Cuti hujung minggu lepas aku balik kampung. Bukanlah sebab nak mengundi sebenarnya. Tapi sebab sepupu aku melangsungkan perkahwinan. Dia ni sepupu belah abah, masa kecil aku kira rapat dengan dia, tapi bila dah besar jadi renggang. Paling aku suka tidur rumah dia sampai mak bengang. Yelah, mana ada mak yang suka anak dia tidur rumah orang. Tapi aku, memang suka buat apa yang orang tak suka. Rasa seronok agaknya masa tu dapat cabar kesabaran orang. Lagi orang kata jangan, lagi aku suka nak buat. Lebih-lebih lagi masa tu nenek belah abah masih ada, tapi atuk dah lama tak ada. Aku selalu rebut nak tidur sebelah nenek aku tu dengan Kadijah, Aminah, Fatimah dan Halimah. Kononnya tidur sebelah nenek selamat, hantu takut. Kadang-kadang sampai gaduh-gaduh dan kesudahannya, aku balik rumah tengah-tengah malam sebagai tanda protes.
Cuma bila masa dan jarak semakin menjauh, hubungan yang rapat pun mula semakin menjarak sedikit demi sedikit. Seiring dengan putaran waktu, aku jadi rapat dengan sepupu sebelah mak pula tak kira lelaki atau pun perempuan. Dan, sampai ke hari ini pun aku masih rapat dengan sepupu belah mak. Cuma sekali-sekala aje bertegur sapa dengan sepupu sebelah abah, aku yang kecoh jadi beku bila berada di tengah-tengah diaorg, hilang rentak nak beramah-mesra. Jauh sekali nak berkongsi cerita macam masa kecil. Kenapa sampai boleh jadi macam tu, aku tak begitu pasti. Mungkin ada cerita yang dah semakin hilang dalam ingatan atau pun aku yang sengaja menghilangkannya. Hem... buat apa nak diingat kisah-kisah lalu kalau hari depan menjanjikan sesuatu yang lebih indah.
Apa pun, aku tumpang gembira masa majlis tu. Dah bertahun-tahun tak menolong melayan orang dalam majlis kahwin, tiba-tiba hari tu aku dengan rela hati menyingsing lengan baju. Penatnya TUHAN saja yang tahu. Tapi di tengah-tengah keseronokkan, rasa sedih dan takut melanda aku dan keluarga sebab pak cik masuk hospital sebab sakit. Ada nanah dalam paru-paru dia, kata doktor. Tapi alhamdulillah, selepas operation semuanya beransur pulih. Nak menangis juga masa tengok dia di hospital sebab adik mak aku ni memang dah lama sakit. Dan, yang paling aku terharu sekali, lepas pak cik aku ni dioperation, adik aku dan sepupu-sepupu yang lelaki bergilir-gilir jaga dia, ada yang siang dan ada yang malam. Sampai cengkung-cengkung mata adik aku sebab dia asyik kena jaga malam je. Tengok dia ketawa masa aku buat lawak bodoh kat hospital yang dah dipenuhi dengan kaum kerabat aku tu, aku jadi bertambah lega. Pasti sakit dia dah beransur baik. Harap-harap dia cepat sembuh dan boleh balik semula ke rumah.
No comments:
Post a Comment