-Ilmu Percuma-

April 10, 2008

Hari ni, aku dapat lagi satu pelajaran yang amat berguna daripada seorang kawan tentang sesuatu yang melibatkan pekerjaanku. Pelajaran yang akan aku ingat dan gunakan sampai bila-bila selagi aku bergerlar seorang editor. Sebabnya, selama ini aku selalu diam atau mengucapkan kata maaf berulang-ulang kali jika ada yang marah atau tak puas hati dengan hasil kerjaku atau dengan orang yang tidak memahami posisiku. Bukannya sebab aku terlalu baik tapi aku sering kali tidak tahu harus bertindak bagaimana dan menjawab apa. Bimbang kalau-kalau alasan dan penerangan yang diberikan akan lebih memburukkan keadaan yang memang dah sedia buruk. Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada terus tegar mengatakan diri tidak bersalah? Walaupun jauh di sudut hati, terasa hilang juga sabar yang kupupuk, apalagi bagi seorang yang bernama 'aku' yang memang kurang sabar dalam segala hal. Mudah melatah bila hati dicuit tiba-tiba.

Benarlah kata kawanku itu, 'kadang-kadang diaorang ni terasa diri diaorang hebat, sebab tu tak peduli pada perasaan kita sebagai editor. Diaorang ni ada masa-masanya perlu diajar supaya tahu diri'. Ya, dalam diam aku akui kata-kata itu. Hampir 3 tahun bekerja, aku mula belajar sedikit demi sedikit, melangkah perlahan seperti anak kecil yang tidak tahu apa-apa pada asalnya dan kemudian semakin lama semakin laju melangkah seiring dengan putaran masa yang terus bergerak meninggalkan manusia. Tapi sering persoalan berlegar-legar di hati, benar-benar hebatkah atau diri saja yang merasakan kehebatan itu?

Entahlah, aku tidak ada jawapan yang pasti sebenarnya kerana sikap manusia di dunia ini begitu rencam walaupun rambut sama hitam. Cuma yang pasti, aku juga seorang penulis, tak perlu menggoreng aku begitu dan begini kerana sedikit sebanyak, aku juga tahu selok-belok dunia penulisan walaupun aku tidak sehebat mana. Kepada kawan yang mengajar ilmu berguna itu, yang selalu membuli dan menyakat aku hingga kadang-kadang aku terasa nak mengamuk dan menangis kerana hilang sabar, terima kasih atas ajaran itu. Jasa anda dikenang...

2 comments:

  1. luahan hati editor, hanya huruf2 dalam manuskrip itu saja yg mengerti :)

    ReplyDelete
  2. luahan hati editor? hem... betullah tu agaknya. kdg2 x semua boleh simpan dlm hati...

    ReplyDelete