- REVIEW “TERUS CINTAI AKU” DARIPADA ANITA -

March 25, 2012

Karya terbaru seorang penulis yang sentiasa saya nantikan. Memang saya terlebih excited sebab menerima naskhah ini dari penulis berserta tandatangan sekali hehhee. Senyum meleret-leret.

Memang berbaloi-baloi mendapatkan novel ni. Bagi peminat novel, saya percaya anda juga tidak akan menyesal, percayalah. (Bukan nak promote lebih-lebih tetapi saya mengatakan yang sebenarnya).

Apa Yang Saya Rasa?

Rasanya inilah novel kedua yang saya baca bagi tahun 2012 yang boleh membuat saya tidak sanggup berhenti membaca sehingga ke akhirnya. Rasanya tidak sampai 10 jam saya telah habis membaca novel yang setebal 577 muka surat ini. Malah sanggup berjaga hingga jam 3 pagi. Percayalah, sekali anda telah memegang novel ini, anda tidak akan sanggup berhenti sehingga ke pengakhirannya.

Saya suka semua watak dalam novel ini. Saya suka ikatan kekeluargaan yang sangat rapat dan harmoni dalam keluarga Zalis. Zalis sungguh bertuah mempunyai orang tua yang memahami dan abang-abang yang sangat menyayangi dan melindungi. Saya juga suka watak Khilfie walau dia bukan digambarkan sebagai lelaki yang serba sempurna . Suka watak Jaznita yang mengada, degil dan perengus tetapi akhirnya boleh berubah tenang apabila menyedari hakikat hubungannya dengan Khilfie.

Mungkin bagi sesetengah orang memegang janji yang dibuat sewaktu kecil sehingga dewasa adalah tidak munasabah. Tetapi itulah yang Zalis buat. Setia pada janji yang dibuat oleh Khilfie walau berbelas tahun dia tidak mendengar khabar dari Khilfie. Berbelas tahun juga nama itu diharamkan disebut oleh keluarganya namun tidak pernah tidak hatinya menyeru nama Khilfie.

Saya rasa saya terlebih beremosi ketika membaca novel ini sejak dari bab awal sehinggalah ke bab yang terakhir. Setiap kali Zalis bersedih kerana Khilfie memilih perempuan lain dan bukannya dia, saya turut merasakan betapa hancur dan terlukanya hati Zalis. Malah dada saya rasakan turut sesak apabila Khilfie berperang dengan perasaan yang dia sendiri tidak fahami. Mengapa setiap kali Zalis menjauhkan diri, dia seolah-olah sentiasa ingin mendekati Zalis sedangkan tempoh berbelas tahun dia meninggalkan Zalis, tidak pernah hidupnya rasa kekurangan tanpa Zalis. Mengapa di saat dia telah memilih Jaznita, pertemuan dengan Zalis selepas 16 tahun telah membuat hatinya sentiasa mengingati Zalis. Malah saya turut merasakan betapa huru-haranya hidup Khilfie apabila Zalis menghilang.

Oh... nasib baik juga bukan Khilfie yang memutuskan pertunangannya dengan Jaznita walaupun dia memang sudah berniat begitu. Sekurang-kurangnya dia tidaklah kelihatan sebagai lelaki yang sangat teruk kerana telah menghancurkan hati dua wanita. Ya, memang Khilfie sangat jahat kerana dia pernah melupakan Zalis, teman rapatnya semasa kecil. Namun, Khilfie juga sangat manis ketika dia berusaha mendekati Zalis yang sentiasa ingin menjauhkan diri. Namun aturan takdir siapa yang dapat mengubahnya.

Apa-apa pun tahniah kepada penulis kerana beliau telah membuatkan hati saya sentiasa berdebar-debar dan tidak menentu ketika membaca novel ini. Sebuah novel yang sangat best.

PESANAN/UCAPAN PENUH KASIH SAYANG UNTUK ANITA : Terima kasih tak terhingga atas review di atas. Kawan-kawan yang cantik-cantik dan manis-manis macam madu, bolehlah melawat Anita [DI SINI] sebab ada banyak lagi review novel yang menarik. Bolehlah kalau nak jadikan panduan sebelum membeli sesebuah novel.

No comments:

Post a Comment