- Ironinya Sebuah Kehidupan Manusia Bernama Aku -

July 1, 2008

Ironi atau terbalik. Rasa-rasanya, memang itulah yang berlaku sejak akhir-akhir ni. Kenapa boleh jadi begini ya? Sampai sekarang pun, masa aku ketuk jari kat keyboard ni pun, aku tak ada jawapan yang pasti.

@ Bila manusia mula hilang minat @

Rasa macam tak percaya bila aku tiba-tiba saja hilang minat pada sesuatu yang sangat aku sukai suatu ketika dahulu. Agak sadis bila minat itu seperti bertahan hanya untuk tempoh lima tahun saja (2003-2008). Dan, paling teruk... aku tahu dengan pasti, sebenarnya aku masih terlalu sayangkan ‘sesuatu’ itu. Tapi peliknya, kenapa dalam pada sayang, aku seperti membiarkan ‘sesuatu’ yang sangat bermakna itu pergi begitu saja? Takkanlah, hanya kerana sibuk dengan tugasan luar sejak beberapa bulan lalu, aku jadi seorang yang pasif dan hidup dalam ruang sendiri, maka aku terus membiarkan ‘sesuatu’ itu pergi walaupun sekarang ni semua kerja luar sudah aku selesaikan tanpa tinggal sisa lagi. Takkanlah juga semudah itu semangat aku yang dulunya berkobar-kobar patah begitu saja? Secepat itukah minat boleh bertukar? Seperti menukarkan barang di kedai dengan wang kertas di tangan?

@ Bila manusia buat lain daripada yang sepatutnya @

Rasa macam aneh, bila aku hadir ke bengkel penilaian manuskrip. Aku diajar bagaimana caranya untuk menilai puisi, cerpen, novel, makalah dan bermacam-macam lagi. Aspek-aspek yang perlu diteliti dan sebagainya. Tapi yang menjadi ironinya, selesai bengkel, aku bukannya minat untuk menilai manuskrip sedangkan sepatutnya begitulah, ironinya aku jadi minat menulis puisi. Dalam gelak-gelak aku cakap pada seorang kawan. Nampak macam main-main sebab aku memang selalu tak serius kalau bercakap. Ketawa selalu lebih. Tapi sebenarnya memang itulah yang aku rasa dan nak buat. Cumanya, sampai ke hari ini tak ada satu pun puisi yang aku buat lepas habis bengkel tu. Harap-harap satu hari nanti aku boleh tulis juga.

@ Bila manusia mula beralih arah @

Rasa macam tak kena bila kebiasaan berubah tanpa sebab yang pasti. Ironinya lagi, saat kawan-kawan bercerita tentang cerita Korea. Cerita ini begini, cerita itu, begitu... aku hanya tergelak-gelak sebab aku memang jarang tengok TV, apalagi cerita bersiri yang agak panjang dan menuntut aku menanti setiap hari. Kalau ada pun cerita Korea yang aku tengok, Autumn In My Heart. Itu pun, aku tak pasti kenapa aku tengok cerita tu, tapi ending dia memang berjaya sentuh hati aku. Kemudian, bila kawan-kawan bising bercerita tentang Full House yang ‘best’, aku pinjam CD daripada Kak Lah. Nak tengok hebat benarkah cerita tu? Dan, saat aku tengok cerita tu, aku tak nampak di mana keistimewaannya kecuali pada watak heroinnya yang comel. Lepas tu pinjam pula CD Winter Sonata yang juga ‘hebat’ kata mereka yang gilakan cerita Korea. Malangnya, baru beberapa CD, aku pulangkan balik dengan alasan, cerita tersebut tak dapat menarik minat aku untuk terus lekat di skrin TV.

Lama selepas tu, aku pinjam pula CD My Girl. Ya, mungkin inilah satu-satunya cerita Korea yang mampu menarik minat aku dan memang aku suka sangat. Mungkin sebab kelakar, watak-watak utamanya yang sedap mata memandang atau sebab penipuan demi penipuan yang dicipta heroin dalam cerita tu, aku sendiri tak pasti. Tapi memang inilah satu-satunya cerita yang mampu tarik hati aku. Kemudian, lebih setahun aku langsung tak tengok cerita Korea lagi sebab aku tertarik, tapi aku tak jatuh hati sebenarnya. Kemudian, bila seorang kawan beri tahu cerita Only You agak ‘best’, aku beli CD tu. Tengok sampai habis, bagi aku okey jugalah cerita tu. Tapi entah apa merasuk, beberapa bulan lepas tu, beli pula cerita Coffee Prince, Truly Love, Queen of The Game, Spring Waltz, dan beberapa lagi yang aku sendiri tak ingat tajuknya. Agak mengharukan juga bila aku cuma tengok Coffee Prince semata-mata, sedangkan yang lain-lain terbiar. Tak cukup dengan tu, pinjam pulak Princess Hours dan cerita Jepun daripada Bikash. Itu pun dalam bayangan aku, aku dah tengok-tengok cerita apa lagi yang aku nak beli. Huh... teruknya.

Dan, kesudahan atau kesimpulan yang aku dapat buat selepas habis menulis N3 ini, aku tak nak berehat sikit pun. Nak terus buat apa yang aku buat selama ini, nak menulis, nak membaca dan macam-macam lagi. Tapi... macam semuanya terasa susah, mungkin sebab agak lama berhenti daripada buat rutin tu. Betul apa yang Encik Mat cakap, ‘jangan berhenti menulis walaupun sehari sebab akan bunuh kreativiti’. Kawan-kawan kat Alaf 21 pun pernah cakap, tapi nampaknya aku yang tak begitu berdisiplin. Jadi... nampaknya kenalah panggil balik mood yang dah merayau entah ke mana. Tapi soalnya macam mana? Macam panggil adik aku balik rumah macam yang aku buat dulu ke? Huh... masih belum difikirkan. Cuma nak ucapkan terima kasih kepada sesiapa yang sudi menjengah walaupun langkah kaki aku di sini nampaknya semakin menjauh. Hendaknya, tak akan ada yang jemu. Salam buat yang masih sudi berkunjung.

- Dua dalam Satu -

June 15, 2008

Dua dalam satu? Kenapa ya mesti tajuk tu macam tu? Tak kisahlah tapi yang pasti hari ni aku rasa gembira sangat. Bukannya apa, sebenarnya tarikh hari ni 15 Jun 2008, itulah yang buat aku senyum sendiri sejak dari pagi tadi lagi dan masa menaip ni pun aku tetap juga senyum. Sebenarnya hari ni merupakah hari lahir mak yang ke 54 dan hari ni juga merupakan hari bapa. Sebab itulah aku gelarkan dua dalam satu. Cuma yang tak bestnya, aku tak balik Johor sebab nak kena pergi bengkel di PD selama seminggu. Aku dah pun ucapkan Selamat Hari Lahir pada mak dan Selamat Hari Bapa pada abah. Tapi, bercakap di telefon rupa-rupanya tak sama rasanya dengan bercakap secara berhadapan sebab aku hanya boleh dengar suara dan ketawa mak dan abah. Kalau berdepan, boleh juga aku menyakat-nyakat diaorang tu dan tengok riak wajah tu. Ah... mak dan abah, memang selalu mampu mencuit hati aku.

Hem... tak kisahlah, ada rezeki bila balik nanti aku sambutlah kedua-dua hari tu sebab bagi aku, tak ada istilah terlambat dalam hal-hal yang macam ni. Yang penting aku boleh tengok senyuman manis dua insan kesayangan aku ni. Tapi untuk hari ni dan hari-hari seterusnya, aku ucapkan ‘SELAMAT HARI LAHIR’ buat mak dan ‘SELAMAT HARI BAPA’ buat abah, yang tak pernah jemu memberikan kasih sayang dah selalu berusaha menjadi orang tua yang paling sempurna buat aku dan adik-beradik yang lain. Semoga mak dan abah dipanjang umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam rahmat ALLAH. Amin!

- Kilau di Wajahmu -

Mak...
Beberapa musim lalu
Ketika usiaku hanya sejengkal jari
Kulihat di wajahmu ada kilau indah
Gilang-gemilang persis sebutir mutiara di celahan pepasir putih
Yang tak pernah pudar dek pukulan bahang mentari
Meski ketika itu begitu banyak kerenah harus kau ladeni
Begitu banyak ragam yang adakalanya terlalu memeningkan
Menguji kesabaran yang hanya senipis cuma

Mak...
Kemilau wajahmu masih tetap kulihat
Tetap cantik berseri-seri
Saat aku semakin mengenal erti hidup
Walau ketika itu tingkah anak-anakmu semakin rencam
Tapi kau tetap juga tersenyum
Kasihmu tak pernah surut walau sebesar zarah

Mak...
Semalam dalam tidurku yang lena
Aku masih melihat kilau indah berseri itu masih ada
Tetap diam di tempat yang sama
Di wajahmu yang kian dimamah waktu
Anehnya, di mata ini
Kilau itu lebih menawan di balik garis-garis usia
Tapi aku pasti
Banyak mana pun garis-garis itu
Takkan terlawan banyaknya sayangmu
Pada anak-anak tercinta yang kian dewasa

Mak...
Esok menjelang
Aku masih berharap dan akan terus berharap
Kilau di wajahmu akan tetap ada
Buat menemani anak-anakmu yang tak pernah puas
Tetap dahaga kasihmu biarpun masa dan keadaan
Tak pernah kekal di ruang yang sama.

~15 Jun 2008~

- Abah -

Saat jemari kasar abah kugenggam hangat
Melintas panorama pilu
Dalam terik panas mentari yang membakar
Tubuh abah lencun dibasahi rintik-rintik peluh

Saat kudakap tubuh abah
Kurasa kasih sayangnya mengalir deras
Sederas air sungai yang mendewasakanku
Mengisi hari-hari yang kulewati selama ini

Saat kurenung wajah tua abah
Kulihat ada ukiran halus diam di situ
Terbit seiring putih di celah rerambut itu
Tanda kalau usia abah semakin ke senja

Saat kudengar tawa garau abah yang jarang amat
Aku senyum sendiri
Teringat betapa aku punya abah yang unik
Tapi aku tetap bangga dengannya
Yang bila sesekali menyusun kata
Mampu membuatkan buraian ketawa di bibirku
Atau mencebik menahan perasaan

Saat jauh dari abah
Aku terasa dilindungi kesunyian
Tapi sayangku padanya tetap utuh
Kerana jasa abah takkan terbalas olehku

~2 Mac 2007~

- Sejarah Yang Bukan Sejarah -

June 12, 2008

Manusia belajar daripada sejarah dan sejarah pula akan membuatkan kita ingat sapai bila. Hem... kiranya hari ni aku telah mencipta sejarah sendiri walaupun sejarah yang tak gempak langsung, hanya mungkin akan menjadi ingatan aku sampai bila-bila. Sebenarnya tak boleh dianggap sejarah pun, cuma hari ni... buat pertama kalinya aku jadi orang pertama sampai di Bahagian Penerbitan Sastera setelah hampir 3 tahun bekerja di sini. Selalunya, aku mungkin akan jadi orang yang terakhir sebab aku masuk kerja pukul 8.30 pagi, waktu terakhir. Tapi tadi, 7.05 minit aku dah terpacak di hadapan pintu. Malangnya, pintu tertutup dan dari bawah pintu tu, hanya ada gelap. 'Alamak... belum ada yang sampai'. Silapnya aku juga, sepatutnya aku pergi tanya Bahagian Keselamatan sama ada kunci tingkat aku sudah diambil atau belum. Tapi aku biasalah, main redah aje sesuka hati. Maklumlah, dah biasa sangat datang-datang tengok pintu terbuka luas, sambut kedatangan aku. Ceh... perasan seh...

Disebabkan rasa malas nak ambil kunci, aku pun pergi beli makanan kat kantin, pun hanya ada beberapa orang. Awal lagi, siapa yang berselera nak mengisi perut. Lepas beli, aku naik balik bahagian aku, huh... pintu masih juga tertutup dan masih berada dalam keadaan yang sama. Nasiblah! Jadi dengan perasaan nak ke tak nak, aku kena turun juga untuk ambil kunci. Dalam hati, kutuk diri sendiri sebab kalau dari tadi aku pergi ambil mesti dah tak payah nak ulang-ulang banyak kali. Tapi tak apa juga, boleh exercise pagi-pagi, terlanjur aku pun memang dah tak rajin keluarkan peluh sekarang ni. Bukak pintu pertama, gelap... hem, pantas juga jantung aku bergerak masa tekan suis lampu. Dalam hati, janganlah hendaknya ada yang menyergah dalam gelap-gelita tu. Hem... biasalah, otak manusia ni memang suka fikir yang bukan-bukan dan tak elok.

Masa duduk beberapa minit, barulah Kak Fatin sampai dan dia pun agak terperanjat juga tengok aku dah ada di tempat sambil pandang PC ni. Dan, sampai ke saat ini pun masih belum ada lagi yang lain sampai. Agaknya hari ni ramai yang cuti kot, bahagian sebelah (sama tingkat) yang selalunya awal pun masih gelap, sengaja aku tak bukak pintu diaorang sebab malas nak duduk dalam gelap sekali lagi. Isyh... penakut juga kiranya aku ni.

Hem... bos baru sampai, Kak Lah pun baru sampai, Kak Fatin dah hilang entah ke mana, mungkin beli makanan agaknya dan aku pula dah tak ada idea nak tulis. Tadi tu tiba-tiba saja terasa nak merepek sedikit pagi ini sebelum mula buat kerja, jadi aku pun tulislah N3 ini. So... terlanjur dapat peluang emas ni, aku nak ucapkan selamat pagi kepada semua yang hidup di atas bumi bertuah ini. Semoga perjalanan kita sepanjang hari ini dan hari-hari seterusnya akan diberkati ALLAH hendaknya.

Dan, untuk seorang kenalan yang telah pergi ke rahmatullah semalam, semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas arwah dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin! Untuk arwah Rohaya Mohd Yusof, Al-Fatihah...

- Panas dalam Dingin -

June 6, 2008

‘Panas dalam dingin’. Macam mana agaknya ya rasa bila keadaan itu melanda manusia? Hem... mungkin sama macam apa yang bahagian aku rasakan hari ini dan saat ini. Hangat dalam sejuknya penyaman udara. Sekali fikir, rasanya macam sedang ikat tali di tiang, naik atas kerusi, suakan kepala ke dalam lingkaran tali dan tolak kerusi sepantas mungkin, atau lebih tepat lagi dan lebih manis atau seronok... begini bunyinya, ‘seperti kacang lupakan kulit’. Tepatkah penggunaan peribahasa itu dalam keadaan ‘panas dalam dingin’ ini? Sebetullah aku pun tak berapa pasti sejauh mana ketepatannya. Aku hanya mengandaikan apa yang ada di fikiran dan hati aku saat jari-jemari ni rancak menari-nari di atas daerah putih yang sarat dengan huruf-huruf halus ni. Bolehkah digelar begitu pada saat sebegini dan dalam kes ini? Kalau tak boleh, maknanya aku yang kurang mahir dalam bab penguasaan peribahasa, jadi aku minta maaf awal-awal.

Hem, kenapa ya... setiap pengorbanan atau jerih perih yang diberikan selalu tak dihargai? Mengucapkan kata terima kasih jauh sekali, malahan tanpa perasaan dan rasa segan silu mahu ‘memakan’ orang yang membantu. Entahlah aku kurang tahu tentang itu... cuma yang aku pasti, semakin masa berlalu, semakin banyak kerenah manusia yang dapat dilihat dan semakin banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat aku kutip hari demi hari. Yang aku tahu dan kesimpulan yang aku cuba cerakinkan, dalam senyuman, ada tangisan, dalam baik, ada jahatnya, dalam elok, ada buruknya, dalam ikhlas ada keluhan yang ke luar dari bibir dan ada begitu banyak lagi yang jarang-jarang benar aku ambil peduli.

Tapi syukur, sampai ke hari ini pun aku masih lagi aku seperti aku walaupun bukan begitu sempurna. Dan, aku masih berharap 10 tahun atau 20 tahun lagi, aku masih begini. Masih juga kenal asal usul, masih tahu di mana bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Pendek kata, aku tak mahu jadi manusia yang cepat melatah dan lupa diri. Terasa megah sendiri hanya dek pujian-pujian yang entahkan benar, entahkan tidak, wujud keikhlasannya. Lantas dengan angkuh mendabik dada, konon-kononnya, ‘AKULAH YANG PALING HEBAT DAN BAGUS’ sedangkan realitinya, tanpa disedari bersusun-susun orang mengata dan mengeji di belakang.

Lalu... perlukan berbangga dengan keadaan itu? Perlukan kita terus mendabik dada? Dan usia... nyatanya makin hari bukankah makin meningkat? Jadi kenapa masih ada manusia yang sering lupa diri. Bila sudah berada di atas, kenapa mudah benar melupakan rumput yang tetap setia menunggu di bawah? Tapi bukankah adat manusia begitu? Cuma salahkah kalau kita belajar menghargai usaha dan jasa orang pada kita walaupun hanya sebesar hama?

Dan, sempena dengan rasa ni... jika tersilap kata dan tersalah menilai, maaf... hanya, kadang-kadang kita memerlukan seseorang atau sesuatu untuk meluahkan apa yang berbuku di hati sebagai ‘wakil’. Malah sekali-sekala memang perlu mengambil tindakan yang drastik, bukan bertujuan untuk menghukum pada kesalahan yang telah dilakukan tapi ada kalanya, manusia-manusia yang celik pandangan tapi masih kelam di dalam perlu juga ditunjukan lorong-lorong supaya tidak terus hanyut. Tapi tidak juga bermakna, kerana susu setitik akan rosak susu sebelanga. Bukan salah sesiapa, hanya ‘dia dan dia’ semata-mata. Sekian...

* * *

Ilmu kian banyak, makin luas, makin tinggi; tetapi ada dua pertanyaan: Adakah benar, dan berapa dalamnya? Kerana sebelum kita berbicara tentang “tahu” gunakan ilmu, lebih dulu kita perlu uji benar atas salah, dan ukur berapa dalamnya ilmu yang kita tahu, terlebih dahulu.

- SN Arena Wati -

- Ibarat Lilin -

June 5, 2008

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih diam di situ
Membayangkan lilin yang sama
Masih menerangi suram rumah nenek
Yang kini hanya ditemani biasan bulan dan bintang
Menerobosi celah-celah lubang halus

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih kaku di situ
Melihat lilin kaku itu terus berdiri
Tegak di lapik piring tanpa serinya

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih bungkam di situ
Membandingkan hidupku dengannya
Yang nyatanya begitu banyak iras

Sepertinya...
Aku ini ibarat lilin
Piring itu ibarat hatiku
Dan… ruang sepi itu adalah mereka
Yang ada kalanya rebah dalam tabah
Tapi aku ingin bangunkan mereka
Walau terkadang aku ditimpa mereka tanpa sedar
Pun aku tetap rela
Kerana tanpa mereka untuk apa aku terus di sini?

- Jalan-jalan Cuci Mata 3 -

April 23, 2008

Pagi, sebaik saja celik mata, aku tiba-tiba aje terasa nak balik walaupun semalam rasa macam tak nak. Teruk betul. Sekali lagi aku dan Shanika pergi ke Pasar Filipina. Jatuh hati atau tidak, aku terpaksa juga beli sesuatu untuk orang-orang yang rapat denganku. Tapi macam semalam, aku tetap tak tahu apa yang hendak kubeli. Masuk ke dalam gerai-gerai kecil pun aku masih belum dapat bayangkan apa yang hendak kucapai sebentar nanti. Anehnya, bila berhenti di sebuah gerai, aku tengok sekejap, tanya itu dan ini, akhirnya benda yang aku tak rasa nak beli, aku beli juga sebab malas nak fikir banyak sangat. Rasa-rasanya aku macam dah belikan benda yang tepat. Kalau pun tak tepat di mata orang, tentu tepat di mata aku sendiri sebab aku dah bayar pun harga benda-benda tu. Harapan aku, diaorg suka nanti. Kalau pun tak suka kenalah buat-buat suka, hehehe...

Lepas check out, kami bergerak ke Muzium Negeri Sabah dengan menaiki teksi. Berpusing-pusing dalam Muzium, melihat-lihat banyak khazanah yang tak pernah dilihat di hadapan mata kecuali dalam TV atau buku, membuatkan aku agak teruja. Apalagi bila tengok keranda lama yang digunakan zaman-zaman dulu oleh golongan raja, kalau tak silap. Cantik pulak ukiran keranda-keranda tu. Tapi yang paling kelakar, masa tengok rangka tulang yang begitu besar, selamba aje aku cakap, 'Tu rangka buaya'. Tapi kami langsung tak datang dekat, lepas tu baca-baca apa yang ditulis, aku tukar apa yang aku rasa, 'Rangka tadi tu tulang nagalah'. Agak yakin aku berkata-kata lepas baca apa yang ada di dalam Muzium tu. Dah nak keluar barulah datang dekat rangka yang nampak menarik, nak ketawa besar aku sebab rangka tu sebenarnya rangka ikan paus (alamak betul ke?, aku yakin dalam tak, tapi yang pasti bukan buaya dan naga).

Dari Muzium, kami bergerak mencari Muzium Tamadun Islam, sambil berjalan aku paksa Shanika bercerita tentang Novel Ungu Karmila. Sampai habis dia bercerita, Muzium Tamadun Islam tak jumpa-jumpa juga, sudahnya kami patah balik dan pergi ke Kampung Warisan. Ada agak banyak contoh-contoh rumah masyarakat Sabah. Sayangnya, banyak antara ruma-rumah tradisi itu yang sedang diperbaiki. Kalau tak tentu akan lebih meriah lagi. Kemudian singgah minum, hem... dalam keadaan cuaca yang panas hati aku ikut terbakar gara-gara air Shanika yang ada ulat tak diganti. Lebih buat sakit hati, orang kedai tu buat tak layan aje.

Lepas makan, kami bergerak ke airport dan pukul 6.30 petang, tanah Sabah kami tinggalkan dengan kenangan manis. Insya-ALLAH ada umur dan rezeki mungkin lain kali boleh datang lagi sebab ada begitu banyak tempat lagi yang tak sempat kami kunjungi. Buat Shanika, terima kasih sekali lagi, kalau tak mesti lambat lagi baru sampai sebab asyik bertangguh aje sejak dua tahun lepas.



























- Jalan-jalan Cuci Mata 2 -

April 22, 2008

Pukul 8.00 pagi, seperti yang dijanjikan selepas sarapan, aku dan Shanika menunggu di lobi hotel. Mujur tak lama menunggu. Selain aku dan Shanika, ada 5 mat n minah saleh lagi yang ikut dalam trip tu tak termasuk J, yang bersusah payah menerangkan itu juga ini sepanjang hari dan pemandu. Trip yang kami ikut tu rasanya namanya Only In Borneo. Ada satu lagi trip yang ditawarkan tapi kami pilih yang ni sebab yang tu lebih kepada melihat-lihat haiwan aje.

Seperti yang terdapat dalam pakej, dalam perjalanan kami berhenti tengok pemandangan Gunung Kibabalu. Walaupun dari jauh tetap cantik di pandang mata. Kalau nak naik ke atas, aku awal-awal tahu yang aku memang tak mampu. Jadi dapat tengok dari jauh pun rasanya dah memadai. Lepas tu singgah pula di Nabalu Market selama lebih kurang 20 minit. Apa yang istimewa di sini ya? Hem... mungkin replika nanas yang besar tu agaknya. Tapi sebenarnya di sini pun ada juga dijual barangan cenderahati. Seperti semalam, aku sekadar melihat-lihat sebab hati rasanya macam tak tertawan.

Lepas tu terus bergerak ke Botanical Garden. Sesuai dengan namanya, ada begitu banyak jenis bunga dan pokok di situ. Sesetengahnya dah pernah lihat dan sesetengahnya pula langsung tak penah lihat. Disebabkan aku bukanlah seorang yang terlalu gilakan bunga dan pokok, aku hanya melihat-lihat tanpa perasaan sambil mendengar penerangan J dan ketawa atau senyum bila terasa kelakar. Tapi kagum juga sebab pertama kali tengok bunga orkid yang paling kecil dalam dunia. Berwarna putih dan saiznya pun terlalu kecil. Kalau nak tengok terpaksa dekatkan mata betul-betul kat bunga dia tu. Cantik jugalah.

Kemudian kami mula bergerak menuju ke Poring Lepas makan tengah hari, masuk ke tempat yang ada kolam air panas. Tapi hanya melihat-lihat sebentar sebelum berjalan masuk dalam hutan kecil. Bolehlah kot dipanggil macam tu. Kami mendaki juga hutan tu untuk menuju ke jambatan gantung. Terus terang, aku sebenarnya betul-betul dah tak larat nak mendaki (dibuat seperti tangga) dan kalau perjalanan kami disambung 100 meter lagi, aku terpaksa angkat tangan dan cakap yang aku dah tak boleh nak jalan. Tak ada exercise yang aku buat sejak berbulan-bulan lalu menjadikan aku langsung tak ada stamina. Kaki pun dah terasa menggigil semacam. Mujur juga akhirnya sampai. Tapi rasa letih terubat bila aku berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 157 meter. Seronok sangat.

Turun saja, aku dan Shanika pergi ke Taman Kupu-kupu Poring. Bising jugalah mulut kami sebab tak ada kupu-kupu pun, kalau ada pun cuma beberapa ekor. Sebenarnya bukannya tak ada, cuma kami yang tak sabar. Kupu-kupu tu ada di hadapan lagi. Mula-mulanya asyik jugalah aku tengok kupu-kupu pelbagai jenis, tapi bila Shanika sebut perkataan beluncas, resah aku datang lagi. Terus aku ajak dia keluar. Akhir sekali kami pergi ke kolam air panas. Tak mandi sebab aku memang tak nak mandi. Kami sekadar merendam kaki, nak tenangkan kaki yang dah begitu banyak berjalan sepanjang hari. Hampir pukul 4.00 kami bertolak balik dan sampai ke hotel hampir pukul 7.00. Dan, tiba-tiba masa tu aku rasa sayang nak tinggalkan Sabah. Tapi nak ke tak nak esok pukul 6.30 petang, kami kena balik juga. Lagipun, mungkin rasa tak nak balik tu cuma untuk hari itu saja. Dan, ini pula sebahagian gambar yang diambil dalam misi ke-2 jalan-jalan cuci mata di Sabah.