- UNTUK SEMUA YANG SAYA SAYANG... -

Untuk yang tak tahu tapi mungkin nak tahu karya-karya saya dengan Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf] boleh tengok poster di atas. Pink! Saya suka sangat-sangat, sama macam warna rumah saya yang saya gelarkan Rumah Pink. Tapi... part KISAH CINTA ROMANTIK tu, saya tergelak sikit. Bukan gelak mengejek, hanya tertanya-tanya sendiri. Romantik ke kisah-kisah dalam novel saya?

Sungguh... saya sendiri tak tahu! Saya suka menulis novel dan cerpen walaupun dah agak lama pencen daripada menulis cerpen, apa yang saya tulis lahir dari hati. Semasa menulis saya selalu berharap supaya apa yang saya tulis mampu menghiburkan pembaca, di samping mereka dapat mengutip iktibar atas apa yang berlaku. Sampai bila-bila pun saya tetap percaya dalam sesebuah novel itu terselit nilai walaupun sebesar zarah. Saya tak pernah peduli kalau ramai yang menuding jari kata saya menulis karya picisan atau sampah sekalipun. Hak memberikan pendapat, hak individu dan bukannya hak saya. Sesiapa dalam Malaysia ni bebas berkata-kata selagi kata-kata itu tak melepasi had yang ditetapkan. Cumanya, yalah... bila satu jari menghala ke arah orang, empat lagi hala pada diri kita sendiri. Harus selalu ingat itu ya!

Apa pun, terima kasih pada pihak Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf], editor-editor dan designer yang banyak membatu. Pada mereka yang selalu ada di belakang saya, terima kasih daun keladi. Untuk pembaca yang saya hargai, tanpa kalian Aleya Aneesa bukan sesiapa. Terima kasih!

- SELAMAT HARI LAHIR, ABAH... -

Untuk abah yang dah membesarkan saya sehingga saya jadi serupa badak sumbu... SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-65 TAHUN, ABAH. MOGA ABAH PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, DIBERIKAN KESIHATAN YANG BAIK DAN SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH. Kami semua sayangkan abah, sangat-sanga-sangat, ;-)


- SELAMAT HARI LAHIR... -


22 DISEMBER 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-3 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MUHAMMAD HAFIY DARWISY"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA AWISH – Mak Tam tak nak membebel panjang-panjang sebab Mak Tam tak ada idealah. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Awish. Jadi budak pandai ya, sayang...

- DAMAILAH DI SANA... -

Semalam, tak tahu kenapa... tapi terasa macam ada yang tak kena. Puas fikir, saya ni ada terlupakan sesuatu ke? Tapi sampai mata pinjaman TUHAN ni lelap, tetap juga otak yang satu ni gagal mengingatkan apa-apa. Terasa 20 Disember, salah satu daripada tarikh penting dalam hidup saya. Tapi soalnya apa? Memang saya tak ingat apa-apa. Agaknya banyak sangat makan otak udang agaknya. Hem... kesian udang. Tak fasal-fasal jadi mangsa keadaan.

Tapi pagi ni... masa tepek bedak kat muka sambil tengok cermin sebab nak bersiap-siap pergi kerja. Ya ALLAH... kenapa saya lupa dan macam mana saya boleh lupa? Semalam rupa-rupanya, genap 3 tahun arwah nenek kesayangan saya kembali kepada Pencipta Yang Abadi. Pergi yang tentu aje tak akan kembali sampai bila-bila.

Alamak, tiba-tiba aje saya jadi sedih. Nak nangis pun ada juga, tapi... tak baikkan kalau kita tangisi orang yang dah pergi? Walaupun sebagai manusia kita memang jarang dapat mengawal emosi. Kalau suka, kita akan ketawa dan senyum, kalau sedih kita akan menitiskan air mata, kalau pun tak nangis, kita akan berwajah muram. Mana ada orang yang ketawa masa sedih dan nangis masa suka. Yang dinamakan tangisan kegembiraan, tak masuk dalam kategori ni ya sebab keadaan yang berbeza.

Tapi sungguh tak tipu... saya jadi rindu pada arwah nenek yang dah tak ada lagi. Kiranya sekarang ni, saya tak ada nenek dan datuk. Ada sesiapa yang nak jadikan saya cucu angkat tak? Nak share nenek dengan saya ke? Hahaha... saya merapu lagi!

Sebenarnya, selama 29 tahun [sekarang umur saya bukan 29 tahun lagi] dulu... saya hanya kenal pada arwah nenek yang saya panggil Mak Endek [ibu kepada mak saya] itu. Suami dia yang bermaksud atuk saya, saya tak kenal langsung sebab arwah atuk saya meninggal pada usia 45 tahun. 3 tahun sebelum saya dilahirkan. Bahkan, Ucu saya pun tak dapat tengok muka abah dia sebab ketika atuk saya meninggal, Ucu saya masih ada di dalam kandungan. Kesian kan? Tapi... nak buat macam mana, bukankan hidup dan mati itu jalan yang akan dilalui oleh semua makhluk di dalam dunia ini.

Atuk belah abah saya pula meninggal masa umur saya berusia 3 tahun dan bermakna, ingatan saya pada dia langsung tak ada. Yang saya selalu tengok, muka dia dalam gambar. Muka yang ada iras-iras abah saya. Saya tak tahu dia orangnya jenis macam mana. Garang atau tak, pun saya tak pernah tengok. Tapi ada jugalah dengar-dengar cerita tentang dia daripada mak saya. Abah pulak... memang jarang benar bercerita tentang mak dan ayah dia.

Nenek belah abah yang saya panggil Mak Oyah pergi masa saya berumur 8 tahun. Oh... 8 tahun dah agak besar! Agak banyak juga kenangan saya dengan dia yang saya masih ingat sampai sekarang. Tapi masa tu saya terlalu budak. Saya tak tahu menilai hati budi orang. Agaknya, sebab ketidakmatangan saya tulah saya selalu fikir Mak Oyah tak suka saya dan adik-beradik saya, atau lebih tepat lagi saya selalu fikir dia pilih kasih sebab kami miskin. Saya selalu rasa, dia lebih sayangkan anak-anak Mak Andak saya dibandingkan saya dan adik-beradik saya. Mungkin sebab bila tidur rumah dia, saya selalu kena tidur kat bawah sedangkan ada sepupu yang tidur atas katil. Padahal... bukan hanya saya yang tidur di bawah tu, ada dua ke tiga lagi sepupu saya yang lain. Saya cemburulah tu, hehehe...

Tapi itu dulu, sekarang ni saya dah tak fikir macam tu dah sebab saya dah terlalu tua untuk memikirkan hal-hal remeh yang tak memberi apa-apa keuntungan. Tak ada kerja nak membandingkan diri dengan orang lain. Jauh sekali berfikir orang tak sayang atau suka saya, apalagi orang yang ada pertalian dengan saya. Saya pun dah tak fikir Mak Oyah pilih kasih lagi. Itu hanya fikiran-fikiran nakal budak-budak yang selalu inginkan perhatian lebih daripada orang lain.

Dan sekarang, Mak Endek, Mak Oyah, Tok Bah dan Tok Ayah dah pergi. Yang tinggal hanya anak-anak dan cucu-cicit yang tak begitu sempat mengenali mereka berempat. Dua orang mak cik saya, adik kepada abah saya pun dah pergi tinggalkan kami semua. Bila dikenang-kenang, sebak memanglah sebak. Tapi... apakan daya. Yang hidup pasti mati dan yang tinggal harus terus meneruskan kehidupan.

Buat atuk-atuk, nenek-nenek, dia dan saudara-mara saya, juga umat Islam yang telah menghadap DIA YANG SATU, al-Fatihah, semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas semua dan semoga tempat kalian di sisi DIA.

- DIA TAK TANYA!, BELI ONLINE -

- MAKLUMAN PENTING -

Untuk novel "DIA TAK TANYA!", saya tak jual online macam novel-novel sebelum ni sebab ada beberapa masalah yang tak dapat dielakkan. Tapi untuk yang nak dapatkan tandatangan saya [novel-novel saya yang lain juga – TERUS CINTAI AKU, KASIH BENAR KASIH, TANPAMU AKU RINDU, AKU MAHU KAMU, HANYA DIA TAHU, SEGALANYA UNTUKMU, JANJIKU BERSAMAMU, KASIH ANTARA KITA & SEMUSIM RINDU, boleh kalau nak], saya sangat berbesar hati untuk tandatangan dan conteng-conteng sikit dalam novel saya yang dibeli.

Tapi mohon beli atau order DI SINI atau DI SINI, nak tanya-tanya sikit atau lebih-lebih pun boleh. Agaknya... dah boleh order dah sekarang ni kot sebab "DTT!" dengan tandatangan, mungkin agak TERHAD...

Sebarang pertanyaan boleh juga kalau nak tanya pada saya, saya akan jawab dengan senang hati.

- DIA TAK TANYA!, KAWAN-KAWANNYA & POSTER BERSAMA -

Salam Jumaat buat semua yang sudi bertandang di sini. Lama ya tak jumpa? Hehehe... gaya tulis macam pernah berjumpa empat mata aje kan? Padahal hakikatnya, hanya jumpa di alam maya.

Dah beberapa hari saya tak membebel di sini dan saya... RINDU. Bukannya MALAS, tapi... beberapa hari ni, kesihatan saya agak tak okey. Macam-macam datang serentak dan saya, lembik dikerjakan sakit yang datang tiba-tiba. Tapi tak apalah, sakit tu kan salah satu daripada ujian dalam hidup. Sungguh... saya tak mengeluh walaupun rasa sangat-sangat penat.

Sebab saya rasa masih tak begitu stabil, saya tak berniat nak membebel panjang-lebar-sampai-pembaca-rasa-nak-muntah-darah. Hari ni saya Cuma nak kongsi poster dan sedikit info tentang novel terbaru saya, DIA TAK TANYA! Infonya ialah;

1 – DIA TAK TANYA! dijangka akan berada di pasaran pada 20 Disember 2012 ini.

2 – Dah boleh buat belian pre-order di KARANGKRAF MALL dengan 20% diskaun.

3 – Saya, berdebar-debar... bimbang penerimaan pembaca. Harap-harap sangat tak akan mengecewakan nanti.

Hem... rasa-rasanya, itu ajelah untuk hari ni. Kalau ada sebarang maklumat lain, akan dimaklumkan kemudian, ;-)

ISTILAH sahabat merangkap jiran antara Najid dan Najihah akhirnya tersimpul sebagai suami isteri.... Sayangnya, mereka berkahwin atas dasar eksperimen. Kononnya dunia perkahwinan mereka boleh bahagia tanpa cinta! Berjaya, okey. Tak berjaya pun okey.

Orang lain hidup bahagia, tapi rumah tangga mereka huru-hara. Ada saja yang tidak kena. Masalah kecil dibesar-besarkan. Rajuk, marah dan prasangka membakar diri. Sudahnya, mereka tidur asing-asing; seorang ke timur dan seorang lagi ke barat. Najid dan Najihah lupa... dalam sesebuah perkahwinan, tidak ada istilah ‘try and error’. Mereka saling ego, hipokrit dan suka menuding jari. Ada isteri, tapi lagak macam bujang. Ada suami, tapi langkah macam hidup seorang!

“Maaf, sayang. Najid betul-betul minta maaf. Tapi percayalah, Najid sayang sangat kat Jiha.”

- SAYANG SI PUTERA KATAK! -

Rasanya... setiap orang ketika kecilnya suka ada tabung sendiri. Tak kiralah tabung tu berisi duit syiling atau pun kekal kosong. Mungkin juga kejap ada isinya, kejap pula kontang macam padang pasir.

Saya pun ada tabung juga. Tapi macam mana rupa tabung tu saya tak ingat sebab tabung saya silih berganti, sama macam isinya juga. Malah pernah juga tabung saya merupakan tin susu. Tin susu tepung ada, tin susu pekat pun ada. Tin susu cair aje yang tak ada sebab memang mak saya tak beli susu cair sebab tak ada keperluan.

Cumanya, yang banyak tabungnya sedangkan isinya tak. Seingat saya, tak pernah sekali pun tabung saya penuh dengan duit walaupun setiap kali mula menabung, tekad saya nak menabung sampai tak ada ruang untuk diselitkan duit walaupun satu sen. Semuanya tak sempat penuh, saya dah keluarkan balik. Ada-ada aje yang menggoda minta dibeli. Itu pun bukannya benda-benda yang mahal. Benda yang mampu saya beli sebab saya bukannya anak orang kaya.

Mungkin... sebab nak memenuhkan impian yang dah lama tertangguh, baru-baru ni saya beli dua tabung yang harganya sangat murah. Tahu saya beli di mana? Di Daiso [tak ingat Daiso Ikea/ Ikano atau Daiso Ampang, yang pasti bukan Daiso kat Melaka atau Daiso Ipoh] yang barang-barangnya, kebanyakannya berharga RM5. Bila beli dua, maknanya jadilah RM10. Sangat murahkan tabung saya.

Tapi bukan harga tabung tu yang saya kisahkan. Yang saya kisahkan, yahoo... akhirnya setelah hampir bongkok tiga, saya berjaya juga memenuhkan tabung berbentuk frog. Warna hijau macam yang ada di atas tu. Tahniah kepada diri sendiri. Biarlah dulu duit-duit syiling tu berkampung di dalam rumah hijau tu buat sementara waktu yang tak tahu bila akan ada tarikh luputnya. Beri peluang saya penuhkan kawannya dulu. Lepas tu baru saya fikirkan apa yang nak saya buat dengan duit-duit tu termasuk tabungnya sekali.

Tapi terus terang kata, beberapa bulan dulu saya pernah cuba mengorek isi tabung yang dah penuh tu. Saya nak gunakan buat tambang teksi ke TBS, maksud saya buat tambah sebab duit kertas RM1 yang ada, tak cukup. Bukannya tak ada duit, tapi bimbang pemandu teksi tak ada duit kecik untuk pulangkan baki. Susah pula dia nanti. Tapinya... usaha saya gagal. Si Frog tu, nampak aje jernih dan rapuh tapi... memang saya tak boleh bukak tombolnya, kecuali kalau saya ketuk dengan anak lesung batu. Tak naklah saya! Beli susah-susah, bila dah penuh bersepai dan terpaksa pula kutip duit-duit tu. Mujur juga saya tiba-tiba teringat, dah ada kedai di tempat saya tinggal. Capai sebotol air mineral dan cari teksi untuk balik ke kampung yang tercinta tu.

Apa pun, saya sangat-sangat berharap yang Si Frog nombor dua tu akan penuh bila sampai masanya nanti ;-)



- SELEPAS HUJAN, KALAU PUN PELANGI TAK MUNCUL, MATAHARI SELALU ADA –

Wah... panjang gila kan tajuk N3 saya hari ni? Tapi... tak apalah, bukannya hari-hari hari pun menulis tajuk panjang macam ni dan bukan hari-hari pun menulis N3 kat blog ni. Sejak akhir-akhir ni... lagilah tak rajin. Nak kata busy sangat dengan kerja, tidaklah juga. Masih juga dengan rutin yang sama. Kalau ada pun musuh saya, tentu ajelah rasa MALAS yang keterlaluan.

Kalaulah perkataan MALAS ni tak wujud, kan bagus? Ya, tak? Kalau tak ya, buat-buat ya ajelah ya. Tak susah kan? Tapi kalau tak ada perkataan MALAS, mungkin ada perkataan lain yang dibuat bagi merujuk perbuatan tidak melakukan apa-apa saja. Oh... jangan bagi tahu orang ya, saya bukak Kamus Dewan Edisi 4 semata-mata nak tahu apa makna yang tepat untuk perkataan MALAS tu.

Isyh... buat nama aje kerja Dewan Bahasa dan Pustaka, itu pun tak tahu! Agaknya, ada tak yang kata macam tu kat saya? Kalau ada, tak baik tau... kerja DBP atau kerja apa pun, saya tetap manusia biasa juga. Tak semestinya saya kerja sini, saya tahu semua benda. Kalau tau, tak payahlah saya kerja lagi, duduk rumah aje sambil tunggu orang datang dan bertanya makna perkataan MALAS dan apa saja makna perkataan di dalam dunia ni daripada saya sebab saya dah jadi kamus bergerak bebas.

Tapi saya menulis ni bukanlah nak membahaskan perkataan MALAS tu. Tidak sama sekali! Yang nak saya kata, hidup kita di dalam dunia ni memang tak lepas daripada dugaan dan ujian. Kadang-kadang kita rasa dugaan dan ujian itu bagaikan asam garam dalam hidup kita. Langsung tak berbekas di hati bila datang pada bila-bila masa aje. Di lain ketika pula, kita rasa dugaan dan ujian itu bagaikan satu bebanan untuk kita dan kalau boleh kita tak nak diduga dan diuji begitu.

Cumanya, itu hanya kalau sedangkan hakikatnya, mahu atau tidak kita tetap juga harus menjalani apa juga yang didatangkan pada kita. Tak kira rela, tak kira terpaksa. Kena juga!

Hidup tanpa dugaan dan ujian, kedengaran macam best kan? Saya rasa macam tu juga. Mungkin otak tak serabut memikirkan apa-apa atau cara bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang didatangkan pada kita. Tapi bila direnung-renung semula, renung dalam-dalam, ketiadaan dugaan dan ujian itu hanya akan membuatkan kita jadi manusia yang alpa. Lalai dengan apa yang kita patut buat. Lupa kalau hidup kita di dunia ni hanya pinjam-pinjaman semata-mata. Dan kita... tak akan rasa betapa manisnya setiap kali dugaan dan ujian yang didatangkan pada kita dapat diselesaikan. Malah, tak akan juga rasa bagaimana menjadi manusia yang sabar dan tabah.

Dan ayat yang saya jadikan sebagai tajuk itu, saya berikan pada seseorang bila dia dikatakan tertimpa musibah. Musibah yang macam mana, biarlah tak diungkapkan di sini kerana tak ada yang bakal mendapat keuntungan pun. Hanya yang pasti, seseorang itu sangat jauh dari hidup saya, tapi... saya rasa dia agak dekat di hati saya. Kenapa? Jangan ditanya kerana saya tak ada jawapan. Rahsia ALLAH bukankah misteri? Harapan saya, bila sampai saat dia membaca kelak, mungkin satu hari nanti... dia tahu betapa ujian yang didatangkan pada dia bersesuaian dengan kemampuan yang dia miliki. Sebagai orang jauh tapi dekat, dekat tapi jauh... saya mendoakan yang baik-baik untuk dia. Kalau diberi kesempatan saya nak kata pada dia ayat ni, “Kan, saya dah kata... selepas hujan, kalau pun pelangi tak muncul, matahari selalu ada?” Tapi soalnya, akan adakah peluang itu? ;-)

- PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI -

- Selipar ni walaupun buruk, sangat berjasa pada saya. Bertahun-tahun guna di pejabat, akhirnya terpaksa juga saya tinggalkan dengan berat hati dan gantikan dengan yang baru berwarna pink -

Kita... sering mendengar ungkapan seperti tajuk di atas kan? Entah siapa yang cipta ayat keramat tu saya betul-betul tak tahu. Tapi dalam bab menghasilkan ayat-ayat puitis begitu, orang lama memang berbakat. Saya sangat-sangat kagum walaupun tak tahu bila sebetulnya ayat yang bagi saya cukup indah itu dicipta. Hanya yang saya tahu, lahir-lahir aje saya ke dunia yang sangat berwarna-warni ini, kata-kata tersebut memang dah ada. Maknanya, ayat ‘Patah tumbuh hilang berganti’ itu bukannya dicipta 32 tahun yang lalu. Ayat tu tak mungkin sebaya saya. Kan? Kita tak kembar ya ayat, jangan nak perasan!

Ayat itu berbentuk pujukan, memujuk orang-orang yang hatinya tengah sedih gara-gara kehilangan atau ditinggalkan. Ada sesetengah orang akan kata, “Ya... saya redha dengan apa yang didatangkan pada saya. Saya percaya perancangan ALLAH lebih rapi daripada manusia. Tiap yang berlaku itu tentu akan ada hikmahnya”. Itu bagi yang dapat menerima walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tapi itu... bagi yang dapat menerima. Bagi yang tidak, lain pula jawapan yang bakal diberikan. Belum lagi masuk ekspresi muka yang marah atau tak puas hati. Mungkin begini jawapan yang diberikan; “Memanglah patah tumbuh hilang berganti, tapi... yang datang tak akan serupa. Awak tak rasa, sebab tulah awak kata macam tu!”

Beza bukan jawapan orang yang dapat menerima dan tak dapat menerima? Tapi ada juga persamaannya. Yang samanya, kedua-duanya sudah menjawab dan memberikan jawapan yang bagi mereka benar pada saat ada yang hilang atau pergi dari genggaman.

Yang dapat menerima, tahniah... korang telah berjaya menjadi orang yang sabar. Harap di sepanjang jalan nanti, akan ada kegembiraan dan kebahagiaan buat korang. Bagi yang tak dapat menerima pula, korang pun tak salah juga. Resam orang yang tengah sedih dan patah hati atau kecewa memang agak terganggu emosi dan mudah sentap bila terasa ada yang tak berpihak pada kita. Kalau ikutkan hati, memang ada juga rasa-rasa nak mencepuk biar sama-sama rasa kesakitan yang dialami. Saya tahu perasaan tu sebab saya pun pernah dan selalu melalui dua situasi itu. Ada yang saya terima dengan redha dan ada juga yang buat saya kesal walaupun saya sedar, saya tak seharusnya berat hati mendepani apa saja dugaan dan ujian yang didatangkan pada saya.

Tapi... kemudian, bila seiring masa berlalu. Saya sedar juga, yang diberikan ALLAH itu yang terbaik untuk saya. HANYA DIA TAHU [judul novel ke-5 saya, hehehe] apa yang terbaik untuk hamba-NYA, sedangkan kita sebagai hamba memang tak tahu apa-apa. Rahsia ALLAH itu sangat misteri. Kita tak akan dapat membongkarnya walaupun jenuh menggali di sepanjang kehidupan.

Untuk itu, bagi yang sukar menerima sebuah ‘kehilangan’, bersabar dan bertabahlah. Berusaha bersungguh-sungguh dan di akhirnya nanti, korang akan nampak betapa hidup ini taklah sesukar seperti yang korang fikir. Jika kita ikhlas, jalan tentu ada kerana ALLAH itu tak kejam. Semoga kegembiraan dan kebahagiaan akan jadi milik kita semua, ;-)

PESANAN PENTING : JANGAN TERTIPU DENGAN GAMBAR SELIPAR DI ATAS SEBAB HANYA GAMBAR HIASAN SEMATA-MATA. TAK ADA KAITAN DENGAN ISI CERITA...