- SaHaBaT & pErSaHaBaTan -

July 23, 2010













Mereka dalam gambar tersebut merupakan adik-beradik, sepupu, dua pupu, mak saudara sepupu, anak saudara sepupu dan saudara. Mereka bersaudara dan dalam masa yang sama juga, mereka menjadi sahabat yang persahabatan mereka tentu sekali sukar dirungkai atau difahami. Hanya mereka saja yang faham. Satu yang selalu aku lihat ada pada mereka, masa bermain mereka main sungguh-sungguh sampaikan mereka lupa pada orang dewasa yang berlegar-legar di sekeliling mereka. Bila penat, mereka berhenti, berlari naik ke rumah minum air atau makan, tapi selalunya minta duit minta beli burger, roti bakar atau air. Lepas tu, kembali turun main, main dan main sampai matahari terbenam di barat. Yang tak sama rumah, akan balik ke rumah masing-masing. Mandi, lepas tu datang balik rumah abah dan main, main dan main lagi. Cuma kali ni, tak ada aktiviti gali-menggali tanah, carik-mencarik daun, jauh sekali basikal. Mereka akan main sampai bapa atau ibu masing-masing datang menjemput dengan pujukan kata-kata “Baliklah... dah malam. Nanti esok datang balik”. Tak pun, ada antara ahli dalam rumah aku yang terpaksa menjadi posmen menghantar budak-budak balik rumah masing-masing.

Tapi, sering juga aku lihat mereka bergaduh atau bermasam muka dalam pada bermain. Ada masa-masanya, orang tu kena boikot, ada masa-masanya, orang ni pula yang tak ada kawan dan duduk sepi sendiri sambil mata bergenang dengan air. Beberapa minit lepas tu, kembali semula bermain bersama-sama bagaikan tak ada yang menangis seketika tadi. Pendek kata, secepat mana mereka bergaduh, secepat itu mereka akan berbaik.

Dan aku terfikir, kenapa jiwa kita yang dewasa tak seperti mereka yang polos, walaupun kita berkawan sama macam mereka dan perlukan kawan macam mereka. Kita yang dewasa begitu mudah terasa hati sedangkan kita tahu, tergaris perasaan dalam persahabatan perkara biasa. Lumrah manusia, hari ni mungkin kita menyentuh hati orang, esok lusa hati kita pula disentuh orang. Kita sepatutnya saling memberi dan menerima. Kalau kita berani menyentuh hati orang, sepatutnya kita juga berani seandainya hati kita disentuh. Tapi kenapa kadang-kadang kita lupa kenyataan itu? Kita hanya memikirkan diri kita, sampai-sampai kita lupa, tanpa sedar kita pun ada menyentuh hati orang lain. Jadi, mengapa kita tidak saling memaafkan dan saling melupakan kerana tak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Dalam pada kita cuba berbuat yang terbaik, kita pasti tersadung juga sebab kita tak sempurna. Kita rasa orang salah, lantas kita lupa menilik diri. Siapa tahu, kita juga bersalah dan perlu memohon maaf, menjernihkan apa yang keruh. Tapi kenapa... kenapa yang dinamakan orang dewasa itu selalu mahu menjunjung ego sendiri?

Tapi kenapa ya aku menulis tentang sahabat dan persahabatan? Entahlah... mungkin disebabkan hari ni aku rasa sedih. Baru tersedar betapa aku tak ramai kawan sebab aku merasakan dengan jumlah kawan yang beberapa itu, sudah melengkapkan segala-galanya, sudah menandingi jumlah 1000 kawan yang orang lain ada. Satu ketika dulu, aku memang dikelilingi kawan-kawan yang satu kepala. Cumanya, bila dewasa menjengah, masing-masing membawa haluan masing-masing, mencari mana destinasi yang sesuai untuk berlabuh. Sama juga seperti aku yang tercampak jauh di sini tanpa ditemani sesiapa. Ya, aku hanya sendiri di sini tanpa seorang pun saudara-mara. Menjalani hidup sendiri hingga akhirnya aku bertemu dengan seorang demi seorang yang boleh dipanggil sahabat. Sahabat yang boleh sama-sama menangis dan sama-sama ketawa. Sahabat yang boleh berlebih kurang, tidak terlalu berkira dan tidak juga terlalu cepat terasa. Bahkan, selalu juga ada ketika diperlukan. Tak ramai bilangan mereka, tapi... jauh di sudut hati aku sangat menghargai mereka kerana aku sedar, tanpa mereka aku sepi. Dan buat sesiapa saja yang pernah menjadi sahabat aku dan masih menganggap aku sahabat kalian, maaf kalau ada silap yang aku buat, terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana menjadi sahabat pada aku. Ketika mata bertentang mata mungkin kata-kata itu tak terluah. Tapi di sini, di sinilah medannya aku dapat meluahkan kata terima kasih itu.

1 comment:

  1. I like to take photos on children @ kids..this is bcoz, they are cute.. hargailah mereka ketika mereka masih ada..walaupun anda anggap mereka sekadar budak kecil,tapi mereka mampu mengubah hidup anda..

    ReplyDelete