- Jumpa Lagi -

Dah seminggu aku dah kawan-kawan pergi ke rumah Kak Lynn Dayana. Tapi… baru hari ni rasa nak menulis sesuatu di sini sebab aku menulis ikut mood, tak ada paksaan dan tak akan ada paksaan. Kata orang, paksaan akan membunuh keinginan. Aku ke orang yang kata sebenarnya ni?

Nak mula dari mana ya? Hem… macam biasa, aku pergi dengan geng tiga serangkai aku tulah, siapa lagi kalau bukan Ika dan Bikash. Kali ni naik Si Boboi Ika, bukan Si Kem Bikash. Tapi soalnya, bila pulak turn Si Wir aku tu nak bawa dia orang? Hahaha… jenuh rasanya Ika berleter kat aku, malam tu pun kena juga. Tapi, insya-Allah… aku akan cuba juga lepas ni. Fobia perlu diatasi, sampai bila nak simpan kan? Masalahnya hati aku, TUHAN aje yang tahu

Sampai di rumah Kak Lynn, dah ada Kak Eka. Yang best tu, kami takut-takut juga tersalah rumah, tapi mujur juga macam terdengar-dengar ketawa Kak Lynn dari luar. Sah, memang tak silap lagi, tekan loceng kami pun sembunyi. Kak Lynn keluar, kami pun kantoi. Melangkah masuk rumah Kak Lynn, belakang pintu, Kak Eka sembunyi. Hehe… macam-macam kan? Teringat masa budak-budak dulu, main sorok-sorok macam dah jadi trend masa tu. Tapi rasanya, budak-budak sekarang dah tak main permainan macam tu. Dia orang lebih memilih main game di komputer atau pun main PS2 ke PS3.

Lagi apa nak tulis ya? Tak taulah nak tulis apa lagi, cuma… setiap pertemuan dengan kawan-kawan, pasti ada kenangan terindah. Tahu… apa yang pernah aku rasa, kawan-kawan lain pun rasa juga. Bukan hanya aku seorang yang diuji. Cumanya, siapa cepat dan siapa pula yang lambat rasa semua tu, tergantung juga bagaimana cara mengatasi keadaan itu. Syukurlah… aku dah keluar daripada rasa yang agak kejam tu. Alhamdulillah… Bikash pun dah keluar daripada kepompong yang entah apa-apa, tak tahu bila datang tapi tiba-tiba aje dah ada. Tak boleh buat apa yang kita minat dan nak buat, rasanya… agak sakit juga. Seperti ada yang terkurung dan hanya diri sendiri aje yang tahu. Dan dalam perjumpaan yang manis tu, sesi akhir dengan Kak Eka, Kak Lynn, Su, Ika, dan Bikash… buat aku lebih banyak berfikir. Memang benar, ajal maut dan jodoh pertemuan tu bukan ada di tangan manusia. Kadang kala, kita dah merasakan kita sudah memegang dengan ketat, tapi sebab terlalu ketat memegang… tangan terasa lenguh, sampai akhirnya terlerai tanpa kita sedari. Terima kasih atas nasihat Kak Eka dan Su… sangat dihargai.



Rasanya, cerita berakhir di sini dulu, ada masa jumpa lagi di lain cerita. Sekian, salam manis untuk sesiapa yang sudi berkunjung.

- Beginikah Aku? -

Setiap orang dalam dunia ni ada berbagai-bagai sikap dan sifat. Kadang-kadang kita rasa kita jenis orang yang begini, kadang-kadang pula, kita rasa kita jenis orang yang begitu. Kadang-kadang kita rasa kita dah buat baik pada orang. Kadang-kadang pula, kita rasa dah buat jahat pada orang. Kadang-kadang, orang suka bila kita buat baik. Kadang-kadang juga, bila kita buat baik, tetap juga orang kata kita tak baik. Semuanya tak kena dan tak betul. Sentiasa berubah-ubah dan jarang benar tetap pada pendirian yang satu. Malah, sering juga ikut keadaan dan masa.

Kata Kak Azie, ‘Aku... sangat pandai mengambil hati orang’. Ye ke? Kalau betul, kenapa aku selalu sakitkan hati orang? Jadi kesimpulan yang aku buat, aku bukan jenis macam tu. Sebabnya, aku selalu aje rasa kekok, bimbang kalau-kalau dalam pada bercakap, dalam pada bergurau, ada hati yang dah tergores. Tapi... aku juga bukan jenis orang yang tahu bercakap ala-ala perempuan Melayu terakhir. Dan, kalau aku memang jenis yang pandai mengambil hati, mesti sekarang ni aku ada banyak hati kan?

Kata seorang yang lain, ‘Aku keras di luar, tapi lembik macam biskut di dalam’. Betul ke aku jenis orang macam tu? Tapi kata-kata ni, memang agak tepat walaupun tak semua keadaan, aku keras dan tak semua keadaan juga aku lembik macam biskut.

Kata Kak Long, ‘Aku terlalu memanjakan adik-adik aku. Tak biarkan dia orang berdikari’. Ini satu lagi keadaan yang buat aku dalam dilema. Betul ke? Rasanya tak, tapi bila fikir kembali, macam betul pula. Bukannya apa, dulu... masa aku dalam umur adik-adik aku yang bertiga tu, (termasuk seorang sepupu yang mak aku jaga setiap kali mak cik aku pergi kerja), aku tak selalu dapat apa yang aku nak sebab tak kaya. Cuma boleh pandang orang aje. Mungkin sebab tu, maka... aku bagi aje apa dia orang nak, yang tak minta pun kadang-kadang aku bagi juga walaupun adik-adik aku dah ada kerja dan hidup sendiri. Semuanya gara-gara Kak Long terdengar aku belikan adik merangkap sepupu aku tu hp baru. Sakit mata tengok hp dia dah hilang button, dia tak minta pun. Bila Kak Long membebel, aku cakap, ‘Ami tolong belikan aje.’ Dalam hati, ‘Sorry... terpaksa tipu’. Malas nak dengar dia membebel terus sebab tu bukan pertama kali, dah berpuluh-puluh kali.

Kata mak pula, ‘Aku... seorang yang sangat suka meradang bila ada yang tak kena. Kalau orang tak kenal aku sangat, memang tak tahu’. Hehe... yang ni, memang no komen sebab, pandangan seorang ibu jarang benar tersasar. Tapi aku pun bukannya akan meradang tanpa sebab dan bukan juga meradang sentiasa. Hanya bila aku dah tak boleh nak kawal dan dah sampai tahap dewa. Biasalah, aku pun manusia biasa.

Kata abah pula, hem... tak ada kata yang abah luahkan, semuanya abah simpan dalam hati untuk dia seorang sebab abah bukannya banyak cakap. Dan, apa pun analisis yang dah dibuat pada aku tu, rasa-rasanya, akulah yang lebih kenal siapa diri aku yang sebenarnya. Orang lain pula, bagaimana ye?

- Tahniah -

Syukur… Ahad bersamaan dengan 16 November 2008, sepupu yang dah aku anggap macam adik sendiri (hubungan aku dengan family belah mak memang sangat-sangat rapat, jadi semua pun macam adik-beradik) selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hati dia. Sepupu yang aku maksudkan, Amrulzaman Amil. Tapi... aku terlupa nak tanya nama isteri dia. Cuma, aku terdengar ada orang panggil nama dia Azie. Jadi, aku beranggapan itulah nama panggilannya. Apa pun, aku doakan Aman & Azie akan berbahagia sampai bila-bila, selagi nafas dan nadi terus berdenyut. Tak nak tulis ke anak cucu sebab aku bimbang, bila panjang umur, dah ada cicit, dia orang tak akan berbahagia lagi.

Untuk Aman, ‘Tahniah ye, dik... doa Kak Tam selalu ada untuk Aman, sampai bila-bila’. Huh... sedihlah pula! Tapi... yang tak sedihnya, bila orang tanya... ‘Lepas ni, siapa pulak? D*** ke Jaja?’ Jawapan aku... ‘Wallahuaklam bissawab...’. Jaja pula kata, ‘No komen’.

Itulah dia, adik sedara yang selalu panggil aku dengan gelaran robot daripada Kak Tam. Moga adik aku ni gembira dan bahagia selalu. Yang tengah pegang kepala tu pula, Pak Long yang aku panggil Long. Long aku ni, agak serius orangnya. Tapi... sebab aku anak buah yang paling nakal, jadi... aku ajelah yang berani berbual dan bercakap apa saja yang aku suka dengan dia. Pernah satu hari, Jaja (sepupu yang paling baik dengan aku) cakap, ‘Berani ye berseloroh dengan Long...’. Aku cakap, ‘Takkanlah Long nak makan kita kalau kita buat lawak dengan dia’. Sebenarnya Long aku ni tak adalah serius benar, aku pun tak rasa dia garang, dia orang aje yang tak tahu nak bual dengan dia. Ceh... macam bagus benar aku ni.


Entah apa yang Aman cari-cari tu, aku memang tak tahu sebab aku duduk agak jauh dari dia. Tapi yang pasti, tentunya dia tak cari kesalahan ejaan macam aku, setiap kali tengok tulisan atau ayat depan mata. Tahniah sekali lagi...

- Sekadar Menulis -

Salam… Hem, rasanya dah lama juga tak menulis apa-apa di sini. Tangan rasa gatal nak menulis, tapi… masa macam begitu cemburu. Padahal, ada begitu banyak benda yang nak ditulis dan ada begitu banyak cerita yang nak dikisahkan. Cumanya, hehe… terpaksalah mendahulukan mana yang dahulu dan menangguhkan mana yang patut ditangguh. Lagipun… sekarang ni aku masuk kerja pukul 7.30 pagi dan itu bermakna aku balik pukul 4.30 petang. Memang tak ada masa lebih untuk meringankan tangan membersihkan rumah yang dah usang (kata Shanika) ni. Tak macam dulu, aku selalu balik lambat, kadang-kadang sampai malam. Kiranya, dulu masa aku lebih banyak habis di opis daripada rumah. Dan, inilah dia n3 pertama yang aku tulis di rumah.

Dua minggu lepas, aku dapat kerja luar (mengedit mss untuk DBP). Kerja tu pun dah selesai minggu ni. Cerita terbaru aku pula, alhamdulillah… setelah hampir enam bulan berhenti, akhirnya sampai juga ke titik akhir minggu lepas. Tapi masih belum bersih sebab aku masih dalam proses mengedit mana-mana yang patut. Banyak lagi yang perlu dilihat, tak kisahlah… yang penting dah sampai penamat.

Terus terang, cerita kali ni memang terasa menyeksakan aku sebab masa yang aku perlukan untuk siapkan, terlalu lama. Dan, selama enam bulan ni, entah apa sebabnya, aku tiba-tiba hilang semangat nak menulis novel. Duduk depan PC atau laptop, tak ada apa yang dapat aku buat walaupun masa tu, hati rasa meronta-ronta nak menulis. Bukannya tak ada rangka, ada, bukannya tak ada idea, ada… cuma, mood yang tak pernah ada. Dan, semuanya tak menjadi. Hilang, semuanya hilang macam aku sebelum-sebelum ni tak pernah menulis. Terasa macam orang baru yang pertama kali nak menceburkan diri dalam dunia penulisan pun ada juga. Semuanya serba tak kena dan kekok. Sampai satu masa, aku terfikir… ‘Allah dah tarik balik ke bakat dan kemahiran aku yang sedikit tu?’. Takut… jauh dalam diri, aku akui yang aku memang takut kalau apa yang aku fikir tu betul-betul terjadi.

Tapi syukurlah… semuanya macam dah kembali seperti biasa. Mungkin dalam masa enam bulan tu, aku diberi peluang untuk berehat dan melupakan minat yang satu tu. Enam bulan tu aku diberi peluang untuk bermuhasabah diri. Enam bulan tu, aku diberi peluang sukakan sesuatu yang lain daripada rutin yang aku buat sejak mula bergiat dengan dunia penulisan. Mungkin tempoh masa itu juga, aku diberi peluang supaya sedar tentang hakikat sebuah kehidupan, iaitu… jangan terlalu setia tak bertempat. Yalah, selama ini, tak kira dalam apa keadaan pun, aku jenis manusia yang suka pada sesuatu atau seseorang atau sesebuah perkara yang ‘satu’ sahaja dalam jangka masa yang panjang, mungkin terlalu panjang. Agak payah nak ditukar ganti, tak semudah menukar baju rasanya. Pandangan aku, hanya satu… hanya hala tu aje yang aku tuju. Tak pernah paling ke lain walaupun aku sedar… aku patut juga memandang ke lain sekali sekala, sebab mungkin ada yang lebih baik ada di kiri, kanan, depan atau belakang. Yang satu itu, belum tentu terbaik untuk aku walaupun aku sering merasakan, itulah yang terbaik buat aku. Dan tetap itu, itu juga yang aku kejar. Anehnya kehidupan, aneh lagi rasanya diri ni.

Hem… berbelit-belit kan apa yang aku tulis kali ni? Tak perlu difikirkan atau dicari makna yang tersirat, sebab semua tu tak begitu penting. Pentingnya, aku sangat berterima kasih kepada mereka-mereka yang masih sudi menjengah walaupun, aku sendiri ada masa-masanya tak datang bertandang ke rumah sendiri. Semoga kita semua dirahmati. Sekian…

- Pengajaran Untuk Aku -

Hari terakhir sebelum Pertandingan Pantun Sirih Berlipat Pinang Berkacip. Pagi, bangun aje tidur apa yang ada di kepala aku ialah ‘nasi kerabu’. Dah siap, aku terus buka beg tangan sebab tiba-tiba aje tergerak hati nak tengok duit (jarang aku buat macam ni). Kosong! Tak ada duit kertas walaupun RM1.00 kecuali syiling. Hem... baru ingat duit dan IC aku tinggal kat opis sebab masa pergi Chow Kit semalam aku masukan dalam uncang. Macam mana nak beli nasi kerabu? Mujur juga teringat aku ada selitkan duit kat rumah. Berkerut juga muka mak cik yang jual nasi kerabu tu sebab pukul 6.30 pagi aku hulur RM100.00. Nak buat macam mana, itu aje yang tinggal.

Sampai aje opis buka laci, selongkar sana, selongkar sini, sah... uncang pun dah tak ada. Menggigil sekejap bila teringatkan IC yang mungkin dah hilang. Baru teringat semula yang semalam aku ada bawa balik uncang tu, tapi aku keluarkan sebab nak ambil hp, nak balas SMS Fatin Nabila.Dalam kelam kabut uncang tu aku letak dalam beg kertas yang aku bawa. Dalam masa yang sama juga aku ingat aku ada buang sampah termasuk plastik yang ada dalam beg kertas tu juga. Sudah, aku dah buang IC sendiri ke? Sebenarnya beg kertas tu aku lipat dan letak senang lenang atas almari. Sepanjang hari aku sedapkan hati sendiri, anggap IC aku ada dalam beg tu. Tapi tak sabarnya nak balik, TUHAN aje yang tahu.

Pagi tu juga dapat berita yang Along cedera sebab main bola dan terpaksa bercuti lama. Mujur Sany gantikan tempat Along. Bukannya apa, dalam masa-masa macam ni, khidmat Sany memang amat diperlukan. Dan masa tengah sarapan, bos suruh Nadia booking kereta nak pergi Bank Islam di KL Central. Lepas tu bos tengok aku dan cakap, ‘Mar boleh temankan Kak Nor pergi Bank Islam tak? Nak bawa duit cash agak banyak ni.’ Dengan sengihan aku cakap, ‘boleh’ tapi dalam hati aku cakap, ‘Saya tak ada IC bos. Kalau jadi apa-apa tengah jalan, karang saya kena tuduh rakyat asing’. Tapi cuma dalam hati aje. Sepanjang masa tu aku berdoa biar tak jadi pergi, biar bos lupa ajak aku atau bos dah ada orang lain untuk ikut dia. Tapi sudahnya pukul 10.00 pagi, aku kena ikut juga. Dan, syukur... kami sampai di DBP dengan selamat.

Balik opis, sambung semula kerja isi-mengisi telur di dalam bunga telur. 600 jumlah bunga telur tu. Mujur juga ramai yang membantu, kalau tak sampai malam pun belum tentu siap sebab berapa banyak benar orang dalam bahagian aku. Sebelum balik, semuanya selesai walaupun terpaksa menunggu sebab banyak telur yang pecah dan terpaksa digantikan dengan yang baru. Balik rumah pula, huh... lega, memang uncang tu dah kena lipat dengan beg kertas yang ada atas almari, mujur IC tak patah. Syukur sangat walaupun malam tu kena bebel sakan dengan mak dalam telefon masa aku ceritakan yang aku hampir-hampir dihantar ke seberang, ‘kalau tak, tinggal seorang ajelah anak perempuan mak’. Dah kena marah pun masih boleh buat lawak aku ni.

Dan kesimpulannya, terima kasih pada Kak Lah yang dah belanja KFC. Lagi satu, bawalah beg duit kalau nak ke mana-mana, jangan jadi seperti aku yang memang tak suka bawa beg duit. Lebih suka selitkan duit, IC dan kad bank dalam kocek, atau bawa uncang yang kecil. Tapi masalahnya, bila aku nak serik?

- Sirih Berlipat Pinang Berkacip -

Alhamdulillah... akhirnya Pertandingan Berbalas Pantun Peringkat Akhir Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia atau tajuknya “Sirih Berlipat Pinang Berkacip” selesai juga dan ini bererti Bahagian Penerbitan Sastera dah boleh menarik nafas lega setelah beberapa minggu tak menang tangan demi menyelesaikan pertandingan tersebut.

Hari ni, kiranya macam hari ni dalam sejarah untuk tahun 2008 (berapa banyak dah sejarah aku cipta tahun ni), aku terpaksa bekerja hari Sabtu. Pagi-pagi lagi, dah bergerak ke DBP walaupun pertandingan hanya akan bermula pukul 2.30 petang. Bukannya apa, sekadar nak memastikan persiapan akhir berjalan dengan lancar. Ingatkan aku yang paling awal, tapi rupa-rupanya Kak Lah dah sampai dulu. Tak banyak yang boleh dilakukan sebab rata-rata persiapan dah disediakan semalam. Hanya tinggal yang remeh-temeh macam cucuk bunga telur kat pahar, balut tempat pemijak yang akan digunakan pelajar buat persembahan dan ada sebahagian lagi. Dan selebihnya, makan kari telur yang dibuat Kak Odah cicah roti kosong yang dibeli Kak Fatin. Hem... bila dah ramai-ramai, makan macam tu pun rasa macam dah sedap sangat.

Pertandingan bermula seperti majlis-majlis lain juga, hanya kali ni pertandingan diadakan antara Institut Perguruan Darul Iman, Terengganu dan Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor yang akhirnya menobatkan Institut Perguruan Temenggung Ibrahim sebagai juara. Dan, majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada yang jadi pemenang, kemudian barulah masing-masing sibuk mengisi perut dan aku balik selepas itu. Cukuplah sampai setakat itu hari ini sebab aku dah rasa betul-betul letih.

Syukur, memang rasa lega sangat walaupun selepas majlis berakhir, ibarat rumah dah siap tapi pahat masih terus berbunyi. Itulah yang berlaku dan rasanya di mana-mana saja keadaannya sama saja. Yang cacat mudah saja dilihat, itu tak kena dan ini pun tak kena. Tak ada yang sempurna dan tak akan ada yang sempurna barangkali. Tak kisahlah, kalau pun tak sempurna di mata orang, cukuplah sempurna di mata kami yang tahu betapa jerih dan payahnya rasa semata-mata nak pastikan majlis berjalan dengan lancar. Memang nampak mudah, tapi hakikatnya TUHAN saja yang tahu. Dan, betullah... dalam keadaan beginilah, aku semakin pandai menilai manusia melalui pemerhatian yang aku buat. Malangnya, sampai sekarang aku tertanya-tanya sendiri, kenapa bila memerlukan, manusia akan jadi sebaik-baik manusia, tapi bila semuanya selesai, menjeling walaupun sekilas terasa begitu payah? Hem... tak perlu dijawab kerana setiap orang pasti ada jawapannya termasuk aku sendiri.