- APA DI HARAP PADI SEBERANG... -

SEDIKIT TENTANG SAYA!

Saya, MARWATI WAHAB a.k.a ALEYA ANEESA yang sentiasa berjuang untuk terus hidup walau hidup ada masa-masanya tak seindah mana. Ada suka, ada duka. Ada tawa, ada tangis. Seorang yang ada permintaan, tapi permintaan itu tak terlalu banyak. Gemar berkisah & bercerita tentang itu, ini, sana, sini, situ & apa-apa saja. Tapi tak juga menjaja kisah orang. Yang saya kisahkan, tentang saya, tentang keluarga saya, tengah dunia penulisan saya.

Saya... sayang pada semua orang yang sayangkan saya. Dan... jangan ditanya untuk apa N3 ini kerana saya sendiri tak tahu. Hanya jari-jemari tak runcing saya ni terasa nak mencoretkan sesuatu di sini. Mungkin... sebab ketika ini dan saat ini, saya rasa macam... entah. Ada masa-masanya, sukarnya rasa nak mengungkapkan perasaan sendiri kan? Yang jelas... saya rasa macam, sedih. Mungkin, bukan untuk saya agaknya walaupun saya dah mencuba... ;-)

Sekian terima kasih...

- NOVEL KE-10 : DIA TAK TANYA! -

Alhamdulillah... hari ni cover novel terbaru saya, “DIA TAK TANYA!” dah mula dipamerkan untuk dilihat pembaca novel. Kalau tak percaya, boleh tengok wall FB saya, Alaf 21 dan ada beberapa lagi yang ikut share [terima kasih semua]. Kulit dan blurbnya pun boleh tengok di bawah, bagi yang tak jadi kawan saya di FB tu.

Tapi saya nak ingatkan sesuatu ya, ini BUKAN KISAH KAHWIN PAKSA. Ini kisah, pasangan yang MEMAKSA ORANG TUA MEREKA SUPAYA MENGAHWINKAN MEREKA. Tak banyak kan kisah macam ni walaupun mungkin memang dah ada? Sebab tulah saya nak cuba meneroka.

Untuk itu, terlebih dan terkurang dalam “DIA TAK TANYA!” harap dapat diterima seadanya. Kalau nak komen untuk tujuan supaya saya dapat memperbaiki mutu penulisan saya, dialu-alukan dengan senang hati [hantar kat email saya, aleyaaneesa@yahoo.com.my]. Tapi kalau nak bagi komen dengan tujuan menghentam-sampai-saya-ada-rasa-rasa-nak-berhenti-menulis, anda sangat-sangat kejam. Dan saya rasa, korang bukan orang yang kejam kan? Kalau kejam pun, buat-buatlah tak kejam.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : DIA TAK TANYA! NI HANYA AKAN ADA DI PASARAN PADA BULAN JANUARI 2013, JADI... TAK USAH CARI SEKARANG SEBAB TAK AKAN JUMPA. TERIMA KASIH...

Inilah dia latar belakang DIA TAK TANYA! -

ISTILAH sahabat merangkap jiran antara Najid dan Najihah akhirnya tersimpul sebagai suami isteri.... Sayangnya, mereka berkahwin atas dasar eksperimen. Kononnya dunia perkahwinan mereka boleh bahagia tanpa cinta! Berjaya, okey. Tak berjaya pun okey.

Orang lain hidup bahagia, tapi rumah tangga mereka huru-hara. Ada saja yang tidak kena. Masalah kecil dibesar-besarkan. Rajuk, marah dan prasangka membakar diri. Sudahnya, mereka tidur asing- asing; seorang ke timur dan seorang lagi ke barat. Najid dan Najihah lupa... dalam sesebuah perkahwinan, tidak ada istilah ‘try and error’. Mereka saling ego, hipokrit dan suka menuding jari. Ada isteri, tapi lagak macam bujang. Ada suami, tapi langkah macam hidup seorang!

“Maaf, sayang. Najid betul-betul minta maaf. Tapi percayalah, Najid sayang sangat kat Jiha.”

- JUALAN GUDANG GRUP BUKU KARANGKRAF -


Untuk yang ada masa lapang tapi tak tahu apa yang nak dibuat, bolehlah berkunjung ke Jualan Gudang Grup Buku Karangkraf bermula 30 November 2012 – 2 Disember 2012 bertempat di Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.

Dan untuk yang belum melengkapkan koleksi ALEYA ANEESA, nah... tunggu apa lagi kan? Datanglah... dengar-dengarnya harga buku jatuh macam durian runtuh. Lepas beli, boleh baca, lepas baca... bolehlah emailkan komen pada saya supaya saya dapat perbaiki mutu penulisan. Apa pun, saya ucapkan terima kasih dululah pada yang bakal membeli karya-karya saya. Jasa baik korang, sangat-sangat dihargai. Ceh... ayat tak boleh blah kan? Hehehe... ;-)


- SELAMAT HARI LAHIR, KAK LONG -

Saya hanya ada satu kakak kandung [kakak angkat, setakat ni ada dua & rasanya cukuplah dua tu aje sebab saya tak berhajat nak tambah-tambah – bukannya berlagak bagus tapi saya memang bukan jenis angkat-angkat ni sebab ada masa-masanya saya memang tak begitu pandai menjaga hati & perasaan orang, lebih-lebih lagi yang dekat dengan saya] & hari ni bersamaan dengan 20 NOVEMBER 2012 merupakan hari ulang tahun kelahiran dia yang ke-40 tahun. 40 tahun? Alahai... diam tak diam umur Kak Long saya dah agak banyak dan sampai satu masa kelak, kalau umur saya panjang, saya pun akan melewati angka itu. Bukan hanya saya, tapi sesiapa saja yang umurnya belum mencecah angka 40 tahun itu.

Nak berkisah apa ya? Rasa-rasanya sebelum ni macam saya dah berkisah banyak tentang Kak Long saya tu. Dan sekarang ni, saya dah hilang diksi untuk membebel-bebel tentang dia yang satu itu. Tapi tak kisahlah biar bagaimana hilangnya diksi saya pun, yang pasti... saya gembira sangat sebab hubungan kami berdua sejak beberapa tahun kebelakangan ini atau lebih tepat lagi, sejak saya tinggalkan kampung dan belajar di universiti, semakin erat. Tak ada lagi gaduh-gaduh-sayang, tak ada lagi cubit-cubit-tak-manja-pun, tak ada lagi baling-baling-bola takraw-kat-kepala-dia yang berkesudahan dia-cubit-saya-masa-tengah-tidur, tak ada lagi dia kata saya-lebih-pentingkan-kawan-kawan-daripada-adik-beradik-sendiri.

Sekarang ni, kami berdua mengamalkan DASAR BERBAIK-BAIK & insya-ALLAH biarlah sampai nyawa bercerai daripada badan. Kami joging sama-sama [janji nak hari-hari tapi sebab saya malas, satu hari aje yang jadi daripada sembilan hari yang saya peruntukan – itu pun kami terpaksa patah balik bila dengar anjing menyalak, takut kena ligan dengan dua ekor anjing yang nampak agak garang tu], senam aerobik sama-sama, makan sama-sama, diet sama-sama dan tak kurus-kurus pun sama-sama juga.

Untuk Kak Long saya, ANISAH WAHAB, SELAMAT HARI LAHIR, MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI & PALING PENTING... SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH. Sayang sama kamu, sis...

- SELAMAT HARI LAHIR... -

16 NOVEMBER 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-1 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA QIESYA NURQASRINA"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA ANJE – Sorry ya untuk tahun pertama kelahiran Anje, Mak Tam tak ada idea nak membebel panjang-panjang sebab tahun ni tahun malas Mak Tam. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Anje. Jadi budak pandai ya, sayang...

- UNIKNYA ORGAN -

Salam & hai... pada yang sedang membaca N3 saya kali ni. Terasa macam lama sangat saya tak bebel-membebel kat sini. Jari-jemari tak runcing saya ni pun ada rasa-rasa macam gatal-gatal. Gatal-gatal ya, bukan gatal. Awas, jangan tersilap membuat tafsiran pada dua perkataan itu. Agak-agaknya... ada tak yang rindu pada saya? Kalau ada, terima kasih sebesar dunia. Tapi kalau tak ada, uwaaa... korang sudah mengelar-ngelar hati saya sampai saya rasa sangat kecewa hati ni. Tapi nampak tak? Nampak tak... yang saya sekarang ni tengah menipu korang? Hahaha... jangan marah, nanti kena jual timbang kilo kat pasar. Kalau sekilo RM20, bayangkan kalau 60 kg x RM20. Wah... Marwati Wahab a.k.a. Aleya Aneesa kaya! Ni, boleh tak agaknya kalau beli iphone 5?

Betul, sebenarnya saya tak kisah pun kalau ada yang tak rasa rindu pada saya. Tahu kenapa? Sebabnya, hati itu organ yang sangat unik. Rasa rindu dan suka dalam hati, datangnya begitu-begitu saja tanpa perlu wujudnya unsur-unsur paksaan. “Tak kira, kau mesti sukakan aku juga walaupun kau tak suka!” Hem... ayat itu gila dan yang mengucapkannya itu tentu juga gila. Bukanlah gila kerana mentalnya tak sihat hingga mesti dibawa ke Hospital Bahagia atau Hospital Tanjung Rambutan. Tapi gila kerana dibutakan rasa suka yang keterlaluan.

Tau kenapa saya kata hati itu organ yang unik? Sebabnya, kadang-kadang, kita boleh suka seseorang kerana orang tu sangat baik di mata kita. Maksudnya, mungkin dia pernah buat baik pada kita atau pada sesiapa saja yang kita kenal atau kita tak kenal dan berjumpa secara kebetulan. Kadang-kadang, kita suka seseorang itu selepas kita tengok fizikal dia yang mungkin juga cantik menarik tertarik atau macho kacak dan sewaktu dengannya. Kadang-kadang pula, kita sukakan seseorang tanpa kita tahu dia yang kita suka itu bagaimana rupanya dan bagaimana perangainya. Mungkin baik, mungkin juga sebaliknya. Kes macam ni berlaku bila kita terlalu banyak dihidangkan dengan cerita tentang dia yang kita tak kenal itu.

Berdasarkan tiga kadang-kadang di atas tu, nampakkan betapa organ yang diberi nama hati itu memang unik? Kalau korang rasa tak unik, tak apa sebab tak kena tangkap pun. Pendapat masing-masing dan kita di dalam Malaysia ni memang boleh berkata apa saja asalkan apa yang kita katakan itu tidak menyalahi undang-undang negara dan juga agama. Tapi bagi saya, hati tu memang sangat-sangat unik kerana ada masa-masanya, kita sebagai tuan punya hati pun gagal memahami hati sendiri. Apalagi, bila Cik Hati berlawanan dengan Cik Akal. Cik Hati mahunya begini tapi Cik Akan pula mahukan yang lain. So... jadilah seperti kiri duri kanan pun berduri, di tengah-tengah sekujur tubuh yang longlai kerana tak tahu harus berbuat dan mengambil tindakan yang bagaimana.

Apa yang sebenarnya saya bebelkan hari ni ya? Entah! Saya sendiri pun tak tahu. Terpaksalah saya berhenti dulu kerana point peting tak ada, bimbang ada yang muntah darah bila baca N3 yang tak ada faedahnya sangat. Cuma yang nak saya ingatkan, dalam apa pun keadaan, berfikirlah semasak-masaknya, kemudian bertindaklah dengan cara yang bijak kerana manusia sudah dibekalkan dengan hati dan akal fikiran. Ingat ya, kita dapat apa yang kita mahu! Sampai jumpa lagi, kawan-kawan...