-Selepas PPMN 2009-

May 25, 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional Malaysia (PPMN) merupakan perhimpunan penulis muda. PPMN 2009 diadakan sebagai suatu usaha untuk melihat perkembangan dunia kesusasteraan pada masa hadapan. Idealisme dan perjuangan sasterawan muda pada hari ini dapat dilihat sebagai satu gambaran terhadap bentuk dan wajah sastera pada masa hadapan. Matlamat PPMN 2009 ini adalah untuk mengintrospeksi perjuangan penulis muda selain membuka ruang diskusi penulis dan peminat sastera untuk mengetengahkan isu, harapan dan saranan demi masa depan penulis serta sastera Malaysia.

PPMN 2009 ini merupakan perhimpunan yang kedua setelah perhimpunan pertama diadakan di Tanjung Piai, Pontian, Johor pada tahun 2005. Bagaimana perhimpunan pertama berlalu, aku tak tahu sebab pada ketika itu aku mungkin masih ada di Johor Bahru, atau mungkin juga baru menjadi warga DBP. Tapi perhimpunan kali ini, aku diberi peluang untuk turut serta. Dan sebagai wakil Bahagian Penerbitan Sastera yang ditugaskan sebagai peserta di samping disuruh membuat perolehan manuskrip, tentu saja aku lebih banyak memerhati daripada melakukan apa-apa. Dari pandangan mata aku yang tak berapa besar ni, ada begitu banyak yang dapat aku lihat, fikirkan dan kemudian simpulkan. Sampai ke hari ini, pagi ini pun masih banyak yang aku fikirkan sebenarnya.

Sesuai dengan matlamatnya, perhimpunan itu tentu saja berjalan sesuai seperti mana yang dianjurkan. Tapi yang lebih mengujakan aku, bila melihat muka-muka baru yang masih begitu muda, muka-muka yang menjadi tempat sandaran di masa akan datang, kelihatan seperti begitu bersemangat mengikuti ceramah demi ceramah yang disampaikan. Entah apa yang ada dalam fikiran mereka, tak mungkin aku dapat tembusi. Cuma aku berharap, apa yang disampaikan akan kekal dalam simpanan ingatan mereka buat selama-lamanya dan seterusnya dapat dijadikan ilmu dan panduan sepanjang mereka menggelarkan diri mereka sebagai penulis sebab menjadi penulis, sama ada karya berat atau karya pop, selagi seseorang itu bergelar penulis yang menulis, tidak semudah yang disangkakan. Ya, berat mata memandang tapi berat lagi pundak yang memikul bebanan. Bercakap memang mudah, tapi realitinya... tidak semudah itu.

Bagi aku pula, sesi ceramah berjalan dengan agak lancar. Apalagi bila sekali-sekala isu PPSMI disentuh. Ya... siapa pun selagi bergelar Melayu, rasa-rasanya tidak akan setuju dengan PPSMI itu, bukan hanya penulis muda semata-mata. Cuma mungkin, penulis muda khususnya yang terlibat dalam PENA punya lebih ruang dan peluang untuk memperjuangkan isu hangat itu. Sebagai orang yang bukan siapa-siapa, aku tetap memberikan sokongan selagi sesuatu itu baik. Takkanlah aku sudi melihat bahasa sendiri dijajah bahasa asing, cukup-cukuplah tanah air ini pernah dijajah berpuluh-puluh tahun lalu. Tapi terus terang juga aku katakan, tidak juga semua sesi ceramah yang disampaikan mampu membuatkan aku rasa berkobar-kobar kerana ada masa-masanya mata aku terasa seperti tertutup rapat, hanya kepala tidak condong ke kanan dan ke kiri. Aku tidak juga menyalahkan pembentang atau penceramah. Mungkin aku yang bermasalah kerana sepanjang minggu lepas, tidur aku sangat terhad, atau mungkin memang topik yang disampaikan kurang menarik minat aku, atau juga... dalam diam, ada sesuatu terbuku dalam jiwa yang tak dapat dikeluarkan, maka aku mengambil keputusan untuk memekakkan telinga dan membutakan mata sebagai langkah yang selamat kerana aku tidak mengganggu sesiapa rasanya, pun tidak mahu mengganggu hati dan minda sendiri.

Entahlah... aku tak tahu. Mungkin benar kata hati aku sejak awal lagi yang aku tak patut berada di tengah-tengah mereka kerana sedikit sebanyak aku seperti dah dapat agak apa yang bakal diperkatakan. Aku tegaskan di sini, bukan tak suka sebab aku tak ada alasan untuk tak suka sesuatu yang baik, apalagi majlis ilmu yang tentu saja diberkati ALLAH. Hanya, aku merasakan yang antara aku dan mereka tak sama, bezanya bagai langit dan bumi kerana perjuangan mereka tentu saja perjuangan yang hebat. Punya matlamat sebesar gunung dan seluas lautan dalam berkarya dan menyampaikan apa yang terbuku. Dan, aku sangat menghormati dan menghargai perjuangan mereka itu sebagaimana aku mengagumi karya-karya hebat yang mereka hasilkan selama ini. Sedangkan aku, aku tak pernah berharap begitu banyak, jauh sekali meletakkan impian sejauh itu. Aku bukan pengarang hebat, tapi tak hebat mana pun aku, aku tetap mengharapkan pembaca novel-novel aku akan menjadi sangat hebat. Maksud aku, aku tetap mengharapkan mereka akan mendapat iktibar selepas membaca novel-novel aku yang tak seberapa tu, kalau pun tak banyak, sikit pun cukup. Sebabnya, aku tahu kebolehan aku setakat mana, hanya itu yang aku mampu buat untuk ketika ini, akan datang aku tak berani cakap sebab bukan ada dalam tangan aku. Mungkin juga aku akan beralih arah. Tapi yang pasti, nak menggoncang dunia sastera di Malaysia, jauh sekali di dunia... mungkin bukan aku orangnya kerana aku hanya mahu menjadi penulis biasa. Penulis kecil-kecilan yang tak mengharapkan apa-apa, kecuali supaya minat yang ada dalam diri tak terus berkubur begitu saja. Hanya yang jelas, untuk aku berdiri dan duduk setanding mereka, rasanya masih begitu jauh, walaupun sebenarnya aku tahu dengan jelas ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Barangkali, aku dah sangat selesa sekarang ni.

Apa pun, alhamdulillah... segala-galanya sudah pun selesai dan berjalan dengan sempurna hingga ke titik akhir. Tapi sampai ke saat ini, aku masih teringat-ingat kata-kata Dr. Awang Azman Awang Pawi yang kedengarannya agak jujur bila mengatakan bahawa beliau memandang positif terhadap kewujudan karya pop. Bagi beliau, pembaca yang membaca karya pop mungkin tentu tak akan selamanya membaca karya pop kerana jalan cerita dan tema yang sama, mungkin lama-kelamaan akan beralih arah kerana perlukan sesuatu yang baru dan yang lebih mencabar. Ya... aku sangat setuju dengan pandangan beliau, setidak-tidaknya kata-kata semacam itu boleh dijadikan pembakar semangat atau daya pujuk untuk penulis seperti aku dalam memperbaiki diri dan mutu karya. Tidaklah aku terus merasakan diri kecil sekecil hama.

Untuk mereka yang telah berusaha menjayakan PPMN 2009, sekalung tahniah aku ucapkan. Semoga perhimpunan seperti itu akan diadakan dengan lebih kerap lagi pada masa-masa akan datang.

6 comments:

  1. aleya,

    terima kasih kerana hadir. PPMN 2009 jadilah kan nya satu catatan pengalaman yang masam-masam manis.

    sastera itu untuk semua bukan untuk satu golongan sahaja.

    aleya,
    terus menulis kerana saya kadang-kadang hendak berhenti menulis kecuali memo, surat dan kertas awalan/konsep, sebab kena tulis yang itu untuk cari makan.

    ReplyDelete
  2. hai saiful... tak kira apa rasa, PPMN 2009 tetap ada kenangan tersendiri yang sampai hari ni pun saya masih ingat. soal sastera, alangkah baiknya kalau semua orang dalam dunia ni punya pandangan macam awk. dan awk pulak...jgn berhenti menulis sb buah tangan awk masih diperlukan dan pastinya akan terus diperlukan. ttg memo, surat dan kertas awalan...nampaknya selagi belum jd org kaya, mmg kena buatlah sb tu periuk nasi kita...

    ReplyDelete
  3. ermmm... aku menulis,bukan kerna namaaaa... cewah! troskan usaha sis..moga ada kejayaan n kepuasan di sebuah akhiran

    ReplyDelete
  4. Kadang-kadang kita tak tahu...apa yang kita dapat pada hari ini, mungkin akan lebih bermakna pada masa-masa akan datang.

    Apabila kita tidak mencari sesuatu, kita tidak akan menemui sesuatu.

    ReplyDelete
  5. NoRT - terima kasih sangat atas sokongan dan doa tu, akak hargai sangat...

    Mersik - ya, mmg kte x tau apa yg akan jd pd masa akan dtg sb bkn kuasa kte sbg manusia. dn bila kte mencari sesuatu tp kte x menemuinya...itu bererti, kte harus terus cari dan mencari kerana sudah tertulis, org yg berusaha, kemudiannya menyerahkan segala-galanya pada ALLAH...ganjarannya pasti ada. cumanya, ganjaran yg kte dpt x semestinya spt apa yg kte harapkan. sbnya, baik pd kte, belum tentu terbaik utk kte...

    ReplyDelete
  6. penyakit kepada mengantuk, tidur jelah.

    - tuan speaker

    ReplyDelete