-MuJuR tAk ToLaK @ tArIk DiRi -

October 8, 2011

Ketika dapat panggilan daripada editor Alaf 21, saya terpinga-pinga juga. Tak tahu, sama ada perlu rebut peluang yang diberikan atau pun tidak. Maklumlah, selama ni saya lebih cenderung tulis kisah dewasa walaupun saya akui, sebelum ni bukannya tak pernah tulis kisah kanak-kanak @ remajal. Novel ATIRAH dan CUBIT KANAN CUBIT KIRI adalah bukti kalau saya pernah masuk ke dalam dunia kanak-kanak atau remaja selepas jadi dewasa. Entah kenapa, saya rasa sukarnya nak meletakkan diri menjadi kanak-kanak @ remaja pada saat saya dah melepaskan zaman itu lama dulu. Tapi memandangkan peluang tak datang berkali-kali, saya sambut juga ‘lamaran’ yang datang. Mana tahu, sekali saya menolak peluang yang muncul dan selepas itu peluang tak sudi lagi menjengah saya.

Kata orang, ‘Tak cuba tak tahu’. Maka berpegang pada kata orang yang entahkan siapa itu, saya tekad pergi ke Karangkraf bersama Bikash Nur Idris. Mendengar taklimat yang diberikan, saya terkedu tapi tak kelu lidah sebab ketika tu saya masih mampu berbisik dengan kawan-kawan lain. Sangka saya, saya perlu buat sebuah novel kanak-kanak macam yang pernah saya buat, tapi rupa-rupanya tidak. Sebaliknya, saya dan kawan-kawan yang lain perlu siapkan sebuah kisah dalam 40 halaman dan dalam satu buku nanti aka nada 5 orang penulis. Jadi saya simpulkan, buku-buku yang terbit nanti akan digelar antologi kerana menggabungkan karya beberapa orang penulis.

Masa tu saya dah rasa berat hati. Memendekkan cerita memang bukan saya ahlinya, tapi kalau panjangkan insya-ALLAH saya mampu buat. Rasa saya membuat kisah panjang lebih mudah daripada kisah pendek. Tapi mendengar deadline yang diberikan, mulut saya hampir-hampir menyebut yang saya mahu menarik diri. 40 halaman memang kedengarannya sangat sikit, tapi kalau 40 didarabkan dengan 5 kerana setiap orang harus menyiapkan 5 kisah, tidakkah menjadi banyak. Dan dalam tempoh tak sampai sebulan, saya benar-benar terasa seperti ‘Tak ada beban batu digalas’. Tapi mujur juga mulut tak tersebut perkataan itu. Malu pulak rasa menarik diri pada saat kawan-kawan lain kelihatan teruja, dan lebih malu bila nama saya asyik disebut-sebut dalam perjumpaan tersebut.

Akhirnya, dalam keadaan tak yakin saya cuba bertahan. Menyiapkan 5 buah sinopsis dalam masa yang singkat memandangkan minggu tersebut saya balik kampung, saya sangat berharap sinopsis saya diterima tanpa ada pembetulan. Susahnya memikirkan hendak membuat cerita apa, ALLAH saja yang tahu. Saya ikut mengimbas kenangan-kenangan masa di bangku sekolah rendah dan menengah. Dan tak malu saya katakan bahawa apa yang saya tulis, ada yang benar-benar berlaku dalam hidup saya sendiri. Dan bila harapan jadi kenyataan, saya rasa sangat bersyukur. Tak perlulah saya baiki sebab saya bimbang akan jadi seperti ‘Tikus membaiki labu’.

Sebaik saja sinopsis diterima, saya mula menggembara. Tekad saya dah bulat, sekali saya melangkah saya tak akan berpatah balik semula. Bila kisah pertama siap, diikuti kisah kedua, ketiga, keempat dan kelima, saya sudahnya mampu menarik nafas lega. Kelima-lima kisah itu saya sudahkan dalam masa sampai 17 hari saja. Tapi dalam masa 17 hari tu, saya terasa yang saya macam dah tak serupa orang. Saya tak pernah menulis ikut deadline, jadi bila harus akur, saya sungguh-sungguh terasa susah hati. Masa tu, makan minum, tidur dan mandi pun jadi lintang-pukang. Sebiji macam orang dipanah cinta. Tu… kata orang juga ya, bukan saya.

Dan bila Siri MERAH CINTA KITA [set pertama] siap dicetak walaupun belum diedarkan dan dalam siri kali ini, 3 daripada air tangan saya bakal terbit [siri pertama ada 5 buku], saya betul-betul rasa gembira. Syukur… sebab saya tak tolak tawaran yang diberikan dan tak juga tarik diri di saat-saat akhir. MUJUR TAK TOLAK @ TARIK DIRI! Kalau saya tolak dan tarik diri, mungkin saya tak dapat lihat nama saya tercatat di kulit buku kanak-kanak @ remaja yang digelar sebagai ‘novelet’ itu.

Dalam setiap buku, ada cerita yang turut dilampirkan dengan gambar-gambar dalam bentuk anime seperti yang terdapat dalam komik. Ada pelbagai kisah yang tentunya ada nilai dan pengajaran. Saya harap buku-buku comel itu akan diterima pembaca, khasnya kanak-kanak @ remaja kerana apa yang ditulis itu sangat dekat dengan mereka. Tapi bukan bermakan golongan dewasa tak boleh baca kerana saya percaya kita yang dewasa pernah melalui fasa itu dan tentu masih ingat cerita masa indah itu. Tak salah kan jika kita mahu mengimbas kenangan dulu-dulu?

Di bawah ini, ada tiga buku yang tangan saya tulis sendiri. Buku yang lain akan saya tepekkan di lain hari berserta dengan hadiah lumayan yang bakal diberikan kepada mereka yang membeli kelima-lima buku dalam siri MCK ini. Tapi bukannya setiap orang boleh dapat hadiah percuma tersebut, hanya mereka yang bertuah saja mampu memilikinya.

MCK 1

MCK 2

MCK 5

2 comments:

  1. 1,2,3. lagi 2 x cukup ya? InsyaALLAH, Sofia akan beli kelima-limanya! *semata-mata nak baca hasil tulisan Kak Mar* Hahaha.. Kemain eksaited ni. Bila buku keluar kak? Nanti boleh order terus dgn akak x? *siyes. nak beli kat kedai takut tkena yg cetak rompak*

    ReplyDelete
  2. lagi 2 akan muncul kalau projek kali ni berjaya. akak x ada jual novel tap... kalau sofia betul2 nak, akak akan usahakan. cumanya beli kt penulis kena bayar harga kos penghantaran, beli kt kedai tak payah... ;-)

    ReplyDelete