- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 10] -

July 14, 2011

“DULUKAN... awak suka gunakan kita bila bercakap dengan orang? Sekarang dah tukar?” tanya Khilfie bila dilihat Zalis tidak mahu mengulas apa-apa tentang usikannya tadi. Entah kenapa, dia merasakan Zalis hari ini tidak seperti Zalis yang dikenali lama dulu. Zalis yang ada dalam bayangannya seorang gadis kecil yang sangat banyak mulut sehingga dia pernah mengatakan yang Zalis meminjam mulut murai. Tapi Zalis yang sudah bertukar seperti merak kayangan ini dirasakan agak pendiam. Kalau dia diam, Zalis kekal mengunci mulut. Kalau pun bercakap, pendek-pendek saja ayatnya.

Atau, dulu Zalis memang pendiam? Dia yang terlupa kerana terlalu lama melupakan gadis itu?

“Saya dah dewasa.”

“Kalau dewasa dah tak boleh ya guna kita bila bercakap?” Redup pandangan Khilfie di wajah Zalis.

“Tak sesuai dah.”

Masih pendek jawapannya, detik hati kecil Khilfie. Satu lagi yang dia perasan tentang Zalis, gadis itu lebih banyak memandang lantai daripada wajahnya. Malukah Zalis padanya? Tapi apa pula yang hendak dimalukan? Mereka pernah rapat suatu masa dulu, tidak salah rasanya kalau mereka berdua terus berbaik-baik. Boleh juga mengimbas kenangan masa kecil mereka.

“Zalis dah berubah?”

“Hah?” Zalis angkat wajah, dahinya sedikit berkerut.

Tergelak kecil Khilfie dengan aksi spontan Zalis itu. Makin lama melihat Zalis, makin banyak kenangan masa lalunya dengan Zalis menerpa ingatan. Ke mana menghilangnya kenangan itu selama berbelas-belas tahun kebelakangan ini, dia sungguh-sungguh tidak tahu. Kalau hendak dikatakan dia lupa, saat ini boleh pula kenangan-kenangan itu menjelma. Atau sebenarnya kenangan itu ada di mana-mana, dia saja yang malas mengutip.

“Zalis dah berubah. Tak sama macam Zalis yang saya kenal dulu.”

“Taklah.” Sepatah juga yang dijawab Zalis. Dia sungguh-sungguh tidak tahu bagaimana hendak meramahkan mulut di hadapan Khilfie. Ketika ini dia berharap Khilfie tidak ada di hadapannya. Apa yang dialami ini hanyalah susulan mimpi-mimpinya terhadap Khilfie yang tidak pernah tidak mengunjunginya. Hanya kali ini Khilfie datang dalam versi dewasa, bukan kanak-kanak seperti yang dilihat selama lelaki itu meninggalkannya.

“Zalis yang dulu sangat ramah. Sangat humble. Tapi Zalis yang ni dah jadi jelita macam puteri. Cool. Malangnya... suara terlalu mahal,” komen Khilfie selamba. “Kenapa Zalis?”

Zalis senyum. Dalam hati sangat berharap ada antara abang-abangnya yang memanggil, mengajak dia pulang. Dia sudah tidak mahu berhadapan dengan Khilfie lagi. Biarlah ini yang terakhir kalinya kerana berhadapan dengan lelaki itu hanya mengundang sakit yang lebih parah dalam jiwanya. Lagipun mengetahui Khilfie sudah punya kekasih hati, dia sedar sudah tidak ada sebab untuk dia terus berharap. Dia tidak mahu lagi terus memuja bulan.

“Speechless. Tak tahu nak cakap apa.”

“Takkanlah terkejut sampai hilang kata-kata? Janganlah... buat biasa-biasa aje. Saya nak awak anggap saya macam kawan awak yang dulu. Kawan yang selalu main kejar-kejar dengan awak. Kawan yang selalu buat awak menangis, lepas tu terhegeh-hegeh pujuk balik,” kata Khilfie tenang. Memang dia pun terasa janggal berhadapan dengan Zalis kembali. Tapi mengenangkan dia dan Zalis punya banyak kenangan masa kecil, dia tiba-tiba terasa sayang hendak melepaskan semua kenangan itu. Lantaran itu dia mahu Zalis bersikap biasa dengannya. Setidak-tidaknya dia tahu dia masih punya teman lama di tanah tempat ibu dan ayahnya disemadikan.

“Buat apa sekarang? Kerja apa?”

“Akauntan.”

Bulat bersinar mata Khilfie. Bangga mendengar Zalis kini bergelar akauntan sedangkan dulu Zalis sangat lemah dalam mata pelajaran Matematik. Benarlah, masa memang benar-benar mampu mengubah manusia. Kalau dulu Zalis comot, kini Zalis sudah jadi sangat jelita. Kalau dulu Zalis tidak sukakan Matematik, kini Zalis sudah pun bergelar Akauntan.

“Bukan dulu awak sangat bencikan Matematik ke?”

Zalis ketap bibir. Berdoa supaya abang-abangnya segera datang. Dia sudah tidak kuat terus berhadapan dengan Khilfie. Khilfie ingat banyak tentang dirinya, tapi tidakkah lelaki itu ingat janji yang satu itu? Kalaupun Khilfie tidak ingat, dia ada Zafran yang boleh bangkit menjadi saksi. “Itu dulu.” Digagahkan juga bibir menjawab supaya Khilfie tidak berfikir yang dia semakin sombong.

“Kerja kat mana? Sini?”

Kepala Zalis menggeleng. Apa perlunya lagi Khilfie mengambil tahu tentang dirinya?
“KL.”

“KL? KL kat mana?” tanya Khilfie bersemangat. Mengetahui yang dia sebenarnya tinggal di bawah lembayung ibu kota yang sama seperti Zalis, dia rasa sangat gembira. Mungkin selepas ini mereka boleh bertemu bila ada masa lapang. “KL kat mana Zalis? Nanti sekali-sekala bolehlah kita minum sama-sama ya?”

“KL dekat...”

“Zalis! Jom... dah nak balik dah ni. Abang Han dah merungut-rungut tu. Papa pun dah lama tunggu dalam kereta,” panggil Zahfir sambil menghampiri mereka di ruang tamu.

“Lah... dah nak balik dah? Cepatnya! Aku belum puas lagi berborak dengan Zalis ni.”

“Dah lewatlah bro. Kena balik sekarang,” balas Zahfir sambil menarik tangan Zalis supaya bangun.

“Alah, tunggulah sikit lagi. Tak pun, kau balik dulu. Nanti aku hantar Zalis balik. Bukan jauh pun rumah kau tu. Jalan kaki pun sekejap aje dah sampai.”

Zalis pandang wajah Zahfir. Mulutnya tidak berbicara, namun matanya mengatakan yang dia tidak mahu terus berada di situ. Mengerti pandangan sayu itu, Zahfir tersenyum pada Khilfie. Kalau Zalis tidak mahu terus berlama-lama di situ, dia tidak akan meninggalkan adiknya di situ. Dia tidak akan memaksa Zalis melakukan apa yang Zalis tidak suka kerana dia sayangkan Zalis.

“Tak bolehlah Khilfie, tuan puteri ni tak boleh berembun sangat. Mudah demam,” kata Zahfir dalam gelak tidak sekuat mana. Dia bukan mahu membentangkan kelemahan Zalis pada Khilfie, tapi itu memang kenyataan. Zalis boleh melakukan aktiviti lasak, tapi Zalis tidak boleh berembun. Kalau hari ini Zalis berembun, esok pagi bersedialah membawa Zalis ke klinik.

“Zalis sakit?” tanya Khilfie ingin tahu.

“Kecuali berembun dan dekat-dekat dengan kucing, Zalis boleh buat apa saja. Termasuk panjat gunung.”
---------------------------------------------------------------------------------------
“Abang Zaf... kenapa dia nampak sedih? Bukan patutnya dia rasa gembira ke dapat jumpa Khilfie balik?” tanya Zahfir tidak senang hati. Sepanjang perjalanan balik tadi. Zalis langsung tidak bercakap. Dia dan Zulhan membuat lawak untuk memancing senyum dan ketawa Zalis, namun adik mereka itu hanya berwajah sedih. Sudahnya, dia dan Zulhan ikut diam. Pertama kali mereka terasa kereta Zulhan seperti diamuk geroda.

“Mana Fir tahu Zalis nampak sedih?” duga Zafran. Air kopi yang disediakan mama mereka sebelum masuk tidur tadi, dicapai dan dihirup perlahan.

“Oh... come onlah Abang Zaf! Orang buta pun boleh tengoklah muka dia yang macam nak nangis tu.” Agak kuat nada suara Zulhan. Dia geram, geram melihat wajah Zalis begitu. Dan seingatnya, sudah lama benar dia tidak melihat Zalis sedih. Kalaupun Zalis ada masalah, adiknya itu masih boleh senyum dan bergelak-ketawa seperti biasa. Tapi hari ini setelah kembali dari rumah itu, senyum dan ketawa Zalis bagaikan sudah dibawa pergi.

“Huh... dahsyatnya! Orang buta pun boleh tengok Zalis sedih. Memang amazing ni.” Zafran tergelak kecil. Dia lebih memilih bersikap tenang kerana dia abang, selebihnya dia tidak mahu adik-adiknya itu tahu betapa dia sebenarnya lebih gusar dibandingkan mereka berdua.

“Han seriuslah Abang Zaf!”

Zahfir yang tadinya ikut tersenyum walaupun hatinya masih susah, menutup mulut rapat-rapat. Tidak mahu meneruskan ketawa walaupun dia memang mahu ketawa lagi. Zulhan mungkin tidak akan menumbuk bahu Zafran kerana menghormati abang mereka itu. Namun Zulhan tentu saja tidak teragak-agak menumbuk bahunya kerana pangkatnya yang lebih kecil. Sebagai langkah keselamatan, biarlah dia diam saja.

Namun bayangan wajah Zalis yang sayu seperti tidak mahu meninggalkan matanya. Tapi apa puncanya? Khilfie? Pertemuan dengan Khilfie? Atau, sebab Khilfie bertunang? Takkanlah Zalis dan Khilfie pernah bercinta dulu? Bukan masa Khilfie pergi, Zalis umur lapan tahun ke? Mengarut sungguh aku ni!

“Okey, Abang Zaf minta maaf. Tapi Abang Zaf rasa dia terperanjat kot. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba Khilfie muncul depan dia, mestilah dia terkejut kan? Kalau Abang Zaf pun Abang Zaf terkejut juga.”

“Itu bukan rupa orang terkejutlah Abang zaf. Itu rupa orang kecewa. Rupa orang patah hati,” bidas Zulhan. Dia bukannya budak-budak yang boleh ditipu begitu mudah. Mustahil lelaki dewasa sepertinya tidak dapat membezakan reaksi orang terkejut dengan reaksi orang kecewa.

Siapa sebenarnya yang mahu abangnya itu tipu?

“Yalah. Fir pun tak rasa dia terkejut. Masa Khilfie kata nak hantar dia balik, dia pandang Fir lama. Dia tak cakap apa-apa pada Fir, tapi Fir tahu dia tak nak terus tinggal kat situ. Pandangan dia masa tu buat Fir rasa... macam dia terluka sangat. Kalau tak ada Khilfie, Fir rasa mesti dia dah nangis masa tu,” cerita Zahfir tentang apa yang berlaku di ruang tamu rumah Khilfie. Semasa berjalan, Zalis sedikit pun tidak berpaling ke belakang, memandang Khilfie. Adiknya hanya berjalan dengan pandangan sehala. Gontai saja langkah kaki Zalis.

“Fir tak nampak dia menangis? Betul?” tanya Zafran ingin tahu.

“Tak. Tapi...”

“Tapi apa Fir?” pintas Zafran pantas.

“Masa berjalan tu Fir nampak dia macam kesat mata. Fir rasa dia nangislah. Tapi kenapa dia nangis ya?” Buntu Zahfir mencari jawapan terhadap sikap Zalis yang tiba-tiba saja berubah. Diajak lepak sambil menonton TV seperti biasa pun Zalis hanya menggeleng tanpa suara. Sungguh, tiba-tiba saja dia terasa bagaikan sudah kehilangan Zalis walaupun adiknya masih ada di ruang yang sama dengannya ketika ini. Dan dia, sungguh-sungguh tidak suka melihat Zalis seperti patah hati begitu.

“Abang Zaf, Han dapat rasa yang Abang Zaf tahu sesuatu. Baik Abang Zaf cakap dekat Han apa sebenarnya dah jadi pada Zalis. Sekarang juga!”

Sikap panas baran Zulhan sudah datang. Zafran menyedarinya dengan jelas. Jika tidak mahu seisi rumah kecoh, dia harus berhati-hati. “Manalah Abang Zaf tahu. Han tanyalah Zalis sendiri.”

“Han tak percaya!” bentak Zulhan. Dia sudah berdiri tegak di hadapan Zafran.

Zafran ketawa kecil. Maklum sangat dengan perangai Zulhan. “Okeylah, Abang Zaf cerita. Tapi janji jangan bagi tahu sesiapa. Mama dan papa pun tak patut tahu. Dan kalau Zalis tahu, Abang Zaf cari Han dengan Fir ya. Kali ni Abang Zaf tak main-main. Tak percaya kamu berdua tengoklah nanti.”

“Yalah!” Serentak Zulhan dan Zahfir menjawab.

*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

4 comments:

  1. mmg best peminat setia ni.. jom tukar window 8 http://tauhusumbat.com/index.php/2011/07/jom-tukar-window-8-video/

    ReplyDelete
  2. Citer ni memang bestlah! Tp kak Mar.. Leh komen sikit tak? Akak, tukarlah name adik beradik tu..nmpk same sgt..susah nk bezakan..kompius kak.. he3...

    ReplyDelete
  3. : kak azie - ;-)

    : tauhusumbat - terima kasih...;-)

    : miss violet sofia - terima kasih sebab baca. mula2 mmg nampak keliru, tp lama2 nanti sofia pasti akan biasa... ;-)

    ReplyDelete