- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [12] -

October 2, 2012

NAJIHAH yang duduk bersandar pada tiang gazebo yang dibuat daripada batu-bata, dilihat terus ralit dengan novel berjudul Kasih Benar Kasih di tangan. Langsung tidak sedar kedatangannya yang tanpa diundang. Padahal, sudah hampir 10 minit dia berdiri di sisi gadis itu, meskipun tidak begitu hampir.

Tengok daripada cara Jiha baca novel tu, kalau pencuri datang pun Jiha tak akan sedar, detik hati kecil Najid.

Ada senyuman di bibirnya. Novel di tangan Najihah itu dia yang belikan kerana dia tahu selain daripada menonton drama atau filem Korea, Najihah sangat sukakan novel. Lantaran itu, setiap bulan dia pasti membelikan Najihah novel. Kadang-kadang Najihah mengucapkan terima kasih, kadang-kadang gadis itu mengambil novel di tangannya, kemudian berlalu begitu saja selepas menghadiahkan dia dengan senyuman gembira sambil memegang novel di tangan. Tapi dia tidak pernah kisah. Ada atau tidak ucapan terima kasih daripada Najihah, baginya sama saja. Paling penting dia dapat membuatkan Najihah gembira. Senyuman Najihah sudah memadai untuk dia merasakan pemberiannya dihargai. Sejak dari mereka kecil, dia selalu berusaha untuk membuahkan senyum dan ketawa di bibir gadis itu. Dia paling tidak suka melihat air mata Najihah titis, untuk alasan apa sekali pun. Tidak tahu kenapa, tapi melihat Najihah bersedih, dia selalu terasa hatinya turut sedih.

“Jiha kasihan...”

Sampai bila-bila pun dia memegang kejap kata-kata yang diucapkan ayahnya bertahun-tahun dulu. Dia tahu ayahnya tidak menipu kerana bertahun-tahun dulu, ketika mereka berdua masih bersekolah, dia selalu melihat air mata Najihah gugur. Pantang kalau ada kawan-kawan mereka bercerita tentang ibu. Ketika itu, dialah yang akan menjadi tukang pujuk Najihah, walaupun yang sebenarnya dia juga tidak ada ibu. Sedangkan Najihah, masih punya mama. Hanya mama Najihah selalu tidak ada ketika diperlukan.

Sedap benar ke novel tu sampai Jiha masih juga tak perasankan aku?

Dia terus berdiri tegak. Masih memerhatikan Najihah yang seperti larut dalam dunia novel yang sedang dibaca. Entah apa yang Najihah rasa ketika membaca novel tersebut, dia tidak tahu. Mungkin Najihah terasa seperti watak utama dalam novel tersebut, atau ketika ini ada sesuatu yang lain memonopoli minda gadis itu.

Munirah, barangkali!

Atau, kegembiraan dan kebahagiaan Munirah!

Tapi gila! Benar-benar tidak masuk akal bila Najihah mahu menamatkan zaman bujang yang tentu sekali tidak ada dalam perancangan gadis itu, hanya semata-mata disebabkan Najihah melihat kegembiraan dan kebahagiaan Munirah. Lainlah kalau memang keinginan itu datang kerana Najihah sudah punya teman istimewa.

Tapi soalnya, mana ada! Setiap detik, setiap hari yang menjadi teman rapat Najihah hanyalah dia. Jiha... memang selalu tak logik!

Langkah digerakkan dua tapak. “Hah!” Kuat lantai tempat Najihah duduk santai, ditepuk. Sengaja mengejutkan gadis itu. Melihat novel di tangan Najihah tercampak di hadapan gadis itu, Najid ketawa kuat. Dia terduduk di sisi Najihah sambil menepuk-nepuk lantai. Berair-air matanya kerana geli hati dengan reaksi di luar kawalan Najihah. Mujur juga dia tidak berdiri di hadapan gadis itu, jika tidak pasti kepalanya benjol dihentam novel berwarna coklat cair dan pink itu.

“Najid!” jerit Najihah kuat. Serentak dengan jeritannya yang mengalahkan halilintar membelah bumi, dia menumbuk bahu kanan Najid sekuat-kuat hatinya. Laju gerakkan jantungnya kerana terlalu terperanjat dengan sergahan Najid. Entah sejak bila Najid ada di situ, dia benar-benar tidak perasan kerana larut dengan bacaannya. Kalau dia tahu, tentu awal-awal lagi dia sudah bersedia.

Najid terus juga ketawa walaupun bahu kanannya terasa sedikit sengal.

“Najid ni, tak baik tau buat Jiha macam ni. Kalau Jiha ada sakit jantung mesti Jiha dah jadi arwah.”

Semakin kuat ketawa Najid. Wajah masam-masam kelat Najihah mencuit hatinya. Mata yang berair disapu dengan belakang tangan. Dia hanya mahu membuatkan Najihah sedar akan kehadirannya. Mana dia tahu begitu sekali reaksi Najihah tadi. Kalaulah dia dapat merakamkan kekalutan Najihah tadi, tentu lebih geli hati. Terlalu teruja membuatkan dia lupa.

“Ketawa... ketawalah. Kalau Jiha betul-betul arwah nanti Jiha jadi hantu cekik leher Najid biar sama-sama jadi arwah,” sungut Najihah. Novel yang terkelepek di hadapannya dicapai, lantas diusap-usap penuh kasih. Gara-gara Najid, tidak fasal-fasal novel Kasih Benar Kasih yang tidak bersalah itu menjadi mangsa campakkannya. “Najid ni memanglah, memang kurang asam jawa betullah,” sambung Najihah lagi. Dia mengetap bibir, tanda geram. Ikutkan hati mahu saja dia menghadiahkan buku lima ke muka kacak Najid. Biar lebam macam kentang yang dikupas tapi tidak direndam dengan air.

“Emonya,” ejek Najid dalam sisa-sisa ketawa yang masih ada.

“Banyaklah Najid punya emo!”

Ketawa Najid mati begitu saja. Novel di tangan Najihah dicapai, dilihat-lihat cover novel tersebut. Melihat arnab putih dalam cover itu, dia tersenyum. Comel saja cara arnab itu berdiri. Kemudian dibalikkan, membaca ringkasan cerita di bahagian kulit belakang. Kata Najihah, tulisan-tulisan kecil berwarna hitam itu dipanggil blurb. Dia memang tidak tahu istilah itu jika Najihah tidak memberitahu. Sampai bila-bila pun dia tentu akan menggelar ringkasan cerita itu sebagai sinopsis.

“Macam menarik aje cerita ni. Kisah apa?”

“Najid pandai bacakan? Jadi kalau Najid rasa nak tahu, baik Najid baca sendiri. Malas Jiha nak cerita. Kalau Jiha cerita pun nanti Najid acuh tak acuh walaupun Najid yang tanya,” jawab Najihah sambil menjeling tajam pada Najid. Melihat air muka Najid saat ini, ringan saja tangannya mahu mencekik leher lelaki itu.

Najid ketawa. Tahu, sakit hati Najihah masih belum hilang lagi. Tegang pada air muka Najihah adalah bukti yang nyata. Lalu, novel tersebut diserahkan kembali pada Najihah. Mulanya memang dia tidak berniat mahu ke rumah Najihah, tapi bila melihat lampu gazebo menyala, terus dia mengorak langkah. Lampu gazebo di rumah Najihah tidak akan menyala kalau bukan Najihah duduk di situ.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tadi Jiha berangan ya sampai tak sedar kedatangan Najid?” sakat Najid sambil tergelak-gelak. Dia ikut bersandar di sisi Najihah. Baju tidur lengan pendek dengan seluar panjang bercorak kartun yang dipakai Najihah membuatkan dia menggeleng berkali-kali. Sudah dikatakan yang Najihah sudah begitu dewasa, tidak sesuai memakai baju tidur bercorak begitu. Tapi seperti angin lalu, kata-katanya langsung tidak diendahkan Najihah.

“Diri Jiha, suka hati Jihalah nak pakai apa pun!”

Itu pula balasan kata-kata Najihah bila dia terus juga menegur baju tidur yang dipakai Najihah.

“Kalau abang bising sangat, abang belikanlah Jiha baju tidur yang baru. Barulah Jiha tak pakai baju tidur corak kartun macam ni.”

Itu pula yang Najihah jawab bila yang bising-bising itu Ilham.

Tapi itu hanya jawapan Najihah. Bahkan dia percaya, kalau pun Ilham membelikan Najihah baju tidur yang lain, lambat-laun gadis itu tetap akan mengenakan baju tidur bercorak kartun. Bukannya mudah mahu mengubah kebiasaan Najihah kerana Najihah itu hampir sama dengan batu dan besi.

“Mana ada!”

“Habis tu takkanlah reaksi Jiha sampai macam tu sekali? Habis tercampak novel. Baik mujur tak kena atas kepala Najid.”

“Kalau novel ni kena atas kepala Najid, lagi bagus!” Novel di tangannya dibuat-buat seperti hendak dilemparkan ke arah Najid.

Najid membesarkan matanya. Sengaja mahu menakut-nakutkan Najihah walaupun semenjak mereka berdua kecil, Najihah memang tidak pernah takut padanya. Kadang-kadang bila dia bising-bising marahkan Najihah, Najihah hanya tersengih-sengih sambil menjongketkan kening. Saat ini pun, yang dia lihat Najihah tersenyum nipis sambil menggoyang-goyangkan kepala.

“Tapi tadi, Jiha memang berangan kan?”

“Taklah... mana ada Jiha berangan. Jiha tengah khusyuk baca novellah tadi tu. Pandai-pandai aje kata Jiha berangan. Najid fikir Jiha nak jadi Mat Jenin ke apa?” ujar Najihah dalam nada yang mula kendur.

“Ya sangatlah tu baca novel. Entah-entah dalam kepala tu ada banyak yang Jiha fikirkan,” sangkal Najid.

“Tak percaya sudah!” Najihah juga enggan mengalah. Tadi memang dalam kepalanya tidak ada apa-apa. Seluruh tumpuannya hanya diberikan pada novel yang sedang dibaca kerana membaca novel sambil memikirkan perkara lain, memang tidak berbaloi. Silap-silap dia tidak tahu apa yang mahu disampaikan penulis. Sedangkan dia percaya, dalam sesebuah novel itu ada nilai pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.

Tapi ketika ini, mindanya mula digayut sesuatu. Dia kembali teringatkan air muka Munirah yang kelihatan berseri-seri tiga hari lalu. Malah, seri itu seperti menarik-narik dirinya supaya ikut sama masuk dalam dunia Munirah.

“Hah... kan betul Najid cakap tadi. Jiha bukannya baca novel tapi Jiha berangan kan? Isyh... saja aje tak nak mengaku.”

“Tadi taklah,” kata Najihah sambil ketawa.

“Apakah itu bermaksud beberapa saat tadi Jiha memang tengah berangan?” duga Najid sambil tergelak-gelak. Dan dalam sekelip mata, ketawanya dengan Najihah bergabung menggamatkan suasana di halaman rumah Najihah. Kalaulah Ilham ada, pasti bapa saudara Najihah akan berdiri di hadapan mereka berdua sambil bercekak pinggang. Kemudian Ilham akan membebel-bebel mengatakan mereka berdua membuat bising.

“Jiha nak kahwinlah, Najid...” kata Najihah setelah ketawanya reda. “Jiha nak rasa apa yang Munirah rasa.”

Kata-kata Najihah kali ini, kembali mengundang ketawa besar Najid. Masuk hari ini, sudah tiga hari Najihah mengulang kata-kata yang sama. Langsung tidak jemu-jemu. Gadis itu seperti begitu nekad dengan keputusan yang dibuat. Padahal sebagai orang yang rapat dengan Najihah, dia tahu yang perkahwinan dan Najihah, untuk saat ini kalau digandingkan sangat tidak sesuai. Usia 25 tahun yang Najihah galas, bukan bermakna Najihah boleh melakukan apa saja.

Kalaulah abang dengar Jiha nak kahwin ni, mahu dia ketawa tiga hari tiga malam, desis hati Najid geli hati.

“Najid ketawa kenapa? Najid rasa Jiha tak layak jadi isteri orang ya?”

Tanpa berselindung, Najid pantas mengangguk berkali-kali. Dia tidak perlu berbohong semata-mata mahu menjaga hati gadis yang nampak bersungguh-sungguh di hadapannya itu. Soal nikah kahwin, bukannya perkara main-main. Dia pun tidak mahu Najihah main-main dalam soal serius begitu. Silap pertimbangan, silap membuat keputusan, hidup Najihah yang akan merana.

Dia sayangkan Najihah dan sebagai kawan, dia tidak mahu Najihah menyesal di kemudian hari. Lantaran itu, dia mahu Najihah sedar. Bukan hanya mengambil jalan mudah hanya selepas melihat Munirah hidup bahagia dan gembira selepas bergelar isteri. Itu Munirah yang jelas-jelas sudah punya keluarga bahagia. Sedangkan Najihah, nasib gadis itu tidak ada sesiapa pun yang boleh meramal. Berkahwin kerana cinta sama cinta pun ramai yang gagal, apa lagi kalau berkahwin kerana mahu mencuba.

Tidak nampakkah Najihah apa yang dia cuba sampaikan?

“Najid fikir Jiha ni teruk benar ke sampai Najid rasa Jiha tak layak?” Perlahan saja nada suara Najihah. Sedih pula dia bila Najid berkata dengan penuh yakin. Dia perempuan, sampai satu masa kelak, dia juga mahu punya suami dan anak-anak yang comel. Jadi, apa masalahnya kalau dia berkahwin sekarang? Tidak pedulilah dia berkahwin atas sebab apa pun, yang penting nanti-nanti, kehidupan yang dipilih saat ini juga yang akan dilalui.

“Bukanlah macam tu maksud Najid. Najid cu...”

“Dah tu?” potong Najihah pantas.

Najid nampak muka serius Najihah. Entahlah, Najihah sedang dirasuk hantu apa, dia sungguh-sungguh tidak tahu.

“Lantak Najidlah kalau nak ketawa pun, Jiha tetap dengan niat Jiha. Dapat aje lelaki yang sesuai dengan Jiha, Jiha nak terus kahwin,” kata Najihah tegas.

Ketawa Najid terus terhenti. Dia terasa kali ini yang Najihah tidak main-main. “Gila!” Sepatah perkataan itu meluncur laju dari ulas bibirnya.

“Gila tak gila, Jiha tak peduli! Apa jadi pun Jiha nak cuba juga kahwin. Berjaya ok, kalau gagal pun ok. Yang penting, Jiha nak cuba!”

“Gila!”

3 comments:

  1. suka2 jiwa je Najiha nak kahwin ye kak.tiba2 pula tu ? heeee ;)

    ReplyDelete
  2. suka2 jiwa je Najiha nak kahwin ye kak.tiba2 pula tu ? heeee ;)

    ReplyDelete
  3. tulah, dia ni mmg tau... mmg suka main ngn apa. ingat kawin mcm main pondok2 ke, hehehe...

    ReplyDelete