- DATANG DAN PERGI... -

July 1, 2012

Hai... 1 Julai 2012! Itu ajelah yang mampu saya ucapkan pada 1 Julai, anggap 1 Julai macam orang aje. Pada 30 Jun, selamat tinggal. Dan bila munculnya 1 Julai 2012, bermakna Jun baru aje melabuhkan tirainya. Dalam tak sedar, setengah tahun baru aje berlalu meninggalkan kita.

Apa korang rasa bila Jun benar-benar dah pergi? Suka? Tenang? Sedih? Atau... terasa ada banyak benda yang belum sempat korang buat? Saya sendiri, saya pilih untuk rasa pilihan yang terakhir sebab rasa-rasanya pilihan itu yang sesuai untuk diri saya.

Macam biasa, saya mungkin dah tak ada azam yang besar-besar. Terlalu banyak menyimpan azam dan kebanyakannya berlalu macam angin yang menyapa sebelum pergi, saya jadi takut nak simpan azam yang besar-besar. Takut kecewa sendiri. Bimbang patah hati lagi, lagi dan lagi bila impian tak jadi nyata. Tapi walaupun tak ada azam yang besar-besar, azam yang kecil-kecil tetap ada. Bukan manusia namanya kalau hanya menjalani hidup ini tanpa ada apa-apa rasa. Bila tak ada azam atau impian, saya rasa seseorang itu akan hilang ghairah untuk meneruskan hidup. Apa maknanya hidup kalau macam tu bhai?

Apa pun, azam ya, bukan Encik Azam. Ada aku kisah azam atau Encik Azam, mungkin itu yang korang kata bila baca N3 ni. Tak apa, saya tak marah pun. Tapi betullah... memang banyak yang saya rasa saya nak buat masa awal tahun dulu. Macam-macam plan saya atur, kemudian simpan kejap-kejap. Harapan saya, bila sampai masa saya akan laksanakan satu per satu lengkap dengan strategi. Sudahnya, ada antara plan tak bertulis di atas kertas tu terkubur macam tu aje. Dah tak ada jalan lagi untuk diperbaiki, apalagi bila plan tu melibatkan orang lain.

Memanglah ada lagi setengah tahun, Julai – Disember. Tapi nak tak nak, saya kena lepaskan juga sebahagian daripada plan yang mungkin penting dan mungkin juga tak begitu penting dalam hidup saya. Mana yang boleh dibawa bermula Julai hingga hujung tahun, saya akan bawa dengan senang hati. Bukanlah bawa semata-mata, bawa dengan niat mahu melaksanakannya. Kalau bawa tapi tak nak jadikan kenyataan, baik tak payah bawa. Buat menambahkan beban di bahu aje gamaknya. Mana yang rasa-rasanya masih sangat jauh untuk diteruskan, maka saya akan bawa ke tahun hadapan, insya-ALLAH jika ditakdirkan nyawa saya masih panjang. Kalau pendek, tak boleh nak kata apa sebab jodoh pertemuan, ajal maut semuanya terjadi atas kehendak ALLAH. Manusia merupakan hamba-NYA, lalu tugas kita tetap tunduk kepada DIA.

Kepada korang yang juga punya azam, tak kiralah besar-besar atau kecil-kecil, saya doakan korang dapat capai azam tu. Ditakdirkan gagal jadi milik korang, jangan putus asa kerana bila korang putus asa, hidup macam dah tak ada ertinya lagi. Pasakkan kat hati yang suatu hari nanti, azam korang akan jadi kenyataan, ;-)

- SELAMAT HARI LAHIR YA CHIK SAM -

June 30, 2012

Hari ni genap 35 tahun, abang saya yang kedua menjengah dunia. Abang yang ketika saya lahir, dia pernah suruh Mak saya hantar saya ke langit. Itu bukan cerita rekaan, tapi itulah cerita yang pernah Mak saya kisahkan pada saya. Adoilah… saya baru nak tengok dunia, nak rasa betapa hebatnya diutus sebagai manusia, saya dah disuruh hantar ke langit. Zalim kan bunyinya tu? Tapi tentulah bukan salah dia sebab ketika itu, dia juga masih kecil. Saya yakin dia tentu bertanya daripada mana saya datang. Mak saya pula pasti tak tahu bagaimana nak memahamkan dia yang sekecil itu. Mesti asalnya, Mak saya yang kata pada dia yang saya didatangkan dari langit.

Ikutkan hati memang ada banyak yang nak saya kisahkan tentang dia. Tapi macam tak ada kata-kata yang sesuai, ditambah pula mood menulis pun macam tak berapa nak best. Jadinya, untuk abang kedua saya, SAMSOL WAHAB. SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-35 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, BERBAHAGIA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT, DAN… SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH.

- MAEL LAMBONG AJE PUN! -

June 29, 2012

Sebelum filem ni keluar kat pawagam, saya memang dah simpat hajat nak tengok. Sebabnya, saya nak tengok aksi Zizan. Rasa-rasanya banyak dah filem yang dia lakonkan saya tengok kat pawagam. Bukan juga saya minat gila-gila kat Zizan ni, tapi tok juga tak minat. Bolehlah lakonan dia, tapi saya lebih suka tengok dia buat lawak. Kalau dia bergabung dengan Johan, lagilah saya suka tengok. Bagi saya, mereka berdua memang sangat serasi. Bila mereka digandingkan berdua, belum pun mereka buka mulut, buat lawak, saya dah senyum dan ketawa sendiri. Serius, muka mereka memang sangat-sangat kelakar, apa lagi bila mereka dah mula buka mulut. Tapi... walaupun saya suka lawak mereka, saya tetap kurang gemar kalau-kalau ada lawak yang kedengaran agak kasar. Yang tu, memang tak sesuai.

Cadangnya, saya nak tengok Mael Lambong ni dengan orang-orang yang sangat dekat dengan saya. Tapi bila sesuatu terjadi, cadangan ditolak. Itu pun atas sokongan saya sendiri. Tapi saya tetap nak tengok juga Si Mael Lambong ni, dengan orang lain yang juga dekat dengan saya. Dan akhir-akhir ni, saya memang lebih banyak tengok filem Melayu dibandingkan filem Inggeris. Kenapa, saya sendiri tak tahu. Padahal, kadang-kadang bila keluar aje dari pawagam, muka saya blur. Tertanya-tanya apa yang nak disampaikan penulis filem tu.

Tapi tak apalah, saya anggap saya sedang menyokong industri filem negara kita. Dengan harapan, orang pun akan beli novel tempatan, khasnya novel yang ditulis oleh penulis yang nama dia, Aleya Aneesa. Apa pun, saya nak tengok Si Mael Lambong ni, kalau boleh malam ni, ;-)

- PESTA BUKU SELANGOR 2012 -

"Orang cerdik sentiasa berusaha untuk mendekatkan dirinya dengan yang dinamakan buku kerana di dalam sesebuah buku, ada ilmu yang ada nilai yang boleh dijadikan panduan”

Wah... pesta buku lagi! Tapi kali ni bukan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sebaliknya Pesta Buku Selangor. Tajuk N3 pun dah jelas kan? Mesti yang dinamakan ulat buku tersengih lebar. Cumanya, mungkin ulat buku yang tinggal sekitar Selangor, Kuala Lumpur, atau barangkali Negeri Sembilan dan Perak ajelah. Ulat buku negeri-negeri lain mungkin bibirnya muncung sebab agak jauh. Kalau ada juga yang turun ke Selangor semata-mata untuk pergi ke Pesta Buku Selangor tu, syabaslah! Korang memang ulat buku yang tegar. Kalau saya, mungkin kena fikir banyak kali jugalah kalau tinggal lain daripada 4 negeri yang saya tulis tu.

Tahun ni saya tak bertugas macam tahun lepas. Dan tahun lepas, gara-gara Pesta Buku Selangor saya gagahkan diri bawa kereta ke SACC dan itulah pertama kalinya saya bawa kereta sorang-sorang sampai ke Selangor. Takutnya rasa, TUHAN aje yang tahu! Tapi itu dululah, sekarang bila saya ingat-ingat balik, rasa kelakar gila. Memang geli hati gila sebab saya kalut sangat. Saya tak tahu pun SACC tu letak kat mana walaupun saya dah pernah pergi beberapa kali, pergi dengan oranglah. Hanya, bila dah otak saya ni sedikit lembap kalau libatkan jalan, nombor plat kereta atau nombor telefon.

Masa tu saya, SESAT! Entah ke mana-mana kereta saya halakan. Entah ceruk mana saya masuk dan saya yang sedia panik jadi tambah-tambah panik. Nak nangis pun ya. Pusing-pusing tak sampai juga. Sudahnya, berhenti kat stesen minyak dan tanya orang. Ya ALLAH... arah yang ditunjuk tu saya dah pergi tadi, kenapa saya tak nampak signboard yang ada. Agaknya, rasa panik mampu buat orang jadi buta sekejap kot? Mujur juga akhirnya sampai juga. Itu pun rasa-rasanya muka saya yang tak berapa nak manis ni dah bertukar jadi basi agaknya.

Selesai sesi, saya panik lagi. Nak balik macam mana, tak tahu ikut jalan mana. Sudah, memang resah juga walaupun saya senyum dan ketawa macam biasa. Saya? Sedih macam mana nak rak pun, saya tetap juga bolah ketawa dan buat lawak macam selalu. Cuma nasib tak baik aje, tak jadi pelakon. Hahaha. Tapi kalau setakat jadi pak pacak, ok-ok aje.

Bila saya kata pada seorang kawan yang saya tak tau balik. Dia kata, ikut sini dan blablabla. Saya angguk tanda faham. Tapi bila start aje kereta saya jadi tak faham. Saya tanya lagi pada yang jaga tiket parking. Dia terangkan, saya faham. Tapi bila kereta dah ada kat jalan, saya jadi tak faham sekali lagi. Apa ke slow benar daya pemahaman saya ya? Maka, kerja redah-meredah pun bermula dengan jayanya. Masuk keluarlah jalan yang sama, sekali lagi. Sampai akhirnya saya nampak signboard tertulis perkataan Kuala Lumpur, saya dah boleh tarik nafas panjang. Tapi dah lepas tol semua, saya terfikir nak balik rumah macam mana pula? Sekali lagi saya sesat dan main redah aje sampailah betul-betul ada depan rumah. Alhamdulillah.

Sebenarnya, kalau suruh saya pergi sorang-sorang ke SACC tu, saya yakin akan sesat lagi, lagi dan lagi. Ni kelemahan yang melampau, kan? Tapi kalau pergi ke Karangkraf, insya-ALLAH tak akan sesat. Cuma balik tu, confirmlah akan sesat sebab, adoilah... kenapa saya jadi macam ni? Cubalah sekali aje pergi saya dah tau. Ni sesat berkali-kali pun tetap juga sesat lagi bila sampai masa.

Apa pun, kepada yang datang berkunjung ke Pesta Buku Selangor tu, jangan lupa dapatkan karya-karya saya tau. Antaranya, SEMUSIM RINDU, KASIH ANTARA KITA, JANJIKU BERSAMAMU, SEGALA-GALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, TANPAMU AKU RINDU, KASIH BENAR KASIH, TERUS CINTAI AKU, BOLEH SAYA SAYANG AWAK?, TAK MAHU KAU HILANG, KAU KATA CINTA, BUKAN CUMA DIA dan DIA TAK TANYA. Tapi... 5 dari belakang tu, kalau cari sampai keluar air mata darah pun tak jumpa. Sebab, tak terbit lagi. Malah ada yang belum buat satu apa pun lagi. Jangan marah ya, gurau-gurau aje.

P/S : TAK BELI 9 BUAH SEKALI GUS MACAM DALAM GAMBAR DI ATAS, BELI SEBUAH PUN SAYA DAH SANGAT BERBESAR HATI. TAPI... ORANG DI DALAM GAMBAR TU TAK JUAL YA!

- ORANG KE HANTU NI? -

“Manusia atau Hantu... kedua-duanya tetap makhluk ALLAH. Namun antara kedua-duanya, taraf manusia jauh lebih tinggi dibandingkan hantu jika kita benar-benar bertingkah selayaknya seorang manusia”

Dia yang pertama :

Nama : Hantu
Nama Manja : Ghost, Momok dan macam-macam lagi
Warna Baju : Putih [Tukang jahit tak ada]
Raut Wajah : Hodoh [Tak ada orang sanggup jual barang make-up]
Kuku : Panjang [Sebab tak tahu guna pengetip kuku]
Jenis Rambut : Mayang mengurai [Ada juga biasa-biasa aje]
Perangai : Tak kacau manusia kalau manusia kata kacau dulu

Kalau itulah biodata yang diberi dalam curriculum vitae, masa nak minta kerja, memang sah yang nak minta kerja tu Cik Hantu. Jadi, sila nasihatkan bos-bos korang atau kalau korang sendiri yang jadi bos, supaya tak mengambil si pemilik curriculum vitae itu sebagai pekerja. Confirm Cik Hantu tu tak akan buat kerja sebab Cik Hantu tak pergi sekolah, macam korang yang dah dihantar sekolah sejak umur 5 tahun [sesetengah orang – saya pergi sekolah umur 7 tahun, terus masuk Darjah 1].

Dia yang kedua :

Nama : Manusia
Nama Manja : Orang, insan dan macam-macam lagi
Warna Baju : Macam-macam warna ada sebab ada ramai tukang jahit dan pereka fesyen dalam dunia ni. Contohnya macam, Rizalman, Jimmy Choo, Michael Ong, Andrew Gan, Eric Chong, Edmund Ser, Daniel Lim, Albert King, Alvin Tang, Bill Keith dan ramai lagi.
Raut Wajah : Cantik dan menarik [Sempurna]
Kuku : Ada panjang, ada pendek dan ada juga berwarna-warna
Jenis Rambut : Macam-macam gaya pun ada
Perangai : Ada yang ok dan ada yang ko serupa perangai hantu.

Kalau biodata yang diberi dalam curriculum vitae, masa nak minta kerja, memang sahlah memang Cik Manusia yang mahukan kerja tu. Tapi... sila juga nasihatkan bos-bos korang atau diri korang sendiri untuk tak ambil Cik Manusia tu dengan mudah hanya sebab dia memang sah Cik Manusia. Sebaliknya, selidik betul-betul sebab perangan Cik Manusia kadang-kadang lebih teruk daripada Cik Hantu. Sebabnya, Cik Hantu hanya buat Cik Manusia rasa takut. Tapi Cik Manusia mampu buat Cik Manusia yang lain rasa perasaan yang pelbagai. Marah, suka, sedih, takut dan macam-macam lagi.

Kenapa saya kata macam tu? Tentulah ada sebabnya. Beberapa hari lepas, pagi-pagi lagi dah kecoh konon-kononnya ‘di sini’ ada hantu. Saya yang memang penakut, jadi lebih takut. Jumpa Cik Hantu atau nampak Cik Hantu, sesiapa pun tentu aje tak nak kan? Kalau ada orang nak, hem... saya kira ada wayar yang putus tu di mana-mana. Tapi bila dah kecoh macam tu dan sana sini orang bercerita, saya pun dalam pada tak nak dengar, dengar jugalah. Takut pulak kalau tiba-tiba saya tersalah pergi tempat. Terpergi tempat Cik Hantu. Tak ke haru macam tu. Memanglah kita sebagai manusia tak patut takut pada Cik Hantu sebab Cik Hantu juga makhluk ALLAH. Tapi, rasa takut itu datang begitu-begitu aje. Disuruh nyah pun tetap juga nak melekat.

Dalam pada takut tu, sempat juga saya tengok gambar seorang kawan yang di belakangnya ada bayang-bayang Cik Hantu. Sah, memang betul-betul Cik Hantu tu. Saya dah jadi lagi cuak. Memanglah sekarang ni bukan saya yang buka pintu sebab ada orang yang lebih awal daripada saya, tapi lampu di bahagian biasanya saya yang buka. Macam mana agaknya bila saya tengah petik suis, Cik Hantu muncul? Adoilah... saya tak sukalah bila fikiran-fikiran jahat macam tu berlegar-legar kat kepala. Tapi saya cekalkan juga hati, beranikan juga mana-mana yang tak berani.

Dan cerita Cik Hantu tu terus kecoh dengan pelbagai versi cerita, ada yang kata siap baca Yasin sebab nak halau Cik Hantu. Tapi tiba-tiba, dua hari lepas kawan saya kata gambar yang tersebar luas dalam kalangan kami, bukannya gambar sebenar, tapi gambar yang dibuat di [SNAPGOSHT]. Adoi... kan dah kena! Tapi memanglah tak patut betul buat macam tu. Gara-gara gurau-gurauan yang tak best tu, dengarnya ada yang sampai takut nak ke bilik air. Hampeh!

Jadinya, bila dah jadi macam tu, saya jadi tak tahu yang mana saya Cik Manusia yang sebenar atau yang mana satu Cik Hantu? Atau pun, dalam tak sedar Cik Hantu dah pun mendapat kawan baik daripada kalangan Cik Manusia? Sebabnya kalau Cik Manusia itu Cik Manusia, tentulah tak buat macam tu. Kan?

P/S : KALAU NAK BERGURAU, SILALAH BERGURAU DENGAN GURAUAN YANG SEBENAR-BENARNYA GURAUAN. BUKANNYA GURAU-GURAUAN YANG MAMPU BUAT JANTUNG ORANG HAMPIR GUGUR.

- AMARAN KERAS : JANGAN BERI ANAK KORANG MAKAN QUICK STRAWBERY/ STRAWBERY METH [DADAH] -

June 28, 2012

“Kita diseru untuk selalu melakukan kebaikan, namun bukan semua orang merasakan wujudnya seruan itu”

Saya tak ada anak, tapi ada 9 orang anak-anak buah yang manis kat mata saya. Mata orang lain tentulah tak sebab dia orang ada anak buah sendiri. Malah ada ke patut, seorang manusia ni kata anak buah saya macam siput. Alo... anak manusia yang lengkap dengan akal fikiran disamakan dengan siput, patut ke? Geramnya saya mendengar cerita tak best itu. Berdarah hati adik dan adik ipar saya. Rasa-rasanya macam nak singsing lengan ajak bergusti aje, maklumlah dalam darah saya ada darah Bentan ni [Hahahaha]. Tapi... mujur saya dah lama berhenti daripada aktiviti-aktiviti yang menjerumus ke arah keganasan tu. Tapi adik ipar saya sempat bagi sedas. Dia kata, “Anak Abang ****** pun bukannya lawa pun. Hidung pun kemik”. Hah... ambik kau! Mulut adik ipar saya pun kalau dah marah bukannya boleh ditutup-tutup dengan tangan. Terus orang yang digelar Abang ****** tu terkedu tak terkata. Saya yang jahat hati ni pula, diam-diam tengok anak-anak dia. Hem... biasa-biasa aje. Tapi tak kisahlah kan, yang penting mereka sempurna. Cuma kalau boleh, si ayah silalah tengok cermin dulu sebelum mengata anak orang. Macam tu, barulah molek kan?

Ok, berbalik pada tajuk N3! Melihat rupa paras Quick Strawbery atau Strawbery Meth yang tak ubah seperti gula-gula yang sangat sedap dimakan, kalau saya jadi kanak-kanak pun saya akan teruja nak memasukkannya ke dalam mulut. Mesti rasanya sedap kalau ditengok pada warnanya yang merah. Tapi itu kalau saya jadi kanak-kanak, sekarang ni saya dah terlalu tua untuk mengaku diri sebagai kanak-kanak. Maka sebagai orang dewasa, saya nak ingatkan pada ibu bapa kanak-kanak, pak cik mak cik kanak-kanak, nenek atuk kanak-kanak, abang adik kakak-kanak dan sesiapa saja yang ada kaitan dengan kanak-kanak, SILA KATAKAN PADA ANAK-ANAK KORANG SUPAYA TAK SESEKALI MAKAN QUICK STRAWBERY ATAU STRAWBERY METH yang sangat tak berguna ni.

Kenapa tak boleh? Sebab, ia sejenis dadah baru yang makin menular di sekolah-sekolah. Macam mana ia tersebar, saya tak tahu sebab saya tak pernah jual dadah. Ia kelihatan seperti batu-batu kristal strawberi yang biasanya dikulum oleh kanak-kanak dan baunya pun seperti strawberi. Bau strawberi? Dah tentu-tentulah manis dan kanak-kanak suka! Lebih daripada itu, ia boleh membawa MAUT, kalau pun tak MAUT, ia akan meninggalkan kesan yang amat mengerikan kepada kanak-kanak. Jadinya, pandai-pandailah korang nilai diri sama ada sayang atau tak pada anak-anak yang dah korang jaga sejak masih merah sampai dah boleh pergi ke sekolah sekarang ni.

P/S : TOLONGLAH LARANG ANAK KORANG YA KALAU KORANG BETUL-BETUL SAYANGKAN MEREKA. JANGAN NANTI, MASA MEREKA BALIK, MEREKA DAH TAK LAGI DIGELAR MANUSIA [Bunyinya keras tapi kalau dengan kekerasan boleh menyelamatkan kanak-kanak, apa salahnya]. PADA YANG TERBACA N3 NI, MOHON SEBARKAN, SEMOGA KEBAIKAN KORANG AKAN DIBALAS DENGAN KEBAIKAN OLEH ALLAH...

- LOST WORLD OF TAMBUN... -

“Semalam ada begitu banyak kenangan yang tak mahu padam dari ingatan walaupun puas dicuba berkali-kali”

Ni... N3 basi sebab macam dah berlalu 3 minggu lepas [9 Jun 2012]. Tapi tak apalah, saya nak tulis juga walaupun sikit. Tanda kenangan gitu! Lagipun bukannya makanan pun, kan? Dan lagi, tak kena tangkap juga kalau tulis N3 yang dah agak lama. Paling-paling orang tak baca. Tak pun orang kata, “Tak ada kerja tau dia, cerita zaman Tok Kaduk pun nak hidangkan pada orang”. Tapi... eh, ni kan rumah saya! Jadinya, saya bebas menulis tentang apa saja asalkan tak langgar batas undang-undang dan agama.

Berbalik pada Lost World of Tambun [LWOT], melihat perkataan itu tertulis di depan mata, saya senyum aje. Wah, tak sangka akhirnya saya sampai juga ke sini. Padahal, Abang Chik saya dah sebut berkali-kali nak ke sini. Saya pun dah berkali-kali datang ke Perak, sekali pun tak pernah berhajat nak jadi badak berendam di LWOT ni. Mungkin memang nak pergi dengan keluarga Abang Chik saya agaknya.

LWOT, tak jauh beza dengan tempat-tempat yang seumpamanya. Dibandingkan orang dewasa, saya kira kanak-kanak mungkin lebih teruja. Kalau tak, takkanlah anak-anak buah saya tak nak naik bila dah masuk dalam air. Macam tak reti sejuk dan macam tak ada rasa takut walaupun ombak yang dibuat, saya rasa agak kuat juga kalau nak bandingkan tempat-tempat yang dah pernah saya pergi sebelum ini. Malah Sunway Lagoon yang dah saya jelajahi untuk kali kedua tahun lepas pun tak kuat macam tu. Yang ni memang luar biasa sikit, berdiri tegak pun tetap juga terdorong ke belakang. Duduk pula, tiba-tiba aje dah terasa macam terbaring.

Bagi saya, LWOT ok jugalah. Banyak kolam air panas dan ada sesetengah kolam tu saya langsung tak boleh letakkan kaki. Agaknya kalau bawa kangkung, dah boleh makan masa tu juga. Tak payah susah-susah celur atas dapur. Lupa pula saya nak bawa telur, kalau tak boleh buat telur separuh masak walaupun saya tak gemar pun telur separuh masak tu. Yang saya suka, telur hampir masak tapi tak terlalu masak. Wah... teruk gila perangai saya ni!

Tempatnya agak luas juga tapi saya tak jelajah sampai habis sebab saya lebih banyak jadi badak berendam, walaupun bukan Si Puteri Badak Berendam. Ada juga tempat-tempat permainan tapi satu pun saya tak main. Hajat hati memanglah nak main, tapi... anak buah saya yang ‘gumuk’ itu sudah mengamuk sebab perutnya berdondang sayang. Anehnya, masa jadi anak badak yang ‘gumuk’ tak ingat pun fasal perut dia yang tak tahu berkompromi tu. Saja aje bikin hati yang lain-lain panas.

Tapi yang tak bestnya, ada kejadian kelakar dan sedikit macam memalukan diri sendiri. Beg punyalah besar saya bawa sebab saya memang suka pun bawa beg yang besar. Cuma yang tak sukanya... saya bawa baju dan segala kelengkapannya, kecuali seluar jeans untuk dipakai lepas mandi. Tinggal kat rumah Fida! Adoilah... apa kes? Nak mandi macam mana kalau dah pakaian saya tak lengkap kan? Masa tu saya tengok gelas kat tangan perlahan-lahan jatuh sebelum berderai macam tu aje. Macam manalah saya boleh jadi cuai macam tu sekali agaknya. Inilah julung-julung kali saya jadi hampeh serupa ini. Sampainya hati daya ingatan saya yang makin hari nampak makin lemah ni mensabotaj tuannya yang tak berdaya. Tapi dalam masa beberapa detik, saya dapat satu idea. Saya tanya Fida shopping complex yang paling dekat sebab saya nak beli seluar jeans yang murah-murah-murah. Fida kata, Giant aje yang ada dan memang dekat sungguh pun. Cuba aje lebih kurang sehelai seluar jeans, sempat lagi capai yang lain-lain juga dengan gembiranya, sedangkan Abang Chik sekeluarga dan mak Fida dah masuk ke LWOT.








Apa pun, yang jelasnya, bukan cuma peserta Cornetto Uda dan Dara aje tau yang dah datang ke LWOT, saya pun dah datang juga ya... ;-)

P/S : ADA REZEKI & UMUR, INSYA-ALLAH SATU HARI NANTI SAYA PASTI AKAN DATANG LAGI, LAGI & LAGI...

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [3] -

June 27, 2012

"Dalam cinta tak ada istilah 'try and error'. Sekali terjebak harus menelan istilah 'I love you' sampai hujung nyawa"

“NI... yang tersenyum-senyum masuk rumah ni apa hal?” sergah Ilham sebaik saja melihat kelibat Najihah yang tersengih-sengih sambil sesekali berpaling ke belakang. Entah apa yang dipandang anak saudaranya itu, dia tidak pasti. Tapi ekspresi wajah yang nakal itu tentu hadir gara-gara Najid.

Najihah dan Najid, memang tidak boleh dipisahkan. Bukannya adik-beradik, tapi selalu bertingkah seperti adik-beradik kandung. Jika seorang diusik, seorang bangkit menjadi pembela walaupun tak pernah dilantik. Anehnya ada masa-masanya, Najihah dan Najid tetap kelihatan seperti anjing dan kucing, pantang bertemu muka ada saja yang nak ditengkarkan. Tapi biasanya yang mencari fasal tentu saja Najihah kerana Najihah dengan sesiapa pun memang jarang hendak mengaku kalah.

Dengan aku, bapa saudara sendiri pun dia hendak menang, apa lagi Najid yang hanya berstatus kawan semata-mata, detik hati Ilham dalam diam.

“Eh... abang! Awal balik hari ni? Jiha tengok kat luar tu masih ada matahari lagi. Demam ke?” Selamba saja Najihah menyindir Ilham. Setahunya, kalau tidak pukul 9.00 malam, bapa saudaranya itu tidak akan ada di rumah. Kemudian dia melabuhkan punggung di hadapan Ilham yang hanya tua lima tahun daripadanya dan hanya dipanggil abang walaupun status mereka bapa saudara dan anak saudara. Jenuh papanya mengajar dia memanggil Ilham pak su, tetapi dia tetap memilih memanggil Ilham dengan panggilan abang kerana Ilham terlalu muda untuk dipanggil pak su. Lebih sesuai jika dipanggil abang, terlanjur pula dia memang tidak ada abang. Lama-kelamaan semua orang turut memanggil bapa saudaranya itu dengan panggilan abang. Ilham pun turut membahasakan diri abang bila bercakap dengannya dan papanya, termasuk dengan Najid dan ayah Najid juga.

“Ke sakit demam kuning?”

Kening dijongketkan. Masih tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang putih. Geli hati mengingatkan ekspresi wajah Najid. Sampai kakinya melangkah keluar daripada kereta Najid pun, lelaki itu tetap juga tidak puas hati dengannya. Kalau boleh dicekik, tentu awal-awal lagi Najid sudah menamatkan nyawanya hari ini. Tapi hendak diapakan lagi, perkara sudah pun terjadi. Lagipun, kena marah dengan Pak Munawir, bukannya apa-apa sangat kerana tadi bukanlah pertama kali Najid menerima kemarahan orang tua itu. Acap kali benar sampai dia sendiri tidak terkira dengan jari.

“Sindir abang, tak ampun nanti baru tau tak masuk syurga,” balas Ilham juga selamba. Sudah terbiasa melayan Najihah dengan cara kasar, membuatkan dia janggal hendak mengeluarkan kata-kata yang baik untuk hidangan telinga satu-satunya anak saudara yang dia ada itu.

“Abang yang dosa sebab tak ampun. Kan dalam Islam kata...”

Terus Ilham baling Najihah dengan bantal empat segi tepat yang ada di tangannya. Najihah memang pantang diberi kesempatan, memang mulut comel itu akan terus berkicau mengalahkan murai tercabut ekor. Selain daripada Najid dan Datuk Bazli, rasa-rasanya tidak ada sesiapa pun yang tahan dengan mulut Najihah. Dia dan Najihah pun bukannya boleh rapat sangat kerana diakhir perbualan pasti ada tengkar yang wujud. Masing-masing enggan mengalah dan Najihah pun memang terkenal dengan sikap tidak mahu kalah pada sesiapa. Tapi yang jadi soalnya, dia pula tidak akan senang duduk selagi tidak menyakat Najihah.

Mujur sekarang Najihah sudah besar. Kalau dulu, ketika anak saudaranya itu kecil, dia akan memastikan Najihah menangis dahulu, barulah dia berhenti daripada menyakat Najihah. Bukan sekali dua dia ditegur abangnya kerana itu, tapi dia tetap juga menulikan telinga. Melihat Najihah menangis menerbitkan satu kepuasan dalam dirinya. Tapi kini, sakatlah macam mana pun. Najihah tidak akan menangis, sebaliknya Najihah akan membalas balik sehingga dia sendiri yang mati akal.

“Padanlah dengan muka abang!”

Itu kata-kata Datuk Bazli bila melihat masam wajahnya kerana tingkah Najihah. Hanya jelingan yang mampu dihadiahkan kepada abangnya itu. Datuk Bazli memang tidak pernah campur bila dia dan Najihah mula berbalah. Papa Najihah itu hanya menanti, mahu melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang sebelum berkata ‘padan muka’ pada dia ataupun Najihah.

“Mulut macam nenek kebayan!”

“Abang tu mulut macam murai!”

“Murai tu Jiha!”

“Abang!”

“Jiha!”

“Abang!”

Datuk Bazli yang baru muncul di ruang tamu, hanya mampu menggeleng dengan wajah pelik. Ilham dan Najihah memang pantang bertemu muka. Dia kemudian meneruskan langkah ke dapur. Daripada melayan kerenah Ilham dan Najihah yang seperti budak-budak, lebih baik dia membasahkan tekaknya yang haus. Ada juga faedahnya.

“Tadi Jiha gelak-gelak tu kenapa? Apa yang Jiha dah buat kat Najid hari ni? Jiha buat dosa kat Najid lagikan?” tanya Ilham. Dia dapat merasakan yang Najihah gembira kerana sudah mengenakan Najid.

“Abang ingat Jiha suka bila kenakan Najid aje ke? Banyak lagilah yang boleh buat Jiha rasa suka.”

“Dah tu apa lagi yang boleh buat Jiha suka selain daripada membuli Najid?”

Najihah senyum meleret. Keningnya sengaja dijongketkan berkali-kali. Lagak mencabar bapa saudaranya itu. “Ada lagi satu yang boleh buat Jiha senyum sampai ke telinga. Abang nak tahu apa dia tak?” Mata, Najihah kelip-kelipkan, sengaja menyayangkan wajah ala-ala comel di hadapan bapa saudara kesayangannya itu.

“Apa?”

“Kenakan abang pun Jiha rasa seronok macam dapat bulan dan bintang tau. Bila tengok muka abang masam, Jiha rasa puas hati sangat.”

Hangat saja perasaan Ilham mendengar kata-kata Najihah kali ini. Yakin yang Najihah memang sengaja mahu menyakitkan hatinya. Tiba-tiba dia terasa mahu melihat Najihah kembali jadi anak kecil kerana pada ketika itu Najihah tidak pernah melawan kata-katanya, jauh sekali mengenakan dirinya. Kalau sudah tidak tahan sangat, Najihah akan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki sebagai tanda protes.

“Jiha jadi jahat ya lepas besar.”

“Terima kasih pada abang sebab abanglah yang buat Jiha jadi jahat. Jadi pandai kenakan abang balik. Terima kasih ya abang...”

Najihah ketawa agak kuat. Teringat yang Najid juga ada mengatakan dia jahat di taman permainan tadi. Dalam sehari, dua orang yang dikenakan mengatakan dia jahat, dia benar-benar rasa tercuit hati. Terasa harinya benar-benar bermakna kerana dapat mengenakan dua orang yang sangat rapat dengannya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Abang nak dengar cerita kelakar tak hari ni?”

“Kelakar sangat ke?” tanya Ilham kembali. Sekelip mata rasa sakit hatinya pada Najihah hilang. Dia pun bukannya marahkan Najihah betul-betul, tapi lebih kepada mahu menyakat Najihah. Seperti Datuk Bazli, dia juga tidak boleh kalau tidak mendengar suara dan melihat wajah Najihah. Dia sayangkan Najihah sama seperti abangnya itu sayangkan Najihah. Mungkin kerana dia membesar bersama-sama Najihah selama ini membuatkan rasa sayangkan pada Najihah tidak pernah surut. Bahkan, masanya lebih banyak dihabiskan dengan Najihah dan Datuk Ilham dibandingkan ibu dan ayahnya yang sudah tidak ada di dunia ini lagi.

“Kelakarlah sangat.”

“Kalau tak kelakar abang piat telinga Jiha sampai putus kejap lagi.”

“Kalau nak kena belasah dengan papa, bolehlah abang cuba putuskan telinga Jiha ni.”

“Cepat... cepatlah cerita. Asyik nak membebel aje kerja dia.”

“Tadi Jiha dengan Najid pergi taman permainan,” kata Najihah bersungguh-sungguh. Dia bercerita sambil ketawa-ketawa. Geli hati mengingatkan dia menolak Najid sekuat hati supaya Najid tidak perasan tindakannya, kemudian dia berlari lintang-pukang kerana tidak mahu turut menerima kemarahan Pak Munawir. Orang tua itu kalau sudah bercakap memang susah untuk disenyapkan.

“Setakat cerita Jiha dan Najid ke taman permainan tu, abang tak hairanlah. Tu cerita basi! Kalau tak cerita pada abang pun tak jadi kudis, langsung abang tak akan rasa ralatlah, Jiha,” balas Ilham selamba. Sangkanya betul-betul ada cerita kelakar yang mahu Najihah ceritakan. Balik-balik cerita yang sama saja.

Pergi taman dengan Najid, makan dengan Najid, pergi membeli-belah dengan Najid, tengok wayang dengan Najid dan serba-serbi Najid. Pendek kata, hanya nama Najid saja yang meletus di bibir Najihah. Tidak ada nama orang lain sampai-sampai dia rasa muak dan hendak termuntah. Tapi itu bagi pihak Najihah, kalau pihak Najid pula, asyik-asyik nama Najihah yang disebut. Kalau yang bagus-bagus, semuanya Najihah. Itu kalau hati Najid senang, kalau marah pun Najihah juga yang Najid sebut. Hanya ketika itu, Najid mengutuk Najihah tanpa peduli apa status dia sebagai bapa saudara Najihah.

Memang tepat sekali papa Najihah dan Ayah Najid memberikan nama yang hampir sama pada anak-anak mereka. Dan dia, sungguh-sungguh kagum dengan persahabatan Datuk Bazli dan Datuk Hakkam yang sangat rapat. Malah, anak-anak belum pun keluar, sudah berangan mahu memberikan nama yang dekat-dekat pada anak-anak yang bakal mereka punya. Kini, persahabatan bapa seperti sudah menurun pada anak-anak.

Najid dan Najihah... tidakkah nama itu kedengaran sangat dekat? Tidak ubah seperti adik-beradik.

“Bukan tu ajelah abang. Ada lagi ni yang Jiha nak ceritakan pada abang. Abang janganlah menyampuk macam burung jampuk. Ganggu Jiha nak bercerita aje ni.”

“Jiha lambat sangat. Nak tertidur abang dengar cerita Jiha yang tersekat-sekat dengan ketawa Jiha tu.”

“Tadi Jiha dan Najid berebut nak naik buaian kat...”

“Naik buai lagi?” Terbeliak mata Ilham dengan kata-kata Najihah yang tidak sempat dihabiskan. Sudah berkali-kali Pak Munawir datang ke rumah Datuk Bazli dan Datuk Hakkam gara-gara Najihah dan Najid yang masih menggunakan alat permainan di taman permainan itu walaupun usia dan tubuh badan kedua-duanya tidak mewajarkan mereka berbuat begitu. Sudah berkali-kali juga papa Najihah dan ayah Najid memberi jaminan yang Najihah dan Najid tidak akan lagi naik buaian, main gelongsor, main jongkang-jongket dan semua permainan yang ada di situ. Tapi sampai ke hari ini, Najihah dan Najid tetap juga tidak makan saman.

“Yalah... nak buat apa pergi taman permainan kalau tak boleh main di situ.”

“Jiha dan Najid dah tualah. Dah tak sesuai main dekat situ lagi. Itu tempat budak-budak. Jahanamlah tempat tu kalau Jiha dan Najid asyik gunakan alat permainan yang ada kat situ. Cara Jiha dan Najid boleh digelar sebagai vandalisme tahu tau,” tegur Ilham sambil menggeleng.

“Kami bukannya berat mana pun,” balas Najihah selamba.

Ilham ketap bibir. Bukan Najihah nama anak saudaranya itu kalau tidak menjawab kata-katanya.

“Dah layak jadi mak dengan bapak budak, ada hati nak naik buaian.”

Wajah ceria Najihah masam mencuka. Kata-kata Ilham kali ini berjaya membangkitkan rasa geramnya. “Sebelum Jiha dan Najid jadi mak dan bapak budak, abang patut jadi dulu sebab abang lebih tua daripada kami berdua. Sebelum abang kahwin, jangan berangan nak tengok Jiha atau Najid bersanding atas pelamin.”

Ilham ketawa kuat. Puas kerana dapat membuatkan wajah putih bersih milik Najihah memerah bagai udang kena bakar.

“Abang muda lagilah, tak fikir lagi nak kahwin.”

“Mudah apa kalau tahun ni aje umur abang dah 30 tahun. Patutnya dah lama dah abang beri Jiha kakak.” Kakak yang tentu saja merujuk kepada mak saudara.

“Abang tunggu Jiha kahwin dulu.”

“Merepek!” Bantal yang ada di sisinya, dicapai dan dilontarkan ke arah Ilham. Mujur bapa saudaranya itu sempat mengelak, kalau tidak tentu adegan kejar-mengejar di petang hari akan berlaku di rumah mereka. Bapa saudaranya itu memang teruk. Kalau Ilham mengenakan dia tidak mengapa, tapi kalau dia mengenakan bapa saudaranya itu, cepat saja Ilham hendak membalas perbuatannya.

“Merepek apa pulak? Orang perempuan memang kena kahwin cepatlah. Biar boleh beranak ramai-ramai.”

Bagaikan kapal terbang, pantas Najihah meluru ke arah Ilham. Terus diambil bantal kecil di atas riba Ilham dan dipukul-pukul di bahu bapa saudaranya itu. Rasa geram yang membukit membuatkan dia lupa statusnya sebagai anak saudara kepada Ilham. Tapi sebenarnya bukanlah dia lupa, sengaja buat-buat lupa kerana Ilham pun ada masa-masanya tidak melayan dia seperti anak saudara. Kasarnya Ilham melayannya sama seperti Ilham melayan kawan-kawan Ilham.

Ilham yang dihentam Najihah terus juga ketawa sakan. Akhirnya dapat juga dia membangkitkan kemarahan Najihah.

“Okey... sambung balik cerita kelakar Jiha yang belum sempat Jiha cerita pada abang tadi,” suruh Ilham setelah Najihah melabuhkan punggung di sisinya.

Wajah Najihah dipandang dalam-dalam. Namun setiap kali memandang wajah Najihah, dia selalu dihantui sebak. Dibandingkan dia, Najihah agak malang kerana tidak pernah merasakan belaian kasih sayang seorang ibu. Bukannya ibu Najihah sudah kembali ke alam abadi, tapi ibu Najihah pergi kerana dalam hati ibu Najihah tidak pernah ada cinta untuk papa Najihah.

Bila tidak ada cinta, bila hati sudah tidak bahagia, bukankah berpisah jalan yang terbaik?

Tapi perpisahan itu membuatkan Najihah yang tidak tahu apa-apa menjadi mangsa. Mujur juga Najihah tumbuh menjadi anak gadis yang tidak sasar daripada landasan sebenar. Sampai ke hari ini akhlak dan tingkah Najihah tetap terpelihara elok walaupun ada masa-masanya nakal Najihah masih belum hilang sampai ke saat ini.

“Abang... kenapa? Abang tengok Jiha macam ada yang tak kena aje.”

Ilham geleng dalam senyuman.

“Kalau abang nak tahu, tadi Najid kena marah dengan Pak Munawir,” cerita Najihah. Kemudian dia mula menyingkap dari awal sehinggalah kepada telinganya ditarik Najid. Sambil bercerita, dia turut ketawa.

Besar ketawa Ilham seusai Najihah bercerita, membuatkan Datuk Bazli yang ada di dapur keluar. Mahu tahu apa yang telah mencuit hati adan dan adiknya sehingga begitu kuat ketawa mereka berdua.

“Apa yang kelakar sangat ni Ilham, Jiha?” tanya Datuk Bazli ingin tahu.

“Jiha buli Najid lagi, abang.”

“Tak pa... tak ada, abang tipu. Suka sangat ada-adakan cerita yang tak ada. Saja nak burukkan nama Jiha depan papa.” Terjegil biji mata Najihah ke arah Ilham. Dia memang bercerita pada abangnya, tapi dia tidak berharap bapa saudaranya akan bercerita kepada papanya.

“Jiha memang suka buli Najid, macamlah papa tak tahu.”

Ilham angkat ibu jari kanan ke arah Najihah. “Esok-esok bila Jiha jadi wife Najid, Najid balas dendam kat Jiha. Najid buli Jiha sampai Jiha nangis betul-betul. Masa tu baru Jiha tahu langit tu tinggi atau rendah.”

Jari telunjuk Najihah angkat dan letakkan di sisi dahinya. “Dalam mimpi abang! Jiha tak nak jadi wife Najid. Kami kawan, kawan baik aje. Tak lebih daripada itu okey!”

P/S : KONON-KONONNYA E-NOVEL, ENTAHLAH LABU...

- BYE-BYE ASTRO! -

“Mengucapkan selamat tinggalkan bukannya semua orang mampu lakukan. Tapi kalau untuk kebaikan, haruslah belajar mencekalkan hati.”

Saya tinggalkan Astro? Oh... tidak! Bukan sebab Astro tak boleh hidup tanpa saya, tapi saya tak boleh hidup tanpa Astro. Atau lebih tepat lagi, saya tak boleh hidup tanpa hiburan. Bukan juga sebab saya ni jenis kaki sosial. Memang taklah, sebab saya memang tak begitu pandai bersosial. Kalau tak, tak mungkin kawan-kawan saya hanya beberapa kerat aje. Disko pun saya tak pernah masuk [Nampak benar tak pernah cucuk langit kan?]. Pusat karaoke pun tak pernah pergi [Syhhh... hati teringin juga nak pergi, ada yang nak ajak tak?]. Kan, hiburan tu penting untuk semua orang dan jenisnya pun ada pelbagai, bukan semata-mata yang menjurus ke arah ketidakbaikan macam yang selalu diuar-uarkan tu. Lagipun, kalau tak ada Astro, saya nak tengok TV macam mana? Antena pun tak tak ada, silap-silap yang ada kat skrin TV saya gambar hitam putih yang merenyam-renyam macam semut tu.

Yang saya tinggalkan pakej Astro Box Office [ABO]. Saya sendiri tak tahu kenapa saya ambil pakej tu. Mungkin sebab terpukau dengan si suara lunak di hujung talian yang pandai memujuk rayu agaknya. Kalau saya yang diletakkan di tempat dia, alamat Astro gulung tikar. Sebab saya akan kata macam ni; “Kalau nak ambil pakej ni boleh, tak nak ambil pun tak apa. Tak ada paksaan”. Mujur sangatlah Astro tak ambil saya kerja. Karang tak fasal-fasal saya ada rekod dipecat daripada kerja. Huh... buruk rekod gamaknya!

Kata si suara lunak hampir 2 tahun dulu, ada macam-macam filem baru yang menarik daripada beberapa buah negara. Katanya lagi; “Astro Citra pun ada filem juga tapi biasanya filem yang ditayangkan filem yang dah agak lama keluar di pawagam. Astro Box Office lagi menarik, orang belum tengok filem tu, you dah tengok dulu nanti”. Wah... dengarnya macam menarik aje kan? Padahal, kalau nak jadi antara yang terawal tengok, pergi aje beli DVD dengan harga RM5 kat kedai. Adoi... kantoi tengok DVD cetak rompak. Tak pun tengok aje kat Internet. Dengan adanya Astro First, segala-galanya jadi tambah-tambah mudah. Jangan marah ya Astro First, ;-)

Saya tak ingat setiap bulan ada berapa buah filem ditayangkan dalam pakej ABO ni, mungkin 5, 6, atau 7 atau berapa entah agaknya, saya sendiri kurang pasti. Ada filem dari Malaysia, Filipina, Thailand, India, Indonesia dan beberapa negara lain juga. Channelnya 952 dan 953.

Bulan pertama, kedua, ketiga atau beberapa bulan selepas itu, saya memang layan pakej ABO ni. Tapinya, bukannya semua filem menepati selera saya. Dahlah macam tu, esok-esoknya pun yang ditayangkan filem yang sama juga. Persoalannya, berapa kali saya nak layan filem yang sama? Kalau tak muntah pelangi, boleh muntah kuning dibuatnya. Maka, sejak detik itu saya simpan niat nak ucapkan bye-bye pada pakej ABO ni. Tapi kalau takat niat tapi tak dibuat, memang kekal niatlah sampai bila-bila pun. Sudahnya, tau-tau niat saya dah jadi hampir dua tahun. Adoi... membazir betul! Kan, bagus kalau duit bayar pakej ABO ni saya kumpul dan beli benda lain? Padan muka...

Dan akhirnya, 3 hari lepas saya ramahkan jari-jemari tekan angka demi angka di telefon. Selepas letak, aduhai... leganya rasa! Akhirnya niat dah bertukar jadi kenyataan. Tapi yang tak bestnya, saya dah tukar pakej ABO ni dengan pakej Movie yang bawa maksud saya dah boleh layan HBO Asia, MAX dan Star Movie. Itu juga bermakna bil daripada RM64.++ bertukar jadi RM87.++. Syabas! Saya memang pandai membuat pilihan dan bersedialah membayar untuk setiap pilihan yang dah saya buat. Lepas-lepas ni memang makin sakanlah saya melayan TV. Adoilah...

P/S – SAYA AKAN PASTIKAN SAYA TENGOK TV, KALAU SAYA TAK TENGOK TV, SAYA AKAN PASTIKAN TV TENGOK SAYA SEBAB SAYA DAH BAYAR BIL YANG BESAR JUMLAHNYA UNTUK ORANG SEPERTI SAYA.

- KALAU SAYA SEDIH -

June 26, 2012

“Kesedihan dan manusia tak mungkin dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama yang sering berkumandang dalam hati setiap orang”

Mencuri dengar radio [Hot FM] kawan sebelah siang tadi dengan topik “Kalau saya sedih”, dalam senyuman yang tak begitu manis dan tak sampai pun di mata kawan-kawan, saya terfikir sesuatu. Tentu aje selama ni saya tak pernah terfikir topik tu, terima kasih pada stesyen radio yang sama yang setiap pagi dan petang menemani perjalanan pergi dan balik kerja saya. Kat rumah saya memang tak dengar radio langsung. Zaman jiwang-jiwang karat, tangkap-tangkap leleh dengan lagu yang mendayu-dayu sampai buat diri jadi layu dan jadi kembar tak rasmi radio dan lama saya tinggalkan. Oh… saya bukan lagi anak remaja yang baru nak kenal hidup dan kehidupan. Saya kini dah bergelar wanita dewasa. Hoho… dewasa habis!

Ya, manusia dan kesedihan memang tak boleh dipisahkan, sama macam rasa gembira. Tapi soalnya, bagaimanakah kita kalau berada dalam keadaan sedih? Adakah kita akan tenang ala-ala setenang air di kali, atau kita akan sedikit beriak macam air laut yang disapa riak-riak, atau juga kita akan bergelora sama seperti ombak yang tak pernah jemu menghempas pantai? Mana satu diri korang?

Kalau saya, kalau saya sedih… saya dah tentu monyok macam anak kecil yang tak dapat jajan kat kedai runcit. Kadang-kadang, saya nangis juga macam bayi yang tak tahu berkata-kata. Tapi tak adalah teruk macam tu, paling-paling saya akan duduk diam-diam kat satu sudut sambil ambil sapu tangan atau tisu buat mengelap si air mata. Tau-tau mata jadi merah macam si jembalang tanah, hidung jadi merah serupa badut dan muka rasa kembang kucup kembang kuncup. Itu kalau sedih yang sampai sebabkan air mata menitis.

Kalau tak sampai nangis, saya akan berubah tingkah. Kadang-kadang saya jadi banyak-banyak-banyak cakap. Kadang-kadang saya jadi banyak-banyak-banyak ketawa. Tapi saya tak pandang mata orang sangat. Takut tu kalau-kalau orang dapat baca kata hati saya. Nak letak muka kat mana kalau orang tahu cerita kita kan? Maka, jadilah saya si pelakon tak berbayar demi melindungi apa yang tak patut dipamerkan.

Ada juga situasinya di mana, saya tak ketawa dan saya tak bercakap, tahu-tahu aje saya diam mengalahkan patung cendana sebab kata-kata bagi saya dah tak perlu lagi. Atau, kesedihan yang datang terlalu besar sampai mulut jadi kaku, hati jadi beku. Pada ketika itu, saya tak perlukan apa-apa atau sesiapa. Yang saya perlukan, sedikit waktu dan sebuah gua yang di dalamnya ada gelap-gelita. Tapi tak mungkin kan? Saya pun bukanlah seorang yang terlalu berani walaupun saya selalu mengaku cucu kepada Nujum Pak Belalang yang suka temberang itu. Jadinya, saya tukar gua itu kepada sebuah bilik yang lengkap dengan katil, tilam, bantal dan tentu aje selimut. Wah… tiba-tiba aje saya jadi banyak permintaan kan? Padahal, konon-kononnya sedih!

Tapi yang pasti, lagi saya sedih lagi saya tak perlukan sesiapa di sisi saya. Saya tak perlukan simpati orang kerana simpati itu hanya akan buat saya yang tak kuat mana ni jadi lemah. Bukan berlagak, bukan sombong. Hanya setiap orang ada cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah yang datang. Jadinya silalah jangan terasa kepada sesiapa saja yang rasa saya melupakan korang ketika saya sedih. Lebih penting daripada itu, bukan semua masalah boleh diceritakan pada orang. Bahkan, ada juga masalah yang rasanya lebih selesa diceritakan pada SI A, tapi tidak pada SI B atau SI C. Begitu juga sebaliknya. Yang lebih teruk, ada juga pertanyaan-pertanyaan yang hadir ketika saya sedih mampu membuatkan darah saya rasa naik sampai ke takat yang paling tinggi walaupun yang bertanya berniat baik, seolah-olah terasa mahu menghamburkan kemarahan pada yang langsung tak bersalah itu. Kenapa? Entah! Saya tak ada jawapan, untuk itu lebih baik saya tak menjawab supaya saya tak menggores hati orang. Tapi masalahnya, fahamkah orang dengan sikap saya yang ada masa-masanya, boleh tahan aneh juga.

Apa pun, saya tetap percaya tiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya tersendiri. Lebih daripada itu, masa selalu mampu menjadi penawar untuk semua kesedihan dan kelukaan. Semoga semua makhluk ALLAH di atas muka bumi ini selalu mendapat rahmat-NYA.Tapi... itu kalau saya sedih, kalau korang pula, macam mana pula ya? Lebih best daripada saya yang agak pelik ni, atau... lagi tak best? ;-)

P/S – KALAU SAYA DIAM, ITU BUKAN BERMAKNA SAYA MARAH. HANYA… SAYA BERUSAHA UNTUK MENCANTUMKAN KEMBALI KEPINGAN-KEPINGAN HATI YANG DAH BERCERAI-BERAI. HARAP MAKLUM YA, KORANG YANG SELALU PRIHATIN…