Terima kasih TUHAN atas kedamaian dan ketenangan yang diberikan kepada kami. Tapi Ya, ALLAH... berilah isyarat pada kami andai dalam setiap langkah yang kami ambil, kami alpa dan khilaf. Kami tak sedar betapa kami ini hanya hamba yang tak boleh bernafas tanpa izin-MU. Tak boleh mengangkat kaki dan tangan jika bukan dengan kebenaran-MU. Tak boleh menggerakkan mulut jika tidak atas kemahuan-MU. Tolonglah TUHAN, janganlah dijatuhkan hukuman pada kami tanpa diberikan peluang sebanyak yang boleh kerana kami sesungguhnya terlalu sayangkan tanah bertuah ini...
- SYAWAL TERAKHIR... -
August 26, 2014
Hari ni,
26 Ogos 2014 bersamaan dengan 30 Syawal 1435H! Tengok tarikh bulan Islam tu,
rasanya semua tahu yang hari ni merupakan hari terakhir dalam bulan Syawal
untuk tahun ni. Seperti selalu, masa memang cepat berlalu. Diam-diam,
kemeriahan hari raya pertama dah ditinggalkan bersama seribu satu cerita
tersendiri.
Masih
teringat, masih segar dalam ingatan bertapa anak-anak buah kesayangannya saya
seramai 11 orang menggayakan baju masing-masing pada pagi tu. Kecuali, si comel
Zalis yang baru berusia 12 hari. Budak comel tu cuma pakai bedung sebab tak ada
baju yang sesuai untuk tubuh kecil dia. Dan mereka bersebelas (kecuali kakak
dan adik yang dah sekolah menengah), kejap-kejap ketawa, kejap-kejap menangis
kerana itulah dunia mereka. Dunia yang tak serumit orang dewasa seperti saya.
Dunia yang sepatutnya dinikmati selayaknya usia mereka.
Seperti
tahun-tahun sudah, hari raya pertama keluarga saya memang lengkap kerana
masing-masing berkahwin dengan orang Johor Bahru juga. Yang kahwin dengan orang
Sabah pun, ahli keluarganya dah menetap di tempat yang sama. Syukur
alhamdulillah! Hanya petang, kira-kira dalam pukul 6.00 petang, keluarga abang
chik saya bertolak ke Negeri Sembilan untuk beraya bersama keluarga kakak ipar
saya. Yang lain-lain, tetap ada di rumah abah saya. Terus menikmati hari raya,
hari demi hari sehingga cuti raya tamat.
Sepanjang
raya tu, saya hanya beraya di 11 buah rumah. Itu pun di rumah
sebelah-menyebelah dan keluarga rapat. Sikit, kan? Tapi itulah saya setiap
tahun. Padahal dulu, suatu ketika yang telah jauh ditinggalkan, hampir
sekampung rumah saya pergi dengan kawan-kawan. Kembung-kembung perut sebab
minum air yang pelbagai rasa dan warna. Ada manis, ada tawar. Sampai tengah
malam pun kadang-kadang belum tentu dah ada di rumah. Rajin, kan?
Tapi itu
ketika zaman remaja menjengah. Masing-masing gigih menunjuk rupa dan tingkah
baik pada orang kampung. Atau, kami beraya dengan sebab tertentu dan sekadar
ikut-ikutan. Teruknya saya dulu! Cumanya kini, bila diimbas-imbas,
segala-galanya hanya tinggal kenangan. Sedangkan rumah kawan-kawan yang dulunya
rapat pun saya tak pergi lagi. Entahkan saya yang semakin hilang skill bergaul
mesra dengan orang kampung, entahkan saya yang memang memencil sekarang ini.
Kononnya, orang KL. Phuiii! Acah aje... bagi saya, KL atau London sekali pun
tak akan mampu mengubah seorang Marwati Wahab. Aleya Aneesa pun tak akan
berjaya. Saya orang kampung, saya anak nelayan dan hidup saya di darat dan di
laut. Paling penting, saya tak pernah lupa di mana tanah yang pernah
menyaksikan jatuh dan bangun saya sejak kecil hingga dewasa mengambil tempat
dalam kehidupan.
Hanya
masa dan keadaan, mungkin juga jarak telah membuatkan banyak benda berubah.
Kawan-kawan saya rata-ratanya dah tinggalkan kampung. Hidup di luar dan punya
kehidupan sendiri. Sama juga dengan saya. Tapi bila sesekali berjumpa di
majlis-majlis tertentu, sapa-sapaan masih wujud. Tanda kami masih sahabat. Dan
doa untuk mereka, tak kira siapa dan di mana mereka berada, selagi mereka
pernah hadir dalam hidup saya, saya mengharapkan yang baik-baik untuk mereka.
Dalam apa pun keadaan, semoga ALLAH selalu ada untuk membantu mereka.
Untuk
semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri, terakhir untuk tahun ni. Ada umur, ada
rezeki, tahun depan saya ucapkan yang lain. Salam sayang...
- SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI... -
July 25, 2014
Salam Ramadan ke-27.
Semoga kita selalu berada dalam rahmat ALLAH, tak kira siapa pun kita dan di
mana pun kita berada. Tak sedar masa berlalu begitu cepat, lagi beberapa hari
Ramadan bakal melambaikan tangan, sedang Syawal datang dengan senyuman.
Tak ada kata yang nak
dicoret hingga panjang berkajang-kajang. Sekadar menjengah sebab mungkin lepas
ni tak sempat buat N3 baru. Di kampung, masa saya terasa sangat terhad.
Jadinya, untuk yang mengenali saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Salah dan silap, mohon dimaafkan kerana saya manusia biasa yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Untuk saudara-saudara Islam di Malaysia, berayalah sekadarnya kerana selepas raya, masih kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Untuk saudara-saudara Islam di Gaza, semoga pertolongan ALLAH tak pernah berhenti untuk mereka dalam mempertahankan tanah tercinta. Ya... begitu banyak air mata dan darah yang melanda bumi itu kerana kekejaman satu bangsa yang pada asalnya tak punya apa-apa, tapi berlagak tuan di rumah orang. Namun, yakin dan percayalah, setiap yang berlaku itu tak pernah sia-sia kejadiannya. Insya-ALLAH... tangis itu akan bertukar menjadi tawa bila sampai hari kebangkitan kelak kerana ALLAH itu Maha Adil.
Jadinya, untuk yang mengenali saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Salah dan silap, mohon dimaafkan kerana saya manusia biasa yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Untuk saudara-saudara Islam di Malaysia, berayalah sekadarnya kerana selepas raya, masih kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Untuk saudara-saudara Islam di Gaza, semoga pertolongan ALLAH tak pernah berhenti untuk mereka dalam mempertahankan tanah tercinta. Ya... begitu banyak air mata dan darah yang melanda bumi itu kerana kekejaman satu bangsa yang pada asalnya tak punya apa-apa, tapi berlagak tuan di rumah orang. Namun, yakin dan percayalah, setiap yang berlaku itu tak pernah sia-sia kejadiannya. Insya-ALLAH... tangis itu akan bertukar menjadi tawa bila sampai hari kebangkitan kelak kerana ALLAH itu Maha Adil.
Salam Sayang,
- Aleya Aneesa -
- KASIHNYA AYAH... -
July 24, 2014
‘Tiga…
lapar dan dahaga
Rela
berpayahan setianya ayah…
Ayah…
menghantar ke sekolah
Bergunalah
ilmu bila dewasa…’
Itulah antara baik-bait lirik yang terdapat
dalam lagu nyanyian Aris Ariwatan. Lirik yang selalu saya dengar suatu ketika
dulu. Kenapa saya pilih ayah? Kenapa saya tidak pilih ibu kerana dalam lirik
lagu tu juga terdapat ungkapan yang ditujukan khas buat ibu. Senang, mudah
alasan saya, kerana ibu istimewa dalam jati dirinya yang tersendiri. Sesiapa
pun tak mungkin akan menyangkal kalau ibu itu adalah segala-galanya di dunia
ini. Ibu mampu menjaga 10 orang anak dalam satu masa. Sedangkan 10 orang anak
belum tentu mampu menjaga seorang ibu dalam masa yang berbeza. Terukkan kita
sebagai seorang anak? Sering saja terlupa di mana tempat kita berpijak selama
ini. Mudah saja mendabik dada bila kejayaan erat di genggaman.
Dan ayah, abah, papa, daddy atau apa sekalipun
panggilan seorang anak untuk ayahnya. Golongan ini selalu jatuh ke tangga kedua
selepas ibu. Tapi meski duduk di tangga kedua, ayah juga tak kurang hebat
fungsinya. Hanya jarang benar orang mahu memperkatakan soal ayah. Entah sebab
apa sukar untuk dijelaskan. Mungkin kerana seorang ayah itu tidak atau jarang
sekali memperlihatkan perasaannya pada seorang anak. Tapi, sebenarnya jauh di
sudut hati kecil mereka, tersimpan selaut kasih buat seorang anak yang
kadang-kala sukar untuk memahami hati seorang tua bernama ayah. Bila dimarahi
atau ditegur, cepat saja membuat andaian kalau ayah tak pernah menyayangi
mereka. Sudah benci barangkali.
Tapi… pernahkah terfikir di benak kita, kalau
teguran yang diberikan bertujuan untuk mendidik, mengajar atau memberi
pemahaman. Hanya caranya tidak sama dengan seorang ibu yang lebih lembut. Namun
itu juga bukan salah ayah, memang fitrah kejadian seorang lelaki, harus tegas
dan selalu tahu mengawal emosi dalam apa keadaan sekalipun hingga kadang-kala
seorang anak silap mentafsir diri dan hati mereka.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana saya pernah
melihat pengalaman itu dengan mata saya sendiri. Seorang ayah yang pendiam dan
amat jarang bercakap. Malah tidak pernah bercakap dengan anak lelakinya sejak
anak itu meningkat dewasa. Tak ada sebab, apalagi kemarahan dan dendam tetapi
memang mereka berdua begitu. Baik ayah mahu pun si anak, tak tahu apa yang
hendak dibualkan. Bila mereka duduk berdua, masing-masing kaku dan beku tapi
anak itu masih boleh menolong ayahnya bekerja. Keluarga tu sudah lali dengan
keadaan yang berlaku. Mereka terima itu sebagai kekurangan ayah mereka yang
tidak begitu pandai berkomunikasi dengan anak-anak. Malah, dengan atuk mereka
pun ayah mereka tak bersuara.
Tapi jauh di sudut hati, mereka sedar ayah mereka
terlalu menyayangi mereka. Hanya tak tahu bagaimana mahu meluahkannya.
Buktinya, si ayah yang tak pernah berkomunikasi dengan anak lelakinya itu
menitiskan air mata lelakinya hanya kerana anak itu. Ada kejadian ngeri yang
berlaku dalam keluarga mereka dan itu melibatkan si anak tadi. Pertama kali
dalam sejarah hidup, ayah itu memeluk anak lelakinya erat-erat demi memberikan semangat
pada anaknya supaya tak rebah, pun suaranya tak sedikit pun terkeluar. Hanya
ada tangisan tersedu-sedu di bibir kering itu. Dan anak itu, dia tahu… dia
akur… memang ayahnya begitu. Tapi dia sudah lama tahu, ayahnya rela berbuat apa
saja deminya. Mengorbankan nyawa pun dia tahu ayahnya sanggup. Tak perlu suara,
tak perlu kata dia dapat menyelami hati tua itu.
Nah… kita yang saban hari berbual dan bercakap
dengan ayah kita. Sedarkah kita akan kehadiran kasih sayang ayah kita? Dan
kasih sayang, perlukah diucapkan supaya kita sedar akan kehadirannya? Atau
hanya dengan mempamerkan emosi dan perbuatan itu sudah memadai untuk kita
mengerti? Jawapannya ada pada kita sebagai seorang anak…
- 7 LUAHAN ORANG KECIL TENTANG MH17... -
July 18, 2014
Beberapa jam masa berlalu, tapi hati di dalam masih rasa
seakan-akan ditumbuk. Sebak dan sesak menderu-deru masuk. Dan, ada banyak rasa
yang tak mampu diluahkan keluar, walau rasa teringin sekali. Hanya terkepung
dalam diri, tepat pada sekeping hati. Terkejut dan terkelu, selebihnya hanya
ada air mata yang bergenang.
Ya ALLAH... ini dugaan-MU. Dugaan berat demi menguji
keluarga terlibat, seterusnya menguji tanah tercinta ini. Tapi apakan daya,
walau banyak persoalan berlegar-legar, banyak cerita yang kedengaran dan
macam-macam spekulasi yang timbul. Hakikatnya... Malaysia sekali lagi jadi
perhatian masyarakat dunia gara-gara kapal terbang.
Baru aje kisah MH370 reda walau jejaknya selepas 4 bulan
masih belum diketahui. Entahkan benar-benar hanya tinggal sejarah, entahkan
masih ada di mana-mana di bumi bertuah ini. Tak tau dan saya tak pernah tahu
walau memang betul-betul nak tahu. Cumanya, pengetahuan manusia itu memang
terbatas. Jenuh berusaha, tetap juga gagal ditemui. Canggih alat-alat yang
digunakan, tak ada apa pun yang dapat walau sekadar serpihan kecil.
Dan semalam – 17/7/2014, sejarah terlakar lagi. Penerbangan MH17 yang berlepas dari
Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan Amsterdam) dan
dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul
6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pada hari berikutnya, dilaporkan terhempas
di Ukraine dan mengorbankan sebanyak 298 orang [termasuk anak kapal] yang
terdiri daripada pelbagai negara. Kapal terbang tersebut dipercayai terbang di
ruang udara tanpa sekatan.
Tak tahu salah siapa
kerana belum ada kepastian, baik Ukraine mahupun Russia, masing-masing saling
tuduh-menuduh. Ya, mana ada orang yang dah buat silap dengan mudah mahu mengaku
kesilapan sendiri. Ada, tapi jarang! Dan tentunya, bukan dalam kes ini.
Selebihnya saya tak tahu
apa-apa. Tapi walau apa pun, saya harap bila terbukti kelak siapa yang
bersalah, hukuman patut diberikan. Yang menjadi mangsa, bukan anak ayam tapi
manusia yang punya nyawa, punya keluarga. Pada mereka yang tak bernyawa itu, mungkin
ada harapan dan impian, atau mungkin ada sinar yang kini dah pun tak bernyala
lagi. Kejam! Sangat Kejam! Benar-benar kejam! Kalau benar ia angkara manusia,
memang keterlaluan.
Jari-jemari saya dah tak
mampu bekerja, sebab hati saya rasa berat. Gagal juga mencari diksi yang
sesuai. Saya lalui sepanjang hari ni dengan rasa suram. Demi TUHAN, saya rasa
sangat sedih.
Dan pesanan atau luahan saya walaupun mungkin tak didengar dan tak
dipedulikan kerana saya hanya orang kecil di tengah-tengah kelompok masyarakat
Malaysia:
1) UNTUK
MEREKA YANG TELAH PERGI – Damailah di sana. Doa saya, semoga tempat mereka yang beragama
Islam, di sisi ALLAH – Al-Fatihah buat mereka.
2) UNTUK PIHAK BERKUASA – Jika benar kita menjadi mangsa, carilah dalang durjana itu. Hukumlah
mereka dengan hukuman yang setimpal supaya dapat dijadikan pengajaran pada yang
lain.
3) UNTUK MEREKA YANG HAUSKAN DARAH – Lantak koranglah! Kalau pun
nak menunjuk kekuasaan masing-masing, tunjuklah pada yang terlibat, tapi
janganlah orang awam yang tak bersalah dikorbankan.
4) UNTUK KELUARGA YANG TERLIBAT – Sabar dan bertabahlah!
ALLAH ada dan DIA sedang menguji kalian kerana kalian orang yang kuat.
5) UNTUK YANG PERASAN BEKERJA SEBAGAI WARTAWAN – Berhentilah menokok-tambah
cerita. Itu hanya memburukkan keadaan. Tolonglah jaga hati keluarga yang
terlibat. Jangan terlalu taasub dengan andaian yang kesahihannya tak terbukti
kerana hari ni mungkin hari mereka, esok-esok mungkin hari kita pula. Siapa
tahu, kan?
6) UNTUK YANG CINTAKAN POLITIK – Berpolitiklah kerana kalian
memang dilahirkan begitu. Cumanya, janganlah dijadikan musibah yang datang sebagai
modal untuk menampakkan 'kewujudan' yang tak wujud.
7) UNTUK KITA RAKYAT MALAYSIA – Ini ujian untuk kita juga,
bukan hanya keluarga mereka yang terkorban. Bertabah dan bermuhasabahlah. Petunjuk
ALLAH itu datang dalam pelbagai cara.
- BIDADARI KECIL KAMI... -
July 16, 2014
Alhamdulillah… syukur atas nikmat
dan rahmat yang diberikan ALLAH selama ini pada saya dan keluarga. Hari ni,
Ramadan ke-18, kami didatangi seorang lagi bidadari kecil yang mungil dan polos
utusan daripada ALLAH, Tuhan Pemilik Seluruh Alam. Hadiah yang cukup bermakna
ini menjengah dunia pada pukul 2.40 pagi 16/7/2014.
Dia merupakan anak ke-2,
adik dan adik ipar saya. Adik kepada Muhammad Hafiy Darwisy. Namanya masih
belum ada, tapi yang pasti dia merupakan cucu ke-11 mak dan abah saya, sekali
gus menjadikan bilangan anak buah saya 11 orang. Jujurnya, saya teruja untuk
melihat muka comel dia yang nampak macam pau kacang tu. Tapi apakan daya, saya
baru aje balik ke Rumah Pink semalam petang. Jadinya, kita jumpa cuti Hari Raya
Aidilfitri nanti ya sayang.
Doa Mak Tam, moga baby jadi
hamba yang bertakwa dan insan yang berguna. Cepat besar tau!
- LAMANYA TAK MAKAN MACAM NI -
July 11, 2014
Orang kata,
membazir itu amalan syaitan. Hem... betullah tu! Tapi disebabkan apa yang
diorder itu dimakan sampai licin dan kalau tak licin juga, dibungkus bawa
balik, maka rasa-rasanya soal bazir-membazir itu sebenarnya tak wujud. Betul
kan macam tu?
Okey... saya
berhenti bagi mukadimah. Takut nanti ada yang maki saya di bulan yang mulia
ini. Tak rela menambah dosa pada orang lain, walaupun hakikatnya saya ni tak
baik mana pun. Tapi tak baik, bukan bermakna saya jahat. Taklah sampai macam tu
sekali.
Baik... saya
berhenti membebel yang tak perlu sekarang juga. Yang sebenarnya, apa yang saya
nak contengkan hari ni adalah tentang saya dan keluarga. Seingat saya, macam
dah agak lama juga kami anak-beranak tak keluar makan ramai-ramai. Mungkin
sebab masing-masing agak sibuk dengan hal sendiri. Atau... yang lebih tepat,
kalau saya balik ke kampung, masa kami lebih banyak dihabiskan di rumah.
Berbual, berborak, bertingkah, ketawa dan kemudian menjerit-menjerit sayang pada
anak-anak buah bertuah saya yang jarang makan saman. Makin kata jangan, makin
dibuatnya – kadang-kadang siap gelak-gelak lagi. Dan itu bermakna, kami hanya
makan-makan di rumah. Kalau makan di luar pun, ada-ada aje yang tak ada sebab
sibuk uruskan rutin yang tak pernah habis.
4 Julai 2014 yang
lepas, akhirnya aktiviti yang sesekali dibuat itu disambung kembali. Betapa
saya dan Cik Fida tu terkejar-kejar balik ke JB dari KL sebaik saja habis waktu
kerja. Bimbang sampai lewat sebab makanan dan tempat dah ditempah dalam masa
sekian-sekian. Berbuka pun hanya di dalam kereta. Kurma dua biji dan air
mineral. Nak singgah di mana-mana pun tak tersinggah bila masing-masing kata
masih boleh tahan lagi.
Dalam pukul 10.00
lebih, kami sampai di JB. Jalan sangat clear, bagaikan memahami keadaan kami
yang macam lipas kudung. Sampai kat Pekan Rabu sebab janji kat situ, yang
lain-lain tak sampai. Saya dah nak berasap sebab lapar. Konon, dah keluar
rumah. Memang dasar janji Melayu betul adik-beradik saya tu. Mujur tak lama
lepas tu mereka pun sampai.
Selesai makan,
masing-masing gerak balik. Itu pun sembang-sambang santai tepi kereta sambil
menikmati angin malam di sana. Suasana yang damai dan ada rasa tenang
menderu-deru dalam hati. Ya... saya sangat sukakan kedamaian dan ketenteraman
yang ada. Bersyukurlah kerana saya dan kita semua dipilih jadi warga Malaysia dan
tinggal di sebuah tanah air yang keadaannya masih terkawal. Semoga ALLAH terus
memelihara kita semua daripada persengketaan dan malapetaka. Untuk
saudara-saudara kita di Gaza, saya berdoa dan terus berdoa supaya ALLAH menjaga
mereka. Harap mereka terus sabar dan tabah dalam menempuh dugaan yang datang
kerana mereka orang terpilih dan orang terpilih itu biasanya orang yang
disayangi. Tentu ALLAH sangat menyayangi mereka, kerana itu mereka diuji dengan
ujian yang sangat berat. Untuk yang telah pergi, al-Fatihah...
- BLURB KAHWIN DENGAN SAYA? -
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq. Tapi bila masuk bab pilih calon isteri, dia cerewet. Calon umi, dia tak mahu. Yang suka menghimpit, dia tak ingin. Skema, dia tak sudi. Kalau bersolek macam pelakon Opera Cina, dia alergi. Pakai baju ketat dan singkat, sah-sah dia tolak.
Haq mencari isteri dan ibu buat Irham Firdaus. Bukannya sarung nangka, jauh sekali model pakaian berjenama. Apalagi si seksi yang membuatkan lelaki hidung belang melopong mulut.
Namun pertama kali bertemu Qara Nisa... ada lagu cinta merdu di hatinya. Dimandikan air tembikai pun dia tetap senyum. Lebih parah, yang disentuh Qara itu Irham, yang terasa seperti terkena litar pintas, dia.
Sedangkan bagi Qara, cinta itu hilang magis bila dirinya ditolak kerana harta. Lantas, lamaran Haq yang datang tak kena masa, ditolak selamba. Haq itu tipikal lelaki menjengkelkan dalam tenang.
“Kahwin dengan saya, saya akan jaga awak macam saya jaga nyawa saya sendiri.”
Itu janji Haq yang menusuk jauh ke hati Qara. Sebuah rumah berwarna ungu dan keluarga sempurna, bagaikan indah di mata. Ya... pilihan perlu dibuat, walaupun pilihan itu belum tentu menjanjikan kegembiraan dan kebahagiaan.
CIK PENULIS BEBEL: Lepas 3 bulan, baru ada blurb di sini. Huh... teruk betul saya!
- REVIEW HAJAR TENTANG NOVEL KAHWIN DENGAN SAYA | 18/6/14 -
July 7, 2014
1. Kisah kekeluargaan yang dipaparkan. Macam dah jadi trademark untuk penulis memasukkan unsur ini dalam setiap karyanya. :)
2. Qara Nisa (Qara) yang sangat lembut hatinya. Tak pernah berdendam walau sejahat dan seteruk mana layanan yang diterimanya. Baginya, kekurangan dirinya sebagai seorang anak yatim piatu membuatkan dia dibenci oleh kedua ibu bapa Dhia, kawan baiknya. (Macam kelakar bila fikir ada ibu bapa yang begini, memusuhi seorang anak kecil yang konon bawa pengaruh buruk kepada anaknya hanya kerana anak kecil itu seorang anak yatim piatu. Hmm, mungkin ada, cuma saya yang tak jumpa manusia spesies ni).
3. Persahabatan antara Qara dan Dhia yang kekal utuh semenjak sekolah rendah walau diancam dengan pelbagai ugutan daripada kedua ibu bapa Dhia.
4. Umair Haq (Haq) yang tak kisah jadi bapa tunggal hanya
kerana tak mahu anak sekecil Irham Firdaus disia-siakan oleh seorang ibu yang
tidak menghargai kehadiran seorang anak. Dia tak kisah dimarahi uminya asalkan
si kecil Irham tidak dilukai.
5. Kisah ini memang libatkan watak yang ramai dalam
penceritaannya tapi kita tak hilang fokus kerana setiap watak ada perkaitan
antara satu sama lain.
Yang buat saya geram:
1. Syahil. Sungguh saya tak suka spesies lelaki sebegini.
Tiada pendirian. Macam lalang. Sanggup ketepikan pendirian sendiri hanya kerana
takut dengan ugutan keluarga yang kononnya tidak akan mewariskan harta
sekiranya Syahil tetap bercadang untuk teruskan hubungan dengan Qara. Lelaki
macam ni ke yang nak dijadikan calon suami? Hmmph!
2. Datuk Kamil dan Datin Jalilah. Memang padan sangatlah.
Dua-dua materialistik. Atas alasan Qara tu anak yatim piatu, anak gadis itu
dimusuhi dan dihalang daripada berkawan dengan dengan Dhia. Malah hubungan
cinta Qara dan Syahil juga tidak direstui. Haish.
3. Hajah Yasirah yang mudah sangat termakan hasutan Datin
Jalilah. Patutnya sebagai orang yang lebih berpengalaman, dia boleh nilaikan
sendiri sikap Qara sebagai menantu berdasarkan layanan Qara kepada Haq dan ahli
keluarga yang lain. Ini siap boleh halau Qara keluar dari rumah pulak tu lepas dapat tahu kebenaran tentang Irham.
*Geleng kepala*
4. Bila Dhia pun mula beri layanan ‘bahu sejuk’ gara-gara
Qara tidak mahu ikut kehendaknya. Sungguhla pentingkan diri Dhia ni. Boleh pulak dia nak mintak Qara tinggalkan Haq dan kembali pada
Syahil. Katanya Syahil perlukan Qara untuk memulihkan semangatnya selepas
bercerai. Apakah???
5. Haq yang termakan kata-kata fitnah Syahil yang berniat
untuk memisahkan Haq dan Qara. Sampai terkeluar kata-kata yang buat Qara
terluka parah. Huwaaaa, kesian Qara tau! Mujur ada Maksu Razita. Kalau tidak
Qara dah naik penerbangan tambang murah entah ke mana-mana agaknya. :P
Komen saya:
Sungguh pun kisah ni agak beremosi, saya sukakannya.
Mungkin disebabkan perjalanan kisah yang agak pantas dan tak meleret-leret
dengan hal yang tidak-tidak. Tahniah buat penulis atas penerbitan karya ke-12
ini. Fuh, kena kira berapa banyak buku AA yang ada dalam rak buku saya ni untuk
cukupkan koleksi. :D
UNTUK HAJAR
Terima kasih daun keladi atas
review yang dibuat. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca
terhadap novel KAHWIN DENGAN SAYA?, ;-)
- POKOK KURMA BERBUAH DI KOTA ISKANDAR, JOHOR BAHRU -
Minggu lepas, kalau
tak silap saya, ramai yang bercerita tentang pokok kurma yang berbuah di Kelantan.
Saya yang jarang ambil tahu hal-hal di TV tak tahu sangat tentang itu. Cuma ada
juga kawan-kawan yang bercerita di depan dan belakang saya di pejabat. Masing-masing
rasa teruja sampai, lebih-lebih lagi kawan saya yang berasal dari Kelantan dan
saya pun ikut teruja sama. Maklumlah, perkara jarang berlaku di Malaysia. Diam-diam,
dalam hati teringin juga nak tengok dengan mata sendiri. Tapi bila mengenangkan
jarak antara Kelantan dan KL yang agak jauh, saya batalkan ajelah niat tu.
Mungkin kalau ada rezeki, satu hari nanti sampai jugalah saya ke sana. Yang
pasti bukan dalam jangka masa yang terdekat ini. Bukan saya tak pernah jejak
bumi Kelantan, pernah. Hanya jejakkan kaki semata-mata sebab nak tengok pokok
kurma yang berbuah, aduhai... saya mungkin belum sampai ke tahap serajin itu.
Tapi... kuasa ALLAH
itu memang tak pernah terfikir oleh manusia. Kalau memang rezeki saya, tak kira
berada di mana, tetap juga rezeki saya. Balik ke JB hujung minggu lepas. Balik
dua hari aje pun, tapi itu pun dah buat saya rasa syukur sangat-sangat. Dapat juga
berbuka puasa dengan keluarga saya. Dan berkumpul dengan mereka, satu
kegembiraan dan kebahagiaan yang tak mungkin dapat dikutip di mana-mana.
Berbalik soal tadi,
ketika dalam perjalanan menuju ke Mydin dengan adik dan ipar saya, dia orang
bagi tahu saya yang pokok kurma di Kota Iskandar berbuah. Saya? Tentulah tak
percaya sebab kalau betul berbuah tentu dah kecoh dan semua orang tahu. Lagipun
adik dan adik ipar saya tu bukannya boleh percaya sangat, kaki sakat dan auta
nombor satu tu. Berkali-kali diyakinkan saya, berkali-kali saya tak percaya
sampailah adik saya berhenti betul-betul di depan pokok kurma yang berbaris
sepanjang jalan.
Ya ALLAH...
kagumnya saya dengan kekuasaan ALLAH. Ternyata mereka berdua tak auta saya kali
ni. Jelas kat mata saya buah-buah kurma yang bergugus-gugus dengan warna kuning
bergayut. Terkedu jugalah saya. Lepas tu saya dengan rasa berkobar-kobar kata, “Berhenti,
berhenti! Akak nak bergambar. Akak nak bergambar”. Sudahnya, adik saya layankan
juga. Sanggup patah sekali lagi demi nak penuhkan permintaan kakak dia yang
lebih teruja daripada orang yang tanam pokok-pokok kurma tu agaknya.
Walau buahnya tak
masak lagi, tak dapat pun nak pegang sebab agak tinggi, jauh sekali nak
masukkan ke dalam mulut, saya dah rasa sangat gembira. Dalam masa beberapa hari
saja berhajat, akhirnya ALLAH perkenankan hajat tersebut tanpa perlu bersusah
payah. Tak kisah sama ada di Johor atau Kelantan, yang penting saya dapat
tengok pokok kurma berbuah dengan mata saya sendiri. Bukan hanya mendengar
cakap-cakap orang semata-mata. Dan lebih daripada itu, jarak pokok-pokok kurma
tersebut dengan rumah abah saya, hanya beberapa kilometer dan hanya mengambil
masa tak sampai pun 10 minit.
Kalau nak diikutkan
hati, saya sebenarnya teringin juga nak petik buah kurma tu. Tapi memandangkan agak
tinggi dan saya memerlukan tangga untuk melakukannya, saya batalkan niat tak
suci tu. Silap-silap, kalau staf MPJBT membuat rondaan, ada yang terpaksa
diangkut ke balai polis walaupun saya bekas pekerja mereka 10 tahun lalu.
Apa pun, saya rasa
gembira kerana bagi saya pokok kurma berbuah di Malaysia merupakan satu
keajaiban daripada ALLAH, biarpun ada banyak lagi andaian negatif yang dibuat kerana jika kita melihat sesuatu itu dengan pandangan negatif, maka negatiflah jadinya. Jika positif, maka positiflah sudahnya. Itu hal orang dan saya tak nak ambil tahu hal yang tak berkaitan dengan saya.
Yang saya tahu, saya dah tengok pokok kurma berbuah di Johor Bahru. Hanya itu!
Subscribe to:
Posts (Atom)