-Sebelum PPMN 2009-

May 22, 2009

Pagi dua hari lepas, bos berdiri tepi aku semata-mata nak tanya sama ada aku free atau tak hujung minggu ni. Hah... sudah! Aku dah tau mesti ada apa-apa ni. Gamaknya hanguslah cuti hujung minggu aku sedangkan dalam otak dah macam-macam aku susun rancangan untuk diri aku sendiri. Lepas tu dia terus cakap apa yang dia nak cakap dan aku terus dengar apa yang patut aku dengar. Otak cuba juga mencari alasan, tapi sebab dia masih berdiri kat sebelah aku, otak aku merajuk, terus kosong. Tak ada alasan dapat aku berikan dalam masa seberapa pantas yang mungkin. Cuma aku sempat tanya, ‘siapa lagi pergi?’ dan akhir sekali aku jawab tanpa jiwa... ‘bolehlah...’. Dalam hati terdetik juga, ‘Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Ayer keroh? Habislah cuti aku, habislah cuti aku, habislah cuti aku’.

Aku tak tau apa aktiviti dalam perhimpunan tu sebab aku tak pernah pergi. Lagipun, aku ni memang agak tak reti kalau bab-bab persatuan, kecuali memang terpaksa. Dulu pun pernah beberapa diajak masuk persatuan penulis, tapi aku tolak dengan baik. Bukan tak suka, sebab aku memang tak ada sebab pun untuk tak suka persatuan dan orang nak berpersatuan. Itu hak masing-masing sebagai individu yang sangat bagus sebenarnya. Cuma mungkin bukan untuk orang seperti aku yang lebih suka buat hal sendiri tanpa ada paksaan. Lebih daripada tu, aku yakin kalau aku jadi ahli aku tak akan jadi ahli yang baik. Confirm aku tak akan sertai apa-apa aktiviti sebab hati aku bukan di situ. Bila hati tak ada, apa-apa pun akan jadi terpaksa.

Tapi... hari ni, walaupun aku tak tahu apa-apa atau mungkin tak ada kaitan dengan aku perhimpunan tu, aku masih berharap aku akan dapat sesuatu yang baru sebagai ilmu walaupun sedikit supaya bila aku jatuh terduduk, aku mampu bangkit sendiri tanpa mengharapkan pertolongan daripada sesiapa. Sebabnya, sekuat mana pun, sebanyak mana pun dan seikhlas mana pun kasih sayang orang pada aku, akan sampai masanya lelah juga akhirnya. Kalau pun orang tak lelah, aku takut aku yang lelah sendiri, takut dengan bayang-bayang sendiri. Bimbang kalau-kalau tanpa sedar, aku jadi mua, jadi manusia pentingkan diri sendiri dan jadi manusia yang suka ambil kesempatan kerana terlalu dimanjakan.

- Selamat Ulang Tahun -

May 12, 2009

12 Mei 2009, hari ni genap Danish Hakim berumur 4 tahun. Tapi kalau dilihat pada badannya yang ‘cantik’ tu, siapa pun tak akan sangka yang dia baru cecah usia tu. Kalau berjalan, orang akan tanya, ‘Anak abang kau tu berapa tahun?’, ‘Baru 3 tahun’. Lepas tu dengan bangganya aku sengih, tahu sangat apa yang ada dalam fikiran orang yang bertanya, memanglah siapa pun tak percaya dengan keadaan fizikal dia macam tu. Tapi nak buat macam mana, dia memang agak kuat makan.

Kami selalu marah kalau dia makan banyak sangat, tapi kami lagi marah kalau dia tak makan. Mula nak tertanya-tanya, ‘Danish tu dah makan? Tak nampak pun dia makan hari ni?’. Tu dialog biasa, macam manalah budak tu nak kurus. ‘Alah... nanti kuruslah tu,’ kata mak. Entah hati siapa yang mak nak pujuk aku sendiri tak tahu...

Semalam entah angin apa, dia telefon aku...
“Hari ni hari jadi Danish,” kata Danish Hakim.
“Esoklah.” Aku betulkan sebab memang dah salah. “Nak potong kek eh?”
“Ya, kat rumah nenek.” Dia balas.
Itu pun dia siap ugut tak nak potong kek yang dibeli, kalau cuma ada dia, mama dan papa dia sebabnya memang abang aku cadang macam tu, kat rumah diaorang. Lagipun budak ni memang ekstrem dengan nenek dan kampung dia tu. Hari-hari kata nak balik rumah nenek dan bila balik, tak nak balik rumah sendiri. Hem... budak-budak sekarang dah pandai ugut mak bapa ya?
“Tak ajak mak tam ke potong kek?” Aku sambung balik. Saja usik dia, aku pun bukannya ada sayap boleh terbang-terbang sesuka hati.
“Tak! Mak tam lokek.” Danish Hakim jawab macam tu.
Aku tepuk dahi. “Bertuah punya budak!” Aku dah menjerit. Ada ke patut dia cakap aku lokek? Selama ni, pernah ke aku macam tu? Cakap aje nak apa, cepat aje aku capai kalau aku ada kat tempat tu. Dahlah dia selalu pukul curi kat aku, tau-tau tangan dia dah sampai kat muka aku, tau-tau tangan dia yang comel tu dah sampai kat belakang aku. Memanglah budak tu suka buli mak cik dia. Sabar ajelah...
“Boleh mak tam nyanyikan lagu selamat hari jadi?”
“Boleh!”
“Mak tam nyanyi eh?” Aku tanya sekali lagi. Dia tak kasi pun, aku tetap akan nyanyi juga.
“Boleh blah!”

Hampeh betul budak tu, tak nak kasi aku tunjuk bakat langsung, tapi aku nyanyi juga macam yang aku nak sebab tak boleh ada sama-sama dengan dia dan tak boleh tengok dia hari ni (maksudnya semalam). Tiga kali aku nyanyi, tak sempat ulang kali keempat, dia dah ketawa besar. Untuk Danish Hakim yang aku sayang... “SELAMAT ULANG TAHUN KE-4”. Semoga Danish panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan jadi anak soleh yang mampu menjadi penyeri di mata dan penyejuk di hati mama dan papa.

- Selepas 17 Hari -

May 8, 2009

Cerita basi? Cerita luput? Hem... basi hanya untuk makanan, luput pula untuk cinta, bak kata Kak Lynn, bukan untuk cerita dan kenangan. Jadi, biarlah aku abadikan segala-galanya di sini walaupun dah 17 hari aku balik daripada Sabah. Kali kedua pergi Sabah untuk tahun ni, lepas kali pertama yang dah tinggalkan satu kenangan yang tak mungkin aku lupa sampai bila-bila. N95... jodoh tak panjang dan betullah, bila kita terlalu sayangkan sesuatu, ALLAH uji kita dengan mengambil sesuatu itu. Aku percaya kenyataan itu sebab...

Berbalik pada cerita Sabah tadi, ya... pada 17 April yang lepas, seperti yang dijanjikan, aku, Shanika dan kawan-kawannya yang langsung aku tak kenal bertolak ke Tawau. Kami bermalam sehari di sana sebelum pagi-pagi esoknya, 18 April mula bergerak ke Semporna untuk menuju ke Pulau Mabul. Perjalanan dengan bot yang memakan masa tak sampai satu jam, buat aku rasa sangat selesa dan syukur sebab berpeluang menikmati saat-saat manis macam ni. Tapi dalam hati, tak seorang pun tahu hati di dalam berdetak kencang. Bukan sebab aku takut naik bot, tak mungkin takut sebab aku anak nelayan, bot, air sungai, air laut dan ombak dah terlalu biasa aku harung. Cumanya lutut aku, kanan dan kiri... bolehkah berfungsi dengan baik? Boleh lagi ke berenang lepas selalu kram tengah-tengah malam? Tapi dalam pada banyak berfikir, sampai juga ke destinasi yang dituju.

Pulau Mabul... apa yang boleh aku simpulkan? Tentu sekali satu tempat yang sangat cantik dengan air biru yang jernih buat hati terasa bagaikan ditarik-tarik. Pendek kata, jatuh cinta pandang pertama aku ni. Alangkah cantiknya ciptaan TUHAN yang tentu saja manusia tak mampu nak buat.

Aktiviti sepanjang di sana? Tentu saja snorkeling sepanjang hari. Pertama pergi snorkeling, tak berapa seronok bagi aku atas sebab-sebab yang tak berapa penting. Aku hanya turun sekejap aje. Tapi sebenarnya, dalam hati aku terasa berat hati. Yang sebetulnya, pun tak ada orang tahu, saat-saat akhir nak pergi, aku hampir-hampir saja nak batalkan percutian kali ni atas alasan kerja opis yang agak banyak masa tu, aku agak stres, aku tak buat apa-apa persediaan dan minggu tu juga sepupu yang pernah rapat dengan aku masa kecik melangsungkan perkahwinan. Tapi mengenangkan duit dan melayang banyak, aku gagahkan juga walaupun hati kat dalam kata, ‘tidak’.

19 April, hari kedua snorkeling... hati dah boleh berkompromi sikit. Rasa berat hati dan tak seronok makin lama, makin menjauh. Aku cuba gunakan masa yang ada dengan sepenuhnya. Lutut pun nampaknya okey aje, dan sampai ke hari ni pun macam dah okey sebab dah tak sakit lagi.

20 April, hari ketiga, kali ni snorkeling kat Pulau Sipadan. Bayangkan seluas-luas alam, cuma aku dengan Shanika aje yang snorkeling di situ (pergi ke situ ada jadual, tak boleh pergi ramai-ramai), divers dah lama hilang ditelan perut laut yang dalamnya entah berapa meter. Tapi adalah yang awasi kami berdua. Tuhan... Sipadan jauh lebih cantik, ikan-ikan dan coral buat aku terasa macam tak puas mata pandang. Nak tangkap dan kejar, tapi mustahil. Tapi memang cantik sangat. Buat rasa kagum aku bertambah-tambah.

21 April, hari terakhir di Pulau Mabul, hari ni kecuali group akhir ke Pulau Sipadan, yang lain-lain semuanya tak turun ke laut. Aku pun dan tak sanggup sebab aku rasa dah letih sangat dan muka pun dah hitam terbakar. Pagi tu, lepas hajat nak tengok sunrise tak kesampaian gara-gara hujan lebat sampai awal pagi, aku, Shanika, Des, Reza, Ainul dan Ha pergi pusing kampung. Kampung tu kecik aje, tapi sebab berjalan dalam panas, terasa jauh. Kiranya, percutian aku lengkap, darat laut habis diredah. Dalam pukul 2.oo, kami bertolak meninggalkan Pulau Mabul dengan seribu satu kenangan yang tak akan pudar dari ingatan sampai bila-bila. Ya... aku seronok walaupun pada awalnya, ada pelbagai rasa bergolak hebat dalam dada. Kalau ada rezeki, insya-ALLAH... satu hari nanti aku akan sampai sekali lagi. Kalau ada rezeki...







- 13 Hari -

May 5, 2009


Hari ni genap 13 hari Hanya DIA Tahu diterbitkan. Setakat ni aku dah terima beberapa komen daripada pembaca. Apa yang aku rasa? Apa perasaan aku saat ni? Mungkin dah agak lega dibandingkan dengan hari pertama novel tu keluar masa Pesta Buku yang baru berakhir (sekarang mungkin novel tu masih belum ada di pasaran lagi). Masa tu rasa takut, seram sejuk dan macam-macam rasa ada, manalah tahu kalau-kalau kali ni aku akan mengecewakan pembaca. Lebih takut lagi kalau novel kali ni dibandingkan dengan novel-novel sebelum ni. Padahal... yang aku takutkan tu, sama ada nak atau tak, memang akan berlaku sebab memang hak pembaca untuk menilai dan seterusnya buat kesimpulan sendiri. Sama aje keadaannya bila aku baca novel orang lain, cepat saja nak buat perbandingan.

Komen yang aku terima pula? Setakat ini masih positif walaupun turut diselitkan negatifnya sama, cumanya setakat ni masih boleh melegakan perasaan aku, masih boleh buat aku tarik nafas panjang-panjang dan kemudiannya lepaskan perlahan-lahan. Lepas ni, masih belum tahu macam mana lagi, walaupun sebagai penulis aku masih dan akan tetap berharap novel kali ni diterima. Kalau pun masih ada yang kurang, aku akan berusaha pada masa-masa akan datang. Hanya yang pasti, nak memuaskan hati semua orang sebenarnya tak semudah yang disangka. Mahu atau tak, mesti ada yang menerima dan menolak, mesti ada yang suka dan tidak. Tapi mana tau, mungkin boleh diusahakan ke arah itu kalau aku bekerja keras.

Apa pun, kalau masih ada yang hendak memberi komen atau pandangan supaya aku dapat terus bergerak ke depan, depan dan depan, bukannya ke belakang, belakang dan terus belakang, boleh hantar kat email ni, aleyaaneesa@yahoo.com.my. Tapi kalau boleh, biarlah komen atau kritikan yang membina, bertujuan untuk memperbaiki lagi mutu tulisan aku sebab sampai ke tahap ini, aku masih dalam proses belajar dan rasanya akan terus belajar sampai bila-bila. Segala sokongan yang diberikan selama ini, Hanya DIA Tahu... aku sangat menghargainya dan aku akan lebih menghargainya lagi kalau sokongan itu akan berterusan. Sekian...

*** Teringat kata-kata seseorang yang sangat dekat denganku bila aku luahkan rasa bimbang. Katanya, 'Bagi penulis yang dah ada beberapa karya, komen dan kritikan itu kan hanya makanan tambahan'. Benarkah? Apa pun, terima kasih sis... sokongan awk pada kte tak pernah padam kan? Terima kasih juga untuk kain cantik tu, terima kasih daun keladi! ***

- Berakhir Sudah -

April 28, 2009

Pesta Buku baru saja berakhir tiga hari lalu. Seperti tiga tahun kebelakangan ni, tahun ni aku sekali lagi diundang oleh Alaf 21. Cumanya, kalau sebelum ini aku dapat hadir selama empat hari, kali ni aku hanya pergi dua hari iaitu pada dua hari terakhir sebelum Pesta Buku berakhir. Bukannya tak sudi, tapi minggu sebelumnya aku pergi ke Sabah, cuci mata, cuci hati dan cuci segala yang ada di kepala. Dah rancang dari tahun lepas lagi, masa tu masih tak tahu jadual Pesta Buku.

Apa yang dapat aku rumuskan tahun ni ya? Hem... entahlah, tapi aku rasa tahun ni agak tak meriah dibandingkan tahun-tahun sebelum ni. Pendapat aku, orang lain mungkin tak sama dengan aku. Kenapa, aku tak begitu pasti. Tempoh yang agak singkat atau apa, aku benar-benar tak tahu. Tapi agak terkilan juga sebab hari Sabtu tu, aku cuma dapat duduk di booth Alaf 21 sampai pukul 1.30 aje. Lepas tu pergi makan dengan kawan-kawan, tu pun dalam keadaan tergesa-gesa sebab pukul 2.30 aku mesti dah ada di booth DBP.

Tahun ni aku kena jadi pemudah cara/moderator, atau lebih tepat lagi aku kena interview seorang penulis DBP iaitu Encik Malim Ghozali PK. Penulis yang dah menulis dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel dan kajian. Gugup... ya, aku rasa sangat gugup sebab aku tak pernah ada pengalaman sebelum ni. Dua jam, tiba-tiba aje macam terasa dua hari. Mujur juga dalam pada gugup, sesi bersama penulis tu berakhir juga seperti yang dirancang. Terima kasih sangat pada Diana dan si kecil Iman (anak Diana) yang sudi temankan aku, walaupun hanya duduk di sudut. Aku anggap tu macam bagi sokongan pada aku.

Hari Ahad pula, seawal pukul 10.00 aku dah ada, sama macam hari Sabtu tu juga. Kiranya ini prestasi aku yang paling baik sebab sebelum ni aku tak pernah lagi jadi penulis yang paling awal. Selalu aje terlajak. Tapi, aku balik pukul 12.30 tengah hari sebab ada perkara yang hendak aku uruskan.

Kepada sesiapa yang aku jumpa sepanjang Pesta Buku tu dan masih sudi membeli karya terbaru aku, terima kasih sangat-sangat, Hanya DIA Tahu... sokongan yang diberikan sangat aku hargai. Bagai sesiapa yang tak sempat aku jumpa atau tak ada jodoh jumpa dengan aku, minta maaf sangat-sangat. Kalau boleh memang nak jumpa dengan semua yang nak jumpa dengan aku (kalau adalah), tapi... apakan daya? Buat kawan-kawan penulis, aku tak pernah tak gembira bila jumpa kalian. Untuk yang baru pertama kali bersua muka, selamat berkenalan. Dan, rasanya... cukup sampai sini dulu. Kalau ada rezeki, tahun depan sambung lagi fasal Pesta Buku. Sekian...

- Hanya DIA Tahu, Hati Ini -

April 24, 2009

Hanya DIA Tahu! Alhamdulillah... akhirnya novel yang aku nanti-nantikan, keluar juga semalam. Lebar senyuman masa dapat telefon daripada Auen, editor yang bertanggungjawab mengedit semua novel aku di alaf 21. Lupa sekejap pada muka aku yang hangus terbakar gara-gara snorkeling di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan.

Kebetulan pergi ke booth DBP semalam, aku singgah di booth Alaf 21, nampaklah novel tu. Ada macam-macam warna di situ. So... di bawah ni... blurbnya, tapi covernya tak ada lagi. Dan pada sesiapa yang ada masa lapang, bolehlah bagi pandangan sikit, apa bezanya antara blurb dan eceran di bawah ni?

* * * * *
Blurb

Ariana melihat Nasuhah sangat sepadan dengan abangnya, Zean Luthfi seorang pengurus muda. Sebagai seorang adik yang nakal, dia asyik mengusik abangnya tentang Nasuhah hingga menimbulkan kemarahan Zaen. Tanpa pengetahuan adiknya, Zean telah menghubungi Nasuhah dan menghamburkan kata-kata yang nista.

Takdir telah mempertemukan mereka di dalam sebuah majlis. Sejak itu, Zaen sudah terkena panahan asmara. Dia cuba untuk mendekati Nasuhah, namun gadis itu sudah tawar hati. Zean nekad akan terus memburu cinta Nasuhah walaupun sejauh mana dia melarikan diri.

Pertemuan semula Nasuhah dan Rezuan rakan sekampus bagaikan jalan pintas baginya untuk menyelesaikan masalah yang melanda. Namun, huluran kasih Rezuan tiba-tiba saja membuatkan hatinya berbolak-balik.

Walau bagaimana payah pun, Nasuhah mesti berani membuat keputusan yang bakal ditanggung sepanjang hayatnya. Menolak cinta orang sukakannya ataupun menerima saja lamaran kawan lama yang tidak pernah wujud di hatinya.

* * * * *
Eceran 1

Zaen Luthfi menolak cinta Nasuhah Harlena yang sememangnya tidak wujud, hanya gara-gara marahkan Ariana. Dia tega meluahkan kalimah berbisa demi melampiaskan lahar dalam dadanya, tanpa peduli pada gadis yang tidak tahu apa-apa itu. Baginya, permintaan tidak masuk akal Ariana harus dinoktahkan. Dia harus memilih sebelum dia benar-benar tidak ada pilihan lagi. Ketika itu, dia bagaikan lupa kalau takdir bukan ada di tangannya. Apalagi, bila sesuatu itu melibatkan soal hati dan perasaan anak-anak Adam.

Pertama kali bertemu gadis itu, Dia bagaikan terkena panah arjuna. Lenanya tidak pernah lelap, makannya jarang kenyang dan mandinya jadi tidak basah. Kerjanya, hanya memburu gadis itu. Bahkan, dia tega mengharu-birukan hidup Nasuhah semata-mata inginkan tempatnya di hati si gadis. Baginya, sekali dia jatuh cinta, dia akan terus menjadi pemburu cinta yang tegar. Namun malangnya, pemburu cinta yang tegar pun gagal menjulang trofi kemenangan saat kebenaran tersingkap. Cinta yang tulus pun bukan jaminan abadi kerana dalam cinta tidak ada undang-undang yang mengatakan kalau kita cintakan seseorang, cinta kita mesti dibalas.

Dan benarlah seperti yang termaktub, bila ALLAH hendak membalikkan hati manusia, dalam sekelip mata saja boleh berubah, apa dan siapa pun tidak dapat menghalang termasuk empunya hati.

* * * * *
Eceran 2

Cinta... Nasuhah Harelana percaya pada kalimah itu. Namun, jika sepatah kata itu dijadikan alasan harga dirinya diinjak-injak, dia tidak dapat menerima. Baginya, cinta itu harus indah dan mengasyikkan. Tapi kalau benar begitu, mengapa cinta lelaki itu terasa menyakitkan? Dan, tidak bolehkah demi cinta juga, dia dibiarkan mencari haluan sendiri? Bukankah cinta itu tidak boleh dipaksa? Dalam cinta pun, tak ada undang-undang yang mengatakan kalau kita cintakan seseorang, cinta kita mesti dibalas. Cinta itu bermakna kebebasan. Datang tak perlu dijemput, pergi pun tak perlu diusir.

Sedangkan bagi Zaen Luthfi, penolakan itu adalah cabaran baru dalam hidupnya. Dia sudah lama terasa seperti tidak dicabar. Tekadnya, selagi gadis itu tidak jatuh ke dalam genggamannya, dia tidak akan menyerah. Merendahkan maruah sendiri pun dia rela. Sayangnya bila kebenaran terbongkar, dia nanar sendiri. Rupa-rupanya, semalam ada kisah telah dicoretkan, bukti kalau dia tidak layak untuk gadis itu meskipun, cintanya bukan sedikit.

Inikah sakitnya menanggung cinta yang tidak kesampaian? Rindu tidak berbalas? Atau, malu menjilat ludah sendiri? Dan, di antara tiga rasa itu, dia harus bagaimana lagi? Menerima atau harus menolak cinta dalam hati?

* * * * *
Eceran 3

“Saya cuma nak bagi tahu yang saya tak berniat nak kenal lebih rapat dengan awak. Selalunya perempuan yang cari saya, bukannya saya yang terhegeh-hegeh cari perempuan.”

Ketika kalimah itu menerjah telinganya, Nasuhah Harlena bungkam. Tidak mengerti apa sebenarnya yang ingin Zaen Luthfi sampaikan padanya. Dia tahu siapa lelaki itu kerana nama itu sering bermain di bibir Ariana, tapi dia tidak kenal siapa sebenarnya lelaki itu. Takkanlah pertemuan bertahun-tahun itu, layak dijadikan kayu ukur untuk menuduh dia hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong?

Tapi dia tidak mahu terlalu mengambil hati. Baginya, berdiam diri adalah cara paling elok demi memujuk hati sendiri. Namun, bila Zaen Luthfi jatuh cinta pandang pertama padanya, niatnya jadi songsang. Rasanya, dia seperti berdiam diri tidak kena pada tempatnya. Entah dirasuk apa, dia mula mendendami lelaki yang telah memalukan dirinya itu. Melarikan diri menjadi keseronokan dalam dirinya. Sayangnya, bila gurauan bertukar menjadi api yang membakar, dia tidak tahu bagaimana harus menarik diri. Sudahnya, saat Ariana gagal mengungkapkan apa yang tersirat, dia tersurat sebagai kawan makan kawan.

-BUKAN Tarikh Luput Cinta-

April 3, 2009

Jus anggur tanpa gula? Kaya dengan vitamin C? Hem... nampak macam best. Jadi... entah berapa bulan lepas dan di kedai yang mana satu, aku pun capai jus yang seakan-akan kordial seberat 1 liter itu. Tapi entahkan habit, entahkan suka sangat membazir. Macam kata Ika, ‘Beli barang keperluan, bukan kehendak’. Jadi disebabkan tak nak dengar cakap kawan baik aku tu... terperuklah jus tu entah di mana-mana. Memang aku suka membeli, tapi kadang-kadang aku beli sekadar beli, ikut hati walaupun sebenarnya bukan nak minum atau makan sangat pun.

Dan kewujudan jus tu pun aku hampir lupa sebenarnya. Cuma beberapa hari lepas, aku terjumpa balik dan jadi teringin nak minum. Capai cawan sebab memang aku punya pun dan guk... guk... guk.... dengan penuh nikmat, tanpa toleh kanan dan kiri. Rasa-rasanya dah tiga hari aku buat rutin tu. Pagi ni, sekali lagi aku buat rutin tak rasmi tu. Tak cukup dengan tu, bawa pula botol jus tu ke pejabat sebab aku nak minum lagi. Macam ketagih pun ada gaya aku sekarang ni.

Keluarkan dari beg dengan penuh confident, belek-belek botol yang berbentuk cantik tu tanpa ada tujuan. Mata berhenti pada satu tulisan hitam, best before... ‘Ya ALLAH... dah dekat sebulan jus tu tamat tempoh?’. Habis tu, yang aku teguk selama tiga hari tu, apa hal? Minum jus yang dah boleh dikatakan basi? Uwekkk, gelinya...

Aduh... dalam duduk ni, terfikir juga aku sama ada aku ada rasa lain macam ke tak? Tak ada pulak. Teruknya aku, entah macam mana boleh cuai macam ni, aku pun tak perasan. Padahal, sebelum ni aku jarang makan makanan sebelum tengok tarikh luput. Macam mana kali ni boleh terlepas aku sendiri tak tahu. Tapi yang pasti, tulisan hitam dan air berwarna purple, kedua-duanya gelap hingga menyukarkan pandangan. Tarikh tu duduk di bahagian atas, baru ketara tulisannya bila yang di atas tu dah kosong diteguk aku. Huh... mujur juga perut aku yang memang agak suka meragam tak buat hal kali ni. Kalau tak memanglah padan dengan muka aku. Tapi aku tetap tak puas hati, kenapa letak tarikh tu di situ? Kenapa tak letak kat penutup jus tu aje? Hahaha... masih nak salahkan orang tu?

-Moga Nasibnya Lebih Baik-

April 2, 2009

Dalam perjalanan hidup yang panjang, kita sering kali ditemukan dengan ramai manusia yang tentu saja turut membawa sifat dan sikap yang berbeza antara satu dengan yang lain. Ada kalanya, kita cuba menerima dengan seikhlas hati pakej yang dibawakan pada kita tanpa ada sebarang rasa syak wasangka. Ada masa-masanya pula, kita hanya dapat menerima sikap tetapi tidak sifat, begitu juga sebaliknya. Tapi ada ketikanya pula, kita tidak dapat menerima kedua-duanya sekali atas alasan yang tentu saja hanya kita dan Hanya Dia Tahu mengapa dan kenapa.

Begitu juga dengan aku. Bertemu dengan seorang manusia yang aku panggil pak cik kerana usianya hampir sebaya dengan orang tua aku dan dia pun awal-awal lagi sudah membahasakan dirinya sebagai pak cik, aku rasa sangat bertuah, kalaulah boleh dipanggil begitu. Bukannya apa, aku sebenarnya kagum dengan prinsip yang dijulang. Biar habis semuanya, tetapi prinsip yang dipegang tetap tidak akan dilanggar. Kalaulah aku duduk di tempatnya, aku sendiri tak pasti sama ada aku akan buat apa yang dia buat. Bayangkan, daripada ada kerjaya, ada segala-galanya... tiba-tiba semuanya hilang dalam sekelip mata.

Sanggup ke aku? Kalau pun mulut cakap sanggup, aku tahu jauh kat sudut hati, aku tak mampu. Mengulangi kesusahan masa lalu, aku betul-betul tak mahu... kemiskinan bukan penyakit berjangkit yang harus diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Bukankah aku dah bertekad untuk keluar dari kepompong sedia ada? Tak kaya tak apa, janji tak terlalu susah hingga terpaksa menyusahkan orang lain. Bukan juga aku tak berprinsip, tapi bagi aku, prinsip yang dijulang jangan sampai menyusahkan diri dan orang sekeliling. Hidup bukan hanya setakat hari ini semata-mata. Jadi biarlah berpada-pada.

Tapi pak cik unik itu? Dia bukan seperti aku. Dia manusia yang banyak kurang, tapi punya kelebihan dalam jati dirinya yang tersendiri. Ketika mendengar ceritanya yang seperti tidak mungkin akan habis, seorang kawan bertanya, ‘Masa nak berhenti kerja tu, ada berbincang dengan orang rumah ke?’. Ya, aku juga mahu bertanyakan soalan yang sama tapi tak terluahkan. ‘Aku berbincang dengan TUHAN!’ Buk... kepala aku terasa macam ditumbuk sekali. Langsung tak jangka dengan jawapan spontan tu. Maka, jadilah aku patung cendana sekejap. Kalau itu jawapan yang diberi, apa lagi yang nak dikata.

Ceritanya tidak habis setakat itu saja, terlalu panjang. Banyak benda disingkap, tentang Hang Tuah, Rasul dan Nabi, gengster di Kuantan dan Johor, orang itu dan orang ini dan banyak lagi yang aku tahu bukan semua boleh dipandang serius. Memang boleh dengar, tetapi tidak harus disimpan bulat-bulat. Dengan akal yang ada, aku ambil apa yang aku rasa berguna untuk dijadikan panduan, tolak pula apa yang aku rasa tak sepatutnya diambil. Tapi satu yang aku kagum, dalam keadaan hidup yang serba naif, dia masih sudi membantu mengambil buku yang aku tertinggal di hotel dengan rela hati dan kemudian pos pula. Bahkan, enggan juga bila aku nak bayar. Aku tak juga mahu memaksa sebab aku tahu, orang seperti dia memang kuat prinsipnya. Cumanya, aku berharap dan berdoa... seiring dengan waktu yang bergerak, nasib pak cik akan berubah. Mana ada manusia yang hanya akan terus... terus... dan terus duduk di bawah. Kalau pun ada kes begitu, Hanya Dia Tahu... apa sebenarnya perancangan yang telah ada. Wallahualam...

-Tawar & Payau... Tetap Juga Rasa-

April 1, 2009

Salam buat sesiapa yang sudi menjengah. Hem… 1 April 2009, banyak benda berlaku, banyak cerita nak dicoretkan di sini, nak kongsi dengan kawan-kawan yang sudi membaca apa saja yang menjadi buah tangan ni, tapi... tak tahu nak bermula dari mana. Mungkin sebab terlalu banyak, otak pun jadi keliru dan beku sama. Agak teruk kan? Tapi... rasa-rasanya, musim angin dah kembali menyerang aku. Semuanya rasa tak kena, nak marah... nak jerit... nak nangis dan semua rasa ada, bergabung jadi satu. Mulalah yang betul pun jadi salah di mata, yang kecil aku besarkan sebesar-besarnya, gurauan pula aku anggap serius tahap gaban. Tak suka, aku betul-betul tak suka dengan apa yang aku rasakan sekarang ni dan saat ni.

Puncanya hanya satu, gara-gara manuskrip yang ada di tangan dan dalam proses mengedit sekarang ni. Entah kenapa, selain daripada karya kreatif, aku macam tak boleh nak mengedit. Rasa kosong dan tak ada apa-apa. Hati aku macam tak ada walaupun mata melotot kat kertas putih yang sarat dengan huruf-huruf kecil. Tak lepas pulak, sebatang pen berwarna biru. Baca... baca... baca dan kemudian ulang... ulang... dan terus ulang baca pada halaman yang sama.

Masak! Teruklah kalau berterusan macam ni. Bila pula kerja nak siap? Sahlah aku bukan seorang editor yang baik... sebab editor yang baik tak akan mudah mengaku kalah. Tapi aku? Ataupun, beberapa hal berlaku sebelum dan selepas aku kembali dari * * * * * * * * * atau yang sewaktu dengannya sepanjang bulan Mac, sebenarnya yang mempengaruhi aku? Mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Hem... sulitnya menghadapi situasi genting, terpaksa berhadapan dengan orang yang jauh lebih bijak dan berilmu berbanding diri sendiri, hampir saja aku mengisytiharkan yang aku bisu sebagai langkah supaya tak diajukan dengan soalan bertubi-tubi. Tapi lebih sulit lagi bila apa yang dibuat, entahkan dihargai entahkan tidak. Pasti saja sebab yang diharapkan tak seperti yang didapati. Tapi nak buat macam mana lagi? Dah cuba semaksimum mungkin dan bukan semudah yang disangka, tapi dah setakat itu aje ALLAH nak bagi. Dan yang pasti, orang hanya mampu melihat, membuat andaian dan kemudian bercakap-cakap belakang dan depan tanpa mengerti atau memahami situasi sebenar. Sedangkan yang mengalami? Tentu saja tahu apa rasanya bila terpaksa berusaha demi menegakkan benang yang basah atau lebih tepat lagi menjaga nama baik tempat yang selama ini dianggap periuk nasi. Apa pun... Hanya DIA Tahu... ya Hanya Dia Tahu...