-Hadiah dari Hati-

July 1, 2009

Dia kata aku garang sebab suka marah-marah bila dia main pondok-pondok guna segala macam mangkuk, pinggan, sudu dan cawan kat rak. Tak cukup dengan tu, dia bawa tikar dan bentangkan bawah pokok rambutan depan rumah. Tanpa rasa bersalah, dia ajak semua dua pupu dan mak cik yang dia ada.

Dia kata aku jahat sebab aku selalu naik angin bila dia buli mak aku, nenek dia. Pernah tengah-tengah malam gara-gara nak makan telur goreng sedangkan memang tak ada telur kat rumah dan kedai pun dah tutup masa tu. Dia nangis macam langit nak runtuh, sambil tu... mata dia hampir keluar gara-gara pandang mak aku yang memang lemah kalau dengan cucu yang satu ni, yang banyak kerenah berbanding yang lain. Sudahnya, aku kata aku akan korek mata dia dengan garpu dan bagi anjing makan kalau dia terus pandang macam tu. Mungkin takut tak bermata, atau takut dengan suara aku yang dah tinggi, tangisan dia terhenti. Mata yang besar jadi kecil perlahan-lahan.

Dia kata aku kedekut hanya semata-mata pukul 2.00 pagi, dia ketuk bilik aku mintak jajan. Mana aku nak cari jajan dalam masa macam tu. Kalau dia cakap siang, mahunya sebakul aku belikan dia jajan. Biar dia tak larat makan. Masa tu dia kata, tekak dia macam dah terbayang-bayang jajan dalam mulut dia. "Ya ALLAH... macam mana ni, adik dah tak tahan lagi. Adik betul-betul nak jajan, mak tam. Kempunanlah adik macam ni." Dialog terakhir dia sampai bila-bila aku tak akan lupa. Adik bongsu aku yang selalu muka serius, dah tergolek-golek ketawa. Dia tu 5 tahun ke 10 tahun? Mujur juga aku teringat ada sekeping coklat kit kat dalam beg.

Dia juga yang kata, "Jangan... kita semua jangan naik kereta yang mak tam bawa. Bahaya...". TUHAN aje yang tahu betapa aku terasa nak meramas mulut kecik yang berbisa tu. Anehnya, bila aku suruh turun dia tak mahu. Yang kelakarnya, kerajaan belum pun wajibkan pakai tali pinggang keledar kat belakang, dia dah amalkan tiga tahun lepas. Pun macam tu, sepanjang jalan mulut dia tak henti-henti membebel. Patut ke dia cakap, "kita ni macam dah sesat". Ya ALLAH... sabar ajelah budak ni, takkanlah aku tak tahu jalan kat kampung aku sendiri? Takkanlah aku lupa jalan ke sekolah yang dah banyak berjasa pada aku? Mujur anak sedara aku, kalau anak orang lain memang ada yang kena campak keluar lalu tingkap kereta.

Tapi dia... dia tak tahu aku hampir-hampir menitiskan air mata bila isi sampul sebesar A4 yang dia beri, aku tatap, baca dan lihat. Inikah dia... manusia bernama Nurul Hannah? Manusia yang aku panggil adik? Macam tak sama dengan budak kecik yang ada dalam bayangan aku selama ini. Mungkin cuma kertas nipis yang tak ada makna, gambar yang barangkali diambil dari album gambar aku, tulisan buruk guna pensel, lukisan gambar aku dan dia yang langsung tak lawa dan bunga plastik yang dirembat dari pasu ibu dia. Tapi bagi aku, hadiah-hadiah kecil itu terlalu bermakna dan tentunya aku akan simpan sampai bila-bila. Sungguh... aku terharu...






6 comments:

  1. alahai comelnye lah nurul hannah (^_^)

    ReplyDelete
  2. so sweet.. mesti awak rasa cam terharu sangatkan... :)

    ReplyDelete
  3. awww... so sweet Nurul Hannah. Ni dah tahap terharu yg x terhingga dah ni. Budak2 memang jujur dlm perasaan hati. :)

    ReplyDelete
  4. terharunye...
    memang macam itulah selalunya...
    baiknya anak buah mak tam ni :-)

    ReplyDelete
  5. Mek, laplah air mata tu... Balik dah minggu depan, kan?

    ReplyDelete
  6. Dyra-tapi sangat nakal orangnya...

    dhan-sy bukan terharu tapi sy sangat terharu...

    pu3syakira-budak2 mmg cm tu, tak sama dengan orang dewasa yang suka berselindung...

    fieda-harap akan terus baik sampai bila-bila. mcm fieda gak...

    bikash-uwaaa... lglah sy nak nangis ni...hehehe...

    ReplyDelete