-Salam Ramadan-

Salam Ramadan buat semua yang ada di seluruh dunia. 3 Ramadan, alhamdulillah... hari ni masuk hari ketiga umat Islam di Malaysia menyambut puasa. Cepatnya masa berlalu, terasa macam baru aje Ramadan tahun lepas berlalu, kenangan raya yang lepas pun masih banyak yang terimbas dalam ingatan. Baju biru sedondon, pilihan keluarga aku yang tentunya ditetapkan oleh Kak Long. Masing-masing bersuara bertanya, baju siapa yang paling lawa dan mahal. Lepas tu, ada pula suara-suara sesama sendiri yang mengutuk dan mengejek demi membangkitkan suasana supaya jadi lebih meriah. Tapi semuanya dah berlalu, seiring dengan putaran waktu yang terus juga bergerak.

Menyambut puasa di kampung sekali lagi, rasa gembira sangat, walaupun tak rancang sebab kononnya nak balik minggu ni. Tapi ada hal yang perlu diselesaikan, jadi aku balik juga. Dapat 1 hari berbuka dengan keluarga, itu pun dah cukup bagus bagi aku daripada tak dapat langsung.

Tahun ni, Adik Nana buat hal lagi. Masa sahur menitik air mata dengan alasan mengantuk. Tapi kitaorang buat tak nampak aje. Bila ayah dia dah bising, sesuap nasi masuk kat mulut. Ayah dia pergi aje, menitis lagi air mata sambil tu menjeling-jeling dengan mulut merungut-rungut. Siapa suruh tidur lambat? Makin mak aku bunyi, makin mulut dia bising. Sudahnya aku malas nak dengar, aku cakap ‘Sukanya hati Mak Tam dengar adik merungut-rungut’. Kali ni, dia menjeling sampai tinggal mata putih. Aku cakap lagi, ‘Bila adik nampak mata putih, Mak Tam rasa macam jatuh cinta kat adik’. Pecah ketawa subuh tu dan aku kira dab berjaya bila Adik Nana pun ketawa sama sebab dengar aku jatuh cinta kat dia. Lepas tu barulah beberapa suap nasi lagi masuk dalam mulut dia.

Pagi-pagi, dia kata dia lapar. Siap kata, tahun ni dia nak puasa 29 hari aje, itu bermakna hari pertama dia nak berbuka. Aneh rasanya bila orang yang tak pedulikan makan, tiba-tiba saja kata lapar. Masa tak puasa tak lapar, bila puasa pula jadi lapar. Tapi kitaorang dah siapkan perisai dah. Cakaplah apa pun, tak akan ada yang cair sebab Adik Nana dan lapan tahun. Tapi mulut dia tetap bising. Ayah dia kata, kalau tak puasa kena duduk dalam reban ayam. Aku dan Kak Long pula kata, kalau tak puasa tak boleh luruskan rambut. Entah angin apa melanda, tahun ni dia betul-betul dan beraya sakan. Dan alhamdulillah... berjaya juga dia menyudahkan puasa pertama. Hendaknya, cukuplah sebulan...

Apa pun, moga Ramadan tahun ni akan membawa rahmat untuk seluruh umat Islam yang ada di dunia ini. Amin!

No comments:

Post a Comment