- DIA nAk BaGi RaMa-RaMa -

July 21, 2011

Minggu ni, dalam lima hari kebelakangan ni, macam nak diterangkan ya perasaan yang terkurung dalam diri saya? Marah? Tidak! Kecewa? Tidak! Merajuk? Tidak! Kesal? Ya, sedikit! Tapi bukan kesal pada apa yang berlaku, hanya kesal dengan kecuaian diri sendiri. Mungkin saya masih belum cukup berhati-hati lagi dan selepas ini saya perlu lebih meningkatkan yang dinamakan lebih berhati-hati. Bukan hanya pada satu perkara, tapi pada semua perkara yang bakal saya buat dalam seluruh hidup saya selepas ini. Sedih? Ya, sedikit! Ralat? Ya, memang ada! Bohonglah saya kalau saya kata saya langsung tak ralat.

Ya, itulah rasa-rasa yang ada dan tak ada pada saya dalam lima hari kebelakangan ni. Rasa-rasa yang pasti akan dirasakan orang lain seandainya ada di tempat saya. Itu pun kalau orang lain itu terasa macam apa yang saya rasa. Kalau tidak, hem... tahniah! Kamu, kamu & kamu memang mempunyai jiwa yang kental, sekuat kerikil yang ada di tepi-tepi jalan. Tak macam yang bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa yang mudah terasa bila sesekali menerima ujian daripada ALLAH. Isyh... kenapa saya lemah benar ya?

Sebenarnya bukanlah ada apa-apa sangat yang berlaku pada saya. Perkara kecil! Mungkin hanya sebesar zarah bagi banyak orang yang hidupnya pernah, telah dan sedang diuji dengan ujian yang sebesar gunung atau seluas lautan.

Ahad - seperti biasa, mak, abah, angah, Danish & Aqqif hantar saya ke Larkin sebab saya nak naik bas balik ke KL. Bila driver bas melaung kata bas dah nak jalan, saya pun salam abah, angah, Danish dan Aqqif. Mak memang saya tak salam dulu sebab biasanya saya hanya akan salam mak bila dah ada kat muka pintu bas. Tapi hari Ahad tu, memandangkan saya harus berkongsi tempat duduk dengan orang, maka saya pun berebut naik sebab saya nak duduk di tepi tingkap. Kalau pun duduk kat sebelah lelaki, taklah saya rasa rusuh kalau duduk sebelah tingkah. Sah! Memang lelaki pun duduk sebelah saya dan saya rasa lega.

Dari atas bas saya nampak mak dan abah tercari-cari saya dan saya terus juga melambai-lambai supaya mereka nampak saya. Kemudian seperti biasa juga, terjadilah adegan bercakap-cakap tanpa suara. Yalah, tak guna saya bercakap kuat kalau mak dan abah saya tak dengar. Dalam 10 minit duduk tu saya baru tersedar sesuatu, saya tak salam mak saya. Mula saya nak diamkan aje, nanti malam saya telefon mak kata saya terlupa sebab nak berebut sangat. Tapi beberapa saat lepas tu, saya bangun dan berjalan pantas. Siap cakap kat driver, “Saya turun sekejap”. Saya turun, salam peluk cium mak dan kata kat dia yang saya lupa. Mak saya kata tak apa. Sungguh... saya tak lupakan dia. Hanya kelam-kabut sangat masa tu!

Sampai rumah mandi dan buat apa-apa yang patut. Hidupkan laptop, tapi tak mahu menyala. Cuba berkali-kali, tetap tak mahu menyala. Sudah... laptop yang dah berjasa selama dekat 5 tahun nampaknya sudah mula membuat perangai. Mungkin marah bila saya beli PC lagi. Pergi pula ke arah PC, cuba on sebab terasa nak menulis. Pc hidup seperti biasa tapi lepas tu off, lepas tu on sendiri. Itulah yang terjadi berkali-kali. Dan saya, rasa sangat sedih! Dua-dua rosak sekali gus. Tapi tak apalah, saya cuba bertabah dan bersabar. Mujur saya masih ada lagi satu PC.

Isnin – hantar laptop pada yang lebih tahu sebab saya tak tahu apa-apa fasal baiki laptop.

Selasa – laptop siap, kenalah dalam RM200. Minta tolong juga orang yang sama baiki PC. Lama adik tu duduk kat meja saya. Dan saya, mula berlegar-legar sebab takkanlah saya nak duduk atas riba dia kan? Mahunya kena lempang! Bila dah penat mula bercakap dan penat berdiri, saya duduk kat satu meja kosong. Saya seluk poket sweater, tangan saya dah menggeletar. Duit untuk bayar laptop, dan upah adik tu dah tak ada dalam poket sweater. Saya mula rasa kalut, cari-cari tapi tak jumpa, cari kat meja tak ada, dalam beg duit pun saya cari walaupun saya tahu memang tak ada sebab saya dah keluarkan. Pergi semua tempat yang saya berdiri. Tak ada! Mahu tak mahu saya terpaksa keluarkan duit yang lain. Tapi hati saya masa tu rasa sedih sangat. Mungkin tak banyak mana, tapi kalau makanan yang saya makan harga RM5 sehari, boleh makan untuk 50 hari. Kalau kurang daripada jumlah tu, tentu boleh makan untuk banyak hari lagi. Tak apalah... mungkin bukan rezeki saya.

Rabu – saya masih menanti keajaiban! Datang-datang kerja terus tengok tempat yang saya dah tengok semalam. Memang bukan rezeki, tetap juga tak jumpa. Jadi saya teruskanlah rutin macam biasa. Masa berjalan dengan seorang kawan nak ke bangunan lama, tiba-tiba telefon bimbit saya jatuh kat jalan. Isi telefon tu berterabur mintak dikutip. Tak terkata saya masa mengutip. Mengeluh juga akhirnya! Mujur bila dipasang, masih boleh digunakan.

Khamis – galas beg tangan nak pergi kerja, hati terdetik kenapa beg tangan saya ringan sangat. Tapi terus juga melangkah. Bukak laci, terkedu bila tengok beg duit saya ada kat situ. Patutlah beg tangan saya ringan, rupa-rupanya beg duit yang banyak syiling daripada kertas tu tertinggal. Mujur balik semalam dan masa pergi kerja tadi tak ada road block, kalau tak... apa saya nak jawab bila IC dan lesen memandu tak ada? Lepas tu pergi kantin, bungkus air. Sampai kat meja, air menitik atas meja. Aduhai... bocorlah pulak plastik air tu! Cepat-cepat saya pindahkan air teh suam tu dalam mug.

Satu demi satu berlaku dalam lima hari ini, saya hanya bertanya satu aje pada diri sendiri, “Ada apa sebenarnya dengan saya?” Berkali-kali soalan yang sama bolak-balik dalam hati saya. Tapi akhirnya hari ni saya dapat jawapan yang saya cari, jawapan yang bukannya saya tak tahu, saya tahu dengan sangat jelas. Hanya biasalah manusia, selalu lalai dan alpa. Kena ada orang yang mengingatkan. Dan hari ni saya diingatkan dalam ceramah agama yang saya dan kawan-kawan pergi. Kata ustaz, “ALLAH memberikan ujian kerana DIA mahu mengangkat darjat manusia. Mula-mula dia berikan ulat bulu dan kita terasa gatal. Tapi kemudian DIA berikan pula rama-rama yang cantik sebagai ganti ulat bulu”.

Ya... saya percaya ALLAH memberikan saya ulat bulu terlebih dahulu sebelum menggantikan ulat bulu tersebut dengan rama-rama yang cantik kerana rama-rama yang cantik, asalnya daripada ulat bulu yang mampu menggatalkan anggota tubuh manusia. Hendaknya bila ujian yang lebih besar datang lagi selepas ini, saya akan terus mampu bersabar dan bertabah kerana ALLAH tak pernah kejam pada hamba-NYA, melainkan hamba-NYA yang kejam pada diri sendiri.

2 comments:

  1. Assalamualaikum..subhanallah..awak lebih sabar..mudahan segalanya akan terlaksana dengan mudah..kadang2 itu adalah ulangkaji akan apa yg akan kita hadapi..

    ReplyDelete
  2. Walaupun dah lama..itu akan menjadi semangat kat saya..

    ReplyDelete