inilah Iha! Cakap sikit nak merajuk, cakap sikit nak kecil hati. Perangai sama aje macam Idlan.”

Idlan. Sebaris nama itu kembali membuatkan Nadra terasa sebak. Kerana adik Raqib itu, hari ini apa yang dibuat di pejabat serba tak kena. Terlalu melayan rasa sedih kerana dianggap orang luar oleh Idlan, dia ditegur ketika sedang bermesyuarat. Lebih memalukan, dia gagal memberikan pendapat sedangkan sejak semalam dia sudah memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku dalam mesyuarat itu.

Tidak habis di situ, ketika makan tengah hari dia tertumpahkan air di atas baju orang yang langsung tak dikenali. Akibatnya, percuma saja dia dimarahi di tengah-tengah orang yang sedang menjamu selera. Mukanya memang terasa tebal berinci-inci, namun yang mampu dilakukan hanya mengucapkan kata maaf berkali-kali. Ikutkan hati, mahu saja dia berlari pulang saat itu juga.

“Iha nak masuk rumah dulu,” pinta Nadra perlahan. Lengan yang masih dipegang Raqib ditarik perlahan. Kemudian dia melangkah lemah. Hari ini memang hari malang bagi dirinya. Semuanya serba tidak kena!

Janganlah aku bertembung dengan Idlan, doanya dalam hati.

Sekuat mana pun dia, sesabar mana pun dia, jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia masih belum dapat melupakan apa yang Idlan katakan.

Raqib yang melihat langkah Nadra yang makin menjauh, terus tersandar di badan kereta Nadra. Di tangan kirinya masih ada beg tangan Nadra. Beg yang menjadi punca kemarahannya. Niat mahu memujuk isterinya itu bertukar dalam sekelip mata. Kini, dia yakin sekali yang rajuk dan kecil hati Nadra padanya jadi makin dalam. Sudahlah begitu, disebut sekali nama Idlan tanpa disedari.

“Mulut ni pun satu, lancang sangat. Tak tahu nak belajar bersabar sikit. Tak fasal-fasal Iha jadi lebih sedih,” marah Raqib pada diri sendiri. Mulut ditepuk-tepuk perlahan.

“Idlan pun... dengan kakak ipar sendiri pun nak dicari gaduh. Siap patahkan tumit kasut Iha lagi. Dua-dua pula tu. Dahlah kasut tu aku yang belikan. Kalau murah harganya tak apalah juga. Mahal tu!”

Idlan... kenapa aku sebut nama Idlan depan Iha tadi? Padahal aku tahu yang hati Iha masih belum terpujuk.

Memang teruk kau ni, Raqib!

1 comment:

  1. bleh meroyan dapat adek ipar cam tu!mau haru hidup fariha,nasib gak harith tak memihak sebelah pihak jer..

    ReplyDelete