- Sayang Si Mawi & Siti -

December 15, 2008

Mawi dan Siti, hem… bukan Mawi dan Siti penyanyi tu, tapi Mawi dan Siti sepupu aku. Perbezaannya, seorang anak pak cik aku dan seorang lagi anak mak su aku, seorang lelaki dan seorang perempuan. Persamaannya, kedua-duanya baru berusia tiga tahun, kedua-duanya sangat comel, kedua-duanya sepupu aku dan kedua-duanya dilanggar kereta semalam kat depan rumah aku ketika melintas jalan nak ke kedai. Yang sadisnya, orang yang melanggar tu tak ada lesen dan mengatakan kedua-duanya bermain di jalan raya atau lebih tepat lagi jalan kampung yang kecil, yang biasanya orang tak bawa laju, kecuali dia. Yalah, agaknya dia aje yang ada kereta, orang lain tak ada. Orang lain cuma ada dua kaki, ada motosikal, ada beca, ada bot, ada kereta lembu, ada entah apa-apa ajelah kecuali kereta.

Sebenarnya mak cik aku ada di belakang diaorang, cumanya... budak-budak tu lari terlalu pantas. Budak-budak... excitednya selalu lebih bila teringatkan jajan yang pelbagai. Bukannya diaorang main kat jalan macam yang didakwa, tapi nak pergi kedai, nak beli gula-gula katanya. Tapi nak kata apa, benda dah nak jadi. Bukannya nak menuding jari, menegakkan siapa yang betul dan siapa yang salah. Hanya rasa tak adil bila orang yang menuduh tak ada di tempat kejadian. Masing-masing nak menegakkan benang yang basah demi memenangkan diri sendiri dan menyelamatkan diri sendiri, walaupun ada mata yang melihat, ada saksi yang boleh berdiri tegak mengatakan apa sebenarnya yang berlaku.

Langsung tak terkeluar perkataan ‘maaf’ walaupun sepatah kata tu bukan terlalu sukar nak diungkapkan. Masih lagi sempat bergelak ketawa macam yang dilanggar tu anak kucing yang tak tahu siapa mak bapak. Memang kalau nak dikira, sepatah kata tu tak berharga langsung jika nak dibandingkan dengan kecederaan yang budak-budak tu alami. Setidak-tidaknya, mampu menyejukkan hati family aku yang dah memang tak boleh nak dikawal masa tu. Maklumlah, Si Mawi dah masuk bawah kereta, hati siapa yang tak meradang kalau anak sendiri dah ada dalam keadaan macam tu? Mujur juga dalam pada panas, ada yang mampu menyejukkan.

Anehnya, si pemandu yang sangat ‘cerdik’ tu kata, dia dah brake dari jauh lagi lepas nampak budak-budak tu melintas. Soalnya, kalau betul dah brake, kenapa sampai boleh terlanggar juga? Entahlah... tak tahu nak kata apa, hanya terbayang muka mak su aku yang baru aje minggu lepas aku peluk cium sebelum balik KL, mesti mak su sedih sebab Si Siti tu ajelah satu-satunya anak dia. Terdengar-dengar juga kat telinga aku apa yang Siti cakap hari selasa lepas, ‘Mak Tam dah nak balik eh?’. Aku angguk sambil cium pipi dia. Bagi aku, tak kisahlah dia nak panggil aku apa, mak tam ke kak tam ke... asal bukan ketam. Huh... sedih pulak rasa.

Sekarang ni, kedua-duanya ada di hospital sebab kecederaan yang parah. Harapnya tak ada apa-apa kecederaan yang boleh membawa kepada... ah, aku pun tak tergamak nak fikirkan yang bukan-bukan. Hendaknya, budak-budak tu masih boleh panggil nama aku bila aku balik minggu depan. Tapi dalam kepala aku sekarang ni mula berfikir, teringat jiran aku yang ‘tersayang’ tu, yang tegar menyalahkan budak-budak tu semalam, sebab yang langgar tu anak saudara dia, baru saja dirompak 5 orang Indonesia dan habis dalam 30 ribu. Kalau hari tu aku rasa kesian, hari ni, detik ni... perlu ke aku terus rasa simpati atau campak aje rasa simpati tu jauh-jauh? Ah TUHAN... jiran yang satu itu... kenapa tak pernah ada rasa insaf?

2 comments:

  1. mudah-mudahan keduanya selamat, cepat sembuh dan boleh balik ke rumah secepatnya spy dapat menyambut kepulangan kak tam mereka nanti.. semoga Allah melindungi mereka..Amin.

    ReplyDelete
  2. dah elok sikit keadaan diaorg tu. memang harap sangat cepat sembuh macam sebelum-sebelum ni... tq atas doa tu, sangat dihargai...

    ReplyDelete