- SeSi MeMbAkAr SeMaNgAt! -

August 16, 2010

SEBAIK saja pelayan berlalu selepas mengambil pesanan, Dinzley menatap wajah Annura yang leka memandang permukaan meja. Kemudian matanya jatuh lama, tepat di tengah-tengah dahi Annura yang kelihatan semakin membiru. Kalau dia yang melihat sudah terasa sakit, tentu gadis itu lebih sakit lagi.

Siapalah yang tak berhati perut buat Annura macam tu?

“Macam mana boleh kena cium dengan meja tu?” tanya Dinzley sebaik saja Annura mengangkat wajah. Tadi pun dia ada bertanya soalan itu, tapi tidak dijawab Annura. Gadis itu kelihatan seperti sengaja mengelak sedangkan hatinya di dalam meronta-ronta ingin tahu. Rasa tidak puas hati sebab Annura bawa kereta sendiri ditolak jauh-jauh kerana Annura punya alasan yang kukuh. Hanya Annura tak tahu yang dia tidak berasa disusahkan kalau terpaksa menghantar Annura ke tempat kerja esok pagi.

“Ada orang dengki”

Masih lagi itu yang dijawab Annura sedangkan Dinzley ingin tahu siapa si dengki yang gadis itu maksudkan. “Si dengki tu tak bernama ke?”

“Awak bukan kenal pun kalau saya sebut nama dia.”

Dinzley agak terasa dengan kata-kata Annura kali ini. Gadis itu seperti enggan berkongsi dengannya, walaupun mereka berdua sudah sepakat untuk saling mengenali antara satu sama lain. “Tak kenal pun, takkanlah tak boleh sebut nama? Rahsia sangat ke? Penting benar ke?”

“Razlan.” Datar saja nada suara Annura.

“Siapa tu?” Lelaki, memang tepat seperti yang diduga. Cuma anehnya, macam mana boleh jadi macam tu?

Annura gigit bibir pula, sudah tahu Dinzley tidak akan berpuas hati jika dia hanya menyebut nama Razlan semata-mata. Satu soalan yang keluar pasti akan disusuli dengan soalan yang lain, itu memang lumrah. Tadi pun sengaja tak disebut nama Razlan sebab dia tahu Dinzley pasti mahu tahu siapa Razlan sedangkan kalau ikutkan hati, dia malas hendak mengingatkan lelaki bernama Razlan itu.

“Menantu bos.”

Menantu bos? Pelik benar kedengarannya kerana menantu bos sakit hati dengan Annura. “Awak ada buat salah dengan dia ke?” Kerut di dahi petanda kalau dia benar-benar ingin tahu.

“Tak ada tapi entahlah, tak tahulah dia tu. Entah apa yang dia tak puas hati sangat dengan saya agaknya. Padahal saya bercakap dengan dia pun jarang. Cuma... masa mula-mula masuk kerja dulu tu dia baik jugalah dengan saya. Tapi tiba-tiba aje berubah. Tak lama lepas tu dia kahwin dengan anak bos saya. Patutnya saya yang iri hati dengan dia sebab dapat kahwin dengan anak bos, ini terbalik pula,” ujar Annura tenang. Usai berkata-kata, dia ketawa perlahan. Geli hati dengan ayat terakhirnya. Kalau Razlan mendengar, pasti lelaki itu akan memegang kepalanya dan kali ini terus menghantuk ke dinding restoran yang menjadi tempat dia dan Dinzley duduk.

Dinzley ketawa sama. Panjang pula kata-kata Annura kali ini, bahkan turut diselitkan dengan lawak jenaka. Gadis itu makin lama dirasakan makin menarik perhatiannya. Annura kadang-kadang tidak membuat lawak, tapi dia selalu ketawa setiap kali mendengar mulut comel itu berkata-kata.

“Si Razlan buat apa sampai boleh kepala tu terhantuk kat meja?”

“Saya tengah tongkat dagu, dia tolak tangan saya kuat-kuat. Masa tu saya tak bersedia, tu yang benjol kat dahi.” Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa perbuatan kurang ajar Razlan itu.

Wajah Dinzley berubah. Dia merapatkan tubuhnya ke hadapan. Matanya tepat merenung anak mata Annura. “Tak bersedia? Adakah itu bermakna awak tak bersedia sebab awak tengah berangan?”

Mulut Annura melopong. “Berangan?”

“Ya, berangan yang awak dan saya tengah bersanding atas pelamin?” kata Dinzley selamba. Dia ketawa sedikit kuat kerana sudah berjaya mengenakan Annura. Tapi kalau Annura sudi berkongsi, dia memang ingin sangat tahu apa sebenarnya yang telah diangankan Annura. Mahu tahu sama ada dia termasuk sekali dalam angan-angan yang berkesudahan dengan bengkak di dahi.

Tapi sungguh, Razlan memang tidak patut memperlakukan Annura begitu. Kalau tidak suka pun melihat Annura berangan, bukan begitu caranya menegur. Apalagi Annura itu perempuan yang patut dilindungi kerana terkenal dengan kelemahan. Takkanlah lelaki bernama Razlan itu dungu benar?

“Eh, jangan nak perasanlah!”

“Manalah tahu andaian saya betul. Kalau tak, takkanlah Razlan berdiri dekat-dekat awak pun tak perasan,” usik Dinzley terus. Seronok melihat wajah tenang Annura sudah berubah merah padam. Bukannya susah sebenarnya hendak menyalakan bara dalam hati gadis yang satu itu. Kalaupun orang lain tidak tahu, dia memang boleh melakukannya dengan mudah.

“Tak ada kerja nak angan-angankan awak Encik Dinzley!”

“Nanti-nanti awak tentu tak boleh tidur lena kalau tak angankan saya Puan Dinzley.” Mata dikenyitkan dengan bibir tersungging senyuman nakal. Makanan yang baru saja diletakkan di atas meja dicuit sedikit. Tidak mahu memanjangkan lagi bara yang sudah pun dinyalakan dalam hati Annura. Setidak-tidaknya, bukan di hadapan rezeki dan pada saat perutnya sudah berkeroncong minta diisi.

***

“Sakit tak dahi tu?” tanya Dinzley selepas dia menolak pinggannya yang sudah licin. Sepanjang hari tidak menjamah makanan membuatkan seleranya cukup bagus hari ini. Dan kerana tidak makan sepanjang hari, cepat saja dia menghubungi Annura supaya datang ke klinik dengan alasan ada sesuatu yang hendak dibincangkan. Kalau Annura tahu dia hanya mencari alasan, pasti wajah yang sudah tenang itu akan kembali berkocak.

Annura sentuh dahi, masih berdenyut tapi rasanya sudah agak berkurangan dibandingkan ketika baru terhantuk.

“Kalau sakit lagi, kejap lagi kita singgah klinik sebelum balik,” kata Dinzley saat jemari halus Annura singgah di dahi. Kalau dilihat pada bengkaknya, tentu sakitnya masih bersisa. Kalaupun tidak sakit lagi mungkin Annura boleh mendapatkan ubat bagi mengurangkan bengkak yang ada.

Kata-kata Dinzley kali ini berjaya menarik perhatian Annura yang juga sudah meolak pinggannya ke hadapan. Matanya membulat memandang Dinzley yang sudah bersandar malas lagak ular sawa yang selesai membaham mangsa. Melihat cara lelaki itu makan tadi pun dia yakin kalau Dinzley tidak makan sepanjang hari.

“Kenapa pandang saya macam tu? Handsome sangat ke bakal suami awak ni sampai tak berkelip mata pandang?”

“Eh... saya bukan arnablah!” Geram di hati tidak terkira setiap kali Dinzley menyebut perkataan bakal suami atau bakal isteri. Puan Dinzley pun dia tidak berkenan juga. Lelaki itu seperti sengaja hendak membuat dia perasan sendiri. Ataupun, Dinzley yang sebenarnya berangan bersanding dengannya di pelamin sedang tempoh yang ada masih terlalu jauh untuk membuat penentuan, apalagi memberikan jawapan yang masih belum ada.

Dahi Dinzley berkerut seribu, bila pula dia cakap Annura arnab? “Kenapa cakap macam tu?”

“Dah tu kalau bukan arnab, hamster?” tanya Annura sakit hati.

“Lah, hamster pula? Kenapa ni Nura?”

“Dah awak nak bawa saya pergi klinik awak. Awak kan doktor haiwan? Takkanlah awak nak bagi saya ubat yang selalu awak guna untuk ubat arnab dan hamster?”

Pecah ketawa Dinzley menghangatkan suasana petang yang damai. Kalau tidak memikirkan yang Annura akan mengamuk, memang dicubit-cubit pipi Annura saat ini juga. Annura kelihatan sangat serius dengan bibir yang sengaja diketap tapi dia rasa Annura sangat kelakar, sangat menghiburkan. Berair-air matanya kerana ketawa yang beria-ia. Langsung dia tidak duga itu yang akan keluar dari bibir Annura. Padahal, dia langsung tidak berhajat membawa Annura ke kliniknya. Takkanlah dia lupa kalau dia doktor haiwan.

“Bukan awak comel macam arnab ke?” Usai ketawa, dia memukul pula hati Annura yang sudah pun rentung mendengar ketawanya.

“Saya paling benci setiap kali awak samakan saya dengan pesakit awak tu!” bentak Annura. Pelik, kenapa dia sering saja ditemukan dengan lelaki yang perangainya aneh. Razlan begitu, Dinzley pula begini. Kalaupun yang tidak aneh di matanya, hanya Haffez semata-mata. Itu pun jodoh mereka tidak ada. Sudahnya, atas alasan umurnya yang makin meningkat, dia terpaksa duduk menghadap Dinzley hari ini.

Ketawa Dinzley terus bergema walaupun dia perasan ada mata menjeling mereka berdua. Dia tahu Annura tidak suka disamakan dengan haiwan, walaupun haiwan yang comel dan sedap mata memandang. Hanya dia tetap juga suka mengusik Annura, sengaja mahu melihat wajah masam kelat milik gadis itu yang sudah seminggu tidak dipandang. Mereka sudah sepakat bertemu hanya pada hujung minggu. Tapi hari ini dia melanggar tradisi kerana dia terasa mahu makan sambil ditemani gadis itu. Anuura pun kalau tidak dihubungi, terus juga senyap seperti tidak wujud. Menunggu Annura mencarinya sama seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

“Kalau merajuk dan marah-marah, nanti tak cantik tau.”

“Peduli apa!”

Senyuman yang mahu hadir, Dinzley sembunyikan. Cukuplah setakat itu dulu dia menyakat Annura. “Dah... habiskan air tu. Jangan marah, saya tak kata pun nak bawa awak pergi klinik saya sebab awak cuma comel macam arnab tapi awak bukan arnab, saya maksudkan klinik lain. Takkanlah saya tak tahu yang awak tu manusia? Ciptaan ALLAH yang paling mulia darjatnya? Cantik macam ni takkanlah saya tak tahu?”

Annura tatap wajah Dinzley yang masih tersenyum, dalam-dalam, malu berbekas di hati sebab terlalu cepat buat rumusan, tapi digagahkan juga mulut menyedut minuman. Lupa terus dia bertanya perkara penting yang Dinzley maksudkan di telefon bimbit tadi. Yang ada di fikirannya saat ini, mahu cepat-cepat meninggalkan Dinzley yang masih gagal menyimpan senyuman mengejek untuknya.

8 comments:

  1. perghhh! memang terbakar abes semangat ni dah..

    ReplyDelete
  2. aleya....

    apa2 pun kisah semasa dahulu akan mematangkan lagi kemahiran aleya

    PS: ayu pun kadangkala memasak di kedai, pernah terentungkan order custome....gara2 nak ajar pekerja memasak..last2 masak lain, yang rentung?.....kami pulun makan, sayang disimpan di dalma tong sampah...

    heheheh

    ReplyDelete
  3. ni utk novel terbaru ke? Cam best je

    ReplyDelete
  4. ni utk novel terbaru ke? Cam best je

    ReplyDelete
  5. :kak azie - terbakar semangat x ape, jgn terbakar ati sudah ye...

    : ayu - pengalaman mmg guru paling baik kan?

    : lovillastory - hehehehe...

    : anonymous - yup... masih dlm proses buat ni, x siap lg... ;-)

    ReplyDelete
  6. suuuuukee sangat cara pengoalahan cerita ni!!! i love it! dah keluar ke belum ni????

    ReplyDelete
  7. hai violet... tq suka ngn pengolahan cete ni. masih x keluar sb masih dlm proses. klu keluar nanti inform lain ye... ;-)

    ReplyDelete