- Selasa Yang Tak Menentu -

December 23, 2008

Menjengah ke satu blog yang dah lama tak dijengah. Hati rasa tersentap, bersalah sangat-sangat. Tapi benarkah memang aku bersalah? Kalaulah dapat diundur masa... tapi yang akan terjadi? Apa yang nak dibuat? Atau, kesudahannya akan lebih elok atau sebaliknya? Soalan-soalan tu asyik bermain-main di kepala aku. Rasanya lebih banyak rasa kesal datang, lebih banyak keinginan untuk undur masa timbul. Malah seringnya kata, ‘kalaulah aku tak buat macam tu’, ‘kalaulah aku buat macam ni’, ‘kalaulah tau jadi macam ni’ dan segala-galanya bermula dengan kata ‘kalau’ semata-mata dan berakhir dengan sesuatu yang tak dijangka. Tapi yang pasti, mesti seronok kalau masa dapat diputar kan? Tentu yang berakhir dengan kesan baik akan dipilih dan itu bererti kesan buruk akan ditolak jauh-jauh. Sayangnya, siapa manusia nak cabar takdir yang datang?

Tapi sungguh, kalau memang boleh diundurkan masa, ada banyak perkara silap yang akan aku betulkan supaya apa yang berlaku hari ini tak berlaku dan tak akan berlaku sepanjang hayat. Supaya apa yang aku kesalkan kini, tak akan pernah singgah dalam kamus hidup seorang manusia bernama aku. Bukan bermakna tak ada rasa syukur dengan apa yang aku rasakan saat ini. Bukan itu maknanya, sebab masih ada begitu banyak perkara yang boleh dikatakan bukan kesilapan dan aku rasa bersyukur sangat berlaku dalam hidup ni.

Cumanya ada sesetengah perkara yang bila difikirkan balik, rasa agak kesal, perkara yang sepatutnya tak pernah terjadi, yang kalau diberi pilihan sekarang ini, aku lebih rela tak buat. Bukan juga tak suka atau benci, tapi kesal kerana banyak keputusan yang pernah aku buat dan pilih satu ketika dulu menyebabkan rasa terhukum hari ini sebab tak dapat lari lagi walaupun terasa sangat nak lari jauh-jauh tanpa perlu menoleh ke belakang sambil berkata, ‘lantaklah, apa nak jadi, jadilah’. Malah lebih dari itu, orang lain yang tak sepatutnya terlibat turut terseret sama dan mendapat kesannya pada hari ini.

Alangkah baiknya kalau mulut begitu mudah mengatakan ‘ya’ pada perkara yang memang boleh kupikul di pundak dan ‘tidak’ pada perkara yang memang dah dikenal pasti tak dapat terus memegangnya satu ketika nanti. Sekurang-kurangnya tak perlu rasa terbeban dan membebankan, tak perlu rasa terikat dan mengikat, tak perlu rasa salah dan dipersalahkan. Tapi aku, selalu tak pernah atau kurang memikirkan hari depan. Hanya tahu menghadapi hari ini dengan anggapan itulah titik tapi lupa yang titik hari ini bukannya hanya bertanda satu kerana esok masih ada, tapi bertanda tiga yang bererti kehidupan bukan berakhir hari ini, sebaliknya bersambung sehingga nadi masih berdenyut.

2 comments:

  1. "kalau lah aku buat begitu, tentu tidak akan terjadi begini!!" Manusia dan "kalau" tidak pernah terpisah!

    ReplyDelete
  2. tak terpisah dan tak akan terpisah sampai bila-bila. kalau terpisah, confirm bukan manusia...

    ReplyDelete