-Dalam Sayang Ada Terkilan-

November 6, 2007

Tak jadi cuti! Ikutkan rancangan dan kalau ikutkan hati, hari ni aku nak ambik cuti kecemasan walaupun tak ada apa-apa yang mencemaskan berlaku pada aku. Hanya ada sedikit hal yang perlu diselesaikan. Tapi bila difikirkan kembali, rasa macam tak berbaloi pula, sedangkan aku boleh keluar sekejap dan balik semula ke pejabat. Terlanjur bos pun cuti hari ni dan kerja aku pun tak banyak, jadi tak adalah rasa segan sangat.

Alamak apa nak tulis lagi ye? Tiba-tiba hilang idea pulak. Tadi rasa macam nak menulis sangat, berkobar-kobar benar semangat ni. Tapi sekarang semuanya dah hilang macam angin, jari aje yang masih setia nak mengetuk. Mungkin ada begitu banyak benda dalam kepala ni yang minta dikeluarkan, berebut-rebut macam semut yang nak keluar dari sarang, tapi tak tahu pula mana satu yang patut dikeluarkan dulu dan mana satu yang patut disimpan dalam muzium sendiri. Sebab... ada benda yang boleh kita luahkan dan ada benda yang tidak mampu kita luahkan walaupun ingin. Hem... cete ajelah apa-apa yang aku rasa nak cetekan di sini. Untuk ingatan sendiri, kalau-kalau terlupa satu masa nanti. Ceh, jiwang karat... uwekkk!!!

Malam tadi, aku banyak berfikir... berfikir mengapa kita selalu menyakitkan hati orang-orang yang dekat dengan kita? Sedangkan orang-orang itu selalu ada dan akan tetap ada di sisi kita bila diperlukan. Malah, apa pun berlaku, orang-orang itu tak pernah jemu menarik tangan kita bila tersadung akar dan tersungkur ke lantai. Tapi kenapa kita, ada masa-masanya tidak tahu menghargai? Atau kita sebetulnya cuba membutakan mata sendiri demi menutup segala kebaikan itu? Atau barangkali juga ada ego yang dijulang supaya tidak terus tercicir? Tak tahulah...

Mungkin orang-orang itu, sebenarnya tak bermaksud apa-apa bila berkata-kata atau menulis, cuma yang mendengar atau membaca yang cepat ter'emo'. Pantang tercuit, cepat saja nak melatah dan membalas. Tak sedar rupa-rupanya kita dah besarkan benda yang remeh-temeh. Tapi sungguh... ada masanya, ada ketikanya, ada detiknya, mungkin ada satu rasa dalam diri kita yang orang lain tak dapat rasa. Muncul bila terasa diri dah melakukan kesilapan walaupun tak ada kesilapan yang dilakukan sebenarnya. Atau sebenarnya kita sedang dikejar bayang-bayang sendiri sebab dah banyak sangat buat salah dalam hidup. Tapi apa agaknya kesalahan yang dah dibuat? Huh... mungkin tak tahu nak jaga hati dan perasaan orang baik-baik macam orang jaga hati perasaan kita.

Jadi, kalau aku ada buat salah hingga menyebabkan ada orang terasa semalam dan hari ini, aku minta maaf banyak-banyak. Dah cuba buat yang terbaik, tapi di akhirnya, tetap juga ada kepincangan...

1 comment:

  1. hakikatnya, orang yang kita sayang itulah yg selalu kita sakiti dan menyakiti hati kita sedangkan kita tidak mengingini sedemikian. tapi mengapa kita masih tetap menyayangi dn ingin disayangi? itulah ajaibnya perasaan yang dianugerahkan Allah. tidak diletak kasih sayang itu dalam hati semua makhluknya, hanya mereka2 yg bertuah yg dikehendakiNYA sahaja. maka kita patut bersyukur andai ada dalam hati kita perasaan kasih dan sayang sesama makhluk di bumi Allah ini..

    ReplyDelete