- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 11] -

July 26, 2011

“EIII... tak malu cakap pasal kahwin. Kita cakap dekat ibu ya awak ajak kita kahwin,” kata Zalis sambil lidahnya dijelirkan ke arah Khilfie yang sudah merah wajah di sisi Zafran yang masih setia memegang kamera berjenama Nikon. Suka hati kerana dapat memalukan Khilfie. Dendamnya pada Khilfie kerana mengata wajahnya comot dan atas kepalanya ada lipan besar masih ada walaupun Khilfie sudah memohon maaf.

“Cakaplah, kita tak kisah pun. Ibu kita memang dah tahu yang kita nak kahwin dengan awak. Kan ibu kita selalu kata, kalau gaduh-gaduh nanti dah besar jadi suka. Kan kita dengan awak selalu gaduh? Nanti dah besar mestilah kita suka dekat awak kan?”

Dia mendongak, memandang wajah Zafran yang tersenyum panjang.

“Nanti dah besar kita kena kahwin dengan Zalis kan? Sebab kita dah selalu gaduh dengan Zalis. Kan Abang Zaf kan?” Kali ini Khilfie cuba mendapatkan sokongan Zafran setelah melihat raut tidak bersetuju Zalis. Memang itu pun yang selalu ibunya katakan setiap kali dia menyebabkan Zalis menangis. Zalis yang tidak mahu berkahwin dengannya, akan menghentikan tangisan pada ketika itu juga. Kata Zalis, dia tidak mahukan Khilfie.

“Abang Zaf... betulkan?” Khilfie tidak puas hati melihat Zafran yang tidak berkata apa-apa.

“Tak betul kan Abang Zaf?”

“Betullah!” sanggah Khilfie pantas. Dia menarik hujung rambut Zalis walaupun dia tahu Zafran ada di situ. Selalu pun kalau dia geram dengan Zalis, dia akan melakukan perkara yang sama. Zafran hanya diam, sedikit pun tidak marahkan dirinya. Tapi kalau dia melakukan di hadapan Zulhan, Zulhan akan memijak kakinya sampai dia menangis. Kemudian Zulhan akan lari sambil mengejeknya. Pernah juga beberapa kali Zulhan mengugut akan merejam dia dengan batu kalau menarik rambut Zalis lagi. Abang Zalis yang satu itu memang garang. Dia sungguh-sungguh tidak sukakan Zulhan.

“Sakitlah rambut kita,” keluh Zalis kuat. “Abang Zaf...” Dia cuba memancing Zafran supaya memarahi Khilfie yang menarik rambutnya.

“Abang Zaf tak kisah pun kita tarik rambut awak,” ejek Khilfie. Terus dia terlupa yang seketika tadi dia mengajak Zalis kahwin.

Zafran menggeleng perlahan. Geli hati melihat tingkah Zalis dan Khilfie yang dirasakan sangat lucu. Mereka berdua memang selalu bergaduh, tapi bila petang-petang Zalis selalu minta dihantarkan ke rumah Khilfie. Khilfie pun setiap hujung minggu, pagi-pagi sudah tercegat di rumahnya dengan tangan memegang makanan ringan yang mahu dikongsikan dengan Zalis.

“Kita cakap dekat Abang Han, awak tarik rambut kita lagi,” ugut Zalis dengan wajah garang.

Zulhan! Khilfie menelan liur berkali-kali mendengar nama Zulhan disebut Zalis. Kalau Zalis sudah berkata begitu, esok-esok dia tentu dibuli Zulhan. Abang kedua Zalis itu selalu bersikap macam gengster. Di sekolah pun Zulhan selalu memukul sesiapa saja yang mengganggu Zalis. Tapi kalau Zalis yang mengganggu orang lain, tidak pula Zalis dipukul Zulhan. Malah ada masa-masanya, Zalis dan Zulhan bergabung mengenakannya.

“Janganlah... awak janganlah beri tahu Han. Nanti Han belasah kita,” pujuk Khilfie.

“Kita tak peduli kita nak cakap juga!”

“Zalis...”

“Kalau macam tu, awak minta maaf dengan kita,” suruh Zalis dengan riak berlagak. Dia tahu kalau dia mengugut dengan menyebut nama Zulhan, Khilfie pasti akan takut. Dengan badan Zulhan yang besar, mudah saja abangnya itu memukul Khilfie yang kecil seperti cicak kubin, walaupun Khilfie hanya berbeza dua tahun dengan abangnya itu.

“Okey... sorry eh?”

“Tapi janji awak tak kata kita comot lagi? Janji awak tak kata yang atas kepala kita ada lipan besar?”

“Okey kita janji. Tapi...” Kepala didongakkan, dia memandang wajah Zafran dengan senyuman comelnya. “Awak pun janji tau, bila dah besar nanti awak mesti duduk atas pelamin macam tu dengan kita? Awak tak boleh duduk dengan orang lain. Kalau kita tak ada pun, awak mesti tunggu kita. Nanti kita balik semula, kita nak kahwin dengan awak,” kata Khilfie dengan wajah serius. Sekejap dia pandang wajah pengantin yang masih senyum, sekejap dia pandang wajah Zalis yang juga tersenyum-senyum, senyum mengejek.

“Kita tak berguraulah Zalis!”

Lama Zalis diam. Berfikir seperti mana kanak-kanak lain. Wajah serius Khilfie ditatap. Bibirnya mengukir senyum. “Okey kita janji, kalau bukan dengan awak, kita tak nak duduk macam pengantin tu.”

“Janji tau?” Khilfie mengunjukkan jari kelengkengnya, minta disambut Zalis dan bagaikan mengerti, dalam sekelip mata dua jari kelengkeng yang halus dan comel saling bertaut rapat. Di bibir comel masing-masing ada senyuman yang juga sangat comel kelihatan.

Zafran yang melihat panorama itu, pantas menghalakan kamera. Gambar Zalis dan Khilfie yang masih berkait kelengkeng dengan berlatarbelakangkan sepasang mempelai di atas pelamin, dirakam. Sekali, dua kali dan kemudian berkali-kali kerana dia melihat itulah panorama paling indah yang pernah dipandang semenjak dia tahu dia suka mengambil gambar apa-apa dan sesiapa saja.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Bunyi salakan anjing yang sayup-sayup kedengaran, mematikan lamunan Khilfie tentang janji yang pernah dibuat bersama Zalis bertahun-tahun dulu. Janji yang sebenarnya tidak layak pun dipanggil janji kerana dia masih begitu kecil ketika mengucapkan janji itu. Kalau Zalis mahu mengatakan dia mungkir janji dan mahu membawa kes itu ke mahkamah pun dia yakin yang dia akan menang dengan mudah. Tidak perlu ada yang membelanya kerana dia boleh membela dirinya sendiri.

Apa guna jadi peguam kalau kes semudah itu tidak dapat diselesaikan?

Tapi gila apa Zalis mahu membawa janji zaman kanak-kanak mereka sampai ke mahkamah?

Berasakan yang dia memikirkan yang bukan-bukan, dia tergelak perlahan. Ketawa dengan kebodohan diri sendiri. Jangankan janji masa kecil mereka, dia pun silap-silap Zalis sudah lupa sama seperti dia melupakan Zalis sejak lama dulu. Kalau Zalis tidak lupakan dia, tentu Zalis akan melayannya seperti dulu-dulu juga. Tapi Zalis nampak begitu kekok bila berhadapan dengannya. Bahkan Zalis dirasakan sangat berat mulut ketika menjawab semua pertanyaannya. Senyum yang Zalis lemparkan juga seperti terpaksa saja.

Jauh benar Zalis berubah, detik hati kecil Khilfie.

Tapi kalau Zalis tidak muncul hari ini, dia memang sudah tidak ingat pada gadis itu. Awal-awal tinggal dengan Raudah, dia kerap menangis teringatkan Zalis. Dia rindukan Zalis yang selalu main sembunyi-sembunyi dengannya. Pernah juga dia meminta supaya dihantar bertemu dengan Zalis. Tapi lama-kelamaan dia lupa pada Zalis kerana Zalis selalu tidak ada semasa dia sedih.

Ketika di universiti dia bertemu pula dengan Jaznita yang cantik menawan walaupun mungkin kurang sedikit dibandingkan Zalis. Dia cintakan Jaznita dan dia berharap tali pertunangan yang akan diikat esok akan membawa mereka berdua ke jinjang pelamin. Kalau dulu dia berharap dapat duduk di atas pelamin dengan Zalis, kini dia tidak mahukan Zalis lagi. Dia tidak mahu lagi menyunting gadis manis itu menjadi isterinya kerana seluruh hatinya sudah diserahkan pada Jaznita dan yakin dia tidak akan berpaling pada perempuan lain, termasuk Zalis sekalipun.

Zalis cantik! Itu hakikat yang tidak dapat dia tolak. Rupa yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan Zalis ketika zaman kecil mereka.

Tapi kalau Zalis masih berwajah comot dalam usia 26 tahun, memanglah terasa tidak masuk akal. Kecuali jika ada sesuatu yang tidak kena pada gadis itu. Misalnya, ada wayar di mana-mana dalam kepala Zalis yang sudah putus. Yang itu, memang tidak mustahil kalau Zalis masih comot tidak kiralah berapa pun usia yang gadis itu galas.

Ya ALLAH... apa benda yang aku merepekkan pula ni?

Senyuman kecil menghiasi wajah Khilfie. Jauh di sudut hatinya, melihat Zalis yang agak kaku, dia tiba-tiba saja terasa seperti kehilangan. Kalau ditilik pada diri sendiri, dia sepatutnya tidak boleh merasakan apa-apa kerana dia yang pergi begitu saja. Meskipun tidak pernah berjanji akan kembali pada hari terakhir dia bertemu Zalis, dia sepatutnya tidak membuang Zalis begitu. Dia boleh saja sekali-sekala mengunjungi Zalis jika dia mahu kerana dia tahu Raudah akan membawanya pada bila-bila masa sahaja. Dia hanya perlu membuka mulut dan meminta.

Tapi tidak pernah diluahkan lagi keinginan itu, selepas Raudah asyik menyuruh dia bersabar, ketika awal-awal meninggalkan Zalis dulu. Selepas lama masa berlalu, dia mula berfikir, tanah kelahirannya itu hanya akan mengingatkan dia pada arwah ibu dan ayahnya.

Sungguh... dia sedih ditinggalkan mereka!

Lantaran itu, dia tidak pernah kembali. Hanya setelah 18 tahun dia nekad kembali semula kerana dia tahu dia sudah cukup kuat berhadapan dengan kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dia sayangi. Terlanjur pula orang yang selama ini menyewa rumah itu mahu berpindah ke Sabah. Raudah anak-beranak yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri pun sudah tidak dapat lagi tinggal di Kuala Lumpur kerana pak usunya sudah dinaikkan pangkat dan dihantar bertugas di Johor Bahru.

“Kat KL tu, kat mana ya Zalis tinggal?”

Terkilan juga dia bila Zalis pergi begitu saja. Soalannya yang terakhir pun tidak Zalis jawab. Malah dirasakan yang Zalis memang tidak mahu menjawab kerana berat saja cara Zalis mahu membuka mulut.

Takkanlah Zalis berubah sampai macam tu sekali?

Tapi 18 tahun masa berlalu, bukankah segala-galanya mungkin?


*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

1 comment:

  1. suka sgt dgn cerita ni.....tak tahulak saya aleeya dgn mazwati ialah org yg sama......for sure, saya akan dapatkan novel2 maz.......bertakhta di hati mmg mmg touching....rya....mmg best novel ni!!!!!!!!tahniah mazwati!!!!!!!!!!

    ReplyDelete