- KARNIVAL BUKU KARANGKRAF 2012 [1] –

January 30, 2012

Ketika diberitahu yang saya akan diberikan sebuah booth sepanjang Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, harus menghias sendiri booth tersebut, harus memikirkan sendiri konsep yang mahu saya buat dan semuanya harus dilakukan dalam masa yang singkat, saya sebetulnya terasa cuak, cuak sangat-sangat. Bahkan, kalau diikutkan hati saya mahu aje menolak ketika itu juga. Tapi... entah apa yang mendorong, saya bersetuju walaupun saya sendiri tak pasti.


Sejujurnya, ada beberapa hal yang membimbangkan saya. Pertama, sebab saya tak pandai nak menghias booth tersebut. Hias-menghias bukan kemahiran saya, maka jadilah saya seorang manusia pemikir dan perengus. Dan bila saya terlalu memikirkan hal itu, bahu terasa seakan-akan ada batu yang sangat besar. Ke man-mana dan di mana-mana pun saya ada, bermula daripada mendapat panggilan daripada pihak Grup Buku Karangkraf, saya betul-betul tak dapat berfikir dengan betul. Bolak-balik fikiran dan perasaan saya. Malah, tak malu saya mengaku yang ada masa-masanya saya terasa nak menangis sebab panik dan blur.

Kedua, apa aktiviti yang nak saya buat untuk pastikan booth saya tak lengang bagaikan dilanda geroda. Kalau ditakdirkan lengang, di mana saya nak sorokkan muka kan? Kalau dalam baju, tak mungkin sebab mustahil saya boleh berjalan kalau tak menggunakan mata. Kalau hendak berpurdah, saya tak sanggup kalau semata-mata kerana terpaksa. Bagi saya, kalau pun benar hendak berpurdah, biarlah kehendak itu lahir dari dalam diri.

Ketiga, ada ke yang nak datang ke booth saya nanti sebab saya tahu di mana tahap saya. Saya bukan penulis hebat walaupun saya dah menghasilkan beberapa buah karya. Saya hanya penulis biasa-biasa aje dan dengan pakej yang juga biasa-biasa.

Keempat, sebelum dan semasa hari kejadian [Karnival Buku Karangkraf 2012], siapa yang nak membantu saya? Saya memang ada keluarga, tapi keluarga saya semuanya ada di JB, tak ada seorang pun yang bersisa di KL ni. Kawan-kawan memanglah ada, tapi... saya tak tahu nak minta tolong macam mana. Bimbang tak ada yang mahu bangkit membantu. Kalau pun ada, mungkin saya akan berfikir berkali-kali kerana saya tak mahu silap meminta. Tak mahu pisang berbuah dua tiga kali. Cukuplah sekali pertolongan yang saya pinta, orang ungkit sampai hati di dalam terasa begitu kecil. Itukah yang dinamakan sahabat dan persahabatan? Bukannya saya ego, tapi saya jenis manusia yang tak mahu jatuh di tempat yang sama berkali-kali. Bagi saya, saya hanya akan meminta pertolongan pada yang sudi dan saya tahu benar-benar mahu menghulurkan bantuan.



Tapi syukurlah... bila yang saya jangka ternyata meleset sama sekali. Meski dalam panas terik dan dalam keadaan saya yang langsung tak bawa peralatan seperti gunting, tukul, paku, benang dan sebagainya, booth saya siap juga. Saya tak tahu nak kata macam mana, tapi saya benar-benar berterima kasih pada yang sudi membantu, terutamanya Kak Hana, Awin, Kak Ruby, Moon, Mala, Yatie [Alaf 21/Karangkraf], Fida, Dewi, Kak Azie, Mira dan Kak Izzatul [kawan-kawan saya]. Jerih perih kalian sangat saya hargai, moga ALLAH membalas segala-galanya.

Dan pada hari pertama Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, saya akhirnya mampu menarik nafas, tanda lega. Walaupun hari Jumaat, ramai juga yang datang berkunjung, minta tandatangan dan bertanya serba sedikit tentang dunia penulisan saya. Sungguh, hati saya sangat-sangat lapang, selapang padang bola [sebab tu senyum dan ketawa saya lebar aje, hahaha]. Kedatangan mereka dengan senyuman buat hati saya rasa kembang setaman. Rasa penat-lelah saya seperti berbaloi-baloi. Terima kasih sangat!


No comments:

Post a Comment