-Berakhirnya Majlis Kecil-

August 12, 2009

Majlis Wacana Intelektual bertajuk “Manusia, Peristiwa, Idea dan Penghasilan Karya Besar” yang dibentangkan oleh Hatta Azad Khan, yang dibuat oleh bahagian aku, Bahagian Penerbitan Sastera, dah pun selesai semalam tanpa ada masalah yang besar-besar. Terharu bercampur takut juga sebenarnya malam tadi. Terharu, sebab majlis itu hanya majlis kecil yang dijangkakan audiensnya hanya sekitar 30-40 orang, tapi yang datang hampir 70 orang. Dan, boleh dikatakan nama-nama besar dalam dunia sastera tanah air hadir, seperti Dato’ (Dr.) A. Samad Said, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Dato’ Mansur Abdullah, Dr. Lim Swee Tin, Malim Ghozali PK, A. Ghaffar Ibrahim, Othman Haji Zainuddin, dan ramai lagi yang tak tertulis nama mereka. Lebih terharu lagi bila Kak Lina (Norzailina Nordin) dan Kak Ila (Ramlah Rashid) turut datang. Tapi yang takutnya, bila tengok ramai yang datang sedangkan tempat dan makanan agak terhad. Mujur juga semuanya berjalan dengan lancar.

Hari ni rasa lega, walaupun sebelum majlis bermula ada satu rasa dalam diri. Hari ni, juga masa aku tengah menaip, bos sampai dan terus ucapkan terima kasih pada aku sebab datang malam tadi atau dalam erti kata lain, sanggup korbankan masa untuk bahagian. Nyaris-nyaris aku pengsan sebab terharu, padahal bukan baru pertama kali dengar dia ucap terima kasih. Selalu, setiap kali selesai majlis. Orang di bahagian tak ramai, kalau bukan kami yang sudi tolong, siapa lagi yang nak menolong. Dan hari ni juga, aku rasa nak gelak besar dengar apa yang Shuk cakap pada Diana, sebabnya... aku, Diana dan mungkin juga Nadia dah lama tahu dan rasa apa yang Shuk baru rasa. Apa pun, syukurlah majlis kecil tu dah berakhir. Cuma aku tertanya-tanya sendiri, lepas ni majlis apa pula yang bahagian aku kena buat. Teringatkan seorang kawan, masak lemak cili padilah aku, Diana, Shuk, Nadia, Din dan Kak Yan. Tapi soalnya, siapa kami kan?


-Catatan Perjalanan (2)-

August 11, 2009

Seperti yang dirancang, lepas sarapan kami semua mula bertolak, nak ke Cameron Highland. Pagi tu, Dewi tanya aku, "Kata nak buat cucur badak malam tadi?". Masa tu aku tengah tengok pokok kiambang comel. Nak tergelak besar pun ada juga rasa. Aku balas dengan muka selamba, "Macam mana nak buat, badak tak ada?" Tak terkata apa Dewi dengan jawapan aku. Apa kaitan badak dan cucur badak? Sudahnya, Shanika yang goreng cucur badak segera tu, masa tu aku dah pergi mandi. Pasttt... dengar-dengarnya, dia goreng dalam keadaan yang lemah-lembut. Dan kalau aku buat cucur badak, karang silap-silap, cucur badak bertukar menjadi badak. Lepas tu aku cakap kat Dewi yang aku ni mungkin lebih sesuai berkebun. Jawapan Dewi, nanti dia bagi aku cangkul suruh aku berkebun kat rumah dia. Jawab aku lagi, aku cuma boleh guna cangkul yang dibawa dari KL aje. Airul pula balas, cangkul yang ada kat rumah Dewi tu dibeli kat KL. Kali ni, aku pula yang tergelak-gelak. Mengadu kat Bikash, kata diaorang kutuk aku, Bikash balas... dia dah kena dulu. Aku sengih aje...





Bikash, aku, Ana dan Airul - kat Lata Iskandar. Kami singgah, nak celup-celup kaki dalam air yang sejuknya sama macam ais. Singgah pun tak lama mana, sekadar buat syarat kata orang. Agak ramai juga orang kat situ. Ada pulak beberapa orang budak kecik mandi. Nampak seronok. Tapi kami, dapat masukkan kaki dalam air pun dah cukup. Lepas tu pergi minum, hati berkobar-kobar nak makan laksa ikan bilis sebab katanya, rasa laksa tu boleh tahan. Malangnya, tak ada rezeki. Tak apalah... mungkin lain kali. Tapi agak pelik bila Babah minta air limau ais bubuh garam. Fieda kata sedap. Berkerut juga dahi aku yang memang selalu berkerut, sebab pertama kali dengar. Dalam hati bertanya, boleh minum air macam tu ke? Dan, bila rasa air yang sama yang Shanika minum... hem, rasanya agak boleh tahan. Patutlah Babah, Dewi dan Fieda kata sedap.

Lepas tu, perjalanan kembali diteruskan. Kami naik van yang dibawa Babah. Mujur juga perjalanan yang macam ular tu tak buat aku pening dah muntah. Kalau tak, memanglah haru. Tapi yang geram, bila diaorang tangkap gambar aku tengah tidur. Elok aje aku buka mata, diaorang tengah rakam. Kononnya nak masukkan dalam youtube. Hem... sabar ajelah kawan-kawan aku tu.








-Catatan Perjalanan (1)-

August 10, 2009

Jumaat, 7 Ogos 2009, seperti yang dirancang, aku, Bikash, Shanika, Fieda, Airul dan Ana bertolak ke Tapah, rumah Fieda dalam pukul 6.00 lebih. Bikash, Fieda dan Ana, naik satu kereta. Aku dan Airul pula naik kereta Shanika. Itu pun dah terlambat daripada waktu yang dijanjikan sebab aku balik agak lambat. Sebenarnya aku dah cuba balik dalam waktu yang secepat mungkin, tapi manusia macam aku, biasanya hanya mampu merancang, sedangakan yang menentukan hanya ALLAH semata-mata. Apa pun, kami selamat sampai di rumah Fieda, sebenarnya kedai makan orang tua Fieda dalam masa yang dijangkakan.

Mulanya, rasa agak malu-malu juga walaupun itu bukannya pertama kali aku jumpa dengan orang tua Fieda. Ya, dewi (mak fieda) dan babah memang sangat baik. Berada di rumah mereka, terasa seperti berada di rumah sendiri. Layanan mereka memang buat aku rasa terharu. Tapi kesian dewi sebab aku cuma boleh nyanyikan dia lagu 'Dewi' sikit aje sebab aku tak hafal seni kata lagu tu. Tapi aku dah gantikan dengan lagu kanak-kanak yang aku tak tahu tajuknya apa (belajar dari anak buah aku), lagu tu aku dah nyanyikan dari A-Z. Tapi nampaknya, Airul dan Ana yang lebih berminat dengan lagu tu, aku tengok diaorg macam tengah hafal lagu tu.

Shanika, aku, Ana, Bikash dan Fieda - masing-masing, agak penat sebab baru balik kerja. Tapi tak kisahlah, yang penting... kami semua memang sangat menikmati suasana di kedai makan milik keluarga Fieda.

Aku - duduk depan ikan, ayam dan jagung... tapi, aku langsung tak pegang kipas. Ana dan Airul yang kelihatan macam bercita-cita nak meniaga kat pasar malam.

Aku dan Bikash - antara aku dan dia... terasa macam tak banyak beza. Kami mempunyai ketidakpandaian yang sama.

Shanika - jika dilihat pada jari... rasanya, memanglah dia rock habis. Tapi, sori mek... aku tertidur sakan masa balik malam tadi. Penat macam aku pulak yang memandu. Mujur juga ada Fieda temankan kau.

Airul, Ana dan Bikash - Airul macam pakai tanduk kerbau, Ana dan Bikash... seronok jadi tukang tengok.

Ayam - ayam oh ayam... akhirnya, sebab dah agak lewat, ada sebahagian ayam yang terpaksa digoreng atas kuali.



Apa pun, terima kasih sangat pada dewi, Babah dan Fieda yang sudi bawa kami ke rumah diaorang, harapnya... satu hari nanti kami akan sampai lagi ke sana. Untuk dewi, tunggu...

-Bila Kasih Tak Sehaluan-

August 5, 2009

Bukankah orang kata, bila sorang ke kanan, sorang ke kiri, dan tak sudi pandang satu sama lain, itu bererti ikatan yang ada, bakal terlerai bila-bila masa saja? Bermakna kasih yang dulunya menggebu-gebu, dah tak sehaluan lagi?


Nah... tepatkan kenyataan itu bila merujuk pada dua gambar kat sini? Haha ... tajuk yang gempak. Kalau Arrisa dan Zakuan dah besar dan terbaca n3 ni, pasti dia akan kata mak tam ni dah tak betul agaknya. Atau dalam bahasa kasarnya, gila. Tapi memang kelakar masa nak tangkap gambar diaorang berdua ni, sorang pandang ke kiri, sorang pandang kanan. Arrisa, kepalanya asyiklah ke kanan. Zakuan pula, memang tak reti duduk diam. Sudahnya, tak sudi pandang minah kecil di sebelah. Tapi kalau dia pandang, alamat Arrisa jadi kuih sebab Zakuan baru pandai bergolek-golek.

Sekarang ni, Arrisa dah berusia 33 hari, Zakuan pulak hari ni dah genap berusia 6 bulan. Dah besar dah dua anak buah aku ni. Hendaknya, diaorang akan menjadi anak yang baik. Mampu menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati orang tua diaorang dan kami sekeluarga kelak. Moga reda ALLAH sentiasa bersama diaorang dan anak-anak buah aku yang lain. Sungguh... aku sayang kamu!











-Rasa Itu Masih Ada-

August 4, 2009

Ahad lepas, seperti yang dirancang... aku, Bikash, Fieda, Airul dan Kak Sarnia pergi ke Pesta Buku Selangor di PKNS. Singgah sekejap, tengok itu dan ini. Kemudian, bergerak ke rumah Kak Umaira. Seronok... itu perasaan aku sepanjang berada di sana. Rumah yang cantik, laksa yang sedap dan segala macam jeruk yang membuat liur jadi kecur. Dan lebih daripada itu, cerita Kak Umaira yang mampu membangkitkan satu rasa dalam jiwa aku.

Ya... benar, suatu ketika dulu, aku pernah merasakan perasaan yang sama. Mungkin rasa itu lebih lagi kerana aku hanya nampak ‘AM’ sekali di pasaran, kemudian lenyap begitu. Sampai ke hari ini, tak ada jawapan tepat yang diberikan pada aku. Dan kecewa aku, masih bersisa sampai sekarang. Bukan mudah nak siapkan sebuah novel. Banyak masa, tenaga dan idea aku curahkan demi ‘AM’. Itu hasil usaha aku, jerit perih aku sepanjang bergelar pelajar. Sudahnya, semangat menulis jatuh pada angka 0. Bagi aku, dunia penulisan aku dah berakhir dek kerana kekecewaan. Tapi mujur ada mak. Sedikit demi sedikit, kecewa aku ditarik keluar. Kini alhamdulillah... dalam pada kecewa aku masih mampu terus berdiri, walaupun dalam keadaan mood yang pasang dan surut.









-Hadiahkan Al-Fatihah-

July 31, 2009

Salam hari Jumaat buat sesiapa yang masih berkunjung. Hari ni, aku rasa penat yang amat. Bukan malam tadi kerja angkat balak, atau susun batu buat bangunan. Tapi... berjam-jam menggolek-golekkan diri atas tilam, sudahnya aku cuma dapat tidur 30 minit terakhir. Entah apa melanda, tapi memang banyak yang berlegar-legar dalam kepala aku. Berita sedih yang Bikash sampaikan, meeting yang buat aku rasa semacam dan banyak lagi. Semuanya macam tak nak tinggalkan aku. Atau, kesan nescafe yang aku minum masa sarapan?

Cuma yang pasti, hujung mimpi, aku ingat lagi ayat aku, “Tolong berikan saya borang nak masuk tingkatan enam.” Betul-betul kelakar ayat tu, sebab berapa kali dalam seumur hidup aku nak masuk tingkatan enam. Tapi... yang buat aku gembira sikit, dalam samar-samar, aku nampak sekolah yang dah lama aku tak pijak. Aku nampak adik aku yang sama-sama satu sekolah dengan aku. Tapi anehnya, bila pulak adik aku bawa kereta pergi sekolah? Mimpi... namanya pun mimpi, macam-macam boleh jadi asal saja nama mimpi.

Sebenarnya, semalam dan hari ni aku rasa sedih. Sedih bila Bikash kata, anak Bad (kawan Bikash dan Shanika) dah kembali pada yang abadi. Aku tak kenal sangat dengan Bad, tapi aku pernah jumpa dia beberapa kali dan berbual-bual dengan dia. Aku tak pernah tengok anak dia, tapi baru minggu lepas aku tengok gambar dia dalam hp Shanika. Comel... dah besar pun. Tapi... kalau memang sampai situ hayatnya, siapa manusia nak mempersoalkan apa yang dah ditetapkan? Aku tak ada anak, tapi aku dapat rasakan apa yang Bad rasa, walaupun... yang melihat tentu aje tak sama dengan bahu Bad dan Zack yang memikul. Aku harap, aku berdoa... semoga pasangan itu akan terus tabah. Dugaan memang didatangkan pada setiap hamba-NYA, hanya bagaimana bentuk ujian itu didatangkan... tak ada sesiapa pun yang tahu, sama seperti kita tak tahu rahsia yang ada di alam ini.

Spontan juga aku teringat pada anak Wanie (kawan baik aku di U). Aku ingat lagi dalam tangisan Wani mengadu pada aku yang anak dia tak mungkin akan hidup lama. Aku pun rasa macam tu juga sebab Adam lahir dengan berat 585 gram. Susah nak percaya kalau Adam dapat bertahan dalam keadaan macam tu. 600 gram pun tak sampai. Doktor pun dah ramalkan yang bukan-bukan. Berbulan-bulan Wanie berulang-alik ke HUKM. Tapi alhamdulillah... ALLAH MAHA BERKUASA. Sekarang ni Adam dah dua tahun lebih, Adam dah besar dan aku harap Adam akan terus bertahan sampai bila-bila. Untuk Bad, tak tahu kata apa yang boleh aku beri melainkan sabar... sabar... dan sabar...

-Hadiah daripada Rania-

July 30, 2009






Awards kat atas tu daripada Rania Firdaus. Aku gagahkan juga buat pagi ni walaupun kejap lagi ada meeting. Sebabnya, kalau tak buat sekarang, alamatnya entah bila baru aku buat. Apa pun, terima kasih ya cik adik sebab bagi akak awards tu. Rasa bangga gitu... hehehe...

1. Nyatakan 6 fakta menarik tentang pemberi awards:

* comel
* novelis novel cinta dua jiwa
* mungkin tengah siapkan novel kedua
* seorang student
* suka baca buku
* moody

2. Nyatakan 9 fakta tentang diri sendiri:

* suka makan fast-food
* suka makan tomyam
* suka ambik breakfast berat (nasi kerabu, nasi dagang dsb)
* suka nescafe dan milo
* tak berapa suka nasi lemak
* tak suka meeting
* tak suka baca pruf
* jarang makan tengah hari
* selalu mimpi hantu akhir-akhir ni (malam tadi pun mimpi lagi)

3. Pilih 10 penerima seterusnya bersama description:

* Bikash Nur Idris – dalam mimpi berangan nak jadi optimus prime
* Fatin Nabila – duduk di Terengganu dan aku rindu dia
* Hani Fazuha – masakan dia sedap (bila nak ajak datang rumah lagi)
* Shanika Latisya – kecil-kecil cili padi
* Diana – selalu kena paksa dengar aku nyanyi lagu kanak-kanak (semalam lagu jalur gemilang)
* Kak Azie – kakak yang sangat baik hati
* Kak Fatin – masih dalam pantang.
* Rehal Nuharis – adik yang selalu kena dengar celoteh aku
* hafirda Afiela – adik yang sangat memahami (aku sayang dia)
* Huda – adik yang dah lama menghilang. (rindu sangat kat huda)

*** Dengan ini, selesai sudah jawab tag Rania... ***

-Hadiah Dalam Bentuk Sakit-

July 29, 2009

Kat luar, hujan yang menggila sejak pagi tadi rasanya macam dah teduh. Mood nak bekerja pulak terasa lesap ke mana-mana. Tapi sempat juga beberapa helai cerpen aku edit dalam keadaan yang tak menentu. Mengantuk! Cuma tu aje yang aku rasa sekarang ni. Nak kata tak cukup tidur, tak juga sebab dalam beberapa hari ni, aku rasa macam dah terlebih tidur. Mungkin bahana ubat selesema yang aku makan. Ikutkan hati tak nak makan sebab memang aku rasa mengantuk luar biasa sekarang ni. Hampir-hampir aje muka tersembam atas meja. Tapi kalau tak makan, aku pulak yang rasa tak selesa. Asyik nak bekerjasama dengan tisu aje. Lagipun, malu dengan kawan kiri kanan kalau dengar aku hembus ingus.

Sebenarnya, aku cuak juga bila hidung mula dah berair dan bersin berkali-kali, ditambah dengan deman, sakit tekak, batuk dan pening kepala sejak hari Khamis lepas. H1N1 ke ni? Otak dah mula fikirkan yang bukan-bukan yang semuanya berpihak pada fikiran negatif. Sebabnya, minggu lepas dan minggu sebelumnya aku asyik pergi ke tempat-tempat yang sarat dengan umat manusia. Kemungkinan untuk dijangkiti ada, tapi Ya ALLAH... janganlah sampai fikiran buruk aku ni jadi kenyataan. Dan, alhamdulillah... bila jumpa doktor, doktor tak kata apa-apa pulak.

Tapi aku dibekalkan dengan banyak ubat. Ubat lagi... rasa-rasanya, bulan Julai ni aku dah terlalu banyak makan ubat. Awal bulan hari tu, seminggu diserang gastrik. 4 kali pergi klinik dan entah berapa biji ubat yang aku makan masa tu. Tapi banyak-banyak ubat, ubat selesema yang paling aku tak tahan sebab mengantuk. Dan gara-gara ubat tu, entah berapa kali aku mimpi hantu. Tak kira tidur pagi, tengah hari, petang atau malam, pantang celik mata, hati aku mesti berdetik, ‘mimpi hantu lagi’. Kalau tak mimpi hantu pun, mesti mimpi seram dan mimpi yang semuanya duduk dalam kategori mimpi yang tak best dan menakutkan.

Harap-harap lepas ni semuanya akan pulih dan aku tak sakit lagi walaupun sekarang ni terasa macam antibodi aku dah tak kuat sangat. Tersilap sentuh sikit, esok mula badan rasa tak menentu. Atau... mungkin juga aku dapat sakit sebab ALLAH nak uji aku. Mahu aku bermuhasabah diri dan menginsafkan diri selepas buat silap sama ada aku sedar mahupun tak sedar. Jadi... sebagai hamba-NYA, aku tahu aku tak patut merungut walaupun seluruh badan terasa sakit. Bukankah ujian itu diturunkan kepada orang-orang yang mampu memikulnya. Aku tahu itu, tapi kenapa hati jahat ada masa-masanya, masih mahu mempersoalkan apa yang diturunkan pada aku?

-Hadiah Selepas Ujian-

July 28, 2009

‘Salam, rumah Ct kat Langkawi terbakar semalam.’

Kosong sekejap otak aku masa baca SMS daripada Net. Tak tahu nak buat apa untuk masa beberapa detik. Pertama kali dapat berita macam ni, rasa terkejut sangat. Selalunya berita rumah terbakar aku cuma dapat tengok dan dengar di TV ataupun radio. Bila jadi pada kawan baik sendiri, walaupun dah lama tak jumpa, rasa macam tak percaya. Betul ke?

‘Macam mana boleh jadi macam tu?’ Lepas dah hilang rasa gelabah, aku SMS Net balik.

‘Aku tak tahu sangat. Cuba kau call dia, dia ada kat Langkawi sekarang ni.’

Terus aku tanya Ct apa sebenarnya yang terjadi. Ct kata punca sebenar pun dia tak tahu, mungkin juga sebab elektrik. Rasa sedih sangat bila Ct kata, habis satu rumah terbakar, tak ada apa yang dapat diselamatkan. Tersentap sekejap aku. Tak ada apa pun yang tinggal? Ya ALLAH... rasanya, bukan mudah nak terima kenyataan macam tu. Tapi yang buat aku lagi terasa, bila Ct kata, ‘Insya-ALLAH, aku dan family aku akan tabah hadapi dugaan ini. Nak buat macam mana, dah ALLAH tentukan macam ni’.

Sungguh... ketabahan Ct buat aku terasa diri kecil. Ya, aku tahu Ct sangat bersyukur sebab di sebalik kebakaran yang meranapkan semua milik mereka, seluruh ahli keluarganya terselamat. Bukankah itu lebih penting dibandingkan harta benda yang ada? Dalam diam, aku akui hakikat tu, walaupun mata yang memandang tak mungkin sama dengan pundak yang memikul.

Ct... ya, selepas enam tahun masa berlalu, Ct benar-benar dah matang. Kerjaya sebagai guru, atau tugas sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang buat dia begitu, aku tak pasti. Tapi yang pasti, aku dan kawan-kawan di UPM dulu dah buat silap bila kami seperti tak merestui perkahwinan Ct masa tu. Bukan kaki sibuk, tapi ada banyak alasan yang buat kami minta Ct fikir masak-masak. Lebih dari itu, sebagai kawan, sampai bila kami nak tengok Ct berendam air mata?

Tapi sekarang ni, alhamdulillah... selepas dilanda ribut besar, Ct dah buktikan yang dia mampu mencari bahagia untuk diri sendiri dengan saiz tubuh dan ketinggian yang agak kecil (ketinggian Ct mungkin bawah bahu aku). Untuk Ct dan keluarga, moga sabar dan tabah menjalani ujian sehebat ini. Mungkin sekarang Ct rasa semacam, tapi aku percaya... ALLAH tak akan datangkan ujian kepada hamba-Nya yang tak mampu. Dan aku tahu, bila ujian datang, pasti ada hadiah yang lebih bermakna dijanjikan untuk Ct dan keluarga.

-Hadiah Pembakar Semangat-

July 27, 2009

Nashreha Talib
Shah Alam, Selangor

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Alaf 21 kerana menghargai setiap peminatnya. Aku adalah antara ribuan peminat Alaf 21. Terima kasih Alaf 21 kerana menghadiahkan aku sebuah novel melalui peraduan ‘Aku dan Bukuku’. Walaupun ia hanya sebuah novel tapi aku amat berbangga kerana dihargai sebagai peminat Alaf 21.

Aku menerima novel ‘Hanya Dia Tahu’ hasil nukilan Aleya Aneesa. Sudah banyak karyanya yang menjadi tatapan mataku. Aku dapati karyanya berbeza setiap kali diterbitkan. Kali ini Aleya Aneesa mengetengahkan kisah persahabatan yang akrab di antara Nasuhah dan Ariana yang masing-masing ingin berkorban demi menjaga hati dan perasaan antara satu sama lain. Tapi mereka terlupa, dalam menjaga hati masing-masing ada hati yang terluka. Pun begitu kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi TUHAN lebih tahu. ‘Hanya Dia tahu’, di sebalik apa yang terjadi ada hikmahnya. Semoga Aleya Aneesa menghasilkan nukilan yang lebih mantap lagi.

Pada petang 26 Jun 2009 iaitu pada hari pertama pesta buku di Shah Alam, aku mengajak suamiku ke sana untuk membeli senaskhah atau dua naskhah buku tetapi suamiku keberatan. Aku merasa sedikit kecewa tapi aku tenangkan hati. Pada malam itu, sambil berehat aku membuka laman web Alaf 21 untuk melihat maklumat terkini yang disiarkan. Tanganku terus sahaja menekan ruangan e-mel minggu ini. Aku membaca dan terpegun!

Eh, ini macam e-mel yang pernah kutaip bulan lepas. Aku melihat nama pengirimnya. Oh, memang aku rupanya. Hatiku berbunga riang, terubat jugakekecewaanku siang tadi. Aku rasa seperti ingin melompat kegirangan kerana terlalu gembira. Aku memanggil suamiku untuk melihat apa yang kulihat. Dia datang kepadaku untuk melihat apa yang menarik hatiku. Dia membacanya sambil tersenyum, aku apatah lagi rasanya senyumku dah sampai ke telinga.

Terima kasih Alaf 21 kerana menghargai pandangan peminatnya. Selepas itu setiap hari aku rasa seperti tidak sabar menanti apakah novel yang akan dihadiahkan oleh Alaf 21 kepadaku. Aku berdoa biarlah novel yang akan kuterima itu nanti adalah yang belum ada dalam simpananku.

Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba, aku menerima sebuah novel ‘Kau Untukku’ karya Aisya Sofea. Betapa bangga dan bersyukurnya aku kerana doaku sebelum ini termakbul jua. Walaupun aku sudah membacanya dua kali melalui buku adikku tapi aku bangga kerana aku mendapat cetakan baru dengan kulit buku yang menarik dan indah, tak jemu mata memandang seindah percintaan Fuad dan Maira. Dalam sesuatu perhubungan itu mestilah ada kejujuran dan harus berterus terang untuk mengelakkan salah faham. Apa pun yang terjadi, kita sebagai makhluk yang lemah harus tahu setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya.

Syabas dan tahniah buat Aisya Sofea kerana novel anda telah mencapai cetakan yang ke-14. Semoga karya anda di masa hadapan lebih menarik dan lebih mantap lagi. Tidak lupa juga kepada Alaf 21 yang sentiasa menerbitkan novel-novel yang boleh memberi pengalaman dan pengajaran buat peminat-peminatnya.Terima kasih, Alaf 21!

*** Copy dari web Alaf 21 ***