- SPM & mAk SaYa -

March 23, 2011

Hari ni dalam perjalanan pergi kerja, terdengar berita yang hari ni result SPM keluar di radio Hot FM. Saya tersenyum sendiri, agak lebar kerana ada sesuatu mencuit hati saya bila soal result SPM ini disebut berulang-ulang kali. Apa perasaan kamu, kamu dan kamu bila tahu result SPM nak keluar? Gementar, gemuruh, gigil, atau... tenang-tenang aje? Kalau gementar, gemuruh dan gigil, kita serupa dan saya kira kita adalah segolongan orang yang boleh dianggap normal kerana punya perasaan macam tu. Tapi kalau tenang-tenang aje, kita memang tak serupa dan kamu, kamu dan kamu bukanlah tidak normal sebenarnya, hanya boleh dikategorikan sebagai golongan istimewa sebab bukan semua orang boleh tenang dalam keadaan genting seperti itu. Makanya, saya ucapkan tahniah kepada kamu, kamu dan kamu yang selalu tenang dalam apa pun juga keadaan. Sungguh... saya kagum!

SPM... selalu mengingatkan saya pada mak saya. Teringat malam sebelum result keluar, saya tanya pada mak saya dengan wajah yang tentu aje dibuat-buat sedih bercampur cuak. Tapi cuak tu bukan dibuat-buat sebab saya memang cuak yang sebetul-betul cuka walaupun sedar yang saya tak belajar betul-betul dan hanya belajar di sekolah semata-mata. Yang pura-pura tu adalah riak sedih sebab saya ada masa-masanya memang boleh jadi pelakon yang baik walaupun pada kebiasaannya saya selalu jadi pelakon yang gagal. Pertanyaan saya pada mak, “Mak... kalau keputusan SMP Ami teruk, mak marah tak?” Mak saya senyum lebar, dia balas, “Kalau dah macam tu, nak marah buat apa. Terima ajelah.” Saya kata lagi, “Betul mak tak marah Ami?” Mak saya geleng dan saya terus tersenyum lebar.

Mak saya... orang kata mak saya garang hanya semata-mata air muka dia yang agak serius. Tapi entah kenapa saya tak pernah melihat kegarangan tu ada pada wajah mak saya. Kalau ada pun ketika saya kecil-kecil. Meningkat aje remaja, saya memang tak pernah kena cubit, jauh sekali pukul. Kalau mak saya marah, mak saya akan diam dan tak berkata apa-apa. Tapi pada akhirnya, dia akan mengalah juga kerana saya ternyata lebih keras kepala daripada dia. Tak kira saya salah atau saya tak salah, saya tetap tak akan bercakap dengan dia kalau hati saya tergores. Kalau duit saya hilang, saya akan memprotes dengan mogok suara pada dia walaupun bukan dia yang ambil duit saya yang tentu aje datang daripada dia. Mak saya yang baik hati tu akan gantikan balik duit saya yang hilang supaya saya tak terus diam. Kalau saya terjumpa balik duit yang hilang tu kemudian, saya tak akan pulangkan duit ganti tersebut sebab saya kata, “Mak dah bagi Ami duit tu, jadi duit Amilah kan?” Mak saya memang tak terkata dengan perangai saya ketika tu.

Pernah satu ketika mak saya kata pada mak cik saya, “Jaja kalau salah atau tak salah, tetap akan tegur kau. Tapi dia (merujuk pada saya dengan menyebut nama yang tak boleh saya sebut di sini) jangan harap nak mengalah. Selagi kita tak tegur dia, selagi itulah dia akan jadi batu.” Dan kemudian mak cik saya akan jawab, “Tapi dia (merujuk pada saya dengan menyebut nama yang tak boleh saya sebut di sini) walaupun tak nak mengalah, tetap dengar kata juga. Jaja pula... dimarah macam mana pun, nanti-nanti buat lagi”.

Ya... itulah kisah kakak dan adik yang tension dengan perangai anak masing-masing, yang masing-masing bila berbual selalu lupa melihat kiri dan kanan. Padahal di kiri dan kanan itu ada saya dan Jaja yang selalu memasang telinga. Sudahnya kami berdua ketawa dalam diam. Memang tak dapat dinafikan saya dan Jaja nakalnya melebihi nakal kaum keluarga kami yang lain. Pendek kata, nama kami memang selalu melekat di kepala orang kampung. Bahkan kata mak dan mak cik saya pada kawan mereka satu ketika dulu, ketika kawan mereka mengatakan anak mereka nakal. Mak dan mak cik saya kata, “Tak senakal anak kami berdua. Sampai malu nak keluar rumah jumpa orang lain”. Jahat kan saya? Opsss... bukan jahat sebab saya tak mengaku saya jahat. Tapi kalau orang kata saya degil dan nakal, itu lebih sesuai dan saya boleh terima. Dan ayat mak dan mak cik saya itu keluar hanya gara-gara saya dan Jaja bergaduh dengan kawan sekolah kami dan berkesudahan dengan saya diheret balik oleh pak cik saya dengan amaran keras setelah tangan kiri saya terseliuh sebab jatuh dan hidung saya bercalar kekal. Baiknya seorang ibu, walaupun malu... tangan kiri saya tetap diurut.

Dan SPM... sebetulnya saya tak mengharapkan apa-apa pada keputusan SPM saya. Bahkan saya tak pernah pergi tuisyen dan tak juga mengulang kaji pelajaran walaupun saya tahu saya akan menghadapi peperiksaan besar. Kalau ada pun saya buka buku depan mak saya semata-mata. Dia pergi, saya berangan. Bukan sebab saya dah pandai dan saya tahu saya agak lemah dalam banyak mata pelajaran, perlu bekerja keras. Bukan juga sebab saya tak pandai, tapi saya memang tergolong dalam kategori malas, atau lebih tepat lagi sangat malas. Memang dah tekad dalam hati saya yang saya tak nak sambung belajar lagi, ada benda lain yang nak saya buat lepas habis SPM, benda yang tentu aje boleh buat seisi rumah saya berasap. Apa bendanya tak perlulah ditulis di sini, buat malu diri sendiri aje.

Bila result SPM betul-betul ada di tangan, saya terkaku sekejap. Kalau diikutkan tahap kemalasan saya, saya layak dapat keputusan yang lebih teruk daripada itu. Mak saya terkedu bila saya kata dapat keputusan macam tu. Bahkan abang saya kata pada mak saya, “Tak sangka kan budak tu boleh dapat keputusan macam tu.” Huh... tengok saya masa tu, semua orang tak sangka saya akan dapat keputusan sedikit baik, walaupun keputusan saya tak sebaik mana sebenarnya, hanya cukup makan. Cumanya, pasti dia orang dah awal-awal agak yang saya akan dapat keputusan yang sangat teruk. Hahahaha...

Tapi lepas tu saya kata kat mak saya yang saya tak nak belajar lagi. Mak saya kata, “Bila kerja ponteng sesuka hati, belajar pun tak mahu. Habis saya nak jadi apa?” Saya tetap kata tak mahu belajar sebab saya dah tak minat nak belajar, tak ada hati sebab hati saya dah ke lain. Tapi sudahnya... saya terpaksa ikut cakap mak saya sebab sekeras mana pun hati saya, saya tetap juga seorang anak dan disebabkan tu, saya hilang satu peluang. Saya kecewa, sangat kecewa sebenarnya pada waktu itu... tapi masa tu saya hanya memandang sehala, hala yang tak pasti. Dan kalau saya tetap dengan keras hati saya masa tu dan mak saya tetap kekal dengan lembut hati dia, saya yakin saya akan terlepas lebih banyak peluang yang tak pernah saya fikir dan nak lihat masa tu. Bahkan mungkin n3 ni tak akan ada hari ni. Kamu, kamu dan kamu juga tentu tak akan kenal saya.

Makanya, saya syukur... syukur sangat sebab mak saya bertegas waktu tu. Mak saya dah buat hidup saya alami banyak perubahan, sampai bila-bila pun saya tak akan lupa yang saya pernah menarik muka masam hanya semata-mata menyangka peluang saya dah tertutup. Tapi saya lupa, bila satu peluang tertutup tak bermakna peluang-peluang yang lain juga turut tertutup. Dan kesimpulannya, saya gembira dan bahagia dengan hidup saya sekarang ini dan sebagai bonus, saya bukan lagi anak degil dan keras kepala. Saya sudah jadi anak yang sangat memahami walaupun ada masa-masanya agak sukar dimengertikan ;-)

No comments:

Post a Comment