..

Pages

October 22, 2009

-Aku Yang Corot-

Minggu sudah balik kampung, macam selalu aku sakitkan lagi hati anak-anak buah aku, saja nak tengok diaorang marah. Dan yang paling kerap jadi mangsa, Adik Nana dan Kakak. Kalau balik, memang tak sah kalau diaorang tak marah sebab aku. Jahat kan? Tapi aku seronok tengok diaorang marah-marah sampai merah-merah muka, sedangkan aku hanya tersengih-sengih, lagak orang tak bersalah. Mungkin terasa asyik diaorang aje terkena, baru-baru ni diaorang bergabung mengenakan aku. Dua beradik tu semacam buat pakatan sambil berbisik-bisik. Lepas tu datang jumpa aku yang tengah melepak, lepas penat bakar ayam dan segala macam benda, ada makan-makan sikit malam tu.

“Kteorang nak cakap sesuatu, ni keputusan yang jujur, dan datang dari hati...”
“Apa dia?” Aku dah ketawa-ketawa dengan Kak Long dan Ila. Awal tadi aku dah sakitkan hati budak dua beradik tu. Abang Chik aku dah senyum-senyum sebab dia pun tadi kena kata berlagak dengan Adik Nana, sebab dia pun lebih kurang macam aku, kaki sakat anak-anak buah. Adik bongsu aku dan isteri dia tengok aje.
“Kteorang nak buat perbandingan antara Mak Tam, Mak Cik Ila dan Mak Anjang. Ada beberapa kategori dan bahagi ikut nombor.”

Aku dah ketawa besar, aku angkat kening kat Kak Long, aku bisikkan kat telinga Ila, “Dah tentu-tentu aku dapat nombor corot. Tak percaya, kau tengoklah nanti. Diaorang mesti nak balas dendam kat aku sebab tadi aku buat diaorang marah.” 8-9 tahun kenal budak dua beradik tu, aku dah masak benar dengan perangai diaorang. Kalau berkaitan dengan aku, tak ada satu pun diaorang sokong, walau baik macam mana pun layanan yang aku beri (kalau jahat, lagilah), walau siangnya, Adik Nana duduk atas riba aku, peluk aku kuat-kuat, cium-cium pipi aku, pegang-pegang rambut aku.

“Kategori pertama, perangai buruk.”
“Kategori kedua, kedekut.”
“Kategori ketiga, hitam.”
“Kategori keempat, hidung tak mancung.”
Tak payah diaorang cakap pun, aku memang dah tahu dah yang aku dapat nombor 3 untuk semua kategori. Ila (Mak Cik Ila) nombor 2 sebab masa aku sakitkan hati diaorang, Ila bergabung sama dan Ina (Mak Anjang) nombor 1 sebab Ina ugut kalau dia dapat nombor corot, tak dah bawa naik motor.
“Kategori kelima, gemuk.”
“Hah... kalau yang ni pun Mak Tam dapat nombor corot... Adik dengan Kakak memang tak jujur masa menilai. Ataupun, mata dah pecah.” Abang Chik aku yang hanya tengok dan ketawa sakan sejak semua kategori aku jatuh nombor corot, menyampuk.

Dan macam yang aku duga, untuk kategori gemuk pun memang aku dapat nombor 3. Isyhhh... memanglah budak dua beradik tu nak balas dendam kat aku. Jauhnya beza aku dengan Ina dari segi saiz. Hitam? Padahal, dah terang lagi bersuluh. Kedekut? Huh... rasa macam nak hantuk kepala kat dinding aje bila fikir, dah berapa banyak barang yang diaorang minta aku belikan. Tu semua diaorang tak nampak, sabar ajelah anak buah aku. Tak pun, ni balasan untuk orang yang suka menyakat budak-budak macam aku? Tapi... jauh kat sudut hati, aku tahu... anak-anak buah aku sayangkan aku. Sebabnya, diaorang selalu telefon dan tanya bila aku nak balik dan kalau nak buat majlis apa-apa, diaorang kata, tak ada aku tak best. Aku juga yang dicari melebihi mak cik-mak cik yang lain. Untuk anak-anak buah aku, tak kiralah korang nak kata Mak Tam gemuk, hitam, kedekut, perangai buruk, hidung tak mancung tapi pipi tersorong-sorong, Mak Tam tetap sayang gila kat korang berenam. Moga kalian akan jadi anak yang mampu jadi penyejuk di mata dan penyeri di hati orang tua.