KERANA kasih yang mendalam, Syed Khaled sanggup melarikan Normala daripada dipaksa berkahwin dengan lelaki tua. Mereka sanggup menempuh perjalanan yang panjang semata-mata untuk membuktikan cinta mereka cinta sejati. Mungkin jodoh telah tersurat, Normala dan Syed Khaled berjaya diijab-kabulkan. Dalam manisnya mengecap bahagia, Normala dikejutkan dengan berita yang benar-benar mencabar emosi wanitanya. Dia kini bergelar madu!
Bagi Syed Khaled, walaupun ada dua suri dalam hatinya, nama Normala tetap bertakhta di tempat paling atas. Tiada siapa pun yang dapat memisahkan mereka kecuali maut. Normala adalah cinta pertama yang akan dikenang sampai bila-bila. Tanpa Normala, hidupnya ibarat malam tanpa siang. Tiada arah tujuan dan tiada sebarang harapan.
Sayangnya, panas yang disangka berpanjangan bertukar gerhana sekelip mata. Berita kematian Syed Khaled bagai langit menimpa kepala. Apatah lagi kebenaran yang selama ini tersimpan rapi terbongkar satu demi satu. Anak-anak yang diharap menjadi penyambung kasih antara dua keluarga kini bertelagah. Semuanya gara-gara harta. Madu yang selama ini begitu dingin, mula menunjukkan taringnya. Normala sedih bukan kepalang.
Tapi, sampai bila dia dapat bertahan jika hatinya sering terusik? Dan, mampukah wasiat itu mendekatkan kembali jurang yang semakin luas? Baginya, duka di hati siapalah yang tahu...
JANGANKAN di alam sedar, di alam mimpi pun Jehanna Aisya tidak pernah berhajat untuk punya suami. Baginya, pengalaman lalu adalah guru yang paling jujur. Api dendam yang marak terhadap lelaki tidak pernah padam walau tahun demi tahun berlalu. Selagi terdaya, dia akan berlari dan terus berlari walaupun ke hujung dunia.
Katalah apa pun, Fahem Ammar tetap tidak memerlukan wanita ber-gelar isteri dalam hidupnya. Dia bukan jenis lelaki yang akan tunduk pada kehendak hati. Baginya, perkahwinan itu ibarat satu perjudian. Menang atau kalah hanya bergantung kepada nasib. Selagi boleh dielak, dia akan cuba mengelak seberapa daya yang mungkin.
Tapi, itu kata Fahem dan Jehanna yang punya cerita tersendiri, sedangkan janji ALLAH jauh lebih baik daripada itu. Dalam hangatnya mentari yang memancar, mereka dipertemukan dalam keadaan yang tidak diduga. Ada ego yang tercalar, ada hati yang terbakar dan ada pula bibit-bibit rindu yang hadir tanpa disedari.
Namun, bukan hidup namanya jika berjalan di atas garis lurus semata-mata. Bersaksikan Pulau Redang, Fahem melafazkan cinta. Malangnya, pantai yang sama juga menjadi saksi luka di hati Jehanna kembali berdarah. Semuanya kerana Fahem!
Benarkah kepercayaan itu umpama sebuah kristal, cantik memukau mata, tapi sekali terhempas tak mungkin akan dapat bercantum kembali?
KARISSA LISA diceraikan kerana cuba menduakan suaminya. Hidupnya semakin tertekan apabila bekas suami menafikan hak penjagaan dua orang puteri kembar mereka, Puteri Qayrina dan Puteri Qistina.
Pertemuan dengan Tommy Yadees memberikan keyakinan kepada Karissa. Lelaki itulah pembangkit semangatnya, juga merawat kepedihan hidupnya selama ini. Dia sedar kini, kebahagiaan bukan boleh dibeli dengan harta kemewahan.
Lantaran itu, Karissa kembali menjadi wanita yang 'digeruni'. Dendam kesumat terhadap seorang lelaki bernama suami memaksanya bertindak nekad. Lantas, bermulalah detik-detik penyamaran-nya yang penuh makna!
Datuk Mukhris pula semakin resah. Satu rahsia yang telah terpendam sekian lama berjaya dibongkar oleh wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu. Ternyata, Karissa bukan calang-calang wanita yang boleh diperbodohkan!
Namun, wajarkah Karissa berdendam sebegitu rupa sehingga tergamak memerangkap ayah kepada anak-anak sendiri? Tercapaikah impian seorang ibu yang ingin membuktikan kasih sayang terhadap sang puteri atau mungkinkah segalanya itu akan hanya membuka pekung di dada dan mencalar maruah insan yang pernah dikasihi?
Yang pasti ada hati yang terluka... ada jiwa yang menderita!
kak aleya aneesa! sy dah bc novel terbaru akak =) sy suke sngat! n bg sy, semua novel akak sy dah bc semua (yg keluaran alaf la) n sy rs semuanya hebat-hebat belaka. ade mesej tersendiri.. good luck! =)
ReplyDeletehai iera-mysara... terima kasih sebab iera dah baca novel tu n terima kasih sebab suka. akak hargai n harap iera akan terus bagi sokongan pada akak ye...
ReplyDelete