- DuA dAlAm SaTu -

April 21, 2011

Hari ni adalah hari yang sangat letih untuk saya. Malam tadi saya tak dapat tidur walaupun saya masuk tidur seawal pukul 10.00 malam. Puas bergolek ke kiri dan ke kanan, tetap juga mata saya tak mahu lelap. Sudahnya, yang dapat hanya rasa pedih. Yalah... saya memejamkan mata beria-ia, sedangkan mata saya tak mahu tidur. Salah saya sebab saya memaksa pada yang tak mahu. Cuba kalau saya dipaksa, marah tak saya? Jawapannya, dah tentulah saya mengamuk macam Hang Jebat masa Zaman Melaka dulu. Mujur juga bila bangun pagi, mata saya tak bengkak sebesar telur puyuh dan tak juga lebam macam kena tumbuk gara-gara curi durian di dusun Kak Kiah. Tapi yang jadi masalahnya, belum pun mula kerja mata saya macam dah digam dengan gam gajah, ditekankan sekali lagi ya, gam gajah, bukannya gam UHU. Kalau gam UHU mungkin masih boleh dikopak lagi. Bila dipanggil gam gajah yang ada gambar gajah tu, seksanya rasa TUHAN saja yang tahu.

Dan bila mata ngantuk bergabung dengan rasa letih yang agak melampau [ya, saya memang akan jadi manusia yang sangat tak bermaya selepas menyiapkan satu-satu manuskrip sebab dalam proses menyiapkan manuskrip saya dah keluarkan semua kekuatan dalaman yang saya ada dan bila siap, saya macam dah tak ada apa-apa], muka saya jadi macam asam kecut sepanjang masa, berjalan hanya memandang depan dengan langkah yang lemah macam tak makan setahun dan lebih buruk daripada itu saya jadi manusia terlebih emosional. Pantang tercuit, mudah terasa dan mudah naik angin. Kalau ikut hati agaknya akan ada aksi buku terbang sebab nak buat piring terbang saya tak kerja kat kedai makan. Jadi... kebarangkalian nak jumpa piring atau pinggan atau dulang adalah sangat susah, kecuali saya rajin pergi ambil di pantri. Sebab itu saya tak suka kalau pergi kerja kalau saya tak tidur malam. Tapi ada juga beberapa kali saya buat perkara ni.

Antara sebab-sebab yang membolehkan saya tak tidur malam, minum nescafe pada waktu petang atau malam hari, baca novel sampai ke pagi dan tengok DVD Korea, Taiwan atau Jepun. Mujur juga akhir-akhir ni saya dah jarang buat ketiga-tiga perkara tersebut. Kalau ada pun saya akan buat masa hujung minggu. Tapi DVD Korea, Taiwan dan Jepun saya langsung tak sentuh sebab saya tak nak rasa terikat. Sekali saya tengok, saya tahu saya akan cari, cari dan cari sampai saya dah tak jumpa cerita yang boleh tarik minat saya lagi.

Hem... saya nak tinggalkan kisah saya yang letih dan tak dapat tidur tu sebab saya dah tak tahu nak tulis apa lagi tenang itu. Tapi sekarang ni saya nak bukak cerita lain pula. Tadi, seorang kakak di bahagian saya kata, “Bila akak baca novel awak. Akak tengok awak. Kenapa lain?” Saya yang faham apa maksud kata-kata dia, ketawa besar. Ya, saya memang seorang yang suka ketawa dan ceria. Padahal... saya tahu terlalu banyak ketawa tak baik sebab nanti hati mati, tapi di sudut yang lain, orang kata boleh awet muda. Itu... orang yang kata, bukan saya dan kalau nak saman, saman orang jangan sama saya atau pokok kelapa sebab saya hanya memetik kata-kata orang dan pokok kelapa pula tak ada kaitan dalam ini cerita ya.

Betul kata kakak tu, saya sedar yang karya saya memang nampak agak serius, kurang lawak jenaka, bahasanya tak terlalu santai dan tak juga terlalu berbunga-bunga. Bahkan lebih daripada itu, orang yang baca karya saya selalu sangka bahawa saya seorang yang kesian sebab novel-novel saya kebanyakannya mampu mengundang air mata pembaca dan saya seolah-olah bercerita tentang diri saya sendiri. Oh... tidak! Tidak dan tidak! Hidup yang saya jalani selama ini tidaklah sesadis watak-watak dalam karya saya. Tapi tidak juga bermakna hidup saya ‘plain’. Kalau ada orang kata hidup saya ‘plain’, yang itu saya sangat tak setuju sebab saya percaya setiap orang di dalam dunia ni didatangkan dengan pakej yang lengkap. Ada bahagia, tentu ada derita. Ada suka, tentu ada duka. Ada lurus, tentu ada bengkok. Makanya, saya juga tak lari daripada diduga DIA.

Pernah satu ketika, saya diuji dengan ujian yang langsung tak pernah terjangkau di fikiran saya. Ujian yang saya rasa saya tak mampu hadapi. Saya menangis, menangis dan menangis kerana saya dapat rasa yang saya tak akan mampu tanggung. Tapi bila hari ini saya masih mampu menjalani hidup seperti biasa, saya faham. Itu bererti saya mampu. Dan saya sedar, ALLAH tak akan menduga hamba-NYA melebih kemampuan yang dimiliki.

Dan berbalik pada kakak tadi tu, sebenarnya yang dia nak sampaikan, saya ni orangnya gila-gila dan periang. Novel yang dia baca tu macam bukan saya yang tulis tapi orang lain. Dan saya... saya memang tak ada jawapan untuk kata-kata macam tu. Yang ada, hanya senyum dan ketawa. Lagipun, saya tak menulis kisah saya sebab kisah saya tak begitu menarik untuk digarap menjadi sebuah novel, ;-)

1 comment: